Wednesday 19 February 2014

Tudung Labuh & Tudung Chiffon

Niat asal nak tulis entri ini dengan artikel yang lebih panjang berkaitan dengan hobi menjahit tetapi lain pula jadinya. Terasa mengantuk betul. Tersengguk-sengguk depan komputer. Tak boleh nak fokus menaip.

Akhirnya cukuplah update beberapa gambar tudung yang sempat dijahit untuk hari ini. Hari ini sahaja seharian memotong dan menjahit shawl dan siapkan beberapa helai tudung. Tetamu tak berapa ramai yang datang hari ini.

Tudung labuh berlapik dagu dan tanpa pelapik dagu paling banyak ditempah. Stok kain lycra pun dah tinggal sedikit. Mungkin hujung minggu ini perlu ke KL lagi bagi mencari tambahan kain lycra. Kain hitam plain dan juga bercorak hitam paling banyak ditempah. Cadangan asal membeli kain lycra ini untuk menjahit produk sendiri dan nak dimasukkan ke dalam Kedai Online Nash Fesyen yang sudah lama tak diupdate dengan produk-produk terbaru. Kain lycra yang ada stok tadi habis pula ditempah pelanggan untuk tudung labuh berdagu dan tanpa pelapik dagu.

Sementara itu pula beberapa tempahan tudung tiga layer putih juga mendapat tempahan. Sudah siapka untuk dua pelanggan dan sudah diposkan pada hari ini. Tinggal satu lagi tempahan tudung chiffon 3 layer putih yang belum sempat disiapkan.

Besok pula bercadang nak berhenti sekejap menjahit tudung untuk mula memotong kain untuk tempahan baju dan dress pula.

Nampaknya keadaan ini akan berterusan sehingga hari raya nanti. Tak boleh nak berehat. Mungkin rasanya perlu fikir strategi yang lain pula. Berhenti sekejap mengambil tempahan dan mula fokus untuk menjahit produk sendiri untuk dimasukkan ke Kedai Online Nash Fesyen. Lihatlah dahulu keadaan macam mana nanti. Ramai juga pengunjung yang datang ke blog ini bertanya tentang produk yang sudah ada stok untuk dibeli terus tanpa perlu membuat tempahan menjahit.

Lihat dahulu beberapa hasil jahitan tudung.

Tudung chiffon 3 layer putih










Tuesday 18 February 2014

Sewa Booth Untuk Jual Shawl dan Tudung



Ramai juga pelanggan saya yang datang mendapat sevis daripada saya seperti jahit tepi shawl dan tudung yang menjual shawl mereka dengan menyewa booth. Mereka menjual secara offline dan juga online. 

Menjual secara 'offline' dengan terus berjumpa merupakan satu pilihan yang baik bagi kebanyakan penjual tudung dan shawl. Lihat sahaja di pasar-pasar malam, pasar minggu, up town dan sebagainya. Ada sahaja mereka yang menjual produk seperti tudung, shawl dan sebagainya.

Dalam entri yang lepas saya pernah menulis pembeli suka membeli secara terus daripada penjual kerana mereka mempunyai sebab-sebab tersendiri. Antaranya pembeli suka memegang dan merasai kualiti kain atau fabrik sesuatu pakaian, shawl dan tudung untuk memastikan kelembutan dan kualiti barangan yang dibeli memuaskan hati mereka. Pembeli lebih suka mencuba dahulu sebelum membeli. Suka melihat warna sebenar kain. Lebih mudah untuk tawar menawar dengan penjual, terus mendapat produk yang dibeli dan tidak perlu menunggu dan merasa lebih selamat membayar secara secara tunai berbanding secara online.

Oleh itu kepada penjual shawl dan tudung pilihan menyewa booth untuk menjual merupakan pilihan yang baik jika ingin berjinak-jinak dalam perniagaan. Booth biasanya disewakan oleh penganjur sesuatu event, karnival, pesta, ekspo dan sebagainya untuk menampung kos penganjuran sesuatu event. Harga sewa booth berbeza-beza mengikut program yang dijalankan.

Antara beberapa kelebihan menjual terus kepada pelanggan melalui booth adalah:
  • penjual boleh mempamerkan banyak produk shawl dan tudung tanpa perlu mengambil gambar dan kemudian perlu pula upload ke laman web dan membuat promosi.
  • penjual boleh menjual pelbagai aksesori tudung yang lain seperti inner tudung, kerongsang, pin dan sebagainya yang kecil dan tak berbaloi untuk dijual di internet.
  • tidak perlu risau dengan pembeli yang tidak serius dan tidak mahu membuat bayaran.
  • harga lebih rendah boleh ditawarkan kerana tiada kos penghantaran.
  • kurang komplain daripada pelanggan kerana pelanggan boleh mencuba dahulu, merasai dengan tangan kelembutan dan kualiti kain dan melihat sendiri warna yang disukai.
  • tidak melibatkan sebarang komunikasi melalui email, message, telefon dan sebagainya yang memerlukan banyak masa untuk melayan pelanggan.
  • pemulangan produk dapat dilakukan dengan mudah.
  • dapat menambah lebih ramai kenalan dan mungkin akan menjumpai lebih lubang-lubang bisnes yang lain
  • boleh dilakukan secara part time di hujung minggu atau semasa cuti.

Pemilihan booth dan membuat kajian pasaran adalah penting apabila ingin menyewa sesuatu booth. Lihat dahulu target pasaran dan kenalpasti pengunjung amat penting. Pengunjung event tersebut mestilah di kalangan mereka yang mempunyai minat terhadap produk shawl dan tudung yang hendak dijual. 

Kebiasaannya shawl diminati oleh golongan muda, pelajar universiti dan kolej, mereka yang belum berkahwin dan juga anak-anak gadis yang mementingkan fesyen. Tudung pula disukai oleh semua golongan wanita. Antaranya mereka yang bekerja, ibu-ibu muda dan lain-lain. Begitu juga dengan tudung labuh ada peminatnya sendiri.

Untuk memilih booth yang sesuai juga perlu pastikan dahulu penganjur sesuatu event itu mempunyai reputasi yang baik yang mampu menarik ramai orang ke program yang mereka anjurkan. Jika setakat mengambil sewa dari penjual tanpa membuat apa-apa promosi event atau karnival yang dianjurkan lebih baik tidak perlu menyewa booth yang tentu akan merugikan kita.

Menjual melalui booth juga boleh dilakukan di tempat-tempat tertentu seperti sempena majlis konvokesyen di kolej atau  universiti, pelancaran dan pembukaan sesuatu program tertentu di komplek membeli belah dan lain-lain.

Ada kalanya kita boleh mencuba mendapat kebenaran di syarikat-syarikat tertentu atau di pejabat-pejabat tertentu yang membenar kita membuka booth di lobi-lobi pejabat mereka dengan bayaran tertentu.

Kebiasaanya tempat-tempat begini boleh menghasil jualan yang baik kerana pekerja-pekerja syarikat atau staf di pejabat adalah mereka yang mempunyai kuasa membeli yang tinggi kerana mempunyai pendapatan yang agak baik. 

Mereka inilah yang biasanya suka membeli belah, melayari internet, membaca blog dan suka mengoogle apa sahaja di internet. Mempunyai minat terhadap fesyen tudung dan shawl. 

Kalau tidak tentu tak ramai yang akan baca blog ini kan. Terima kasih kepada staf-staf kerajaan, staf-staf di universiti, cikgu-cikgu sekolah dan lain-lain yang sudi menjengok blog ini. Kalau ada pembaca baru bersemangat sikit nak tulis entri terbaru.

Inilah peluang untuk kita membuka booth dan menjual tudung dan shawl. Mungkin kita akan merasa malu pada peringkat awal. Kalau boleh nak bersembunyi jika ada kawan-kawan yang datang. Alah bisa tegal biasa. Apabila sudah biasa tentunya terasa nikmat dan seronoknya menjalankan perniagaan sendiri. Mengira keuntungan dan belanja kawan-kawan makan.

Mula-mula kita boleh jual sendiri. Bila dah maju sedikit boleh ambil pekerja dan membuka beberapa booth lagi. Selepas itu boleh buka butik pula. Mesti ada angan-angan dan cita-cita untuk maju. Perlu gantungkan cita-cita kita setinggi-tinggi bintang di langit untuk berjaya.

Bermula dari kecil sehingga menjadi usahawan yang berjaya. Pengalaman akan mengajar kita menjadi lebih dewasa dan kreatif. Jangan tamak dan teruskan berusaha. Sentiasa berdoa dengan Allah s.w.t. InsyaAllah cita-cita kita akan dimakbulkan. Itulah pesanan dan doa untuk diri saya juga.

Monday 17 February 2014

Lagi Tudung Untuk Hari Jadi Emak

Tudung ini untuk harijadi emak. Pelanggan dari Bangi.


Pelanggan ini pula membuat tempahan untuk emak di Sarawak


Tudung ini dari pelanggan yang sama untuk pakai sendiri.


Sejak saya postkan entri berkaitan tudung labuh untuk ibu, saya ada lagi menerima beberapa tempahan menjahit tudung sebagai hadiah untuk emak. 

Nampaknya bila saya masukkan sahaja entri berserta gambar tudung terbaru ada sahaja permintaan. Tudung chiffon tiga layer putih yang saya postkan baru-baru ini juga sudah ada dua pelanggan yang membuat tempahan. Mungkin ada kekuatan tersendiri artikel dan gambar yang saya postkan sehingga ada sahaja yang berminat.

Bila dah buat tempahan tudung semuanya nak cepat. Kadang-kadang berfikir banyak kali juga nak terima atau tak. Yang menunggu pun dah banyak. Perlu siapkan satu-satu. Berikan sedikit masa kepada saya untuk menyiapkan sesuatu tempahan. InsyaAllah, saya sedaya upaya untuk cuba siapkan dengan segera. 

Beberapa malam dah tidur lewat. Mimpi jahit tudung lagi. Kakak kat kampung pun dah merajuk. Tudung yang ditempah tak siap-siap lagi. "Awat duit kami tak laku ka?" Susah nak jawab.

InsyaAllah semua akan cuba disiap dengan secepat mungkin. Kalau ada lagi tempahan tudung untuk emak, InsyaAllah boleh terima lagi. 

Marilah sama-sama kita bacakan doa untuk ibu bapa.

Sumber grafik dari facebook. 

Tukar Awning Tudung Dah Siap


Harap pemilik tudung ini, Maria jika terbaca entri ini dapat hubungi Kak Ros kerana tukar awning tudung  Maria sudah lama siap. Kak Ros cuba hubungi Maria tetapi tidak dapat.

Kak Ros boleh dapat message dari Maria bertanyakan tudung ini tetapi bila Kak Ros reply message semula tak berjawab pula. Kak Ros juga cuba call no telefon yang diberi tetapi diberitahu nombor tidak ada dalam perkhidmatan. Dah banyak kali cuba.  Mungkin telefon ada masalah.

Kak Ros juga tak ada email dan juga facebook Maria. Harap post ini dapat membantu.

Terima kasih.

Sunday 16 February 2014

Jubah, Blouse, Dress dan Baju Kurung Untuk Pelanggan

Hari ini tak nak tulis cerita panjang-panjang. Cukuplah nak tunjukkan gambar beberapa tudung, shawljubah dress, blouse dan baju kurung yang berjaya disiapkan dalam beberapa hari ini seperti mana yang ditempah oleh pelanggan.

Ungkapan popular "A picture is worth a thousand words" cukup untuk mentafsirkan dan menggambarkan tudung dan baju yang sebagaimana menjadi pilihan pelanggan. Bukan semua orang suka membaca. Ada yang nak tengok gambar sahaja. Ada yang suka cerita. Ada yang suka kedua-dua sekali. Ikut minat masing-masing. Yang terbaik adalah mereka yang suka berfikir apabila melihat sesuatu ada membaca sesuatu.

Bagi pengiklan dan penjual online pula gambar atau imej yang cantik dan menarik amat penting untuk memukau pelanggan sehingga menjadikan pelanggan rasa tidak senang duduk dan termimpi-mimpi untuk mendapatkan produk tersebut.

Bagi saya pula yang masih belajar ilmu edit mengedit ini dan mengambil gambar secara profesional ini cukuplah untuk menunjukkan gambar hasil jahitan yang saya siapkan. Gambar yang diambil tanpa edit dan hanya menggunakan patung sebagai model. Kalau ikut hati memang macam-macam nak belajar. Mungkin juga perlu fikirkan untuk 'outsource' sahaja benda-benda macam ni. Nantilah bila dah maju nanti.

Kalau dulu gambar-gambar yang saya ambil berlatar belakang warna putih sebab dinding rumah lama warna putih, sekarang warna kuning pula sebab dirumah baru sekarang dindingnya warna kuning. Kalau nak ambil gambar dengan latarbelakang putih juga mungkin perlu beli skrin putih yang boleh diletakkan sebagai latarbelakang.

Bila dah mula menaip, mulalah nak tulis panjang-panjang. Cukuplah setakat ini dan nikmati hasil jahitan yang saya sempat siapkan dalam beberapa hari ini.

Shawl Instant Dengan Bunga Ros













Thursday 13 February 2014

Tudung Labuh Untuk Pelajar Tahfiz



Hari itu saya didatangi tetamu istimewa. Ustaz datang bersama isteri untuk menempah tudung. Tudung labuh warna hitam untuk pelajar-pelajar tahfiz di sekolah kelolaan ustaz di Semenyih. 

Sehari sebelum itu ustaz dan isteri sudah pun datang tetapi saya tiada di rumah. Saya ke Kajang untuk menukar talian telefon dari Maxis ke Celcom. Talian Maxis selalu ada masalah menyebabkan saya tidak boleh menjawab message sms yang masuk dan membuat panggilan. Nasib baik melalui Whatsapp masih boleh menjawab message mengguna talian Unifi di rumah. Saya tidak boleh membalas sebarang panggilan dan message jika berada di luar rumah.

Tudung yang ditempah adalah dari kain lycra hitam yang dibawa sendiri dengan berpelapik dagu dan berawning lembut. Saya berjanji dalam tempoh sebulan cuba siapkan. Minggu tersebut juga adalah minggu yang sibuk kerana saya dalam persiapan mengangkat barang untuk berpindah ke rumah baru.

Alhamdulillah rezeki memang murah akhir-akhir ini. Banyak sekali tempahan dari jenis tudung berdagu, tudung twist dan juga tudung syria yang semuanya bersaiz labuh dari kain lycra sejak saya postkan entri yang berkaitan. Rupanya tudung begini begitu mendapat sambutan di sekitar Bandar Baru Bangi ini. 

Akhir-akhir ini memang ramai tetamu yang datang ke rumah. Dari pagi hinggalah ke malam. Semua datang untuk membuat tempahan tudung, shawl dan juga baju. Yang datang terus sahaja tanpa beritahu dahulu pun ada. Memang susah nak tolak jika tetamu datang membawa kain ke rumah.

Menjahit seharian memang terasa letih. Kadang-kadang terlelap pada mesin jahit. Kalau terasa letih dan mengantuk ingin juga baring-baring sekejap.  Maklum sahajalah akhir-akhir ini saya selalu tidur lewat kadang-kadang sampai pukul 1 pagi untuk siapkan tempahan yang urgent. Bangun pagi awal pula kerana perlu siapkan anak-anak yang nak pergi sekolah.

Baru sahaja nak terlelap, anak yang kecil sekali menjerit. "Ibu! ada orang datang rumah". Terus terjaga.

Kemudian bila nak baring semula. Baru sahaja terlelap sekejap. Telefon pula berdering "Kak Ros saya nak tanya Kak Ros, saya cuba jahit sendiri tudung tapi nampak senget. Kenapa boleh jadi macam tu. Begitu sopan sekali suara di talian. Kena layan dahulu telefon. Kalau message yang masuk bolehlah tangguh dahulu menjawab. Bila dah mula bersembang kadang-kadang terlajak sampai setengah jam. Macam-macam cerita lain keluar. Seronok bersembang dengan Kak Ros.

Kak Ros, saya ingat Kak Ros ni garang macam cerita Upin dan Ipin. Rupanya Kak Ros ni peramah.

Tempahan tudung labuh dari ustaz pun banyak helai. Dah janji dalam masa sebulan perlu disiapkan segera. 
Alhamdulillah akhirnya siap semua tudung. Terasa lega sekali apabila selesai menjahit tudung yang terakhir. Berjaya juga siap sebelum deadline. Semuanya 23 helai. 

Saya terbayang-bayang jika nanti pelajar-pelajar tahfiz memakai tudung ini. Akan nampak manis, sopan dan manja sekali. Tambahan pula dengan kemerduan suara masing-masing mengalunkan ayat-ayat suci Al Quran dengan bimbingan ustaz dan ustazah yang hebat-hebat. Tentunya terpesona sekali sehingga menusuk di kalbu. Terhibur mata yang memandang dan suara yang mendengar.

Bertuahnya anak-anak pandai mengaji Al Quran dan dapat menghafalnya dengan lancar dan tertib. Sejuk perut ibu mengandung. Semoga menjadi anak yang solehah.

Ustaz adalah peserta imam muda yang popular dalam rancangan di Astro.

Post Utama

Kedai Online Nash Fesyen

Post Paling Popular

HAKCIPTA TERPELIHARA NASH FESYEN 2018