Showing posts with label baju kurung. Show all posts
Showing posts with label baju kurung. Show all posts

Friday 6 March 2015

Baju Kurung Moden Untuk Pergi Kenduri.


Hari ini saya ke Seremban untuk ke majlis kenduri kahwin. Sempat jahitkan sehelai baju kurung moden untuk dipakai. Baru sahaja siap jahit. Kebiasaannya macam itulah kalau jahit baju sendiri. Sekarang sudah bersiap untuk pergi makan kenduri. 

Tak rugi kalau pandai menjahit. Sekurang-kurangnya boleh menjahit baju kurung. Keseronokan dan kepuasan akan datang sendiri apabila melihat hasil jahitan sendiri.

Anak saya kata macam baju Frozen. Ada ka Frozen pakai baju kurung?

Thursday 26 February 2015

Baju Kurung Motif Floral




Motif floral adalah berkaitan dengan tumbuh-tumbuhan dan bunga-bungaan. Dilukis dan dicetak di atas fabrik dengan pelbagai bentuk dan warna dari saiz yang kecil sehinggalah yang besar. Pernah menjadi barang dagangan yang mahal di Eropah suatu masa dahulu apabila pedagang-pedagang Inggeris membawa pulang dari India fabrik dengan motif bunga yang kecil. 

Kepada penggemar batik ,motif floral sentiasa menghiasi baju-baju batik sama ada untuk lelaki atau wanita. Pada masa sekarang motif floral ini sentiasa digemari untuk dijadikan baju dan sesuai untuk kebanyakan majlis. Baju kurung bermotif floral juga mendapat tempat dalam budaya melayu sejak dahulu lagi. 

Pergi sahaja ke mana-mana kedai textile, kain bermotif floral ini sentiasa memenuhi setiap ruang dalam kedai tersebut kerana sambutan yang baik untuk dijadikan baju terutamanya.

Tuesday 10 February 2015

Baju Kurung Moden


Baju kurung merupakan fesyen di kalangan wanita di Malaysia. Terdapat pelbagai design dan fesyen baju kurung mengikut tempat dan negeri. Bermula dengan baju kurung tradisional, baju kurung mengalami beberapa perubahan untuk disesuaikan dengan bentuk badan, fesyen terkini yang dipengaruhi dari fesyen barat dan keadaan fesyen semasa supaya nampak lebih moden. 

Fesyen baju kurung juga mempunyai nama-namanya sendiri seperti baju kurung Melaka, baju kurung Johor, baju kurung Kedah, baju kurung Pahang, baju kurung Teluk Belanga, baju kurungg Cekak Musang, baju kurung Riau. Juga mengikut cara jahitan seperti baju kurung pesak, baju kurung pesak gantung, baju kurung jahitan tulang belut, baju kurung leher bulat dan lain-lain. Baju kurung juga mempunyai nama mengikut pilihan kain seperti baju kurung cotton, baju kurung lycra, baju kurung satin dan lain-lain.


Baju kurung moden adalah pengubahsuaian yang dibuat dari baju kurung biasa atau tradisional dengan potongannya mengikut bentuk badan yang digemari terutama oleh golongan wanita muda yang mempunyai bentuk badan yang menarik. Baju kurung moden biasanya tidak ada pesak dan kekek dan mempunyai zip belakang. Sementara baju kurung Pahang pula lebih longgar dan mempunyai sedikit cutting di pinggang. Juga tidak mempunyai kekek dan kembang sedikit di bawah. Baju kurung tradisional pula cuttingnya lebih lurus hingga ke bawah.

Walau apa pun bentuknya baju kurung tetap menjadi pilihan untuk majlis-majlis yang sinonim dengan majlis-majlis orang-orang Melayu yang mahukan pemakainya nampak sopan seperti kenduri kahwin, majlis hari raya, majlis untuk sambutan tertentu dan lain-lain.



Memilih fesyen baju kurung paling senang dilakukan untuk ke pejabat, keluar berjalan-jalan dan ke majlis ilmu kerana terdapat pelbagai fesyen baju kurung yang boleh disesuaikan dengan keadaan majlis yang dihadiri.

Kebanyakan tukang pasti tahu menjahit baju kurung mengikut pilihan pelanggan mereka kerana asas menjahit baju bermula dengan menjahit baju kurung. Sekurang-kurangnya sehelai baju kurung mesti ada dalam almari pakaian sebagai lambang seorang wanita melayu.

Sunday 16 February 2014

Jubah, Blouse, Dress dan Baju Kurung Untuk Pelanggan

Hari ini tak nak tulis cerita panjang-panjang. Cukuplah nak tunjukkan gambar beberapa tudung, shawljubah dress, blouse dan baju kurung yang berjaya disiapkan dalam beberapa hari ini seperti mana yang ditempah oleh pelanggan.

Ungkapan popular "A picture is worth a thousand words" cukup untuk mentafsirkan dan menggambarkan tudung dan baju yang sebagaimana menjadi pilihan pelanggan. Bukan semua orang suka membaca. Ada yang nak tengok gambar sahaja. Ada yang suka cerita. Ada yang suka kedua-dua sekali. Ikut minat masing-masing. Yang terbaik adalah mereka yang suka berfikir apabila melihat sesuatu ada membaca sesuatu.

Bagi pengiklan dan penjual online pula gambar atau imej yang cantik dan menarik amat penting untuk memukau pelanggan sehingga menjadikan pelanggan rasa tidak senang duduk dan termimpi-mimpi untuk mendapatkan produk tersebut.

Bagi saya pula yang masih belajar ilmu edit mengedit ini dan mengambil gambar secara profesional ini cukuplah untuk menunjukkan gambar hasil jahitan yang saya siapkan. Gambar yang diambil tanpa edit dan hanya menggunakan patung sebagai model. Kalau ikut hati memang macam-macam nak belajar. Mungkin juga perlu fikirkan untuk 'outsource' sahaja benda-benda macam ni. Nantilah bila dah maju nanti.

Kalau dulu gambar-gambar yang saya ambil berlatar belakang warna putih sebab dinding rumah lama warna putih, sekarang warna kuning pula sebab dirumah baru sekarang dindingnya warna kuning. Kalau nak ambil gambar dengan latarbelakang putih juga mungkin perlu beli skrin putih yang boleh diletakkan sebagai latarbelakang.

Bila dah mula menaip, mulalah nak tulis panjang-panjang. Cukuplah setakat ini dan nikmati hasil jahitan yang saya sempat siapkan dalam beberapa hari ini.

Shawl Instant Dengan Bunga Ros













Friday 29 November 2013

Kurung Lace Bersulam Manik

Tempahan pelanggan untuk baju kurung moden dengan lace bersulam manik disiapkan sebelum pergi bercuti.





Monday 4 November 2013

Baju Kurung Lycra

baju kurung lycra

baju kurung lycra

baju kurung lycra

Baju kurung sudah tidak perlu diperkenalkan lagi, menjadi kebanggaan orang melayu sejak zaman berzaman dan sesuai dipakai di semua majlis.

Menjadi pilihan golongan wanita yang bekerja di pejabat, dipakai di majlis-majlis, di tempat awam dan di semua tempat.  Kalau sebelum ini ramai yang memilih kain kapas untuk dibuat baju kurung kerana besesuaian dengan cuaca panas di negara kita. Kini fabrik dari lycra pula semakin diminati.

Selesa dipakai, tidak mudah berkedut, tak perlu digosok, sejuk, dan mudah meregang antara sifat lycra yang menjadi pilihan ramai. Walaubagaimanapun baju dan kain lycra tidak sesuai dipakai terlalu ketat dan sendat.

Kepada sesiapa yang ingin mengubah selera dari baju kurung kapas kepada lycra bolehlah mencari fabrik lycra ini untuk baju kurung. Kalau di Bandar Baru Bangi boleh singgah di Gulatis. di Kajang boleh pergi ke Kamdar. Di KL dan Shah Alam boleh singgah di Jakel. Di Putrajaya dan Seremban tak tahu pula di mana.

Gambar di atas adalah baju kurung moden lycra yang ditempah oleh pelanggan saya yang bekerja di Putrajaya. Fabrik lycra pilihan adalah jenis bercorak (printed lycra).

Tuesday 22 October 2013

Baju Kurung Batik Cotton

Perkhidmatan menjahit saya tawarkan melalui blog Nash Fesyen terus mendapat perhatian terutama sekali dari cikgu-cikgu sekolah, pelajar-pelajar universiti dan juga kakitangan awam. Rajin betul online.

Kali ini saya mendapat tempahan menjahit baju kurung dengan fabrik dari jenis batik cotton dari Cikgu Sekolah Kota Damansara. Baju kurung ini ditempah khas katanya  untuk menghadiri meeting. Kalaulah hari-hari ada meeting kan bagus.

Kain batik cotton ini dengan motif bunga menaik memang menarik sekali. Terserlah keayuan cikgu bila dipakai. Ramailah peminat cikgu selepas ini.

Fabrik cotton memang sudah lama terkenal dan digunakan sejak zaman dahulu lagi sejak dari zaman tamadun India, Mesir dan China lagi.

Entry kali ini saya ingin menceritakan sedikit tentang fabrik cotton.

Fabrik cotton memang sesuai dengan cuaca di negara kita yang sentiasa panas kerana ia sejuk dan mudah menyerap peluh. Sesuai walau apa pun keadaan cuaca sama ada sejuk atau panas kerana ia bersifat menghangatkan bila sejuk dan menyejukkan bila panas disebabkan sifatnya yang merupakan pengalir haba yang baik.

Kapas juga tidak memberi kesan alahan pada kulit dan amat sesuai kepada sesiapa yang alergik pada fabrik tertentu seperti gatal-gatal. Sebab itu kapas diguna untuk membalut luka.

Ia juga selesa dipakai dan mudah dijaga. Ianya juga tahan lasak dengan apa-apa jua keadaan cuaca. Harganya pun taklah terlalu mahal.

Antara ciri-ciri lain fabrik kapas adalah tak mudah kusut dan tak mudah luntur warna bila dicuci, mudah dilukis, dicetak, disunting dan dipotong, serta tak berbulu.

Mempunyai ketahanan kepada bahan kimia seperti asid dan alkali. Mempunyai keteguhan sama ada semasa kering dan basah. Yang paling penting sekali bagi saya fabrik jenis ini memang mudah dipotong dan dijahit.

Kekurangannya ialah kerana mudah melebar dan pudar di bawah cahaya matahari. Biasanya agak keras dan cepat berkedut. Mudah juga bertahi lalat dan mudah mengecut pada cucian yang pertama. Untuk mengelakkan ukuran baju yang tidak tepat elok juga kalau kita membuat basuhan pertama dahulu sebelum dihantar kepada tukang jahit. Walaupun demikian perkara ini tidak perlu dirisau sangat kerana pengecutannya tidaklah begitu besar. Biasanya tukang jahit tahu bagaimana nak mengambil ukuran.

Penjagaannya pun tidak sukar dan kain jenis ini juga tahan lasak. Boleh dibasuh dengan tangan atau mesin basuh.  Seeloknya rendam dahulu di dalam air sebelum dimasukkan ke dalam mesin basuh. Jangan rendam terlalu lama.

Jika terdapat tumpahan di atas kain kapas seperti tumpahan kopi, teh, sirap atau gulai dan sebagainya, cuci dahulu dengan sabun dan rendam dengan air sekurang-kurangnya 30 minit sebelum dimasukkan ke dalam mesin basuh. Elakkan mengguna peluntur semasa membasuh.

Panduan menjaganya seelok-eloknya jangan biarkan disidai di tengah panas terlalu lama untuk mengelak warnanya menjadi pudar.  Kalau nak jemur juga jemurkan secara terbalik.

Sidai di tempat yang redup dan berangin adalah lebih baik. Seelok-eloknya kibas dahulu baju sebelum menyidai supaya tidak terlalu basah dan keronyok.  Cara terbaik gunakan penyangkut baju.

Kalau mengering dengan ‘dryer’ jangan gunakan terlalu lama.

Untuk menyeterika kain cotton yang terbaik gunakan seterika wap. Untuk seterika biasa tetapkan kepanasan pada 3-4 (low atau medium).

Kain cotton juga digabungkan dengan bahan-bahan yang lain menjadikannya lebih beraneka dengan kualitinya yang tertentu bergantung kepada peratusan bahan cotton di dalam fabrik tersebut dan juga jenis bahan lain yang digabungkan. Semuanya menjadikan dunia fesyen menjadi begitu menarik dengan pelbagai pilihan fabrik.

Monday 29 July 2013

Menerima Tempahan Menjahit Pakaian Wanita

                                                            Baju yang siap dijahit

Entri yang pertama ini saya ingin membuat promosi berkaitan perkhidmatan yang saya sediakan. Sesiapa yang berminat untuk membuat tempahan baju kurung, baju moden, shawl, tudung chiffon dan lycra, langsir, baju melayu termasuk juga kursus menjahit baju dan tudung. Saya sedia menerimanya secara pukal atau individu. Bawa atau pos sahaja contoh baju bersama kain yang nak ditempah.

Saya juga menyediakan kursus menjahit baju, tudung dan langsir. Nak tukar awning tudung dan tukar zip pun boleh.

Lokasi di Seksyen 4 Tambahan, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Boleh hubungi Kak Ros di 017-4315193 atau 03-89289970 atau datang sendiri ke rumah Kak Ros.

Kualiti terjamin. Biasanya pelanggan tersenyum puas bila pulang.

Post Utama

Kedai Online Nash Fesyen

Post Paling Popular

HAKCIPTA TERPELIHARA NASH FESYEN 2018