Thursday 28 August 2014

Tudung Lycra Plain




Tempahan tudung lycra di atas adalah untuk tudung lycra plain dengan warna oren dan merah dengan awningnya adalah dari jenis  hard awning, dengan pelapik dagu dan materialnya dari kain lycra sepenuhnya.

Panduan untuk menjahitnya sama seperti yang saya berikan untuk panduan menjahit tudung labuh berdagu. Hanya polanya berlainan menggunakan pola tudung lycra biasa seperti pada gambar di atas.

Berminat untuk mendapatkan pola boleh hubungi Kak Ros.

Wednesday 27 August 2014

Shawl Half Moon

Bergaya dengan shawl halfmoon

Shawl halfmoon berbentuk separuh bulatan memang mandapat sambutan ramai. Antara tempahan menjahit yang paling banyak sekali dihantar kepada saya adalah shawl halfmoon. Cara memakainya pun mudah. Senang untuk dililit. Penggemar fesyen shawl suka memilih shawl halfmoon. 

Berminat untuk membuat tempahan boleh hubungi Kak Ros. 

Untuk tempahan pakai sendiri boleh request warna yang dikehendaki, Ada banyak stok kain chiffon plain di rumah Kak Ros yang boleh dijahit dengan segera. Boleh juga bawa kain sendiri terutama kain yang bercorak.

Untuk tempahan menjahit shawl secara pukal perlu bawa kain sendiri. Kak Ros akan jahitkan. 

Di mana nak beli kain? Boleh beli kat Jakel. Kalau di Bangi boleh beli kat Gio Fabrics. Kalau di Kajang boleh beli kat Kamdar.

Macam mana nak contact Kak Ros?

Ada no telefon dalam blog ini.

Untuk tempahan pattern shawl yang lain juga boleh hubungi Kak Ros.

Tuesday 26 August 2014

Shawl Jahit Kedut





Kedutan pada shawl mampu memberi kesan yang menarik pada shawl. Contohnya seperti yang saya tunjukkan pada gambar di atas. Pada entri sebelum ini saya pernah tunjukkan bagaimana membuat kedutan untuk tapak kerongsang. Cara yang sama digunakan untuk menghasilkan kedutan pada shawl seperti gambar di atas. 

Saya pun tidak boleh menulis entri yang panjang-panjang sekarang ini. Tempahan semakin menimbun mengalah musim hari raya yang lepas. Prioriti lebih kepada aktiviti menjahit dan bukan sangat kepada blog walaupun blog juga penting sebagai medium untuk memperkenalkan servis yang saya lakukan. InshaAllah jika ada masa terluang dan yang paling penting jika ada idea untuk menulis saya akan terus update blog ini. Sudah banyak entri yang saya postkan. Jika ada banyak masa rajin-rajinlah menyelak halaman demi halaman dalam blog ini untuk melihat pelbagai lagi fesyen shawl, tudung dan baju. Dalam setiap entri ada sesuatu yang boleh dipelajari. 

Jika ada kesempatan teringin sekali saya membuat beberapa lagi siri panduan menjahit tudung yang terbengkalai sekian lama. Tetapi apakan daya untuk menjawab message sms/whatsapp/facebook/email dan melayan tetamu yang datang ke rumah setiap hari sudah makan masa beberapa jam. 

Itulah normal tanda-tanda kemajuan. Jika tidak ada pertanyaan dan tidak ada sesiapa yang datang untuk membuat tempahan sudah lama saya boleh tutup mesin jahit dan blog ini juga.

Monday 25 August 2014

Shawl Palestin Dari Gabungan Warna Bendera Palestin




Warna hijau, putih, merah dan hitam dari warna bendera Palestin memberi idea untuk menghasilkan shawl palestin sebagai tanda sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin. Gabungan kain dengan warna ini yang dijahit bersama-sama menghasilkan shawl yang cukup menarik dan ceria dan berani yang boleh menimbulkan semangat perjuangan kepada yang memakai atau yang melihatnya.

Pada entri yang lepas berkaitan Shawl Palestin, kain yang digunakan adalah dari kain tudung bawal yang tidak begitu terserlah warnanya. Kali ini kain untuk shawl dari kain chiffon yang lebih jelas kelihatan warnanya.  

Fesyen shawl memang pelbagai tetapi sebenarnya cara menjahitnya tidak banyak berbeza dengan shawl-shawl lain yang biasa dilihat.

Selepas ini boleh hasilkan shawl untuk menyambut Hari Kemerdekaan pula.

Sunday 24 August 2014

Tudung Dengan Hiasan Sequin


Hiasan sequin pada tudung

Hiasan sequin pada tangan baju

Sequin adalah perhiasan berkelip-kelip berbentuk disk yang boleh dijadikan hiasan menarik pelbagai bentuk. Hiasan sequin ini dijahit atau cantum terutamanya pada pakaian, beg, kasut dan pelbagai aksesori yang lain supaya kelihatan berkilat dan nampak menarik. Pada mulanya sequin dihasilkan daripada logam yang berkilau tetapi pada hari ini, sequin banyak diperbuat daripada plastik dan juga terdapat dalam pelbagai warna dan bentuk.

Tudung dan shawl juga tidak terlepas daripada sentuhan sequin untuk mendapat kesan bekilau ini. Dengan kreativiti yang ada tidak salah untuk kita mencuba menghias tudung dan shawl kita dengan hiasan sequin untuk mendapat kesan berkilau.

Wednesday 20 August 2014

Shawl Palestin



Serangan  berterusan rejim Zionis Israel terhadap bumi Palestin Di Gaza menimbulkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia. Berbagai cara dilakukan untuk mengutuk serangan tersebut seperti mengadakan demontrasi, memboikot produk-produk yang dikatakan membantu rejim Israel dan bermacam-macam cara lagi. Semuanya dilakukan dengan niat membantah keganasan rejim Israel terhadap umat Islam di Palestin. 

Antara cara lain yang boleh digunakan untuk menyatakan sokongan terhadap Palestin adalah dengan menunjukkan simbol-simbol atau lambang-lambang yang berkaitan dengan negara tersebut. Memakai T-shirt, tudung, shawl dan sebagainya yang melambangkan negara Palestin seperti warna-warna yang terdapat pada bendera Palestin adalah antara yang popular dilakukan terutamanya oleh anak-anak muda kita. Oleh sebab itu terdapat beberapa permintaan terhadap tudung dan shawl yang melambangkan sokongan terhadap umat Islam Palestin. 

Shawl yang saya hasilkan ini adalah menggunakan kain dari tudung bawal yang digabungkan menjadi tiga layer dan dijahit sambung untuk mencantumnya. InshaAllah jika ada kelapangan nanti saya akan jahitkan lagi shawl Palestin menggunakan kain chiffon pula supaya warnanya lebih terang dan nampak jelas.

Tuesday 19 August 2014

Tudung Bawal Efek Ruffle







Beli tudung bawal empat segi seperti bawal kangaroo. Potong menjadi dua bahagian di tengah-tengah iaitu dari penjuru ke penjuru. Kemudian cantum semula kedua-dua bahagian tersebut menggunakan jahit tepi halus. Hasilnya adalah sehelai tudung bawal dengan efek ruffle .Boleh dicantum juga dengan mengguna corak atau warna kain yang berlainan.  Lihat contoh-contoh gambar di atas.

Sekarang tudung bawal empat segi yang biasa sudah dinaiktaraf menjadi tudung bawal dengan efek ruffle yang boleh dijual dengan harga lebih mahal.

Efek ruffle adalah satu kesan yang seperti beralun, berombak atau curly yang mampu memberi kesan yang indah, cantik dan menawan pada tudung yang dipakai. Tidak pelu lagi membeli ruffle atau renda untuk ditampal pada tudung. Hanya dengan mencantum semula kain empat segi yang dipotong dari penjuru ke penjuru sudah mampu memberi efek ruffle ini kepada tudung bawal yang kita pakai.

Lihat juga artikel saya berkaitan shawl renda atau ruffle pada entri yang lepas. 

Monday 18 August 2014

Shawl Renda


Renda biasanya dijadikan perhiasan atau aksesori tambahan  yang dijahit pada sarung bantal, telekung, tepi baju dan lain-lain termasuklah tudung. Juga disebut sebagai lace, kerawang, ruffle atau apa-apa nama lain adalah hasil dari benang yang dikait, disirat atau disulam secara manual atau menggunakan mesin. Renda juga boleh dihasilkan sendiri dengan menggunakan pita kain dijahit menjadi berkerawang, beropol, berbunga-bunga atau mempunyai kesan berombak-ombak. 

Renda boleh diperolehi dengan pelbagai warna seperti hitam, putih dan sebagainya. Renda berwarna putih biasanya paling banyak digunakan untuk pakaian pada majlis perkahwinan, majlis pertunangan dan lain-lain mengikut kesesuaian.

Kebiasannya, renda ditampal di bahagian dada, belakang, bahu, pinggang dan sebagainya pada pakaian. Apabila dipasang renda tidak perlu lagi tambahan aksesori yang lain kerana ia sudah nampak indah dan cantik. Pada tudung atau shawl pula ianya boleh ditampal atau dijahit pada tepi kain atau pada jarak beberapa inci pada tepi kain yang kebiasaanya diletak secara melintang.

Shawl pada gambar di atas adalah contoh shawl yang dijahit renda seperti yang dikehendaki oleh pelanggan saya. Semakin hari semakin pelbagai fesyen yang saya terima untuk dijahit. Semuanya memerlukan ketelitian dan kesabaran untuk menjahit.

InshaAllah jika ada kesempatan saya akan kongsi dengan pembaca blog ini pelbagai lagi fesyen shawl yang lain pula. Boleh 'bookmarks' atau 'add to favourite' blog inisupaya tidak hilang lagi. 

Sunday 17 August 2014

Tudung Chiffon Twist 2 Layer

tudung chiffon twist 2 layer


pandangan depan dan sisi

pola tudung

Tudung chiffon twist 2 layer ini panjang di bahagian hadapannya tidak sama di sebelah kiri dengan kanan. Maksudnya di sebelah kiri tidak sama panjang dengan di sebelah kanan atau sebaliknya mengikut pilihan pelanggan. Lihat pada pola yang saya tunjukkan mungkin boleh gambarkan bagaimana design tudung tersebut.

Cara memakainya juga mudah dengan hanya memasang kerongsang pada tudung. Material yang saya gunakan adalah chiffon georgette. Awning juga menggunakan material yang sama. 

Tempahan dari pelanggan saya ini adalah untuk ke majlis perkahwinan. Satu untuk emak dan satu untuk dipakai sendiri. Best kan dapat bergaya dengan tudung chiffon 2 layer. Mesti nak ambil gambar dengan emak untuk diabadikan sebagai kenangan.

Saturday 16 August 2014

Kelas Menjahit Tudung Setiap Hari Sabtu

Belajar menjahit 

Hasil jahitan

Saya menjalankan kelas menjahit tudung setiap hari sabtu. Sabtu hari anak-anak tidak bersekolah. Jadi saya tidak perlu mengurus anak-anak untuk ke sekolah Tidak perlu membuat persediaan untuk anak-anak ke sekolah, mengambil dan menghantar dan juga memasak. Ahad pula hari sibuk kerana ramai pelanggan suka datang ke rumah. Hari ahad juga kadang-kadang terpaksa keluar rumah untuk pelbagai urusan yang lain.

Permintaan untuk kelas jahit tudung sentiasa diterima sejak dari bulan puasa lagi. Malahan sewaktu bercuti hari raya yang lepas pun ramai yang bertanya. Ramai yang berminat untuk belajar menjahit. Pertanyaan untuk menjahit bukan sahaja untuk tudung tetapi banyak juga untuk kelas menjahit baju kurung, dress, shawl, telekung dan juga baju melayu. Saya tidak menyedia kelas menjahit yang  lain selain daripada tudung sahaja kerana untuk kelas menjahit baju misalnya memerlukan masa yang agak lama untuk menyiapkan sehelai baju berbanding tudung yang mengambil masa sehari sahaja.

Pada minggu lepas pun sepatutnya ada kelas menjahit tudung tetapi terpaksa saya batalkan kerana banyak jemputan menghadiri majlis terbuka aidil fitri di samping ramai yang ingin datang ke rumah. Maklum sahajalah saya baru balik dari bercuti di kampung, Ramai yang seperti melepas geram untuk berjumpa. 

Pada minggu ini barulah kelas boleh dijalankan dengan 3 orang peserta. Pasangan adik beradik lelaki dan perempuan dari Shah Alam dan seorang dari Perak. Untuk belajar menjahit, jauh dekat bukan penghalang. Jika sudah berminat semuanya boleh menjadi kenyataan.  Alhamdulillah hasil jahitan amat memuaskan. Tudung yang diidamkan menjadi kenyataan untuk di bawa pulang. Kalau nak beli pun sudah mahal harganya. Denagn mengeluar sedikit duit untuk kelas menjahit tudung bukan sahaja ilmu menjahit yang dapat tetapi juga tudung yang cantik boleh di bawa pulang. 

Kepada pelajar-pelajar saya bila balik nanti mesti kena praktis. Kalau tidak ilmu yang diajar akan lupa begitu sahaja. Kemahiran dan skil tidak akan datang dengan sekali cuba. Mesti cuba berkali-kali sehingga tangan menjadi lembut dan berseni untuk menjahit. Kalau tidak pasti boleh rujuk nota jahitan bercetak yang saya berikan. Kalau tidak pasti juga boleh datang jumpa saya semula untuk saya tunjukkan bahagian yang tidak begitu faham sahaja tanpa apa-apa bayaran. Saya juga ada tunjukkan cara potong shawl dan memberi beberapa jenis pola tudung. Bolehlah cuba-cuba menjahit. Dengan kursus menjahit tudung yang saya ajar hari ini, inshaAllah untuk menjahit fesyen tudung yang lain akan menjadi mudah dengan mengikut pola-pola tudung yang saya telah berikan. Oh! Ya. Saya ada tunjukkan satu rahsia bagaimana nak potong kain supaya tudung tidak nampak senget. Jangan lupa petua yang saya berikan. Harap-harap dapat jahit tudung sendiri selepas ini. Bolehlah bergaya depan kawan-kawan. Apabila kawan-kawan bertanya. Boleh sahaja mengaku. "Tudung ini saya yang jahit sendiri." Tentu bangga kan?

Ingat "practice makes perfect". Pekerjaan yang dahulunya kita merasa susah akan menjadi mudah sahaja apabila kita selalu melakukannya.

Kepada sesiapa yang lain berminat untuk mengikuti kelas menjahit tudung boleh hubungi saya. Kelas setiap hari sabtu sahaja. Tempat di Seksyen 4 Tambahan, Bandar Baru Bangi. Siapa cepat dia dahulu dapat belajar menjahit tudung.

Thursday 14 August 2014

Beberapa Tips Menjual Produk Fizikal Secara Online

Bagi penjual yang menggunakan sistem 'shopping cart' atau e-commerce untuk menjual produk fizikal biasa menghadapi keadaan di mana pelanggan suka menyimpan sahaja produk ke dalam dalam troli jualan atau 'shopping cart' tanpa membuat pembelian. Maklumat di bawah mungkin dapat membantu kita untuk memastikan jualan berlaku sama ada kita mengguna sistem e-commerce atau kaedah jualan yang lain.


5 Sebab Utama Kenapa Pelanggan Tidak Membeli Produk Kita.
  • Kos pengendalian dan penghantaran terlalu tinggi (44%).
  • Tidak bersedia untuk membeli produk kita (41%).
  • Mahu membanding harga dengan tempat lain dahulu (27%).
  • Harga produk lebih tinggi daripada keupayaan untuk membayar (25%).
  • Hanya hendak simpan produk dalam 'shopping cart' dan akan mempertimbangkan untuk membeli kemudian (24%).



Perbandingan Bagaimana Lelaki dan Wanita Membeli Secara Online.

Wanita
  • Lebih suka simpan dahulu produk dalam 'shopping cart' dan akan mempertimbang untuk membeli kemudian.
  • Mengambil masa yang lama untuk membeli. Lambat membuat keputusan untuk membeli.
  • Sangat sensitif dengan kos pengendalian dan penghantaran.
Lelaki
  • Suka membandingkan harga.
  • Terus membeli.
Dengan menawar diskaun, melaksana sistem coupon code dan kos pengendalian dan penghantaran secara percuma mungkin boleh melariskan produk kita.

Wednesday 13 August 2014

Bisnes Tudung & Shawl Di Bulan Ramadan


Ramadan baru sahaja berlalu. Bagi mereka yang mengambil peluang menjalankan bisnes di bulan ramadan menjual produk yang laku laris seperti juadah berbuka puasa, kuih raya, baju raya, tudung, shawl dan lain-lain tentunya tersenyum penuh kepuasan menuju ke bank menambah duit simpanan apabila berjaya mengaut keuntungan yang lumayan.

Anatara produk yang mendapat sambutan adalah pakaian untuk dipakai pada hari raya di mana boleh dikatakan hampir kesemua golongan lelaki dan wanita akan membeli pakaian baru untuk menyambut hari yang penuh kegembiraan itu.

Walaupun bisnes pakaian termasuk tudung dan shawl antara yang laku laris tetapi tidak semua penjual yang berjaya mengaut keuntungan yang lumayan. Ada yang berjaya menjual dan mengaut keuntungan yang besar tetapi ada juga yang berjaya menjual dengan keuntungan yang biasa-biasa sahaja.

Berikut adalah beberapa pemerhatian yang saya rasakan mempengaruhi jualan bisnes tudung dan shawl sehingga tidak begitu terlajak laris.

 Harga produk yang tinggi

Dengan kenaikan harga barang yang agak ketara berserta perbelanjaan yang meningkat menyebabkan ramai orang menyediakan bajet yang sederhana sahaja untuk berbelanja terutamanya untuk persediaan hari raya termasuk membeli pakaian raya. Bonus yang rendah dan gaji yang  lambat diterima menyebabkan persediaan hari raya dilakukan secara ala kadar sahaja.

Ini meyebabkan produk pakaian seperti tudung dan shawl yang dijual dengan harga yang agak tinggi tidak begitu mendapat sambutan untuk mereka ini. Tambahan pula banyak pilihan tudung dan shawl yang lebih rendah dijual di pasar-pasar malam, uptown dan kedai-kedai pakaian yang lain yang menawar harga yang lebih murah. Walaupun kualiti produknya bagus tetapi harga yang tidak mampu dibeli menyebabkan produk tersebut kurang laris.

Walaubagaimana pun produk tudung dan shawl yang mempunyai jenama popular masih terus mendapat sambutan. Jadi penjual yang ingin menjual dengan harga yang tinggi untuk produk mereka yang berkualiti perlu memikir untuk mengukuh jenama mereka sehingga dikenali ramai sehingga mempunyai peminat mereka sendiri.

Memberi diskaun juga satu langkah yang bijak untuk melariskan produk. Penjual online juga boleh mempertimbangkan penghantaran percuma.

Jualan dan promosi yang lewat

Menjual produk yang agak lewat seperti apabila bermula sahaja ramadan baru hendak menjual merupakan satu langkah yang silap. Persediaan awal untuk mendapatkan stok amat penting kerana kebanyakan mereka menyediakan bajet untuk membeli pakaian raya daripada gaji yang diterima sebelum bulan puasa. Gaji yang diterima di hujung bulan ramadan biasanya sudah agak lewat untuk pembelian pakaian raya walaupun ada pembelian 'last minute'. Jika produk yang hendak dijual lambat disediakan, pembeli akan membeli di tempat lain.

Jadi penjual perlu merancang strategi untuk meyediakan stok lebih awal sekurang-kurangnya sebulan sebelum ramadan supaya dapat menjual dengan lebih banyak.

Tidak banyak pilihan corak dan warna.

Pembeli akan membeli jika warna tudung atau shawl sesuai dengan pilihan warna yang mereka suka. Setiap tahun mereka ada tema mereka sendiri. Pilihan tudung atau shawl mesti berdasarkan warna pada baju dan tema yang dipilih. Kadang-kadang mereka tidak begitu berkira sangat dengan harga jika apa yang mereka cari ada di situ. Jika hanya sedikit sahaja pilihan tentunya mereka tidak berminat untuk membeli. Untuk menjual dengan lebih banyak perlunya penjual menyediakan banyak pilihan warna dan corak untuk tudung dan shawl.

Tidak dapat membezakan kualiti kain.

Kualiti kain adalah berbeza antara satu sama lain. Ramai yang tidak dapat membezakan kualiti kain atau fabrik ini kerana mereka tidak pernah membeli dan merasai sendiri harga dan kualitiny di kedai-kedai menjual kain. Yang dilihat hanyalah design atau fesyen tudung dan shawl yang bagi mereka nampak sama sahaja di mana-mana pun. Apabila dibanding pula ditempat lain didapati harganya lebih murah sedangkan mereka tidak tahu kualiti kainnya tidak sama.

Ada yang tidak dapat membezakan antara chiffon biasa dengan chiffon georgette. Kain lycra dan jersey. Malah ada yang tidak tahu pun jenis-jenis kain atau fabrik yang digunakan untuk membuat pakaian, tudung dan shawl. Ini menyebabkan tudung atau shawl yang mempunyai kualiti kain yang baik tidak menjadikan pilihan kerana dikatakan tudung atau shawl tersebut boleh didapati dengan harga yang lebih murah di tempat lain.

Kurang promosi

Apbila hendak menjual mestilah membuat promosi. Barulah boleh laku. Promosi perlu dijalankan dengan lebih agresif sebelum bulan ramadan lagi untuk memeperkenalkan produk yang dijual. Starategi yang betul termasuk berjumpa terus dengan bakal pelanggan sesuatu yang mesti dicuba. Kalau malu sampai bila-bila pun tak boleh laku.

Tidak bertemu sasaran pembeli yang betul.

Tudung dan shawl yang dijual dengan harga yang lebih tinggi biasanya dibeli oleh mereka yang mempunyai wang yang lebih. Untuk menjual dengan harga yang lebih tinggi setanding dengan kualiti tudung dan shawl perlunya  penjual mengenal pasti siapa pembeli mereka. Mereka yang makan gaji biasanya tidak begitu berkira sangat untuk membeli kerana sedar tudung atau shawl yang dijual lebih mahal biasanya mempunyai kualiti kain dan jahitan yang lebih baik.

Tidak mengenali fesyen pilihan pembeli.

Shawl biasanya diminati oleh golongan pelajar, remaja dan mereka yang suka berfesyen. Tudung labuh dan lycra diminati oleh mereka yang lebih dewasa dan mereka yang rajin ke majlis ilmu, masjid dan surau dan golongan ibu-ibu. Tudung 3 layer pula oleh kebanyakan mereka yang bekerja dan golongan ibu muda. Begitu juga pilihan warna dan corak mempunyai peminatnya yang tersendiri. Warna cerah diminati oleh mereka yang suka bergaya, berani dan suka mendapat perhatian. Warna kelabu dan warna-warna tanah diminati oleh mereka yang berperwatakan sederhana dan biasa sesuai dengan pelbagai warna kulit. Begitu juga untuk tudung dan shawl yang labuh. Sasaran yang betul mampu melariskan jualan tudung dan shawl.

Itu antara beberapa pemerhatian yang saya dapati. Strategi yang betul mampu melariskam produk yang dijual. Walaupun hari raya aidilfitri sudah berlalu bisnes tudung dan shawl boleh dijalankan bila-bila masa sahaja. Jika ada minat untuk memulakan bisnes dalam industri ini bolehlah mencubanya secara kecil-kecilan dahulu. 
Eh! Bolehkah saya nak berniaga tudung dan shawl ini? InshaAllah boleh selagi ada yang memakai tudung dan shawl. Selepas ini biar kita pula yang tersenyum menuju ke bank. Jangan biarkan orang lain mengambil peluang ini. 

Tuesday 12 August 2014

Kembali Menjahit

Akhirnya saya kembali semula ke Bandar Baru Bangi selepas bercuti seminggu di kampung. Sebenarnya saya sudah balik ke Bandar Baru Bangi sejak 3 Ogos yang lepas. Hari sabtu. Berhenti sekejap menulis blog. Sibuk melayan tetamu dan pelanggan yang datang ke rumah.  Di samping itu juga memenuhi undangan rumah terbuka hari raya dari kawan-kawan dan jiran-jiran. Menjahit sudah bermula sebaik sahaja tiba di rumah.

Sepatutnya saya mula mengadakan kelas menjahit tudung pada hari sabtu yang lepas. Sudah ada perserta yang booking tetapi saya minta tangguh dahulu kerana hari sabtu ada banyak jemputan rumah terbuka aidil fitri.

Perjalanan balik semula ke rumah sendiri tidak jem. Lancar sahaja. Walaupun bertolak jam 2.00 petang masih mampu sampai Bangi sebelum maghrib. Tidak seperti semasa balik kampung seminggu sebelum itu 12 jam dalam perjalanan.

Perkara pertama yang dilakukan apabila sampai di rumah adalah mengemas rumah. Maklum sahaja nak menyambut raya di rumah sendiri. Tudung kusyen sudah lama tak bersarung perlu dijahit dahulu. Kain untuk tudung kusyen sudah dibeli dua bulan sebelum raya tetapi tidak ada ruang dan masa langsung untuk menjahit. Terpaksalah menjahit apabila tiba semula di rumah selepas balik kampung.

Walaupun hari raya baru sahaja berlalu pertanyaan untuk menjahit baju, tudung dan shawl datang tidak berhenti-henti. Antaranya yang diterima adalah untuk jahit baju kurung. Ingatkan nak rehat dahulu seminggu di rumah tetapi sudah ada yang datang hantar kain untuk tempahan baju kurung dan tudung. Nak cepat pula tu dalam seminggu. Begitu juga tempahan jahit shawl. Seolah-olah menunggu sahaja selepas raya untuk buat tempahan menjahit. Mungkin semasa bulan puasa tidak sempat hantar kerana tempahan sudah ditutup.

Projek menjahit selepas raya semakin banyak diterima terutamanya untuk jahit tepi shawl dan tudung. Pertanyan demi pertanyan diterima setiap hari. Ramai yang mungkin baru menjumpai blog ini mula mempunyai idea untuk menjalankan bisnes shawl dan tudung. Bisnes begini tidak bermusim. Boleh dijalankan sepanjang masa. Tidak hanya pada hari perayaan sahaja.

Entri ini sebenarnya lebih kepada untuk mencerita kenangan menyambut hari raya di kampung dan menghadiri rumah terbuka aidilfitri. Agak terlewat tetapi masih dalam bulan syawal.

Perkara yang paling nikmat sekali apabila balik kampung adalah apabila dapat berjumpa sanak saudara dan kawan-kawan. Waktu yang terbaik adalah sewaktu hari raya kerana kebiasaannya ramai yang akan balik kampung. Kalau hari-hari biasa yang lain susah untuk berjumpa. Sebab itulah balik kampung pada hari raya suatu kemestian. Pada waktu tersebut boleh dianjurkan majlis reunion bersama-sama kawan sekolah kerana ramai yang pulang ke kampung.

Bagi mereka yang berkerja jauh di perantauan dan jarang-jarang pulang ke kampung akan lebih terasa nikmatnya kerana sudah lama tidak lama bersua muka dengan keluarga dan kawan-kawan di kampung tentu perasaan rindu begitu mendalam sekali. Apabila jarang-jarang berjumpa semakin ramai yang ingin bertanya khabar dan kemesraan akan terasa apabila berjumpa semula. 

Begitulah untungnya bila berada jauh di perantuan. Semuanya terasa rindu ingin berjumpa. Semakin jauh dari keluarga semakin terasa nikmatnya apabila pulang ke kampung. Saya sendiri pernah merasainya apabila berada di Sabah dahulu.

Apabila sudah berjumpa dengan saudara mara, jiran dan kawan-kawan banyaklah cerita yang keluar. Berkenaan anak-anak, keluarga, kisah-kisah masa dahulu dan juga perkara-perkara semasa. Bagi saya sendiri rasanya seperti tidak cukup masa untuk berbual. Terlalu banyak untuk dibualkan. Maklum sahajalah sudah lama tidak berjumpa terutamnya kawan-kawan sekolah. Setiap hari tidak ada masa yang terluang. Semuanya dipenuhi dengan mengunjungi saudara mara dan jiran-jiran.

Selain itu juga tidak melepas peluang menghadiri reunion anjuran kawan sekolah di Sekolah Menengah Serdang. Juga menghadiri majlis kenduri kahwin yang diadakan pada minggu itu juga.

Sambil kunjungmengunjung ada juga yang bertanya tentang tempahan jahit tudung dan shawl. Terus ambil peluang mempromosi tudung dan shawl. Laku juga dua tiga helai. Yang tak syoknya bila disebut tentang harga dengan spontan dijawab.

 "Tak boleh dapat ka harga adik beradik?" Ini yang jadi serba salah.

Gambar di bawah adalah kenangan sepanjang syawal 2014.
Masak ketupat

Bergaya dengan baju raya dan shawl di kampung

Majlis kenduri kahwin

Anak-anak

Reunion kawan-kawan Sekolah Menengah Serdang, Kedah

Rumah terbuka aidilfitri kawan-kawan sekolah

Post Utama

Kedai Online Nash Fesyen

Post Paling Popular

HAKCIPTA TERPELIHARA NASH FESYEN 2018