Tuesday 14 July 2015

Selamat Hari Raya Aidil Fitri 2015/1436H


Dengan ingatan tulus ikhlas saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri minal aidin wal faidzin kepada semua pembaca blog ini di mana sahaja kalian berada. Terima kasih kepada semua yang sudi singgah ke blog ini walaupun sekejap tetap memberi makna kepada saya untuk terus mencoret sesuatu di blog ini. Semoga servis yang saya lakukan khususnya kepada pelanggan-pelanggan saya memberi keceriaan dan kenangan indah semasa menyambut hari lebaran nanti. Maaf zahir & batin saya mohon kepada semua. 

InshaAllah Kedai Jahit Nash Fesyen akan dibuka seminggu selepas hari raya ini.

Thursday 9 July 2015

Tudung Lycra Berkerongsang






Tudung lycra sesuai dipakai terutamanya semasa hari raya aidilfitri ini. Pada hari raya aidilfitri ini cuaca dijangka panas sepanjang hari. Pemilihan kain untuk tudung atau shawl yang selesa untuk dipakai sepanjang hari perlu difikirkan. Tudung yang sesuai dan tahan lasak seperti tidak mudah kedut, mudah dijaga, tidak licin dan sejuk perlu dipertimbangkan semasa menyambut tetamu  atau ketika mengunjugi saudara mara atau rakan-rakan. Tudung atau shawl mesti juga mudah dipakai tanpa perlu mengambil masa yang lama. Sifat kain lycra yang lembut, sejuk, mudah meregang, tidak licin, tidak tembus cahaya, tidak mudah berkedut dan mudah dijaga menjadi pilihan ramai untuk dibuat shawl atau tudung untuk dipakai pada hari lebaran nanti. 

Oleh sebab yang demikian antara tempahan yang paling banyak mendapat sambutan sama ada untuk dijual atau dipakai sendiri pada musim raya kali ini adalah shawl dan tudung dari material lycra dan juga moss crepe. Sifat stretchable atau mudah meregang juga sesuai untuk semua jenis bentuk muka. Ada pelanggan saya berulang kali membuat tempahan disebabkan shawl dan tudung mendapat sambutan hebat dan laris dijual. 

Lycra juga mempunyai pelbagai warna untuk disesuaikan dengan baju yang dipakai. Walaupun demikian berbanding chiffon warna kain lycra tidak begitu banyak pilihan. Saya sendiri telah mengunjungi beberapa jenis kedai kain untuk mencari beberapa warna lycra yang dikehendaki. Agak malang kerana tidak banyak pilihan warna walaupun saya mencarinya sehingga ke Jakel KL. Ini menjadi cabaran untuk memilih tudung yang sesuai dengan warna dan corak baju. 

Tudung lycra berkeronsang di atas adalah antara tudung yang sudah lama saya tunjukkan dalam blog ini. Tudung ini menggabungkan dua warna kain dari material lycra. Awning pula adalah dari jenis hard awning supaya mudah terbentuk semasa memakainya. Kemasan keliling pula saya menggunakan jahit tepi halus.

Jika ingin menjahit sendiri tudung ini boleh merujuk tutorial yang saya pernah tunjukkan dalam blog ini pada entri bertajuk Panduan Menjahit Tudung Lycra Berkerongsang.

Wednesday 8 July 2015

Tudung Twist Soft Awning







Hari raya aidilfitri akan menjelma dalam beberapa hari sahaja lagi. Sepatutnya target saya semua tempahan menjahit akan disiapkan dalam dua minggu sebelum hari raya. Saya perlu membahagi masa untuk terutama dalam dua minggu terakhir ini untuk persediaan menyambut aidilfitri terutamnya untuk siapkan baju raya untuk saya dan anak-anak. Sebaliknya semakin dekat dengan aidilfitri semakin banyak pula pertanyaaan dan tempahan yang dihantar terutamanya untuk tempahan perseorangan. 

Tudung dan shawl yang paling banyak dihantar untuk tempahan menjahit. Saya boleh menolaknya tetapi memandangkan pelanggan yang datang adalah pelanggan yang selalu datang memujuk saya untuk menerimanya saya menerimanya juga. Lagi pun masa pun masih ada dan sempat untuk siapkan tempahan. Mungkin selepas membeli baju raya dan kesukaran untuk memilih tudung yang sesuai maka pilihan tudung yang sesuai adalah dengan membeli kain dan menghantarnya untuk dijahit. 

Akhir-akhir ini juga ramai yang menghantar untuk potong labuh kain. Untuk potong labuh kain saya masih menerimanya tetapi tidak untuk repair dan kecilkan baju atau kain. 

Sekarang saya meletak target baru untuk siapkan semua tempahan iaitu sehingga ahad ini. Selepas itu saya akan berehat panjang dan balik kampung sehinggalah seminggu selepas raya akan mula beroperasi semula. Sudah ramai yang bertanya terutamanya untuk tempahan pukal shawl, tudung dan kelas menjahit.

Tudung di atas adalah tudung twist soft awning dari kain moss crepe. Saya pernah tunjukkan cara menjahit tudung labuh berdagu dalam blog ini dan caranya lebih kurang sama sahaja cuma tudung ini tanpa pelapik dagu. Boleh juga guna material lyca untuk menjahit tudung ini dan meletak pelapik dagu sebagai mana tutorial yang saya tunjukkan sebelum ini. Pelbagai warna tudung dari pelanggan saya ini memberi banyak pilihan untuk warna dan corak baju. Warna lembut yang dipilih akan memberi kecerahan kepada pemakainya sebagaimana cahaya api yang menyambar pada muka dan akan nampak berseri-seri apabila dipakai pada hari raya nanti. 

Kemasan keliling pula menggunakan jahit tepi halus untuk mendapat kesan curly tudung ini. Selain dari kemasan jahit tepi halus boleh juga menggunakan kemasan jahit coverstitch sebagaimana tutorial saya sebelum ini. 

Post Utama

Kedai Online Nash Fesyen

Post Paling Popular

HAKCIPTA TERPELIHARA NASH FESYEN 2018