Saturday 7 September 2013

Tudung Bawal

Tudung bawal

Tudung bawal memang terkenal sejak dahulu lagi dan mengalami beberapa transformasi seiring dengan perubahan fesyen tudung. Dari tudung bawal yang dahulunya tudung bawal kosong atau tudung bawal plain muncul pelbagai jenis tudung bawal dengan fesyen terkini seperti tudung bawal yang bercorak, tudung bawal bersulam, dijahit manik dan  yang dipasang awning supaya mudah dipakai.

Di bawah ini saya kumpulkan beberapa artikel tudung bawal dari beberapa sumber untuk pengunjung blog Nash Fesyen.

Tudung Bawal Kembali Digemari
Sumber Artikel : Uusan Malaysia (20/04/2013)

FENOMENA tudung yang pelbagai jenis, daripada yang mudah dipakai sehinggalah selendang panjang, kesemuanya menjadi pilihan muslimah yang meminati fesyen hijab pada hari ini.

Sebelum tercetusnya fenomena itu, tudung bawal merupakan tudung yang menjadi pilihan kerana mudah dipakai dan senang digayakan dalam sebarang majlis.

Dengan kemunculan pelbagai jenis tudung terbaharu, tudung bawal mulai dilanda zaman malap. Ada yang menganggap tudung bawal adalah tudung ‘budak sekolah’, selain telah lapuk dan tidak mengikuti gaya serta trend terkini.

Namun sejak akhir-akhir ini, fenomena busana Muslim yang sentiasa berkembang telah menyuntik nafas baru kepada penggemar tudung bawal.

Ini dapat dilihat pada pelbagai rekaan, corak dan warna yang lebih cantik di pasaran.

Dengan menggunakan rona-rona menarik dan terkini, rekaan bunga timbul (3D) dan rekaan eksklusif dengan tambahan lace menjadikan ia kembali diminati para penggemar fesyen masa kini.

Baru-baru ini, krew .com dapat melihat sendiri beberapa rekaan dari Butik De Wanie Scarf dan Shawl yang mengetengahkan beberapa rekaan tudung bawal yang menarik.

Gabungan warna yang ceria serta segar menghidupkan kembali ‘tudung budak sekolah’ ke arena yang lebih baik, sekali gus mula mendapat tempat dalam kalangan penggemar busana Muslim. - AMIRUL


Kenali Tudung Bawal
Sumber Artikel: Majalah Nur

Dewasa ini terdapat pelbagai jenis tudung di pasaran sehinggakan ramai yang rambang mata untuk memilih tudung mana yang bersesuaian. Ini termasuklah tudung bawal yang sejak dahulu hingga sekarang sentiasa menjadi pilihan. Ramai wanita Malaysia kini menggemari tudung bawal. Penggemarnya tidak kira usia, tua dan muda, di mana-mana dilihat anggun saja memakai tudung bawal yang mempunyai pelbagai warna. Semak fakta di bawah untuk mengetahui lebih lanjut tentang tudung bawal.

1. Tudung bawal sentiasa menjadi pilihan kerana ia mampu menarik hati sesiapa sahaja kerana terpikat dengan keindahan sulaman yang ada pada tudung bawal. Sulamannya yang halus dan kemas adalah hasil daripada ketelitian dan kesabaran. Ia hadir dalam pelbagai kombinasi warna menarik dan dalam motif bunga-bungaan. Sesuai dengan sifat-sifat kewanitaan.

2. Biasanya tudung bawal ini dibuat daripada kain jenis "voile". Kain jenis "voile" ini adalah berasal daripada kain kapas yang nipis dan lembut. Ia mudah diurus dan dijaga. Terdiri dalam beberapa ketegori, antaranya ialah "Japanese Voile" atau Bawal Jepun, "Korean Voile" atau Bawal Korea dan juga "Siam Voile" atau Bawal Siam.

3. Antara ketiga-tiga jenis kain bawal itu, kain Bawal Jepun lebih popular kerana kualitinya. Kainnya dikatakan tidak berbulu walaupun kerap dipakai dan dicuci. Selain itu, ia mudah dibentuk apabila diletakkan di kepala. Dengan kualiti kain sebegitu elok, tidak hairanlah jika harga untuk tudung bawal daripada jenis ini agak mahal berbanding dengan jenis yang lain.

4. Kain Bawal Korea atau Siam juga mempunyai tekstur kain lembut dan nipis. Ia juga mudah diurus dan dijaga, tetapi mempunyai kelemahan seperti kainnya mudah berbulu apabila kerap dicuci menjadi ia mudah hilang seri kain dan tidak cantik lagi. Oleh sebab itu, harganya lebih murah berbanding kain Bawal Jepun walaupun sulamannya sama-sama cantik.

5. Walau apa pun kategori tudung tudung bawal tidak menjadi masalah kepada pemakai, kerana apa yang penting ialah keindahan sulam pada tudung bawal itu. Fabrik yang baik dan sulaman yang cantik pasti membuatkan si pemakai berasa anggun sentiasa.

Penjagaan Tudung Bawal

Tahukah kamu kain tudung bawal sangat sensitif, tetapi tahan lasak jika kena caranya. Teksturnya yang jarang dan nipis membuatkan fabriknya memerlukan penjagaan supaya ia tahan lama. Cuba ikuti tip-tip ini, mungkin boleh membantu kamu!

1. Gunakan kerongsang yang mempunyai pin tajam dan kekuncinya yang kukuh agar tidak mudah jatuh. Pin yang tajam mengelakkan tekstur kain bawal daripada benangnya tertarik keluar.

2. Jangan sekali-kali mencuci tudung bawal kamu dengan mesin basuh. Lebih-lebih lagi yang mempunyai batu berlian. Selain sulamannya menjadi tidak cantik, ia juga boleh menyebabkan batu-batu berlian yang melekat pada kain tertanggal.

3. Kamu perlu mencucinya hanya menggunakan air yang dicampurkan sedikit sabun pencuci, rendam sekejap dan bolehlah terus membilasnya. Mudah bukan!

4. Untuk mengeringnya, sidai saja di tempat yang kurang terdedah pada cahaya matahari.

5. Jika tudung bawal kamu mempunyai labuci, kamu boleh menggosoknya dengan menggunakan lapik lain atau menggosoknya dari belakang.

6. Akhir sekali, kamu disarankan menggunakan seterika pada suhu yang sederhana sahaja. Kainnya lembut, jadi ia cepat lendek.


Pengayaan Baru Tudung Bawal Buat Kita Keluar Dari Zaman Lampau
Sumber Artikel: dara.karangkraf.com

Oleh: WEB DARA.COM
Tarikh: 11 Jun 2013

Tudung bawal masih tak lapuk dek zaman, masih komersil. Biarpun hadir pelbagai jenis tudung dan trend pada hari ini, bawal masih relevan. Malah kerana minatnya orang ramai terhadap tudung bawal, banyak pembaharuan dan adaptasi baru dilakukan terhadap tudung bawal. Bawal berbatu, empat tone, cekak manik dan bawal pelangi antara beberapa yang boleh meneruskan minat penggemar tudung bawal.

Soalan cepu emas, pernahkah anda terfikir, dari mana asalnya nama tudung ni? Kalau tudung Ombak Rindu, Tudung Nur Kasih tu boleh diteka lagi, ia adaptasi daripada filem. Begitu juga dengan tudung Fareeda, tudung Yuna, Hana Tajima dan sebagainya. Ia diberi nama berdasarkan nama artis atau gaya si pemakai. Tapi kalau tudung bawal pula bagaimana, adakah ia datang daripada nama ikan bawal?

Ha, kalau nak tahu nama tudung bawal ni special sikit. Ia berasal daripada perkataan voile , membawa maksud fabrik yang lembut. Ia kemudian dimelayukan menjadi bawal.  Istilah voile ini berasal daripada Perancis iaitu Veil kerana fabriknya yang ringan. Jadi ia tidak ada kena mengena dengan ikan bawal ya.

Tudung bawal antara trend tudung yang masih bertahan lama meskipun ada banyak persaingan daripada jenis selendang, pashmina, lycra, syria, tudung tiga lapis dan tribal. Malah untuk mengelakkan rasa bosan pengguna, cara pemakaiannya juga dipelbagaikan.

Ada yang menjadikan tudung bawal seakan selendang, dengan gaya semat tudung seperti Hana Tajima. Kemudian ada juga yang menjadikan ia seakan selendang dengan gaya belitan mirip tribal. Begitu juga untuk mereka yang berani berfesyen, menjadikan tudung bawal seakan turban, dengan gaya Yuna.

Bagi yang suka keringkasan pula, tudung bawal boleh dipakai seperti biasa, namun memilih rona-rona warna lebih menarik. Batu yang ditanam ringkas pada tudung juga boleh menyerlahkan imej yang elegan tanpa kelihatan terlalu menonjol. Selain dibuat sendiri, kami terarik juga dengan tudung-tudung bawal yang dipopularkan personaliti terkenal Datin Norjuma Habib menerusi produk Adijuma.

Rasanya Datin Norjuma antara pengusaha yang giat mempertahankan fesyen tudung ini dan berjaya. Apabila kita sebut sahaja tudung bawal, Adijuma antara jenama yang akan kita ingat. Daripada range murah hingga lebih eksklusif ada dalam koleksi Adijuma. Datin Norjuma membuktikan tudung bawal masih trend, masih relevan dan masih lagi komersial.

Apa yang perlu adalah sedikit kepelbagaian corak, warna dan penggayaan yang disesuaikan dengan pakaian. Sedang kami mencari idea tentang pemakaian tudung bawal, terjumpa pula video pemakaian tudung bawal batik 206 koleksi Adijuma. Cubalah tengok-tengok, dan anda akan faham apa maksud kami, bahawa bawal masih belum outdated.




5 comments:

Lagoskaf said...
This comment has been removed by the author.
Lagoskaf said...

betul tu, jenama terkemuka seperti naelofar dan duck masih power di arena modest fashion ni

kalau brand brand sekarang, ada tak tudung bawal jenama yg menjadi pilihan anda? brand alhumaira ke, brand jy ke...

fazz_seo said...
This comment has been removed by the author.
fazz_seo said...
This comment has been removed by the author.
Artie said...

Cantiknya design bawal sulam begini <3. Siapa sangka kan tahun 2022 tudung bawal sulam boleh pula buat comeback pula... Thank share yea.

Galeri Artie
^^^^^^^^^^^

Post Utama

Kedai Online Nash Fesyen

Post Paling Popular

HAKCIPTA TERPELIHARA NASH FESYEN 2018