Tuesday 23 December 2014

Tudung Sekolah Dah Siap Jahit



Setahun yang lepas saya menulis dalam entri 'jahit  baju sekolah dan tudung sekolah' menjadikan blog ini berada di muka pertama google untuk keyword 'jahit tudung sekolah' dan juga 'jahit baju sekolah'. Begitu juga saya pernah menerbitkan entri berkaitan 'jahit lencana sekolah' juga berada di muka pertama google. Permainan keyword saya pada entri yang lepas berkaitan jahitan yang saya lakukan mendatangkan keuntungan kepada saya. Mungkin juga kerana tiada saingan terhadap keyword yang saya pilih menghasilkan sesuatu yang menguntungkan untuk bisnes saya dan menjanjikan pendapatan yang berterusan untuk perkhidmatan menjahit yang saya lakukan. 

Saya tidak perlu mencari keyword yang menjadi trend di google untuk menarik trafik kerana ia tidak mendatangkan apa-apa makna kepada blog ini. Trafik yang 'targeted' walaupun rendah lebih baik daripada trafik yang tinggi.

Musim jahit baju sekolah dan tudung sekolah berulang lagi. dan kini tempahannya lebih tinggi. Saya tidak perlu risau lagi untuk memikirkan pendapatan setiap bulan. Saya hanya perlu berfikir bagaimana hendak mengoptimasikan perkhidmatan saya ini.

Cuti sekolah tinggal beberapa hari lagi. Untuk tempahan seperti menjahit tudung dan baju sekolah, dead line sekurang-kurangnya seminggu sebelum sekolah bermula. Alhamdulillah selesai juga menjahit walaupun demam. Badan dan sendi masih terasa lemah. Kepala pula sakit tidak terkata. Tidur sepanjang hari dengan berusaha juga bangun menyiapkan tudung dalam kategori 'urgent'. Beberapa message tidak sempat jawab kerana tidak bermaya.  Beberapa tudung yang perlu dipos juga masih tertangguh.

Sebelum itu saya ke sekolah anak mengambil keputusan peperiksaan PT3 tingkatan tiga di Kuala Klawang. Apabila balik sahaja terus terasa demam sehingga ke hari ini belum pulih. Jika saya bekerja makan gaji sudah tentu saya boleh dapat MC mungkin dalam seminggu. Bekerja sendiri beginilah nasibnya. Tidak bekerja tidak ada pendapatan.

Sudah beberapa orang yang tanya untuk jahit lencana sekolah. Upahnya tidak seberapa tetapi ada sahaja duit dalam poket.

Monday 22 December 2014

Motif Bunga Menjadi Pilihan


Motif bunga pada pakaian menjadi lambang keanggunan wanita sejak beratus-ratus tahun dahulu lagi kerana kecantikannya. Tidak kira sama ada pada baju, kain, tudung atau shawl ianya tetap mendapat tempat di kalangan ramai wanita. Bunga-bunga yang tercetak cantik pada kain dengan pelbagai warna menjadi pemakainya berseri-seri seperti mana bunga-bunga di taman yang indah. Keceriaan motif ini menambah lagi kepelbagaian dalam dunia fesyen.

Juga dikenali sebagai motif floral kerana berasaskan pada tumbuh-tumbuhan dan ianya dikatakan berasal dari Asia Tengah. Kain bermotif bunga juga pernah menjadi barangan mahal di Eropah kerana kesukaran mendapatkannya pada masa itu. Diperkenalkan di Eropah oleh pedagang-pedagang Inggeris, Belanda dan Portugis yang membawa pulang dari India ketika itu  Kain dari India ini dikenali sebagai kain chintz yang ditenun dengan kain kapas dan dicetak dengan motif bunga-bunga kecil pelbagai warna. 

Kain ini menjadi mahal kerana pada masa tersebut penenun dari Eropah belum mempunyai kepakaran untuk menghasilkan kain chintz bermotif bunga ini. Pemerintah di  Perancis dan England pernah melarang penjualannya kerana kepopularan kain ini pada masa itu. Walaupun dilarang kain bermotif ini tetap dijual dan dipakai sehinggalah formula mencetak dan mengeluarkan kain bermotif ini ditemui barulah larangan itu ditarik balik.

Motif bunga juga terkenal di zaman Empayar Othmaniah terutamanya di kalangan golongan bangsawan di istana Turki. Pedagang dari Itali pernah membawanya pulang ke Eropah dan mendapat sambutan yang hebat di sana.

Di China dan Jepun motif bunganya adalah berasas bunga-bunga oriental dan sakura. Di Malaysia motif bunga banyak dicetak pada kain-kain batik dan mendapat sambutan yang baik di kalangan peminat-peminat batik.

Corak bunga memang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas. Ada sahaja permintaan terhadap corak bunga ini sama ada pada shawl atau pun pakaian. 



Cara pemilihan bunga pada pakaian juga penting terutama dari segi saiz bunganya supaya tidak nampak seperti serumpun pokok bunga yang bergerak pula.    

Kenapa hari ini terasa seram sejuk hendak demam sahaja badan ini? Malam ini terpaksa tidur awal di saat masih ada baju dan tudung sekolah anak-anak yang belum siap dijahit,  Harap besok hari sembuh seperti sedia kala supaya terus dapat menjahit dan menulis di blog ini lagi.

Sunday 21 December 2014

Pilihan Berfesyen


Setiap orang ada pilihan sendiri. Dengan banyaknya pilihan munculnya kepelbagaian. Kitaran ini berulang. Dengan kepelbagaian banyak pilihan lain akan berlaku. Kepelbagaian bukan sahaja dari segi pemakaian tetapi juga pemikiran. Pemikiran dan persepsi setiap orang tidak sama. Ianya bergantung kepada pengalaman, pengetahuan dan pengaruh yang ada disekelilingnya. Kebebasan membuat pilihan tidak seratu peratus bebas. Ada had-had yang perlu diikuti. Dengan sebab itu ada batas-batas agama yang wajib di patuhi dan juga peraturan-peraturan yang perlu diikuti.

Dalam berfesyen juga setiap orang mempunyai pilihan masing-masing. Kesesuaian bergantung kepada bentuk fizikal, warna kulit dan juga sekitaran masing-masing. Ada yang selesa dengan satu jenis fesyen sahaja dari dahulu hingga sekarang dan mungkin juga akan datang. Dari sekolah lagi sudah biasa dengan tudung putih atau hitam, sehingga belajar di universiti atau kolej masih mengekal dengan warna dan jenis tudung yang sama. Apabila bekerja masih juga selesa dengan fesyen yang sama. Memang sukar berubah kerana terasa janggal dan pelik apabila menukar ke fesyen yang lain. Malahan takut dipandang janggal oleh orang lain. Persepsi tersebut berlaku kepada sesiapa sahaja.

Apabila ditunjuk fesyen terbaru atau tudung dengan fesyen berlainan maka dijawab tidak sesuai dengan diriku. Aku tidak boleh memakai tudung yang berwarna warni, yang bermanik dan berbunga, yang ada renda di sana sini. Mungkin jenis pakaian atau tudung berfesyen hanya dipakai sekali sahaja sewaktu hari perkahwinan.

Kepada yang lain pula tudung atau pakaian berfesyen pula dipakai dengan rasa teruja sekali. Dicuba dan dipakai dengan rasa gembira sekali. Pelbagai fesyen dicuba dan sentiasa mencari yang terbaru. Jika idolanya seperti artis dan selebriti tertentu memakainya maka dia akan berusaha untuk mendapat dan mencubanya. Tudung bersulam, bermanik, disulam renda dan sequin, dihias dengan bunga dan kerongsang dan berbagai pilihan lain akan dicuba. Rekabentuk terbaru akan direka supaya adanya kelainan. Hidup perlu ceria dan gembira. Tidak mahu hidup ini dihiasi dengan satu warna sahaja. Begitulah kata mereka.

Dengan kepelbagaian, terhasilnya kreativiti. Dari kreativiti munculnya pelbagai produk dan ini menjadi peluang untuk menambah pendapatan. Tudung yang berlainan fesyen ini mempunyai sasaran yang berlainan. Sasaran untuk menjual perlu dikaji dan diteliti sebelum sesuatu barangan itu hendak dijual.

Tudung labuh dan satu warna lebih sesuai untuk mereka yang ke majlis-majlis ilmu berbentuk agama. Tudung berfesyen bermanik, berenda dan bersulam lebih sesuai untuk mereka menghadiri majlis-majlis berbentuk kegembiraan dan dipakai oleh mereka yang lebih muda. Bagi ibu muda dan berkerjaya pilihan tudung berlayer dan lycra mungin menjadi pilihan. Untuk keluar berjalan-jalan lebih banyak pilihan tudung boleh dicuba.

Oleh itu tidak semestinya satu jenis tudung sahaja boleh dijual. Bergantung kepada siapa kita ingin menjualnya. Tanyalah kepada mereka yang memakai tudung bawal. Hari ini masih lagi memakai tudung bawal. Apabila ditanya untuk mencuba tudung yang lain. Dijawabnya. Saya tidak selesa. Pengguna mempunyai pilihan. Penjual juga mempunyai pilihan. Saya sedia menyediakan pilihan tersebut.


For the apparel oft proclaims the man.

Thursday 18 December 2014

Jahitan Terbaru Shawl Bunga Ros













Hari ini tak sempat nak bercerita dalam entri ini. Tunjuk gambar sahaja. Dah lewat malam tapi nak update juga blog ini.

Blog ini dah jadi macam album gambar. Modelnya sama sahaja. Cukup setia. Tak perlu dibayar. Kalau kena bayar sudah banyak duit saya yang keluar.

Untungnya blogger tukang jahit. Masukkan gambar hasil jahitan sahaja sudah boleh jadi satu entri. Untuk yang suka membaca, InsyaAllah lain kali saya akan tulis entri yang panjang. 

Wednesday 17 December 2014

Datanglah Kepada Ku, Lihat Sendiri Hasil Jahitan Ku



Di pinggir Kota London sepasang suami isteri baharu sahaja berpindah ke sebuah rumah yang agak besar yang baru dibeli. Mereka membeli rumah tersebut dari tuan rumah asal yang telah berpindah ke tempat lain. Betapa gembiranya mereka kerana memiliki rumah sendiri yang diimpikan selama ini. Dengan tidak sabar mereka memasuki rumah tersebut dan memeriksa setiap inci rumah tersebut. Setibanya di bahagian dapur mereka mendapati paip air telah tersumbat. Dengan sedikit pengetahuan yang ada si suami cuba untuk membaiki sendiri paip yang tersumbat tersebut tetapi hampa kerana tidak berhasil setelah berusaha sepanjang hari. Akhirnya mereka membuat keputusan memanggil tukang paip yang berada berhampiran rumah mereka untuk membaiki paip tersebut. Walaupun beberapa orang tukang paip telah mencuba tetapi keadaannya tetap sama. Paip masih lagi tersumbat.
 
Dengan bertanya beberapa orang jiran, mereka diberitahu bahawa di hujung kota terdapat  seorang tukang paip yang mungkin boleh membantu. Mereka memanggil tukang paip tersebut untuk mencuba.  Dalam masa yang ditetapkan datanglah tukang paip tersebut ke rumah mereka.  Dari riak mukanya didapati tukang paip itu seorang yang nampaknya sangat tenang dan berpengalaman. Tanpa banyak bercakap si tukang paip meminta kepada mereka plan rangkaian paip dalam rumah tersebut. Dengan membuat pemeriksaan dengan teliti pada plan tersebut tukang paip mengeluar tukul dari begnya yang sudah lusuh dan mula mengetuk pada satu bahagian paip dalam rumah mereka. Tidak sampai lima minit didapati air mengalir dengan lancar dan masalah paip tersumbat berjaya di atasi.
 
Apabila ditanya tentang bayaran tukang paip tersebut memberitahu harganya sebanyak 500 pound. Terkejut dengan jumlah yang perlu dibayar si isteri meminta penjelasan memandangkan kerja yang dilakukan oleh tukang paip tersebut hanya mengambil masa lima minit sahaja.
 
Tukang paip tersebut mengeluar sekeping kertas yang agak lusuh dari poket seluarnya dan menulis sesuatu dan menyerahkan kepada si isteri.
 
Upah mengetuk paip yang tersumbat = 1 pound.
Upah mencari di mana paip yang tersumbat = 499 pound.
 
-----------------------------------------------------------------------
 
Beberapa bulan yang lepas pelanggan Putrajaya datang ke rumah dan meminta untuk menjahit sepuluh helai shawl. Katanya nak segera kerana ada permintaan dari pelanggannya.
 
Kak Ros tahu tak, upah yang akak ambil antara yang termahal. Ada tempat lain boleh dapat lebih murah lagi.
 
Setiap hari saya menerima banyak pertanyaan tentang berapa bayaran upah yang saya ambil terutama sekali untuk jahit tepi shawl dan tudung dan juga upah untuk menjahit tudung dan pakaian. Tidak semua yang bertanya datang untuk membuat tempahan.  Daripada sepuluh yang bertanya mungkin dalam enam orang sahaja yang datang. Ada yang bertanya sekadar untuk survey harga. Ada juga yang bertanya adalah dari tukang jahit sendiri yang melakukan servis yang sama. Ada juga yang bertanya untuk melihat budget atau kemampuan mereka dahulu sebelum membuat keputusan membuat tempahan. Sesuatu yang normal.

Ada juga yang datang membawa sehelai kain sahaja dan meminta untuk melihat dahulu kualiti jahitan. 
 
Yang penting setiap pertanyaan mesti dijawab. Menjawab pertanyaan akan memulakan hubungan atau connection. Mungkin mereka akan datang kemudian.  Ada yang telah bertanya beberapa bulan yang lalu akhirnya datang untuk membuat tempahan. Apabila dilihat balik history text  pada whatsapp, message terakhir adalah pada 2 bulan yang lepas.
 
Ramai juga yang datang sekadar untuk berbincang dan melihat sendiri hasil jahitan. Saya memang mengalu-alu sesiapa sahaja yang hendak datang melihat dahulu hasil jahitan sebelum membuat keputusan. Salah satu sebab saya membuka kedai sendiri kerana untuk memberi keselaan kepada sesiapa sahaja. Mungkin ada yang tidak selesa untuk berbincang di rumah.
 
Ada yang menyatakan servis yang saya lakukan lebih murah dari tempat mereka sendiri. Salah seorang pelanggan dari Puchong menyatakan untuk jahit tepi halus di tempatnya adalah sehingga RM8 sehelai yang dihantar kepada tukang jahit cina. Pelanggan yang lain pula dari Perak pula menyatakan sehelai untuk jahit tepi shawl sahaja sehingga RM7 sehelai. Tidak sama antara satu sama lain.
 
Upah menjahit bukan sahaja bergantung kepada kuantiti tetapi juga kualiti jahitan. Itu yang cuba saya jaga untuk memastikan pelanggan terus datang. Sebab itu saya membeli beberapa mesin jahit sebagai back up jika mesin jahit yang lain rosak. Saya perlu membaikinya dengan segera untuk menjaga kualiti jahitan.

Setiap tukang jahit mempunyai kemahiran masing-masing. Cara menjahit tidak sama untuk setiap orang. Walaupun sudah lama menjahit saya masih lagi belajar. Saya masih mengikuti kursus-kursus menjahit yang diadakan oleh tukang jahit yang lain. Sentiasa meminta nasihat daripada pelanggan-pelanggan yang sudah lama terlibat dalam bidang perniagaan ini. Kemahiran saya hanyalah menjahit bukan menulis blog. Sebab itu masih banyak kelemahan dalam blog ini yang perlu saya perbaiki.

Datanglah kepada ku dan lihat sendiri hasil jahitan ku.


 
Beberapa hari yang lepas pelanggan Putrajaya datang lagi.
 
Kak Ros, selepas ini saya hanya akan hantar kat  Kak Ros sahaja.

Monday 15 December 2014

Tempahan Shawl & Tudung Pakai Sendiri









Ramai yang bertanya macam mana nak buat tempahan shawl?

Antara soalan yang popular.

Saya berminat nak tempah shawl. Bagaimana caranya?

Boleh tak saya minta akak sediakan kain?

Saya tinggal jauh. Boleh tak saya poskan kain?

Boleh tak bagi no telefon. Saya nak contact akak?

Saya ada design sendiri. Boleh tak akak jahitkan?

Saya nak jumpa akak. Boleh tak hari ini?

Saya nak jahit instant shawl. Berapa harga?

Untuk soalan di atas. Jawapan saya BOLEH. Hubungi saya melalui pm/sms/whatsapp: 017-4315193.  
Untuk kain saya hanya akan sediakan jika jenis plain sahaja dan bukan yang bercorak tetapi jika tempahan secara pukal saya galakkan untuk hantar kain sendiri. Jika untuk label cloth atau label jenama saya tidak buatkan. Perlu bawa sendiri. Saya jahitkan sahaja. 

Hantar gambar shawl atau tudung melalui whatsapp kerana saya pun kadang-kadang tidak ingat gambar apa yang ada dalam blog. Kalau ada contoh boleh bawa jika ada design yang saya tidak pernah buat. 

Kadang-kadang saya mengambil sedikit masa untuk menjawab pm/sms/whatsapp. Maklum sahajalah saya sedang menjahit.

Kak Ros kerja tukang jahit ka? 

Yang ini memang susah nak jawab.

Post Utama

Kedai Online Nash Fesyen

Post Paling Popular

HAKCIPTA TERPELIHARA NASH FESYEN 2018