Tuesday 11 March 2014

Pilihan Warna Tudung & Pakaian







Pelanggan saya yang ini memang peminat tudung plain. Tudung plain di atas adalah antara yang ditempah. Saya telah poskan 5 helai dahulu seperti di atas. Sebenarnya banyak lagi yang ditemapah yang belum sempat saya jahit.  

Kadang-kadang memilih warna memang sesuatu yang memeningkan. Bukan semua warna yang diminta ada di gedung kain. 

Saya  sendiri bukan pakar dalam jenis-jenis warna ini. Tambahan pula kalau diguna istilah dalam Bahasa Inggeris seperti baby blue, royal blue, baby pink, electric blue, turquoise, tiffany green, sherwood dark green, block color dan bermacam-macam lagi. Kalau disebut dalam Bahasa Melayu mungkin boleh saya bayangkan warna yang dikehendaki. 

Contohnya seperti biru laut, hijau pucuk pisang, hijau Petronas, warna belacan, hijau tahi lembu dan sebagainya. Kalau dalam Bahasa Inggeris memang tak kenal dan tak tahu nak bayangkan. Jadi cara yang paling mudah yang saya lakukan adalah dengan menggunakan google image untuk mengetahui warna-warna yang dikehendaki. 

Kalau dah mengetahui warna yang dikehendaki pula ada satu masalah lagu untuk dapatkan kain dengan warna tersebut. Beli kain untuk buat tudung bukan macam beli cat. Kalau beli cat, warna yang dikehendaki boleh diperolehi dengan mudah. Sebut sahaja kod cat yang dikehendaki, akan ada mesin pencampur cat yang mencampur nisbah warna-warna tertentu sehingga mendapat warna yang dikehendaki. 

Memilih kain dengan warna yang dikehendaki tidak boleh diperolehi dengan mudah sebagaimana untuk mendapat warna cat. Jadi kain dengan warna yang seakan-akan atau menghampiri warna yang dikehendaki akan dipilih. Nasiblah kalau pelanggan setuju. 

Pemilihan warna yang sesuai sebenarnya ada kaitan dengan penampilan peribadi.  Orang yang memakai pakaian dan tudung dengan warna yang menarik dan sesuai akan kelihatan lebih cantik dari diri mereka yang sebenar. Ianya mampu memberi kesan yang positif kepada emosi , mood dan sikap orang yang melihat.

Warna pakaian atau tudung yang dipilih untuk dipakai sehari-hari membawa makna tersendiri, malah ada yang menyatakan bahawa manusia boleh mengubah perasaannya dan tingkahlakunya dengan memakai warna tertentu.

Jadi memilih dan bermain dengan warna pakaian yang sesuai lebih mudah untuk menjalin hubungan sosial berbanding dengan mereka yang tidak pandai memilih warna yang sesuai. 

Di sini saya petik beberapa penjelasan umum berkaitan warna asas, maksud dan kesesuaian warna dalam perhubungan sosial seperti mana terdapat dalam buku  "Anggun Di Luar Serlah Pesona Dari Dalam" oleh Ahmad Naim Jaafar dan Mohd Ikram Mohd Nor Wazir. 

Penjelasan merujuk kepada pemakaian semua jenis pakaian termasuk baju t-shirt, tudung dan lain-lain.

Merah

Sesuai untuk mereka yang berkulit cerah. Warna cerah sesuai dipakai jika kita ingin menampilkan diri dalam sesuatu masa atau tempat. Warna ini tidak sesuai dipakai jika kita dalam keadaan penat atau pun murung. Warna ini lebih sesuai dikenakan dalam majlis ataupun tempat supaya kita dapat dikenali dengan mudah.

Merah Jambu

Warna untuk wanita. Ianya sesuai untuk bagi perhubungan sosial yang santai. Ia kurang sesuai bagi jalinan perhubungan profesional.

Kuning

Warna ini sesuai dikenakan oleh seseorang yang ingin menampilkan imej ceria, gembira dan jenaka dalam perhubungan sosial. Kurang sesuai untuk perhubungan profesional dan formal kerana ia menggambarkan sifat bersahaja. Orang yang mengenakan pakaian berwarna ini dilihat sebagai orang yang kreatif, optimis dan berani mencuba. Walaubagaimanapun, mereka juga dilihat sebagai seorang yang pengecut atau licik apabila  ia digandingkan dengan warna pakaian sampingan ataupun aksesori yang tidak sesuai.

Biru

Pakaian ini sesuai dikenakan oleh setiap lapisan umur. Warna biru muda atau biru laut adalah warna yang cukup menarik pada mata yang memandang. Oleh itu, ia sesuai dikenakan dalam apa sahaja tempat dan keadaan. Ia juga sesuai bagi setiap jenis kulit. Bagi wanita yang berkulit cerah, warna biru padan bagi membangkitkan seri wajah dan tubuh apabila digandingkan dengan warna sampingan yang sesuai.

Biru Tua

Warna yang sesuai bagi setiap warna kulit. Warna jenis ini dapat memberi persepsi baik kepada mata yang melihat, apabila ia dikenakan pada pakaian yang bersifat klasik dan menampilkan kuasa, contohnya kemeja, kot, blazer, seluar dan kain. Pakaian berwarna biru adalah yang paling sesuai pada setiap tempat dan keadaan. Dalam dunia profesional, warna ini memberikan mesej kuasa dan autoriti individu yang memakainya.

Kelabu

Pakaian berwarna kelabu adalah yang paling sukar disesuaikan kerana ia memberikan mesej yang terlalu kontras. Pemilihan corak dan rekaan yang sesuai memberikan imej yang positif. Sebaliknya, apabila individu mengenakan pakaian berwarna kelabu dengan corak dan rekaan yang malap,  maka ia memberikan imej sedih, suram dan tidak bersemangat.

Oleh itu, individu yang hendak mengenakan pakaian berwarna kelabu perlu peka dengan corak rekaan dan kecerahan warnanya. Kita juga perlu prihatin dengan aksesori tambahan yang digandingkan dengan pakaian berwarna ini. Walau bagaimanapun, warna kelabu juga dikaitkan dengan imej profesional. Ia menggambarkan kesederhanaan dan hormat. 

Oren

Oren adalah warna keceriaan. Warna oren sesuai bagi setiap jenis warna kulit. Ia menggambarkan  si pemakai sebagai orang yang mudah mesra dan prihatin. Warna ini sesuai dikenakan pada pakaian sosial. Warna ini tidak sesuai  bagi pakaian yang bersifat profesioanl. Ia adalah warna yang paling sedikit dapat dikenakan dalam dunia profesional kerana ia menurunkan status profesional individu yang memakainya di mata mereka yang melihatnya.

Elakkan mengenakan pakaian berwarna ini dari kepala hingga ke kaki. Apabila kita memakai pakaian berwarna ini, seimbangkannya dengan warna lain yang bersifat lembut. Warna oren sesuai bagi aksesori tambahan wanita.

Hijau

Warna hijau adalah warna ketenangan sama seperti warna biru. Walau bagaimanapun,  pakaian yang berwarna hijau tidak memberi maksud yang serupa dengan warna biru. Terdapat sedikit perbezaan antara warna biru dan hijau. Warna hijau yang lembut seperti hijau pucuk pisang sesuai dipakai oleh semua orang tidak kira warna kulit.

Bagi wanita,  warna hijau sesuai bagi apa sahaja jenis pakaian. Orang yang memakai warna hijau lembut dapat memberi mesej tidak formal dan mesra.

Namun, kesan yang berbeza bagi warna hijau terang atau hijau gelap. Orang yang memakainya kadangkala dilihat sebagai individu yang malas dan membosankan. Oleh itu, apabila kita hendak mengguna warna seperti ini, cuba minimumkan jumlah warnanya.

Ungu

Warna ungu adalah warna pilihan. Warna ini sesuai bagi sesiapa sahaja yang ingin menampilkan diri sebagai orang yang dominan dan bijaksana. Warna ungu yang sederhana dan gelap lebih sesuai bagi wanita tanpa memadankannya dengan biru gelap ataupun kelabu. 

Coklat

Warna coklat sama ada coklat muda ataupun gelap lebih sesuai bagi aksesori tambahan. Walau bagaimanapun, kita boleh memakai pakaian berwarna coklat apabila ia adalah coklat lembut. Elakkan daripada memilih pakaian yang berwarna coklat dari kepala sehingga kaki. Pastikan penggunaan warna coklat adalah minimum bagi penampilan profesional.

Hitam

Warna hitam adalah sesuai bagi pakaian formal dalam dunia perniagaan dan profesional. Ia menggambarkan kekuasaan, kebijaksanaan dan keseriusan individu yang memakainya dalam apa sahaja yang dilakukannya. Namun, elakkan memakai pakaian yang berwarna hitam dari kepala sehingga kaki kerana ia memberi imej buruk kepada  si pemakai.

Bagi wanita, pakaian berwarna hitam sesuai dikenakan apabila kita ingin menampilkan kekuasaannya. Apabila kita ingin menampilkan imej yang mudah didekati, elakkan memakai pakaian berwarna hitam, kecuali kain ataupun seluar longgar.

Putih & Krim

Pakaian berwarna putih dan krim sesuai digandingkan dengan warna lain. Ia memberikan imej neutral dan baik kepada mereka yang melihat. Contohnya, kemeja-T dan blaus yang berwarna putih sesuai pada setiap masa, tempat dan keadaan. Namun, elakkan memakai warna putih yang kosong dalam perhubungan yang bersifat professional.

Warna krim lebih bersesuaian kerana ia dapat mengurut mata dan emosi mereka yang memandang.

Elakkan memakai pakaian putih dari kepala sehingga kaki. Elakkan juga mengenakan aksesori yang berwarna putih. Ia kelihatan janggal.

No comments:

Post Utama

Kedai Online Nash Fesyen

Post Paling Popular

HAKCIPTA TERPELIHARA NASH FESYEN 2018