Monday, 30 December 2013

Melihat Semula Blog & Perancangan Masa Depan


Bila membaca semula post di dalam blog ini membuat saya tersenyum sendiri. Berkongsi pelbagai artikel, panduan dan lain-lain yang ada juga bersifat personal. Kadang-kadang saya bertanya kepada diri sendiri. Betulkah apa yang aku tulis ini? Semuanya datang secara spontan.

Pada mulanya blog ini dibangunkan bertujuan untuk menceritakan tentang keluarga dan aktiviti berkaitan hobi jahit-menjahit sahaja sepertimana banyak blog-blog yang lain yang menceritakan hal keluarga masing-masing. Ini boleh dilihat dalam post-post saya yang awal.

Tidak sangka pula apabila saya postkan panduan menjahit tudung chiffon 3 layer , terus sahaja mendapat perhatian. Menjadi post yang paling popular dalam blog ini sehingga mendapat banyak pertanyaan. Dari situlah saya mula menawarkan servis menjahit tudung secara online dan akhirnya membuka kelas menjahit tudung. Dari situ juga munculnya bermacam-macam idea untuk menulis blog dan membuka kedai online sendiri di www.nashfesyen.com.

Pada peringkat awal saya membuat promosi servis menjahit melalui mudah.com dan majalah.com. Promosi lebih tertumpu kepada servis menjahit tepi tudung dan shawl serta menjahit pakaian wanita tidak termasuk menjahit tudung. Disebabkan syarat yang diletakkan oleh mudah.com dan majalah.com yang begitu terhad di mana pengiklan tidak boleh mengiklan produk setiap hari dan perlu menunggu lama untuk mengiklan produk atau servis seterusnya timbullah idea untuk belajar membuat blog melalui platform blogspot.

Peringkat awal blog tidak ramai pengunjung dan terasa seperti syok sendiri sahaja. Dengan panduan melalui google dan panduan daripada beberapa blog tertentu barulah saya belajar bagaimana kaedah untuk menarik pengunjung ke blog dan blog ini perlahan-lahan mula menerima pengunjung.

Pada masa ini saya tidak lagi terlalu bergantung kepada mudah.com dan majalah.com untuk mempromosi servis yang saya lakukan.

 Apa Yang Saya Dapat Daripada Blog Ini? 

  • Memperolehi pendapatan melalui servis yang saya lakukan dan dari jualan produk melalui kedai online yang saya bangunkan.
  • Membuat promosi tentang servis yang saya lakukan. Tidak lagi terlalu bergantung kepada laman pengiklanan yang lain. Saya bebas mengiklankan produk saya sebanyak mana yang saya suka tanpada ada limit. Inilah cara marketing yang paling mudah dan murah. Platform blogspot adalah percuma. 
  • Berkongsi pengalaman dan idea dengan pengunjung-pengunjung yang lain.
  • Dapat membina kredibiliti. Sekurang-kurangnya dengan tulisan-tulisan saya boleh menunjukkan saya tahu apa yang saya lakukan dan pembaca blog ini tahu apakah kepakaran saya. Apa yang saya kongsikan diharapkan menjadi maklumat yang berguna kepada pembaca dan dapat menyelesaikan masalah-masalah yang mungkin dihadapi melalui blog ini. Dan harapan saya juga blog ini boleh menjadi rujukan kepada sesiapa sahaja yang terlibat dalam bisnes seperti yang saya lakukan.
  • Dengan bloglah, saya merasakan saya lebih mesra dengan pengunjung yang datang. Saya cuba mengguna gaya penulisan seperti yang ada sekarang supaya tidak terlalu serius. Kebanyakan tulisan adalah datang dari hati saya yang ikhlas berdasarkan pengalaman seharian yang telah saya lalui. Sekurang-kurangnya saya mencuba dahulu sebelum saya berkongsi dengan pengunjung lain. 
  • Blog ini menjadi saluran maklumat antara saya dengan pengunjung. Apa-apa yang saya lakukan saya berkongsi dengan pengunjung. Dengan memaparkan hasil jahitan dan pengalaman saya termasuk gambar keluarga, nombor telefon, lokasi rumah menunjukkan saya betul-betul wujud dan serius dan pengunjung lebih mempercayai bisnes yang saya lakukan. Siapa pun boleh menghubungi saya malahan datang ke rumah saya pada bila-bila masa jika saya ada dirumah.
  • Dengan blog ini juga saya mula membina peminat dan pelanggan saya sendiri sama ada melalui facebook dan google+ dan sebagainya.
  • Blog ini juga menjadi kedai online saya di mana saya boleh gunakan untuk memasarkan produk saya sendiri.
  • Artikel yang terkumpul melalui blog ini akan kekal selagi saya tidak memadamnya atau dirosakkan/hack oleh orang lain atau jika google tidak meneruskan lagi platform blogspot ini. Artikel dan panduan di blog ini boleh menjadi sumber rujukan untuk hari ini dan masa hadapan.
  • Mendapat ilmu-ilmu baru khususnya berkaitan blogging, bisnes internet dan ilmu berkaitan grafik.
Pencapaian Sepanjang Berblog Selama Enam Bulan

  • Sudah 100 entri termasuk entri ini sudah dipost di blog Nash Fesyen dalam tempoh 6 bulan blog ini wujud. 
  • Mempunyai 10 panduan untuk pengunjung termasuk 3 panduan membuat tudung dan 1 panduan membuat shawl. 
  • Menghasilkan 1 ebook panduan menjahit tudung.
  • Membina kedai online mengguna sistem Zen Cart
  • Mengumpul 327 like untuk facebook page Nash Fesyen sehingga hari ini.
  • Mengumpul 62 follower untuk google plus sehingga hari ini. 
  • Mendapat tambahan friend sekurang-kurang 5 – 10 friends setiap hari untuk facebook saya sendiri. Kebanyakan yang add sebagai friend adalah untuk bertanya produk atau servis yang saya lakukan.
  • Mendapat penarafan Page Rank (PR) pada skala 2 dari google.
  • Mendapat ranking Alexa di bawah 1.5 juta pada peringkat global dan di bawah 20,000 untuk peringkat Malaysia.
  • Kebanyakan keyword untuk servis yang saya lakukan adalah pada page pertama carian pada google.
  • Mempunyai kawan bukan sahaja secara on line tetapi juga secara offline yang datang hampir setiap untuk mendapat servis yang saya sediakan.
  • Menjana pendapatan yang agak konsisten terutamanya pada akhir-akhir ini sekurang-kurangnya pendapatan sehari saya sudah mampu membayar bil bulanan unifi. 
  • Membina rangkaian dengan tukang jahit yang lain yang saling membantu antara satu sama lain. 
Perancangan 2014
  • Menambah lebih banyak produk sendiri di kedai online Nash Fesyen yang selama ini semacam diabaikan kerana memberi prioriti kepada tempahan menjahit daripada pelanggan yang tak pernah putus-putus. Perancangan awal juga akan dilakukan untuk memenuhi keperluan Hari Raya Aidil Fitri yang akan menjelang tidak lama lagi. 
  • Memperbaiki dari segi rekabentuk blog ini supaya lebih mesra pengunjung. Mungkin mencuba dengan layout yang lebih menarik. 
  • Menambah beberapa lagi panduan menjahit tudung untuk rujukan pengunjung. - Membuat beberapa lagi ebook berkaitan panduan menjahit.
  • Mempelajari ilmu-ilmu berkaitan SEO dan ‘graphic editing’ supaya gambar-gambar yang dipaparkan lebih menarik.
  • Menggunakan google + sebagai platform untuk mempromosi bisnes. Saya melihat google + sebagai platform bisnes yang tidak boleh diabaikan.
  • Memperkemaskan lagi page facebook Nash Fesyen dengan pelbagai perkongsian menarik. - Mengguna twitter, instagram, pinterest, linkedIn sebagai medium social untuk mempromosi bisnes saya. 
  • Mengikuti kursus-kursus berkaitan usahawan.
  • Meningkat ilmu berkaitan usahawan internet.
Perancangan Jangkamasa Panjang
  • Menjadi usahawan berjaya.
  • Mempopularkan jenama Nash Fesyen sehingga menjadi bualan ramai.
  • Membuka butik sendiri.
Untuk Mencapainya Saya Perlu:
  • Merasa yakin dan bangga dengan apa yang saya lakukan.
  • Bekerja keras untuk menjadikan usaha yang dilakukan adalah yang terbaik bukan sekadar hobi di masa lapang.
  • Konsisten dengan usaha yang dilakukan.
  • Bermotivasi tinggi.
  • Mengkaji pencapaian dan membuat analisis dari masa ke semasa.
  • Berinteraksi dengan pelanggan dan pengunjung sebaik mungkin. 
  • Mengenali lebih ramai pelanggan.
Apa yang saya gariskan di sini atas bukanlah untuk syok sendiri atau nak menunjuk-nunjuk tetapi untuk muhasabah diri dan MENCABAR DIRI SAYA SENDIRI sebagai pemangkin untuk berjaya dan saya sentiasa berdoa semoga apa yang saya lakukan diberkati oleh Allah s.w.t.

Sunday, 29 December 2013

Jahit Baju Sekolah dan Tudung Sekolah Soft Awning





Deadline untuk menjahit baju sekolah dan tudung sekolah semakin hampir. Mesti siap sebelum 1 Januari. Kali ini tempahan dari pelanggan adalah dalam bentuk package baju sekolah, tudung dan juga jahit lencana sekolah.

Persediaan anak-anak sekolah mestilah dipenuhi sebelum sekolah dibuka. Dari pakaian sekolah, beg, buku tulis, alatulis dan pelbagai yuran memerlukan perbelanjaan yang besar. Kalau anak ramai dari pra sekolah sehinggalah sekolah menengah bukan sedikit belanja yang perlu dikeluarkan.

Semuanya demi anak-anak dengan harapan akan berjaya dengan cemerlang.

Kebiasaan pakaian sekolah dan tudung, ibu lah yang membuat pilihan. Kalau boleh biarlah pakaian yang dipakai selesa dan boleh dipakai sehingga habis setahun. Tak perlu keluar belanja lebih.

Tudung pula yang paling senang diurus untuk anak-anak terutama yang bersekolah darjah 1 hingga 4. Darjah 5 dan 6 dah boleh urus sendiri. Mesti mudah dipakai, cepat dan segera. Kalau boleh biarlah anak boleh memakai sendiri tudung walau dimanapun sama ada di rumah atau di sekolah terutamanya ketika hendak bersolat.

Kalau dulu tudung susah dibentuk di bahagian kepala dan nampak mengelebeh sehingga menyebabkan rasa tak yakin nak pergi sekolah. Takut ada kawan-kawan yang perli.  Perasaan itu sentiasa wujud dan rasa tidak selesa. Untuk membentuk tudung pula mengambil masa yang lama terutama selepas mengambil air sembahyang. Ibu di rumah lebih merasa susah hati. Bolehkah anak aku ini mengurus diri sendiri?

Seharian anak di sekolah, bersukan, perhimpunan dan lain-lain aktiviti memerlukan tudung yang sesuai.

Oleh sebab itu pilihan tudung sekolah berawning adalah yang paling tepat. Oleh sebab itulah tudung soft awning putih banyak mendapat tempahan pada kali ini.

Material adalah dari jenis kain lycra yang selesa, mudah dipakai, sejuk, lembut, menyerap peluh, tahan panas dan tak merasa rimas. Bila memakai tudung terletak elok di kepala. mudah dicuci dan tahan lasak. Awning pula terbentuk cantik, tak mudah kemek, patah dan boleh dibasuh menggunakan  mesin basuh.

Apabila semua keperluan sekolah dah selesai bolehlah nasihatkan anak-anak.

Baju dah ada, tudung pun Cik Ros dah siap jahit, beg sekolah dah beli. Kenalah belajar rajin-rajin.Tahun ni nak ambil periksa. Jangan dok sibuk lagi dengan face book, berhenti tengok cerita korea, tengok k-pop. Soalan periksa bukan nak keluar cerita korea. Tahun depan semua kena STOP. Mesti lulus cemerlang. Rajin-rajin baca buku. Hafaz quran. Tengok anak-anak orang lain. Beg sekolah pun tak mampu beli. 

Selepas itu tengok respon anak-anak. 

Saturday, 28 December 2013

Kenangan Di Sabah

Sudah dua tahun aku meninggalkan bumi Sabah dan menetap di Bandar Baru Bangi. Semuanya meninggalkan kenangan indah yang penuh warna warni.

Mengingat kembali kenangan di Sabah, aku kadang-kadang berfikir bahawa betapa untungnya anak-anak ku dapat hidup di rantau orang dan menimba pengalaman yang amat mahal harganya. Dahulunya bersekolah di Kedah, berpindah dan bersekolah di Sabah dan sekarang di Bandar Baru Bangi. Tentunya banyak yang sudah dipelajari terutamanya sejarah, adat resam dan budaya setempat. Jika ditanya kepada anak-anak ku sekarang kalau berpindah lagi, anak-anak ku sendiri akan berkata, "tukarlah di mana pun, kami tak kisah".

Dulu-dulu semasa menetap di Sungai Petani, bisnes jahit ku sudah lama berjalan. Apabila suami memberitahu akan bertukar ke Sabah, aku berbahagi perasaan antara antara hendak atau tidak. Hendak kerana, aku boleh menetap di tempat orang yang jauh di seberang laut yang tidak pernah ku jejaki selama ini. Tidak pula kerana aku terpaksa memberhentikan bisnes menjahit yang memang sudah mendapat sambutan. Malahan pula terpaksa meninggalka rumah sendiri yang sudah 10 tahun ku diami dan juga terpaksa berjauhan dengan keluarga.

Ditanya pula kepada anak-anak, mereka pada mulanya jika tidak mahu berpindah kerana terpaksa meninggalkan sekolah, kawan-kawan dan keselesaan di rumah sendiri.

Akhirnya keputusan untuk berpindah ke Sabah dibuat dan persediaan mula dilakukan. Suami berpindah dua bulan lebih awal pada bulan November kerana anak-anak masih bersekolah dan suami sendiri  mahu mengurus urusan mencari rumah sewa dan persediaan pertukaran sekolah anak-anak .

Akhirnya berpindah lah aku dan keluarga ke Sabah dengan membawa sekali 3 dari 4 buah mesin jahit yang aku miliki. Kami sekeluarga menetap di Tanjung Aru berdekatan dengan Lapangan Terbang Air Asia dan MAS, juga berdekatan dengan bandar Kota Kinabalu.

Aku memang bercadang untuk meneruskan perkhidmatan menjahit ku tetapi bila tiba di Sabah dengan suasana yang baru aku tidak meneruskan niat itu. Mesin jahit ku hanya aku gunakan untuk menjahit pakaian anak-anak dan juga untuk keluarga sahaja. Masa di Sabah lebih banyak ku habiskan untuk berjalan-jalan ke seluruh pelosok negeri Sabah. Tidak ada promosi langsung berkenaan menjahit.

Kadang-kadang terfikir juga penat sahaja membawa mesin jahit naik kapal dari jauh tetapi jarang menggunakannya. Malahan di Sabah aku sendiri tidak berusaha mencari kain untuk baju dan tudung. Tudung dan baju kebanyakan dibeli yang sudah siap di Wisma Muis, Segama, Sinsuran, Karamunsing dan beberapa Tamu di sekitar Kota Kinabalu dan Putatan.

Setiap bulan ada sahaja tempat dilawati dari timur ke barat, utara ke selatan sehinggalah ke pulau-pulau. Aku sendiri menjadi mahir memandu sendiri di Bandar Kota Kinabalu dan sejauh sehingga ke Kundasang, Ranau dan Poring melalui jalan raya yang berliku-liku dengan banyak tanah runtuh di sana sini. Selain itu juga mengikuti suami yang memandu sehingga Sandakan, Lahad Datu, Semporna sehinggalah ke Tawau di timur Sabah.

Begitu juga sehingga ke Kota Belud, Kota Marudu sehingga ke Kudat di utara Sabah dan di selatan pula melewati Banjaran Crocker sehingga ke Tenom sambil menikmati panorama yang indah di Sabah yang bersulamkan gunung ganang dan hutan tropika.

Setiap tempat menarik dan bersejarah akan disinggahi sekurang-kurang untuk memberitahu saudara mara bahawa tempat ini sudah pernah dijejaki. Antaranya seperti, Gua Gomantong, Rumah Agnes Keith di Sanadakan, penulis buku yang popular "Land Below The Wind", di Sepilok melihat Orang Utan, membeli telur penyu di bandar Sandakan, di Air Panas Poring membawa anak mandi manda, singgah membeli sayur dan cendawan di Kundasang, ke Simpang Mengayau yang popular dengan "Tip Of Borneo", ke Labuk Bay melihat 'proboscis monkey',

Ke kampung Gombizau yang terkenal dengan lebah madu, Kampung Sumangkap dengan pembuatan gongnya, Rumah Panjang kaum Rungus yang mahir dengan manik-maniknya, Banjaran Crocker yang tinggi dan sayup mata memandang, Taman Pertanian Sabah di Tenom menikmati bunga-bunga yang cantik, ke Tamu di Kota Belud dan banyak lagi tempat menarik di sekitar Kota Kinabalu serta singgah di Tamu-Tamu yang begitu banyak di Sabah.

Kadang-kadang membawa keluarga menaiki keretapi dari Kota Kinabalu sehinggalah ke Beaufort dan juga menaiki feri dengan kereta sendiri melalui Menumbok sehinggalah ke Labuan. Kami sekeluarga juga tidak melepas peluang melawat pulau-pulau di sekitar Kota  Kinabalu seperti Pulau Sapi, Manukan dan Mamutik sehinggalah pulau-pulau di sekitar Semporna. Mandi laut dan snorkeling dengan air lautnya yang jernih sehingga kelihatan ikan berenang dan pasir laut yang memutih.

Suaminya tentunya lebih jauh lagi sehingga ke Kalabakan, Maliau Basin, Felda Sahabat sehingga ke Tambisan di Lahad Datu dan juga ke puncak Gunung Kinabalu. Malahan sehingga melintasi sempadan sehingga ke Brunei dan pedalaman Sarawak.

Semuanya menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan.

Berada di Sabah bukan seperti pelancong yang tertumpu ke tempat-tempat tertentu sahaja tetapi banyak perkara yang dipelajari apabila sudah lama di sana, berkawan dengan pelbagai etnik, menghadiri majlis kenduri kahwin sehinggalah urusan sekolah anak-anak semuanya dilalui dengan pengalaman yang menarik.

Anak-anak sendiri mulaberubah percakapan dari bahasa Utara Kedah ke bahasa Sabah akibat pergaulan dengan kawan-kawan di sekolah. Begitu juga sewaktu menyambut hari raya aidilfitri dan aidiladha, kami sekeluarga pernah menyambutnya di Sabah dan terasa sekali bila berjauhan dari keluarga.

Apabila sudah lama menetap di Sabah anak-anak sendiri  sudah dapat menerima cara hidup baharu dan mula merasa seronok dan selesa bergaul dengan rakan rakan dari Sabah sehingga apabila diberitahu akan ditukar semula ke Semenanjung, masing-masing mula berkata tidak mahu dan mahu bersekolah di Sabah lagi.

Kini sudah dua tahun aku menetap di Bandar Baru Bangi. Anak-anak pula sudah dapat menyesuaikan diri dengan sekolah di Bandar Baru Bangi. Kadang-kadang anak-anak bertanya juga, bila lagi nak pergi ke Sabah?

Kalau ke Sabah lagi suatu hari nanti kami sekeluarga hanya akan menjadi seperti pelacong-pelancong yang lain juga tidak akan lagi merasai kenikmatan seperti mana menetap di Sabah dahulu.

Jika pada masa itu aku sudah mempunyai blog banyak lagi yang aku boleh abadikan di dalam blog seperti sekarang tetapi semuanya sudah berlalu. Yang tinggal hanyalah kenangan dengan beberapa gambar yang masih tersimpan untuk dikongsi seperti di bawah.

Anak-anak bersekolah di Sabah



Di sekitar Tanjung Aru



Di sekitar jalan ke Kundasang berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu.



Pulau-Pulau di sekitar Kota Kinabalu - Manukan, Mamutik dan Pulau Sapi dikenali sebagai Taman Tunku Abdul Rahman




Sekitar Semporna - menaiki bot dan mandi di dalam laut yang jernih.



Sepanjang Jalan Ke Kudat

Banyak jagung bakar dijual di sepanjang perjalanan.


Simpang Mengayau - Tip Of Borneo




Sekitar Kudat


Kampung Sumangkap - terkenal dengan pembuatan gong.



Kampung Gombizau - terkenal dengan lebah madu.




Banjaran Crocker



Tenom - Taman Pertanian Sabah, tempat yang perlu dilawati.





Labuan





Melawat Zoo Lok Kawi



Menumbok - Nak pergi ke Labuan dengan kereta perlu melalui Jeti Menumbok. Memandu dari Kota Kinabalu ke Menumbok lebih kurang 3 jam.


Gua Gomantong - Semasa perjalanan ke Tawau singgah di Gua Gomantong tempat burung layang-layang membuat sarang.


Memorial Mat Salleh - dalam perjalanan pulang dari Tenom melalui Keningau singgah sebentar di memorial Mat Salleh pahlawan terbilang.


Post Utama

Kedai Online Nash Fesyen

Post Paling Popular

HAKCIPTA TERPELIHARA NASH FESYEN 2017