Friday, 6 December 2013

Kenangan Bercuti Di Kampung Disember 2013

Perjalanan pulang ke kampung dari Bangi lancar dan laju. Begitu juga perjalanan balik. Tidak seperti pulang ke kampung pada aidilfitri yang lepas. Sesak dan perlahan.

Sepanjang perjalanan awan mendung. Sejuk dan tenang. Kadang kala hujan rintik-rintik turun. Dalam perjalanan hanya sekali singgah untuk solat dan makan. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 5 jam.

Hari pertama banyak menghabis masa di kampung. Kampung seperti dahulu juga. Tidak banyak perubahan. Cuma kali ini musim padi menghijau dan hujan setiap hari.

Anak-anak dibiarkan bebas. Bermain dengan sepupu-sepupu dan anak kampung yang lain. Meranduk sawah padi, memancing ikan dan bermain sepanjang hari.

Sebenarnya aku pulang ke kampung suami di Seberang Perai. Kampung ini seperti kampung ku sendiri. Sejak berkahwin aku sudah tinggal di kampung ini hampir 7 tahun. Aku juga mengenali ramai orang kampung. Tinggal berdekatan dengan rumah mertua. Selang beberapa rumah sahaja. Tidak jauh sangat. Kelui pun dengar.

Kampung aku sendiri di Serdang, Kedah hanya singgah sekejap menjenguk adik beradik dan bertanya khabar. Tidak seperti dahulu sewaktu emak dan ayah masih ada. Selalu pulang bermalam.

Hari kedua pula di kampung aku mula berjalan-jalan melawat jiran-jiran  di Sungai Petani. Aku tinggal di Sungai Petani iaitu rumah sendiri hampir 10 tahun. Terlalu banyak jiran-jiran yang bertanya. Bila nak singgah ke rumah?. Minta maaflah. Tak sempat singgah semua. Petang pula aku rumah kakak di Kuala Ketil. Malam baru pulang.

Hari ketiga anak-anak sudah mula bertanya. Bila nak pergi ke Bukit Bendera? Bangun pagi langit cerah. Matahari mempamerkan wajahnya yang manis. Anak-anak makin teruja untuk ke Bukit Bendera. Ingin menaiki keretapi bukit.

Dari rumah ke Bukit Bendera mengambil masa tidak sampai satu jam melalui Jambatan Pulau Pinang. Pengunjung ramai seperti hari-hari lain. Tidak terlalu sesak dan tak menunggu lama untuk mendapat tiket. Sudah lama sebenarnya aku tidak menaiki Bukit Bendera. Sejak 13 tahun yang lalu. Perjalanan lebih selesa kali ini berbanding dahulu. Sekejap sahaja sudah sampai ke puncak.

Cuaca di puncak bukit mendung dan sejuk. Tenang dan mendamaikan. Ada pameran dinasour. Sambil menikmati panorama Pulau Pinang dari puncak bukit, aku masuk juga membawa anak-anak melihat pameran dinasour. Sempat merakam beberapa gambar untuk kenang-kenangan. Bukan senang nak datang. Mungkin bila datang lagi tidak lagi dapat bersama semua anak-anak. Anak-anak bila dah besar nanti tak nak ikut lagi.

Selepas menghabis masa di puncak bukit dan bersolat di masjid puncak bukit, anak-anak sudah mula minta turun untuk mencari makan. Maklum sahaja sudah hampir pukul 2.00 pm. Dah lapar.Perjalanan turun juga lancar. Sampai di kaki bukit terus ke kereta dan menuju ke Penang Road. Mencari-cari kedai makan dan akhirnya singgah di restoran nasi briani Hameediyah. Selepas makan berjalan-jalan pula  di Penang Road. sambil melihat baju dan tudung yang dijual di Penang Road. Anak-anak kemudiannya mengajak ke pasar Chowrasta untuk mencari novel-novel yang dijual murah.

Selepas itu bertolak pula ke Pantai Seagate di Bayan Lepas. Pantai Seagate yang mengadap Pulau Jerjak mendapat gelaran sempena nam kilang Seagate yang berdekatan dengan pantai tersebut. Pada masa dahulu sebelum 1998 kilang Seagate memang terkenal mengambil beribu-ribu pekerja dari segenap kampung di Pulau Pinang, Kedah dan Perak Utara untuk bekerja di situ dengan gaji yang mahal berbanding kilang-kilang yang lain. Ramai yang bekerja di situ. Van-van kilang mengangkut perkerja dari Baling, Sik, Gerik, Batu Kurau, Gunung Semanggol malahan ada yang lebih jauh lagi.  Pantai itu yang menjadi persinggahan gadis-gadis kilang ini bila habis waktu bekerja. Mungkin ramai yang dah berkahwin dan beranak pinak sekarang. Kilang Seagate masih wujud sekarang tetapi pekerjanya tidak lagi seramai dahulu.

Sekarang latarbelakang pantai tersebut kelihatan Jambatan Kedua Pulau Pinang yang memanjang dari Batu Maung ke Batu Kawan. Memang aku bercadang nak melalui Jambatan Kedua ini tetapi belum ada pelunag kerana jambatan ini belum dibuka kepada orang ramai. Singgah di pantai sempat menikmati laksa dan cendol Penang yang penuh satu mangkuk berbanding yang dijual di Bangi.

Pesta Pulau Penang satu lagi tarikan ke Pulau Pinang pada musim cuti sekolah ini. Rancangan asal memang nak singgah ke Pesta Pulau Pinang tetapi oleh sebab masa masih awal dan pesta pula hanya mula dibuka pada pukul 6.30 petang, rancangan ini akhirnya tidak jadi. Anak-anak pula dah mula bosan dan ajak pulang. Akhirnya pulang ke rumah tanpa pergi ke Pesat Pulau Pinang. Bila pulang jalan ke Sungai Nibung iaitu tapak pesta pula jem dan sesak.

Hari ke empat aku lebih banyak menghabis masa di kampung di sebelah pagi. Menikmati keindahan dan kedamaian di kampung.  Pada sebelah petang pulang ke Serdang, Kedah bertanya  khabar adik beradik di sana. Minta maaflah tak sempat nak pergi semua rumah. lain kalilah singgah.

Hari ke lima bertolak pulang semula ke Bangi. Singgah sekejap di Seberang Jaya untuk membeli jeruk madu Pak Ali. Di mana-mana sekarang terdapat kedai menjual jeruk madu Pak Ali. Keluarga Pak Ali dah berjaya mengembang empayar perniagaan jeruk madu secara francais. Katanya bila makan banyak mana pun jeruk Pak Ali ini tidak batuk tidak seperti jeruk yang dahulu.

Aku makan jeruk Pak Ali, batuk juga tetapi tak seteruk batuk-batuk yang dahulu. Ramai juga penjual jeruk yang mengaku saudara mara Pak Ali.

Hari ke lima aku dan keluarga bertolak pulang ke Bangi. Dalam perjalanan sudah ada yang menghantar message. Nak berjumpa. Nampaknya tidak boleh berehat panjang bila sampai di rumah nanti.

Bila balik ke kampung terasa seronok pula untuk  tinggal di kampung. Malahan suami sudah membeli tanah di kampung. Sesuai untuk membuat rumah. Mungkin suatu hari nanti aku akan pulang ke kampung juga Tinggal di kampung yang indah, damai dan permai.

Bisnes menjahit boleh dilakukan di mana-mana. Begitu juga bisnes online.

Beberapa gambar kenangan bercuti di kampung.


Kampung yang indah dan permai dan hujan setiap hari


Mengail puyu dan haruan

Selamat Datang Ke Bukit Bendera

Panorama indah dari puncak bukit



Pameran di puncak bukit.

Mencari makan dan berjalan-jalan di Penang Road

Mencari buku di pasar Chowrasta dan Singgah di Pantai Seagate. Di belakang pula Jambatan Kedua Pulau Pinang. 

Makanan eksotik. Mungkin di tempat lain dipanggil dengan nama yang lain.

siput lala                                         siput pait

mentarang                                      kulat sisir

No comments:

Post Utama

Kedai Online Nash Fesyen

Post Paling Popular

HAKCIPTA TERPELIHARA NASH FESYEN 2018