Showing posts with label balik kampung. Show all posts
Showing posts with label balik kampung. Show all posts

Tuesday, 15 December 2015

Balik Kampung


Saya akan bercuti mulai hari ini hingga sabtu 15.12.15. Hari ahad saya akan mula masuk ke kedai semula. Sesiapa yang ingin berjumpa minta datang pada hari ahad ini. 

Walaubagaimana pun pekerja saya masih bekerja seperti biasa. Untuk pertanyaan masih boleh telefon atau whatsapp/sms kepada saya. 

Saturday, 14 March 2015

Balik Kampung


Saya akan balik kampung mulai hari Ahad, 15.3.2015 hingga Khamis ini, 19.3.2015. Sebarang pertanyaan mengenai tempahan menjahit boleh hubungi no telefon saya. InshaAllah saya akan cuba menjawab. 

Sebarang tempahan yang belum siap saya minta tangguh dahulu. Tak sempat nak siapkan semua. Saya akan cuba siapkan secepat mungkin selepas ini. Jika ada tempahan yang sudah lama dibuat harap maklumkan kepada saya. Mungkin saya terlepas pandang. 

Sudah lama saya tak pulang ke kampung sejak hari raya haji yang lepas. Beberapa kali cuti sekolah termasuk pada bulan Disember yang lepas terpaksa saya tangguhkan kerana memberi keutamaan kepada tempahan pelanggan. Saya bekerja siang dan malam untuk siapkan tempahan. Saya perlu berhenti sebentar dari menjahit untuk melawat dan bertanya khabar keluarga di kampung. InshaAllah setiap tempahan akan disiapkan dengan kadar segera selepas saya balik semula ke sini nanti. Sabar ya.

Aktiviti menjahit saya selepas ini akan menjadi lebih sibuk kerana tempahan  untuk hari raya 2015 sudah mula diterima. Tidak kurang juga yang sudah booking dari awal. Beberapa gulung kain untuk tempahan shawl juga sudah sedia menanti. 

Balik ke kampung adalah peluang saya untuk berehat sekejap dari menjahit. Masa untuk saya melawat saudara mara dan membawa anak berjalan-jalan. 

Blouse dan shawl instant yang saya sempat siapkan untuk saya pakai semasa pulang ke kampung nanti. Jika setiap hari saya menjahit untuk pelanggan, perlu juga sesekali menjahit untuk diri sendiri pula. 






Jumpa lagi pada Jumaat ini.

Friday, 3 October 2014

Balik Kampung


Saya akan balik kampung mulai hari ini, 3/10/14 sehingga Isnin, 6/10/14. Kalau nak datang ke rumah saya harap dapat tangguh dahulu sehingga selasa minggu depan. Sebarang pertanyaan boleh hubungi saya. InshaAllah saya akan cuba menjawab.

Saya tidak bercuti panjang kerana perlu kembali semula ke rumah di Bangi kerana anak-anak bersekolah. Seorang ambil UPSR. Seorang lagi tingkatan tiga.

Jika ada baju, tudung dan shawl yang sudah lama dihantar kepada saya tetapi belum diterima harap hubungi saya. Mungkin saya terlepas pandang.

Sebab itu saya perlu kembali ke sini. Ada projek besar membuat tudung dan shawl sedang menanti saya.

Kali ini tak ada update untuk baju dan tudung untuk pakai sendiri. Tak sempat nak siapkan.

Tuesday, 12 August 2014

Kembali Menjahit

Akhirnya saya kembali semula ke Bandar Baru Bangi selepas bercuti seminggu di kampung. Sebenarnya saya sudah balik ke Bandar Baru Bangi sejak 3 Ogos yang lepas. Hari sabtu. Berhenti sekejap menulis blog. Sibuk melayan tetamu dan pelanggan yang datang ke rumah.  Di samping itu juga memenuhi undangan rumah terbuka hari raya dari kawan-kawan dan jiran-jiran. Menjahit sudah bermula sebaik sahaja tiba di rumah.

Sepatutnya saya mula mengadakan kelas menjahit tudung pada hari sabtu yang lepas. Sudah ada perserta yang booking tetapi saya minta tangguh dahulu kerana hari sabtu ada banyak jemputan rumah terbuka aidil fitri.

Perjalanan balik semula ke rumah sendiri tidak jem. Lancar sahaja. Walaupun bertolak jam 2.00 petang masih mampu sampai Bangi sebelum maghrib. Tidak seperti semasa balik kampung seminggu sebelum itu 12 jam dalam perjalanan.

Perkara pertama yang dilakukan apabila sampai di rumah adalah mengemas rumah. Maklum sahaja nak menyambut raya di rumah sendiri. Tudung kusyen sudah lama tak bersarung perlu dijahit dahulu. Kain untuk tudung kusyen sudah dibeli dua bulan sebelum raya tetapi tidak ada ruang dan masa langsung untuk menjahit. Terpaksalah menjahit apabila tiba semula di rumah selepas balik kampung.

Walaupun hari raya baru sahaja berlalu pertanyaan untuk menjahit baju, tudung dan shawl datang tidak berhenti-henti. Antaranya yang diterima adalah untuk jahit baju kurung. Ingatkan nak rehat dahulu seminggu di rumah tetapi sudah ada yang datang hantar kain untuk tempahan baju kurung dan tudung. Nak cepat pula tu dalam seminggu. Begitu juga tempahan jahit shawl. Seolah-olah menunggu sahaja selepas raya untuk buat tempahan menjahit. Mungkin semasa bulan puasa tidak sempat hantar kerana tempahan sudah ditutup.

Projek menjahit selepas raya semakin banyak diterima terutamanya untuk jahit tepi shawl dan tudung. Pertanyan demi pertanyan diterima setiap hari. Ramai yang mungkin baru menjumpai blog ini mula mempunyai idea untuk menjalankan bisnes shawl dan tudung. Bisnes begini tidak bermusim. Boleh dijalankan sepanjang masa. Tidak hanya pada hari perayaan sahaja.

Entri ini sebenarnya lebih kepada untuk mencerita kenangan menyambut hari raya di kampung dan menghadiri rumah terbuka aidilfitri. Agak terlewat tetapi masih dalam bulan syawal.

Perkara yang paling nikmat sekali apabila balik kampung adalah apabila dapat berjumpa sanak saudara dan kawan-kawan. Waktu yang terbaik adalah sewaktu hari raya kerana kebiasaannya ramai yang akan balik kampung. Kalau hari-hari biasa yang lain susah untuk berjumpa. Sebab itulah balik kampung pada hari raya suatu kemestian. Pada waktu tersebut boleh dianjurkan majlis reunion bersama-sama kawan sekolah kerana ramai yang pulang ke kampung.

Bagi mereka yang berkerja jauh di perantauan dan jarang-jarang pulang ke kampung akan lebih terasa nikmatnya kerana sudah lama tidak lama bersua muka dengan keluarga dan kawan-kawan di kampung tentu perasaan rindu begitu mendalam sekali. Apabila jarang-jarang berjumpa semakin ramai yang ingin bertanya khabar dan kemesraan akan terasa apabila berjumpa semula. 

Begitulah untungnya bila berada jauh di perantuan. Semuanya terasa rindu ingin berjumpa. Semakin jauh dari keluarga semakin terasa nikmatnya apabila pulang ke kampung. Saya sendiri pernah merasainya apabila berada di Sabah dahulu.

Apabila sudah berjumpa dengan saudara mara, jiran dan kawan-kawan banyaklah cerita yang keluar. Berkenaan anak-anak, keluarga, kisah-kisah masa dahulu dan juga perkara-perkara semasa. Bagi saya sendiri rasanya seperti tidak cukup masa untuk berbual. Terlalu banyak untuk dibualkan. Maklum sahajalah sudah lama tidak berjumpa terutamnya kawan-kawan sekolah. Setiap hari tidak ada masa yang terluang. Semuanya dipenuhi dengan mengunjungi saudara mara dan jiran-jiran.

Selain itu juga tidak melepas peluang menghadiri reunion anjuran kawan sekolah di Sekolah Menengah Serdang. Juga menghadiri majlis kenduri kahwin yang diadakan pada minggu itu juga.

Sambil kunjungmengunjung ada juga yang bertanya tentang tempahan jahit tudung dan shawl. Terus ambil peluang mempromosi tudung dan shawl. Laku juga dua tiga helai. Yang tak syoknya bila disebut tentang harga dengan spontan dijawab.

 "Tak boleh dapat ka harga adik beradik?" Ini yang jadi serba salah.

Gambar di bawah adalah kenangan sepanjang syawal 2014.
Masak ketupat

Bergaya dengan baju raya dan shawl di kampung

Majlis kenduri kahwin

Anak-anak

Reunion kawan-kawan Sekolah Menengah Serdang, Kedah

Rumah terbuka aidilfitri kawan-kawan sekolah

Thursday, 15 May 2014

Baju Mini Kurung Kedah


Baju mini kurung kedah ini saya buat untuk saya pakai untuk majlis kenduri di kampung nanti. Potongannya yang pendek sesuai juga dipakai dengan seluar jika tidak mahu dipakai bersama kain. Oleh sebab itulah saya membuatnya menjadi pendek seperti baju kedah atau blouse. Itu untungnya jadi tukang jahit boleh design sendiri macam mana fesyen yang kita hendak. Baju ini pun baru hari ini siap jahit akan dipakai bersama dengan shawl butterfly warna biru turqois yang juga baru siap jahit hari ini.

Sebenarnya saya akan pulang ke kampung hari ini kerana ada majlis kenduri kahwin kakak saya untuk anaknya yang sulung. Majlis kenduri adalah pada hari esok, hari sabtu di Bandar Baharu, Kedah. Saya akan balik kampung mulai hari ini dan akan pulang semula ke Bandar Baru Bangi pada hari ahad, mungkin sampai rumah pada hari ahad malam.

Kepada sesiapa yang nak datang rumah minta tangguh dahulu sehingga minggu depan. Kalau datang pun saya tak ada di rumah.

Anak-anak pun tanya juga baju depa tak mahu buat sama ka? Pakai sahaja baju lama. Tak sempat nak buat.

Friday, 21 March 2014

Balik Kampung

Saya akan bercuti di kampung sehingga hari Rabu, 26 Mac 2014. Segala panggilan/sms/whatsapp/pm dan sebarang pertanyaan masih akan dijawab seperti biasa.

Jangan datang ke rumah sehingga hari Rabu ini . Saya tidak ada di rumah. Urusan menjahit akan saya berhenti buat seketika.

Segala urusan berkaitan pembelian boleh dilakukan seperti biasa tetapi produk hanya akan dipos pada hari Khamis, 27 Mac 2014.

Kepada pelanggan saya yang belum saya sempat siapkan tempahan, saya minta maaf kerana tak boleh siapkan cepat. InsyaAllah selepas kembali ke sini semua saya akan siapkan secepat mungkin.  

Kepada yang terlalu lama menunggu tempahan saya, harap boleh hubungi saya semula. Mungkin saya terlepas pandang.

Jumpa Lagi Hari Khamis Ini.

Pulang ke kampung nanti, saya sempatkan siap jubah dan tudung labuh berdagu untuk emak mertua. Juga untuk kakak saya sehelai tudung labuh 3 layer. Semuanya hadiah dari saya apabila sampai di kampung nanti.

jubah untuk emak

tudung labuh untuk emak

tudung labuh 3 layer untuk kakak

Friday, 6 December 2013

Kenangan Bercuti Di Kampung Disember 2013

Perjalanan pulang ke kampung dari Bangi lancar dan laju. Begitu juga perjalanan balik. Tidak seperti pulang ke kampung pada aidilfitri yang lepas. Sesak dan perlahan.

Sepanjang perjalanan awan mendung. Sejuk dan tenang. Kadang kala hujan rintik-rintik turun. Dalam perjalanan hanya sekali singgah untuk solat dan makan. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 5 jam.

Hari pertama banyak menghabis masa di kampung. Kampung seperti dahulu juga. Tidak banyak perubahan. Cuma kali ini musim padi menghijau dan hujan setiap hari.

Anak-anak dibiarkan bebas. Bermain dengan sepupu-sepupu dan anak kampung yang lain. Meranduk sawah padi, memancing ikan dan bermain sepanjang hari.

Sebenarnya aku pulang ke kampung suami di Seberang Perai. Kampung ini seperti kampung ku sendiri. Sejak berkahwin aku sudah tinggal di kampung ini hampir 7 tahun. Aku juga mengenali ramai orang kampung. Tinggal berdekatan dengan rumah mertua. Selang beberapa rumah sahaja. Tidak jauh sangat. Kelui pun dengar.

Kampung aku sendiri di Serdang, Kedah hanya singgah sekejap menjenguk adik beradik dan bertanya khabar. Tidak seperti dahulu sewaktu emak dan ayah masih ada. Selalu pulang bermalam.

Hari kedua pula di kampung aku mula berjalan-jalan melawat jiran-jiran  di Sungai Petani. Aku tinggal di Sungai Petani iaitu rumah sendiri hampir 10 tahun. Terlalu banyak jiran-jiran yang bertanya. Bila nak singgah ke rumah?. Minta maaflah. Tak sempat singgah semua. Petang pula aku rumah kakak di Kuala Ketil. Malam baru pulang.

Hari ketiga anak-anak sudah mula bertanya. Bila nak pergi ke Bukit Bendera? Bangun pagi langit cerah. Matahari mempamerkan wajahnya yang manis. Anak-anak makin teruja untuk ke Bukit Bendera. Ingin menaiki keretapi bukit.

Dari rumah ke Bukit Bendera mengambil masa tidak sampai satu jam melalui Jambatan Pulau Pinang. Pengunjung ramai seperti hari-hari lain. Tidak terlalu sesak dan tak menunggu lama untuk mendapat tiket. Sudah lama sebenarnya aku tidak menaiki Bukit Bendera. Sejak 13 tahun yang lalu. Perjalanan lebih selesa kali ini berbanding dahulu. Sekejap sahaja sudah sampai ke puncak.

Cuaca di puncak bukit mendung dan sejuk. Tenang dan mendamaikan. Ada pameran dinasour. Sambil menikmati panorama Pulau Pinang dari puncak bukit, aku masuk juga membawa anak-anak melihat pameran dinasour. Sempat merakam beberapa gambar untuk kenang-kenangan. Bukan senang nak datang. Mungkin bila datang lagi tidak lagi dapat bersama semua anak-anak. Anak-anak bila dah besar nanti tak nak ikut lagi.

Selepas menghabis masa di puncak bukit dan bersolat di masjid puncak bukit, anak-anak sudah mula minta turun untuk mencari makan. Maklum sahaja sudah hampir pukul 2.00 pm. Dah lapar.Perjalanan turun juga lancar. Sampai di kaki bukit terus ke kereta dan menuju ke Penang Road. Mencari-cari kedai makan dan akhirnya singgah di restoran nasi briani Hameediyah. Selepas makan berjalan-jalan pula  di Penang Road. sambil melihat baju dan tudung yang dijual di Penang Road. Anak-anak kemudiannya mengajak ke pasar Chowrasta untuk mencari novel-novel yang dijual murah.

Selepas itu bertolak pula ke Pantai Seagate di Bayan Lepas. Pantai Seagate yang mengadap Pulau Jerjak mendapat gelaran sempena nam kilang Seagate yang berdekatan dengan pantai tersebut. Pada masa dahulu sebelum 1998 kilang Seagate memang terkenal mengambil beribu-ribu pekerja dari segenap kampung di Pulau Pinang, Kedah dan Perak Utara untuk bekerja di situ dengan gaji yang mahal berbanding kilang-kilang yang lain. Ramai yang bekerja di situ. Van-van kilang mengangkut perkerja dari Baling, Sik, Gerik, Batu Kurau, Gunung Semanggol malahan ada yang lebih jauh lagi.  Pantai itu yang menjadi persinggahan gadis-gadis kilang ini bila habis waktu bekerja. Mungkin ramai yang dah berkahwin dan beranak pinak sekarang. Kilang Seagate masih wujud sekarang tetapi pekerjanya tidak lagi seramai dahulu.

Sekarang latarbelakang pantai tersebut kelihatan Jambatan Kedua Pulau Pinang yang memanjang dari Batu Maung ke Batu Kawan. Memang aku bercadang nak melalui Jambatan Kedua ini tetapi belum ada pelunag kerana jambatan ini belum dibuka kepada orang ramai. Singgah di pantai sempat menikmati laksa dan cendol Penang yang penuh satu mangkuk berbanding yang dijual di Bangi.

Pesta Pulau Penang satu lagi tarikan ke Pulau Pinang pada musim cuti sekolah ini. Rancangan asal memang nak singgah ke Pesta Pulau Pinang tetapi oleh sebab masa masih awal dan pesta pula hanya mula dibuka pada pukul 6.30 petang, rancangan ini akhirnya tidak jadi. Anak-anak pula dah mula bosan dan ajak pulang. Akhirnya pulang ke rumah tanpa pergi ke Pesat Pulau Pinang. Bila pulang jalan ke Sungai Nibung iaitu tapak pesta pula jem dan sesak.

Hari ke empat aku lebih banyak menghabis masa di kampung di sebelah pagi. Menikmati keindahan dan kedamaian di kampung.  Pada sebelah petang pulang ke Serdang, Kedah bertanya  khabar adik beradik di sana. Minta maaflah tak sempat nak pergi semua rumah. lain kalilah singgah.

Hari ke lima bertolak pulang semula ke Bangi. Singgah sekejap di Seberang Jaya untuk membeli jeruk madu Pak Ali. Di mana-mana sekarang terdapat kedai menjual jeruk madu Pak Ali. Keluarga Pak Ali dah berjaya mengembang empayar perniagaan jeruk madu secara francais. Katanya bila makan banyak mana pun jeruk Pak Ali ini tidak batuk tidak seperti jeruk yang dahulu.

Aku makan jeruk Pak Ali, batuk juga tetapi tak seteruk batuk-batuk yang dahulu. Ramai juga penjual jeruk yang mengaku saudara mara Pak Ali.

Hari ke lima aku dan keluarga bertolak pulang ke Bangi. Dalam perjalanan sudah ada yang menghantar message. Nak berjumpa. Nampaknya tidak boleh berehat panjang bila sampai di rumah nanti.

Bila balik ke kampung terasa seronok pula untuk  tinggal di kampung. Malahan suami sudah membeli tanah di kampung. Sesuai untuk membuat rumah. Mungkin suatu hari nanti aku akan pulang ke kampung juga Tinggal di kampung yang indah, damai dan permai.

Bisnes menjahit boleh dilakukan di mana-mana. Begitu juga bisnes online.

Beberapa gambar kenangan bercuti di kampung.


Kampung yang indah dan permai dan hujan setiap hari


Mengail puyu dan haruan

Selamat Datang Ke Bukit Bendera

Panorama indah dari puncak bukit



Pameran di puncak bukit.

Mencari makan dan berjalan-jalan di Penang Road

Mencari buku di pasar Chowrasta dan Singgah di Pantai Seagate. Di belakang pula Jambatan Kedua Pulau Pinang. 

Makanan eksotik. Mungkin di tempat lain dipanggil dengan nama yang lain.

siput lala                                         siput pait

mentarang                                      kulat sisir

Friday, 29 November 2013

Berhenti Sekejap Menjahit & Bercuti Di Kampung

Saya akan bercuti dan pulang ke kampung mulai hari ini sehingga hari Rabu (4/12/2013). Segala urusan menjahit akan diberhenti sementara sehingga Rabu ini.

Jangan datang ke rumah mulai hari ini senhingga rabu. Segala panggilan/sms/whatsapp/pm masih akan dilayan seperti biasa. Tempahan masih boleh dibuat tetapi untuk dapat cepat tak boleh la.

Segala tempahan melalui Kedai Online Nash Fesyen akan dihantar pada hari Khamis. Jika ada pertanyaan boleh hubungi saya.

Jumpa Lagi Hari Khamis Ini.

Hasil jahitan blouse di bawah untuk baju saya sendiri. Tudung tak sempat nak jahit. Baju anak-anak pun tak sempat nak buat.

Banyak yang menanti selepas balik bercuti.




Post Utama

Kedai Online Nash Fesyen

Post Paling Popular

HAKCIPTA TERPELIHARA NASH FESYEN 2018