Monday 30 September 2013

Shawl Half Moon Berawning

Saya mendapat tempahan menjahit shawl half moon berawning dari pelanggan dari Sabah. Jika tuan/puan berminat untuk menjahit sendiri shawl half moon berawning sendiri ikut sahaja panduan yang saya berikan dalam post sebelum ini. Untuk menjahit shawl half moon lihat disini : Cara Jahit Shawl Half Moon 2 Layer dan untuk menjahit awning lihat di sini: Panduan Tukar Sendiri Awning Tudung.

Saya baru sahaja menyiapkan shawl half moon berawning seperti gambar di bawah.


Shawl half moon berawning kaler hijau


Shawl half moon berawning kaler purple


Shawl half moon berawning kaler biru

Tempahan Menjahit Jubah Dress Moden

Jubah dress moden merupakan pakaian labuh dan longgar yang kini boleh didapati dengan pelbagai rekabentuk dan fesyen. Kalau dahulunya pakaian seperti jubah ini hanya dipakai oleh golongan tertentu sahaja terutamanya ketika menghadiri kuliah ilmu. Kini dengan fesyen terkini dress moden ini mula dipakai untuk majlis-majlis yang lain juga termasuk juga sebagai pakaian di tempat kerja.

Walaupun ada tanggapan jubah hanya sesuai untuk wanita dewasa dan hanya dipakai oleh wanita berusia 40 tahun ke atas tetapi dengan rekabentuk dress moden terkini remaja mula terpikat untuk memakai pakaian jenis jubah dress moden ini.

Mengapa memilih dress? Kerana ianya selesa dan longgar menyebabkan ia menjadi pilihan pemakai. Pakaian ini bukan sahaja sesuai untuk ke majlis ilmu lagi tetapi untuk sebarang majlis.

Kali ini saya tunjukkan dress moden yang telah siap dijahit untuk pelanggan. Kain yang menjadi pilihan pelanggan saya ini adalah dari jenis lycra.

Kenapa Lycra? Kerana kain jenis ini adalah ringan, lembut, terletak cantik, tak mudah renyuk dan boleh dibasuh dengan mesin basuh dan tak perlu hantar dobi. Malahan masih nampak kemas walaupun tanpa diseterika.

Pemakainya juga merasa selesa kerana pakaiannya lembut, tak panas dan tak mudah berkedut.

Ramai tukang jahit tidak begitu berminat menerima tempahan untuk kain jenis lycra ini  kerana sifat kain itu sendiri bersifat elastik dan susah untuk dijahit dengan mesin jahit. Alhamdulillah mesin saya setakat ini tidak ada masalah dan masih boleh menerima kain jenis lycra ini tanpa perlu menukar jarum dan tak berkedut.

Ada juga  yang berpendapat kain lycra ini tidak begitu sesuai dijadikan pakaian muslimat kerana menampakkan bentuk tubuh badan jika dipakai. Ini adalah kerana sifatnya yang mudah meregang (elastik) mudah menampakkan tubuh badan terutamanya jika dipakai dengan sendat. Terpulanglah kepada diri masing-masing bagaimana hendak menggayakan dress ini sama ada dengan mengenakan pakaian dua lapis atau memastikan ukuran yang sesuai sebelum menjahit dan tidak sendat.

Gambar di bawah adalah contoh dress moden yang sudah siap dijahit untuk pelanggan saya.

Dress moden

Dress moden

Dress moden

Dress moden

Dress moden

Saturday 28 September 2013

Jahit Tudung, Shawl, Memahami Kehendak Pelanggan

Pelanggan mahu kelainan dan keunikan kepada produk mereka. Sebab itu mereka memilih tukang jahit untuk menjahit tudung atau shawl mereka. Ini tidak dapat dilakukan kalau membeli secara borong.

Sebagai tukang jahit aku perlu memahami kehendak pelanggan. Sebab itu pelanggan aku biasanya datang ke rumah untuk berbincang. Pilihan dan padanan warna, ukuran, corak, rekabentuk dan macam-macam lagi perlu dibincang. Kadang-kadang memeningkan kepala aku sebagai tukang jahit. Kehendak pelanggan perlu difahami tetapi semua ini memberi aku kemahiran dalam selok belok fesyen tudung dan shawl terkini. Semuanya memerlukan kesabaran dan ketekunan.

Kadang-kadang permintaan pelanggan juga amat mengelirukan. Aku perlu berhati-hati semasa memotong dan menjahit. Kalau silap potong kain mungkin kena ganti balik. Rugilah duit dan masa aku. Biasanya aku tidak ada masalah untuk menjahit pelbagai jenis bentuk dan fesyen selendang. Kalau perkara yang diminta susah diikuti aku akan memberi nasihat untuk kesenangan aku sebagai tukang jahit. Yang penting bagi aku pelanggan berpuas hati, kehendak mereka di ikuti dan mereka datang lagi untuk menjahit.

Itulah sebenarnya kelebihan menghantar tudung, shawl atau selendang kepada tukang jahit. Yang paling mudah bagi aku bila pelanggan kata 'ikut suka Kak Ros nak buat macam manapun'. Nota-nota di bawah adalah contoh nota dari pelanggan untuk aku ikut.


Pelbagai jenis kain

Nota untuk diikuti

Kehendak fesyen pelanggan

Nota pelanggan

Friday 27 September 2013

Menjahit Baju Kurung Berlace

Dahulunya saya mempunyai sebuah mesin sulam. Akhirnya setelah lama memberi khidmat, saya menjualnya kerana tidak mampu lagi membuat bermacam-macam kerja dalam satau-satu masa. Memang sentiasa ada tempahan baju kurung bersulam ini tetapi saya tidak cukup masa untuk membuatnya.

Jika sekarang kalau ada yang bertanya, saya lebih suka mencadangkan supaya baju kurung dijahit bersama dengan border lace. Walaupun harga border lace agak mahal sehinga ada yang sampai beratus-ratus ringgit untuk sehelai baju tetapi memang menarik dan berseri jika dijahit bersama dengan baju kurung.

Kain lace yang juga dikenali sebagai kain renda biasanya diletak di pergelangan tangan baju, kaki baju dan bahagian dada baju. Kain lace mempunyai kerawang dan pola berlubang-lubang bukan sahaja ditampal di baju kurung tetapi juga boleh ditampal di kain, bantal, tudung dan lain-lain. Untuk jahit kain lace ini sebenarnya tidak susah hanya menggunakan jahitan tangan sahaja.

Pakaian berlace sudah lama popular terutama sekali di Barat sejak zaman berzaman lagi. Pakaian berlace menjadi pakaian yang digayakan di majlis-majlis perkahwinan. Malahan pakaian berlace ini pernah ditempah oleh Ratu Victoria untuk majlis perkahwinannya sehingga menyebabkan permintaan terhadap pakaian berlace meningkat selepas itu di England dan digemari oleh wanita-wanita di Barat.

Dahulunya pakaian berlace ini dianggap pakain orang tua-tua dan tidak diminati oleh golongan muda. Golongan muda pada masa itu tidak begitu berminat dengan corak renda-renda dan pola yang berlubang-lubang pada kain. Kini dengan pelbagai jenis gaya dan corak menjadikan pakaian berlace mula mendapat tempat dan menjadi gaya popular terutamanya untuk dipakai pada majlis-majlis keramaian tertentu.

Dalam dunia fesyen di Barat kain lace dipilih untuk membuat gaun malam. Pemakainya akan kelihatan seksi apabila memakainya, juga transparent hingga menampakkan kulit pemakainya jika tidak ada kain lining di dalamnya. Antara yang memakai pakaian  berlace adalah mereka yang popular seperti Kate Middleton Duchess of Cambridge pada hari perkahwinannya. Lady Diana dan juga Madonna juga pernah memakainya.

Banyak lagi cerita dan sejarah lace boleh diikuti di sini.

http://en.wikipedia.org/wiki/Lace
http://www.theguardian.com/fashion/gallery/2011/oct/19/a-brief-history-of-lace

Saya lebih suka pelanggan membeli sendiri border lace pilihan mereka sendiri suapaya tidak ada komplen sepertu upah sepasang baju yang mahal, border lace tak match dengan baju atau lain-lain. Jika ada pelanggan yang berminat, boleh beli sendiri lace di kedai yang jual border lace (ada jual kat kedai reben) mengikut citarasa sendiri dan corak yang disukai. Saya akan jahit bersama baju kurung yang ditempah.

Untuk kelihatan cantik dan menarik border lace mesti dijahit pada kain plain atau kosong supaya dapat disuiapadankan dengan lace.  Untuk sepasang baju kurung pesak dan baju kurung biasanya memerlukan lebih kurang 2  suku meter border lace supaya cukup dijahit pada kaki baju dan pergelangan tangan.

Gambar di bawah adalah tempahan dari pelanggan untuk baju kurung berlace. Pelanggan saya ini memang penggemar border lace.

Baju kurung berlace tempahan
pelanggan

Pelbagai jenis border lace

Pelbagai jenis border lace

Pelbagai jenis border lace

Pelbagai jenis border lace

Baju kurung siap bersulam yang 
ditempah pelanggan




Thursday 26 September 2013

Kualiti Mesin Jahit Tepi

Hari ini mesin jahit tepi biasa aku buat hal lagi. Tak boleh digunakan sebab mata pisau tumpul. Tak boleh potong kain dan benang sepenuhnya. Jahitan nampak tak kemas dan berserabut. Pelanggan aku pula  dah mula telefon nak jubah dan dress siap sebelum hari raya haji ni.  Apa aku boleh buat, nak tukar sendiri mata pisau tak tahu. Jadi kenalah  panggil mekanik mesin jahit  untuk datang baiki.

Aku telefon Alex, mekanik mesin jahit untuk datang baiki. Janji nak datang pukul 11.00 pagi tetapi hampir pukul 3.00 petang baru datang. Aku pun dah tak ada semangat nak buat kerja lain. Akhirnya layan facebook dan tengok TV.

Walaupun mesin masih boleh jahit tetapi kualitinya memang nampak teruk sedikit. Biarpun jahitan tepi biasa ini tidak nampak dari depan baju kerana berada di sebelah dalam kain. Aku memang tak puas hati kerana pelanggan akau mungkin akan complaint. Aku perlu pastikan  pelanggan aku  berpuashati. Itu yang perlu dijaga. kalau pelanggan tahu kualiti jahit tepi aku tak bagus  mungkin mereka tak akan datang lagi. Setakat ini pelanggan aku tak pernah complaint lagi sama ada jahit tepi biasa atau jahit tepi halus.

Selepas tukar mata pisau, akhirnya mesin jahit tepi dapat menjahit dengan kemas semula. Mungkin terlampau kerap aku guna tak berhenti-henti. Pisau pun dah mula tumpul. Mesin perlukan servis. Kena keluar belanja.

Itulah serba sedikit kisah aku hari ini. Gambar di bawah adalah contoh jahitan selepas ditukar mata pisau. Aku harap selepas ini mesin jahit tepi aku tidak mendatangkan masalah lagi kepada aku. Aku perlu teruskan kerja aku sekarang.

Mata pisau mesin jahit

Jahitan sebelah atas  mengguna 2 jarum. Sebelah bawah 
dengan 1 jarum

Sunday 22 September 2013

Jual Shawl Dan Tudung Online Dengan Jenama Sendiri


Datang kepada saya untuk jahit tudung dan shawl dengan label jenama sendiri tanpa bayaran tambahan. Insyallah saya sedia menjahit.

Kenapa perlu jenama sendiri dalam bisnes kita? Ini yang saya nak kongsi untuk entri kali ini.

Apabila saya buat carian melalui google kebanyakan penjual shawl atau tudung di internet yang popular mempunyai kedai online mereka sendiri dan menjual pelbagai jenis tudung dan shawl dengan jenama mereka sendiri. Begitulah sebenarnya yang patut kita lakukan jika hendak berjaya dalam perniagaan. Mempopularkan jenama kita sendiri.

Antara jenama tudung yang popular di pasaran seperti.

Tudung Fareeda yang menjual tudung dengan harga RM100 hingga RM280 ke atas dan mengguna kain chiffon.

Tudung Pearl Haya menjual tudung dengan harga  RM100  hingga RM269  yang mengguna kain jenis Lycra, chiffon, net, corduroy dan denim.

Tudung Ariani menjual tudung dengan harga  RM30 hingga RM1,000 bergantung kepada  jenis kain dan hiasan yang mengguna kain jenis lycra, chiffon dan kapas.

Tudung Ratu  menjual tudung dengan harga  RM50 hinggaRM299 dengan kain jenis chiffon dan lycra

Tudung D’haja menjual tudung dengan harga  RM100 hingga  RM446  dengan kain jenis lycra, denim dan kapas.

Tudung Abu Dhabi dengan menjual tudung labuh pelbagai saiz dan mempunyai nama-nama popular tertentu seperti tudung ala CT dan juga tudung Muhaya Mengambil inspirasi dari tudung pakar mata dan motivasi terkenal Profesor Muhaya Muhammad. Tudung Abu Dhabi juga dipakai dengan inner neck. Juga menjual tudung jenis hoodie, chiffon dan shawl mermaid.

Antara jenama tudung lain yang popular yang saya google di internet seperti tudung aidijuma, tudung inspirasi hana, jelita sara, tudung khadeeja, tudung Al-Humaira, tudung radiusite, tudung sugarscarf dan banyak lagi.

Kebanyakan mereka yang berjaya bermula dengan menjual tudung secara online dan diri situ mereka mula mencipta jenama mereka sendiri.

Mungkin selepas ada tudung jenama nash fesyen pula. Insyaallah.

Mereka mencipta jenama mereka sendiri dan akhir popular.


Kenapa kita perlu mencipta jenama kita sendiri?

Dengan jenama sendiri kita mula membina kredibliti dan profesionalisme. Kredibiliti kita akan meningkat apabila kita mempunyai jenama perniagaan kita sendiri.

Jenama yang baik akan memberi imej awal yang positif, ekslusif dan profesional bagi perniagaan kita.

Dengan jenama sendiri, sebagai penjual kita boleh membentuk kesetiaan pelanggan. Jenama mempunyai pengaruh. Ini peting untuk kita terus hidup dan bersaing. Lihat sahaja tudung fareeda yang berjaya membentuk  kesetiaan pelanggan yang tinggi. Jika ditanya kepada peminat tudung fareeda, mereka tidak akan membeli tudung dari tempat lain kecuali dari fareeda walaupun tudung yang seakan sama dengan kualiti yang hampir sama dan harga yang lebih murah. Fanatik sungguh.

Jenama juga dapat memberi nama atau imej ke atas barangan atau perkhidmatan kita untuk kekal dalam pasaran. Kalau kita tidak ada nama, kita akan tercicir dan ketinggalan. Persepsi pelanggan akan terbina terhadap suatu produk atau perkhidmatan kita jika kita ada jenama. Ini merupakan suatu bentuk hubungan emosi antara penjual dan pelanggan. Lihat sahaja jenama colgate dan maggi.

Jikat kita membeli suatu produk dengan jenama tertentu dan produk itu berkualiti dan kita berpuas hati. Maka persepsi kita terhadap produk tersebut tentunya baik dan semua produk keluarannya juga kita akan anggap baik. Tentunya ita tidak akan membeli dari jenama yang lain.

Insyaallah Nash Fesyen juga mempunyai kualiti produk yang baik. Bolehlah datang lagi.

Apabila jenama kita sudah ada dihati pelanggan. Produk kita yang lain juga akan dibeli pelanggan. Kita boleh keluarkan produk-produk baru kita bila-bila masa sahaja. Tentunya akan laku kerana sudah ada pembeli.

Dengan jenama juga kita dapat mengekalkan hubungan dengan pelanggan di mana ia dapat  mewujudkan suatu ingatan  pelanggan terhadap jenama kita. Bayaran mahal sanggup dibayar demi kerana jenama. Jual harga tudung tiga empat ratus ringgit pun akan dibeli oleh pelanggan.

Dengan jenama juga kita dapat membeza produk yang hampir serupa. Jika kita jual tudung atau shawl, orang lain juga menjual tudung dan shawl tetapi disebabkan oleh  jenama,  produk kita kelihatan berlainan daripada produk yang lain. Tentunya kita akan menang di pasaran.

Jadi tidak hairanlah ramai yang menggunakan artis dan menaja berjuta-juta ringgit sesuatu program hanya kerana jenama. Tidak kurang juga tudung dan shawl.

Jangan lupa hantar kepada saya label jenama tuan/puan untuk saya jahitkan. Sama-sama kita menuju ke arah kejayaan. Insyaallah.


Pelbagai kaler shawl halfmoon



Shawl dengan jenama sendiri



Tuesday 17 September 2013

Buka Kelas Menjahit Tudung Di Bangi

Sejak saya post entry berkaitan panduan menjahit tudung, ramai betul yang berminat untuk menyertai kelas menjahit tudung. Saya bercadang untuk membuka kelas jahit tudung setiap hari sabtu.

Minggu lepas saya dah mula terima 2 orang peserta untuk kelas jahit tudung chiffon 3 layer. Kelas dibuat di rumah saya sendiri di Bandar Baru Bangi.

Sesiapa yang berminat boleh call/sms/whatsapp saya di  017-4315193 atau pm saya di facebook.

Maklumat Kelas Jahitan:

Kelas: Di rumah saya

Maksimum Peserta: Max 3 orang peserta sahaja. Kalau seorang pun saya 'on' juga.

Bahan-Bahan:  Semua akan disediakan oleh saya seperti kain dan bahan-bahan lain. Peserta tidak perlu bawa apa-apa bahan. Mesin jahit juga disediakan. Tudung siap boleh bawa balik.

Masa:  Kelas bermula pada jam 11.30 am dan tiada had masa. Belajar sampai boleh buat tudung. Kalau tak siap boleh datang lagi pada hari lain. Tiada cas tambahan dikenakan.

Makan/Minum:  Makan tengahari dan minum petang disediakan.

Keperluan Lain: Mesti ada asas menjahit/ Pandai mengguna mesin jahit.

Harga Kursus: Sila call/sms/whatsapp/pm saya.

PERCUMA: Saya akan tunjukkan bagaimana cara potong shawl.


Tekun menjahit

Terima kasih Emylia Emy & Habibah 
kerana beri kebenaran untuk kongsi 
gambar. Bergaya dengan tudung 
yang dijahit sendiri

Thursday 12 September 2013

Beli Kain Di Jakel

Dalam minggu ini aku mendapat tempahan untuk tudung berdagu Prof Muhaya, tudung hoodie, tudung lycra berkerongsang, tudung syria dan tudung halfmoon berawning. Aku perlu kumpulkan dahulu semua tempahan ini sebelum aku pergi membeli kain tudung.

Insyallah aku akan membuat tutorial untuk pembaca blog ini iaitu panduan cara menjahit tudung berdagu ala-ala Prof Muhaya, panduan cara menjahit tudung hoodie, panduan cara menjahit tudung lycra berkerongsang dan panduan cara menjahit tudung syria. Insyallah, boleh bookmark blog ini supaya tak kehilangan panduan ini nanti.

Kebiasaannya kalau tempahan tak banyak aku hanya mencari kain di Kamdar Kajang.  Pilihan warna kain tidak banyak di Kamdar Kajang seperti diminta oleh pelanggan.

Hari ini aku ke Jakel Shah Alam untuk membeli kain untuk tempahan yang diminta pelanggan. Aku selalu ke Jakel Shah Alam jika tempahan banyak. Aku akan kumpulkan dulu semua tempahan dan mendapatkan kain sekaligus kerana boleh menjimatkan wang dan masa. Selalunya warna kain yang aku cari tidak pernah menghampakan aku. Oleh kerana itu aku selalu ke Jakel Shah Alam. Sebagai tukang jahit aku biasanya akan mendapat diskaun untuk kain yang aku beli. Itu pun kena kenal dengan pengurus dia dulu, nama dia Razif.

Semasa menunggu aku bertanya juga kakitangan Jakel di situ kalau-kalau Jakel nak buka cawangan kat Bandar Baru Bangi. Mengikut kakitangan tersebut memang ada rancangan untuk buka cawangan Jakel di Bandar Baru Bangi tetapi tak tahu lagi bila. Kalau betul betul jadi, tak perlu lagi aku pergi ke Shah Alam. Boleh jimat duit dan masa aku. Bolehlah aku turun kos jahit tudung nanti. Terdapat beberapa kedai tekstil kat Bandar Baru Bangi tetapi kain untuk tudung tak banyak pilihan. Kalau ada pun harganya memang mahal.

Baru-baru ini aku ada membaca satu artikel di dalam Majalah Keluarga keluaran Sept 2013 berkaitan kisah Datok Mohamad Faroz, Pengarah Urusan Jakel yang berjaya mengembangkan Empayar Jakel seperti sekarang. Baru aku tahu Jenama Jakel ini sebenarnya adalah dari nama pengasasnya sendiri iaitu Mohamed Jakel.

Dalam usia muda lagi Mohamad Faroz telah membantu ayahnya berniaga terutamanya pada hujung minggu dan cuti sekolah. Jika kanak-kanak sebayanya bebas bermain, Mohd Faroz terpaksa akur dengan kehendak bapanya membantu perniagaan Jakel. Segalanya usahanya akhirnya berbaloi keran berjaya mencipta nama Jakel terkenal seperti sekarang. Mengikutnya itu berlaku hampir 27 tahun lamanya.

Datok Hj Mohamad Faroz Mohamed Jakel sekarang berusia 41 tahun. Kini Jakel memiliki 20 cawangan di seluruh negara dengan lebih 5000 kakitangan dan mengendalikan 26 Anak Syarikat di bawah Kumpulan Jakel.

Pada musim perayaan Hari Raya Aidil Fitri yang lalu, Jakel juga  melantik Aaron Aziz sebagai duta Baju Melayu dan koleksi ini dikenali sebagai "Aaron Aziz by Jakel". Koleksi baju Melayu Aaron Aziz ini direka khas dan khusus dengan mengetengahkan kemasan pada leher, poket dan motif corak.

Seperti dilaporkan dalam akhbar Utusan Malaysia, Baju Melayu Aaron Aziz berjaya dijual sebanyak 400,000 pasang di seluruh negara. Suatu strategi perniagaan yang menguntungkan Jakel menggunakan Aaron Aziz, pelakon popular untuk mempromosikan baju melayu.

Inilah cerita inspirasi yang aku kutip untuk pembaca sekelian sebagai perangsang kepada kita untuk membina empayar perniagaan kita sendiri. Insyaallah.


Jakel Shah Alam

Artikel Jakel Dalam Majalah Keluarga

Chiffon Georgette

Chiffon Printed


Lycra Plain

Lycra Printed

Thai Silk

Cordoruy

Saturday 7 September 2013

Tudung Bawal

Tudung bawal

Tudung bawal memang terkenal sejak dahulu lagi dan mengalami beberapa transformasi seiring dengan perubahan fesyen tudung. Dari tudung bawal yang dahulunya tudung bawal kosong atau tudung bawal plain muncul pelbagai jenis tudung bawal dengan fesyen terkini seperti tudung bawal yang bercorak, tudung bawal bersulam, dijahit manik dan  yang dipasang awning supaya mudah dipakai.

Di bawah ini saya kumpulkan beberapa artikel tudung bawal dari beberapa sumber untuk pengunjung blog Nash Fesyen.

Tudung Bawal Kembali Digemari
Sumber Artikel : Uusan Malaysia (20/04/2013)

FENOMENA tudung yang pelbagai jenis, daripada yang mudah dipakai sehinggalah selendang panjang, kesemuanya menjadi pilihan muslimah yang meminati fesyen hijab pada hari ini.

Sebelum tercetusnya fenomena itu, tudung bawal merupakan tudung yang menjadi pilihan kerana mudah dipakai dan senang digayakan dalam sebarang majlis.

Dengan kemunculan pelbagai jenis tudung terbaharu, tudung bawal mulai dilanda zaman malap. Ada yang menganggap tudung bawal adalah tudung ‘budak sekolah’, selain telah lapuk dan tidak mengikuti gaya serta trend terkini.

Namun sejak akhir-akhir ini, fenomena busana Muslim yang sentiasa berkembang telah menyuntik nafas baru kepada penggemar tudung bawal.

Ini dapat dilihat pada pelbagai rekaan, corak dan warna yang lebih cantik di pasaran.

Dengan menggunakan rona-rona menarik dan terkini, rekaan bunga timbul (3D) dan rekaan eksklusif dengan tambahan lace menjadikan ia kembali diminati para penggemar fesyen masa kini.

Baru-baru ini, krew .com dapat melihat sendiri beberapa rekaan dari Butik De Wanie Scarf dan Shawl yang mengetengahkan beberapa rekaan tudung bawal yang menarik.

Gabungan warna yang ceria serta segar menghidupkan kembali ‘tudung budak sekolah’ ke arena yang lebih baik, sekali gus mula mendapat tempat dalam kalangan penggemar busana Muslim. - AMIRUL


Kenali Tudung Bawal
Sumber Artikel: Majalah Nur

Dewasa ini terdapat pelbagai jenis tudung di pasaran sehinggakan ramai yang rambang mata untuk memilih tudung mana yang bersesuaian. Ini termasuklah tudung bawal yang sejak dahulu hingga sekarang sentiasa menjadi pilihan. Ramai wanita Malaysia kini menggemari tudung bawal. Penggemarnya tidak kira usia, tua dan muda, di mana-mana dilihat anggun saja memakai tudung bawal yang mempunyai pelbagai warna. Semak fakta di bawah untuk mengetahui lebih lanjut tentang tudung bawal.

1. Tudung bawal sentiasa menjadi pilihan kerana ia mampu menarik hati sesiapa sahaja kerana terpikat dengan keindahan sulaman yang ada pada tudung bawal. Sulamannya yang halus dan kemas adalah hasil daripada ketelitian dan kesabaran. Ia hadir dalam pelbagai kombinasi warna menarik dan dalam motif bunga-bungaan. Sesuai dengan sifat-sifat kewanitaan.

2. Biasanya tudung bawal ini dibuat daripada kain jenis "voile". Kain jenis "voile" ini adalah berasal daripada kain kapas yang nipis dan lembut. Ia mudah diurus dan dijaga. Terdiri dalam beberapa ketegori, antaranya ialah "Japanese Voile" atau Bawal Jepun, "Korean Voile" atau Bawal Korea dan juga "Siam Voile" atau Bawal Siam.

3. Antara ketiga-tiga jenis kain bawal itu, kain Bawal Jepun lebih popular kerana kualitinya. Kainnya dikatakan tidak berbulu walaupun kerap dipakai dan dicuci. Selain itu, ia mudah dibentuk apabila diletakkan di kepala. Dengan kualiti kain sebegitu elok, tidak hairanlah jika harga untuk tudung bawal daripada jenis ini agak mahal berbanding dengan jenis yang lain.

4. Kain Bawal Korea atau Siam juga mempunyai tekstur kain lembut dan nipis. Ia juga mudah diurus dan dijaga, tetapi mempunyai kelemahan seperti kainnya mudah berbulu apabila kerap dicuci menjadi ia mudah hilang seri kain dan tidak cantik lagi. Oleh sebab itu, harganya lebih murah berbanding kain Bawal Jepun walaupun sulamannya sama-sama cantik.

5. Walau apa pun kategori tudung tudung bawal tidak menjadi masalah kepada pemakai, kerana apa yang penting ialah keindahan sulam pada tudung bawal itu. Fabrik yang baik dan sulaman yang cantik pasti membuatkan si pemakai berasa anggun sentiasa.

Penjagaan Tudung Bawal

Tahukah kamu kain tudung bawal sangat sensitif, tetapi tahan lasak jika kena caranya. Teksturnya yang jarang dan nipis membuatkan fabriknya memerlukan penjagaan supaya ia tahan lama. Cuba ikuti tip-tip ini, mungkin boleh membantu kamu!

1. Gunakan kerongsang yang mempunyai pin tajam dan kekuncinya yang kukuh agar tidak mudah jatuh. Pin yang tajam mengelakkan tekstur kain bawal daripada benangnya tertarik keluar.

2. Jangan sekali-kali mencuci tudung bawal kamu dengan mesin basuh. Lebih-lebih lagi yang mempunyai batu berlian. Selain sulamannya menjadi tidak cantik, ia juga boleh menyebabkan batu-batu berlian yang melekat pada kain tertanggal.

3. Kamu perlu mencucinya hanya menggunakan air yang dicampurkan sedikit sabun pencuci, rendam sekejap dan bolehlah terus membilasnya. Mudah bukan!

4. Untuk mengeringnya, sidai saja di tempat yang kurang terdedah pada cahaya matahari.

5. Jika tudung bawal kamu mempunyai labuci, kamu boleh menggosoknya dengan menggunakan lapik lain atau menggosoknya dari belakang.

6. Akhir sekali, kamu disarankan menggunakan seterika pada suhu yang sederhana sahaja. Kainnya lembut, jadi ia cepat lendek.


Pengayaan Baru Tudung Bawal Buat Kita Keluar Dari Zaman Lampau
Sumber Artikel: dara.karangkraf.com

Oleh: WEB DARA.COM
Tarikh: 11 Jun 2013

Tudung bawal masih tak lapuk dek zaman, masih komersil. Biarpun hadir pelbagai jenis tudung dan trend pada hari ini, bawal masih relevan. Malah kerana minatnya orang ramai terhadap tudung bawal, banyak pembaharuan dan adaptasi baru dilakukan terhadap tudung bawal. Bawal berbatu, empat tone, cekak manik dan bawal pelangi antara beberapa yang boleh meneruskan minat penggemar tudung bawal.

Soalan cepu emas, pernahkah anda terfikir, dari mana asalnya nama tudung ni? Kalau tudung Ombak Rindu, Tudung Nur Kasih tu boleh diteka lagi, ia adaptasi daripada filem. Begitu juga dengan tudung Fareeda, tudung Yuna, Hana Tajima dan sebagainya. Ia diberi nama berdasarkan nama artis atau gaya si pemakai. Tapi kalau tudung bawal pula bagaimana, adakah ia datang daripada nama ikan bawal?

Ha, kalau nak tahu nama tudung bawal ni special sikit. Ia berasal daripada perkataan voile , membawa maksud fabrik yang lembut. Ia kemudian dimelayukan menjadi bawal.  Istilah voile ini berasal daripada Perancis iaitu Veil kerana fabriknya yang ringan. Jadi ia tidak ada kena mengena dengan ikan bawal ya.

Tudung bawal antara trend tudung yang masih bertahan lama meskipun ada banyak persaingan daripada jenis selendang, pashmina, lycra, syria, tudung tiga lapis dan tribal. Malah untuk mengelakkan rasa bosan pengguna, cara pemakaiannya juga dipelbagaikan.

Ada yang menjadikan tudung bawal seakan selendang, dengan gaya semat tudung seperti Hana Tajima. Kemudian ada juga yang menjadikan ia seakan selendang dengan gaya belitan mirip tribal. Begitu juga untuk mereka yang berani berfesyen, menjadikan tudung bawal seakan turban, dengan gaya Yuna.

Bagi yang suka keringkasan pula, tudung bawal boleh dipakai seperti biasa, namun memilih rona-rona warna lebih menarik. Batu yang ditanam ringkas pada tudung juga boleh menyerlahkan imej yang elegan tanpa kelihatan terlalu menonjol. Selain dibuat sendiri, kami terarik juga dengan tudung-tudung bawal yang dipopularkan personaliti terkenal Datin Norjuma Habib menerusi produk Adijuma.

Rasanya Datin Norjuma antara pengusaha yang giat mempertahankan fesyen tudung ini dan berjaya. Apabila kita sebut sahaja tudung bawal, Adijuma antara jenama yang akan kita ingat. Daripada range murah hingga lebih eksklusif ada dalam koleksi Adijuma. Datin Norjuma membuktikan tudung bawal masih trend, masih relevan dan masih lagi komersial.

Apa yang perlu adalah sedikit kepelbagaian corak, warna dan penggayaan yang disesuaikan dengan pakaian. Sedang kami mencari idea tentang pemakaian tudung bawal, terjumpa pula video pemakaian tudung bawal batik 206 koleksi Adijuma. Cubalah tengok-tengok, dan anda akan faham apa maksud kami, bahawa bawal masih belum outdated.




Wednesday 4 September 2013

Cara Jahit Sembat Menggunakan Mesin

Tujuan jahit sembat adalah untuk menjahit kelepet supaya kemas. Jahit sembat ini dijahit di hujung lengan baju dan bawah baju. Hasil jahitan akan nampak kemas dan halus.

Kebiasaannya ramai tukang jahit menjahit sembat hujung lengan dan bawah baju menggunakan jahitan tangan. Ini tentunya lambat dan membuang masa. Di sini saya nak tunjukkan bagaimana kita boleh menggunakan mesin jahit  untuk menjahit sembat ini. Jahitannya kemas dan cepat. Masa pun tidak terbuang.

Lihat contoh di bawah. Benang hitam digunakan supaya nampak jelas cara menjahit.

Lipat kain menggunakan jarum peniti

Lipatan kain tadi sedia untuk dijahit

Sebelum mula menjahit, lipatan kain tadi dilipat sekali 
lagi ke arah bawah

Mulakan jahitan bawah pada hujung kain

Lihat cara menjahit

Hasil jahitan di belakang kain

Hasil jahitan di depan kain

SELAMAT MENCUBA

Monday 2 September 2013

Baju Mini Kurung Moden

Baju kurung memang sinonim dengan wanita melayu. Siapa wanita melayu tidak pernah memakai baju kurung. Semuanya pernah memakainya. Kalau tidak jangan sebut wanita melayu. Pakaian tradisional wanita melayu sejak zaman Kesultanan Melaka lagi.

Baju kurung bukan sahaja diminati oleh wanita melayu tetapi juga wanita dari kaum-kaum lain seperti Cina, India dan kaum-kaum di Sabah dan Sarawak. Baju kurung dipakai di pejabat-pejabat dan menjadi kemestian di majlis perkahwinan orang-orang melayu, majlis pertunangan dan di majlis melibatkan agama Islam. Semasa perayaan hari raya sama ada Aidil Fitri atau Aidil Adha baju  kurung menjadi kemestian wanita melayu. Sekurang-kurangnya setiap wanita melayu mesti menempah baju kurung.

Untuk wanita Islam, baju kurung sesuai dipakai kerana menutup aurat, selesa dan tidak panas.

Baju kurung juga tidak terlepas dari perkembangan fesyen semasa. Dari baju kurung muncul pelbagai jenis fesyen baju kurung berbentuk moden seperti kebarung, baju kurung moden dan juga baju mini kurung moden.

Sebagai tukang jahit, baju kurung adalah baju yang pertama yang perlu dipelajari. Rugilah kalau tidak tahu menjahit baju kurung kerana baju ini sentiasa dipakai untuk diri sendiri dan anak-anak perempuan. Kalau tahu menjahit tentu dapat menjimatkan duit. Baju inilah yang paling banyak menerima tempahan. Saya menerima tempahan menjahit baju kurung yang tidak pernah putus-putus. Inilah 'core business' saya sebenarnya.

Kali ini saya nak tunjukkan baju mini kurung moden yang saya jahit menggunakan pola seperti di bawah.

baju mini kurung moden


pola baju mini kurung (klik untuk besarkan gambar)

Post Utama

Kedai Online Nash Fesyen

Post Paling Popular

HAKCIPTA TERPELIHARA NASH FESYEN 2018