Showing posts with label menetap di Sabah. Show all posts
Showing posts with label menetap di Sabah. Show all posts

Saturday, 28 December 2013

Kenangan Di Sabah

Sudah dua tahun aku meninggalkan bumi Sabah dan menetap di Bandar Baru Bangi. Semuanya meninggalkan kenangan indah yang penuh warna warni.

Mengingat kembali kenangan di Sabah, aku kadang-kadang berfikir bahawa betapa untungnya anak-anak ku dapat hidup di rantau orang dan menimba pengalaman yang amat mahal harganya. Dahulunya bersekolah di Kedah, berpindah dan bersekolah di Sabah dan sekarang di Bandar Baru Bangi. Tentunya banyak yang sudah dipelajari terutamanya sejarah, adat resam dan budaya setempat. Jika ditanya kepada anak-anak ku sekarang kalau berpindah lagi, anak-anak ku sendiri akan berkata, "tukarlah di mana pun, kami tak kisah".

Dulu-dulu semasa menetap di Sungai Petani, bisnes jahit ku sudah lama berjalan. Apabila suami memberitahu akan bertukar ke Sabah, aku berbahagi perasaan antara antara hendak atau tidak. Hendak kerana, aku boleh menetap di tempat orang yang jauh di seberang laut yang tidak pernah ku jejaki selama ini. Tidak pula kerana aku terpaksa memberhentikan bisnes menjahit yang memang sudah mendapat sambutan. Malahan pula terpaksa meninggalka rumah sendiri yang sudah 10 tahun ku diami dan juga terpaksa berjauhan dengan keluarga.

Ditanya pula kepada anak-anak, mereka pada mulanya jika tidak mahu berpindah kerana terpaksa meninggalkan sekolah, kawan-kawan dan keselesaan di rumah sendiri.

Akhirnya keputusan untuk berpindah ke Sabah dibuat dan persediaan mula dilakukan. Suami berpindah dua bulan lebih awal pada bulan November kerana anak-anak masih bersekolah dan suami sendiri  mahu mengurus urusan mencari rumah sewa dan persediaan pertukaran sekolah anak-anak .

Akhirnya berpindah lah aku dan keluarga ke Sabah dengan membawa sekali 3 dari 4 buah mesin jahit yang aku miliki. Kami sekeluarga menetap di Tanjung Aru berdekatan dengan Lapangan Terbang Air Asia dan MAS, juga berdekatan dengan bandar Kota Kinabalu.

Aku memang bercadang untuk meneruskan perkhidmatan menjahit ku tetapi bila tiba di Sabah dengan suasana yang baru aku tidak meneruskan niat itu. Mesin jahit ku hanya aku gunakan untuk menjahit pakaian anak-anak dan juga untuk keluarga sahaja. Masa di Sabah lebih banyak ku habiskan untuk berjalan-jalan ke seluruh pelosok negeri Sabah. Tidak ada promosi langsung berkenaan menjahit.

Kadang-kadang terfikir juga penat sahaja membawa mesin jahit naik kapal dari jauh tetapi jarang menggunakannya. Malahan di Sabah aku sendiri tidak berusaha mencari kain untuk baju dan tudung. Tudung dan baju kebanyakan dibeli yang sudah siap di Wisma Muis, Segama, Sinsuran, Karamunsing dan beberapa Tamu di sekitar Kota Kinabalu dan Putatan.

Setiap bulan ada sahaja tempat dilawati dari timur ke barat, utara ke selatan sehinggalah ke pulau-pulau. Aku sendiri menjadi mahir memandu sendiri di Bandar Kota Kinabalu dan sejauh sehingga ke Kundasang, Ranau dan Poring melalui jalan raya yang berliku-liku dengan banyak tanah runtuh di sana sini. Selain itu juga mengikuti suami yang memandu sehingga Sandakan, Lahad Datu, Semporna sehinggalah ke Tawau di timur Sabah.

Begitu juga sehingga ke Kota Belud, Kota Marudu sehingga ke Kudat di utara Sabah dan di selatan pula melewati Banjaran Crocker sehingga ke Tenom sambil menikmati panorama yang indah di Sabah yang bersulamkan gunung ganang dan hutan tropika.

Setiap tempat menarik dan bersejarah akan disinggahi sekurang-kurang untuk memberitahu saudara mara bahawa tempat ini sudah pernah dijejaki. Antaranya seperti, Gua Gomantong, Rumah Agnes Keith di Sanadakan, penulis buku yang popular "Land Below The Wind", di Sepilok melihat Orang Utan, membeli telur penyu di bandar Sandakan, di Air Panas Poring membawa anak mandi manda, singgah membeli sayur dan cendawan di Kundasang, ke Simpang Mengayau yang popular dengan "Tip Of Borneo", ke Labuk Bay melihat 'proboscis monkey',

Ke kampung Gombizau yang terkenal dengan lebah madu, Kampung Sumangkap dengan pembuatan gongnya, Rumah Panjang kaum Rungus yang mahir dengan manik-maniknya, Banjaran Crocker yang tinggi dan sayup mata memandang, Taman Pertanian Sabah di Tenom menikmati bunga-bunga yang cantik, ke Tamu di Kota Belud dan banyak lagi tempat menarik di sekitar Kota Kinabalu serta singgah di Tamu-Tamu yang begitu banyak di Sabah.

Kadang-kadang membawa keluarga menaiki keretapi dari Kota Kinabalu sehinggalah ke Beaufort dan juga menaiki feri dengan kereta sendiri melalui Menumbok sehinggalah ke Labuan. Kami sekeluarga juga tidak melepas peluang melawat pulau-pulau di sekitar Kota  Kinabalu seperti Pulau Sapi, Manukan dan Mamutik sehinggalah pulau-pulau di sekitar Semporna. Mandi laut dan snorkeling dengan air lautnya yang jernih sehingga kelihatan ikan berenang dan pasir laut yang memutih.

Suaminya tentunya lebih jauh lagi sehingga ke Kalabakan, Maliau Basin, Felda Sahabat sehingga ke Tambisan di Lahad Datu dan juga ke puncak Gunung Kinabalu. Malahan sehingga melintasi sempadan sehingga ke Brunei dan pedalaman Sarawak.

Semuanya menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan.

Berada di Sabah bukan seperti pelancong yang tertumpu ke tempat-tempat tertentu sahaja tetapi banyak perkara yang dipelajari apabila sudah lama di sana, berkawan dengan pelbagai etnik, menghadiri majlis kenduri kahwin sehinggalah urusan sekolah anak-anak semuanya dilalui dengan pengalaman yang menarik.

Anak-anak sendiri mulaberubah percakapan dari bahasa Utara Kedah ke bahasa Sabah akibat pergaulan dengan kawan-kawan di sekolah. Begitu juga sewaktu menyambut hari raya aidilfitri dan aidiladha, kami sekeluarga pernah menyambutnya di Sabah dan terasa sekali bila berjauhan dari keluarga.

Apabila sudah lama menetap di Sabah anak-anak sendiri  sudah dapat menerima cara hidup baharu dan mula merasa seronok dan selesa bergaul dengan rakan rakan dari Sabah sehingga apabila diberitahu akan ditukar semula ke Semenanjung, masing-masing mula berkata tidak mahu dan mahu bersekolah di Sabah lagi.

Kini sudah dua tahun aku menetap di Bandar Baru Bangi. Anak-anak pula sudah dapat menyesuaikan diri dengan sekolah di Bandar Baru Bangi. Kadang-kadang anak-anak bertanya juga, bila lagi nak pergi ke Sabah?

Kalau ke Sabah lagi suatu hari nanti kami sekeluarga hanya akan menjadi seperti pelacong-pelancong yang lain juga tidak akan lagi merasai kenikmatan seperti mana menetap di Sabah dahulu.

Jika pada masa itu aku sudah mempunyai blog banyak lagi yang aku boleh abadikan di dalam blog seperti sekarang tetapi semuanya sudah berlalu. Yang tinggal hanyalah kenangan dengan beberapa gambar yang masih tersimpan untuk dikongsi seperti di bawah.

Anak-anak bersekolah di Sabah



Di sekitar Tanjung Aru



Di sekitar jalan ke Kundasang berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu.



Pulau-Pulau di sekitar Kota Kinabalu - Manukan, Mamutik dan Pulau Sapi dikenali sebagai Taman Tunku Abdul Rahman




Sekitar Semporna - menaiki bot dan mandi di dalam laut yang jernih.



Sepanjang Jalan Ke Kudat

Banyak jagung bakar dijual di sepanjang perjalanan.


Simpang Mengayau - Tip Of Borneo




Sekitar Kudat


Kampung Sumangkap - terkenal dengan pembuatan gong.



Kampung Gombizau - terkenal dengan lebah madu.




Banjaran Crocker



Tenom - Taman Pertanian Sabah, tempat yang perlu dilawati.





Labuan





Melawat Zoo Lok Kawi



Menumbok - Nak pergi ke Labuan dengan kereta perlu melalui Jeti Menumbok. Memandu dari Kota Kinabalu ke Menumbok lebih kurang 3 jam.


Gua Gomantong - Semasa perjalanan ke Tawau singgah di Gua Gomantong tempat burung layang-layang membuat sarang.


Memorial Mat Salleh - dalam perjalanan pulang dari Tenom melalui Keningau singgah sebentar di memorial Mat Salleh pahlawan terbilang.


Post Utama

Kedai Online Nash Fesyen

Post Paling Popular

HAKCIPTA TERPELIHARA NASH FESYEN 2018