Hari raya aidilfitri akan menjelma dalam beberapa hari sahaja lagi. Sepatutnya target saya semua tempahan menjahit akan disiapkan dalam dua minggu sebelum hari raya. Saya perlu membahagi masa untuk terutama dalam dua minggu terakhir ini untuk persediaan menyambut aidilfitri terutamnya untuk siapkan baju raya untuk saya dan anak-anak. Sebaliknya semakin dekat dengan aidilfitri semakin banyak pula pertanyaaan dan tempahan yang dihantar terutamanya untuk tempahan perseorangan.
Tudung dan shawl yang paling banyak dihantar untuk tempahan menjahit. Saya boleh menolaknya tetapi memandangkan pelanggan yang datang adalah pelanggan yang selalu datang memujuk saya untuk menerimanya saya menerimanya juga. Lagi pun masa pun masih ada dan sempat untuk siapkan tempahan. Mungkin selepas membeli baju raya dan kesukaran untuk memilih tudung yang sesuai maka pilihan tudung yang sesuai adalah dengan membeli kain dan menghantarnya untuk dijahit.
Akhir-akhir ini juga ramai yang menghantar untuk potong labuh kain. Untuk potong labuh kain saya masih menerimanya tetapi tidak untuk repair dan kecilkan baju atau kain.
Sekarang saya meletak target baru untuk siapkan semua tempahan iaitu sehingga ahad ini. Selepas itu saya akan berehat panjang dan balik kampung sehinggalah seminggu selepas raya akan mula beroperasi semula. Sudah ramai yang bertanya terutamanya untuk tempahan pukal shawl, tudung dan kelas menjahit.
Tudung di atas adalah tudung twist soft awning dari kain moss crepe. Saya pernah tunjukkan cara menjahit tudung labuh berdagu dalam blog ini dan caranya lebih kurang sama sahaja cuma tudung ini tanpa pelapik dagu. Boleh juga guna material lyca untuk menjahit tudung ini dan meletak pelapik dagu sebagai mana tutorial yang saya tunjukkan sebelum ini. Pelbagai warna tudung dari pelanggan saya ini memberi banyak pilihan untuk warna dan corak baju. Warna lembut yang dipilih akan memberi kecerahan kepada pemakainya sebagaimana cahaya api yang menyambar pada muka dan akan nampak berseri-seri apabila dipakai pada hari raya nanti.
Kemasan keliling pula menggunakan jahit tepi halus untuk mendapat kesan curly tudung ini. Selain dari kemasan jahit tepi halus boleh juga menggunakan kemasan jahit coverstitch sebagaimana tutorial saya sebelum ini.
No comments:
Post a Comment