Friday, 11 October 2013

Tempahan Menjahit Pakaian Yang Pelanggan Perlu Tahu

Kadang-kadang menjadi dilema tukang jahit menerima tempahan menjahit. Banyak perkara yang perlu difikirkan sebelum memotong kain, menjahit, menyiapkan jahitan dan seterusnya meletak harga upah menjahit.

Saya senaraikan beberapa perkara yang perlu pelanggan tahu.

1. Harga upah mahal. Selalu pelanggan merungut tentang upah jahitan. Ada yang membandingkan harga di tempat lain yang lebih murah. Katanya di kampung upah baju kurung baru RM 22.00 - RM 25.00. Saya sebenarnya begitu kagum dengan tukang jahit yang menawarkan harga antara RM22.00-RM25.00. Bagi saya mereka ini seperti menawarkan perkhidmatan sukarela dan sanggup bekorban untuk pelanggan.

Saya juga pernah menawar sehelai RM25.00 semasa berada di Sungai Petani dahulu.

Katakan sepasang baju kurung RM22.00. Seminggu tukang jahit boleh menjahit katakan sepuluh pasang baju. Upah untuk seminggu baru sahaja RM220.00. Sebulan baru dapat RM880.00. Bawah dari gaji minimum.

Sesetengah tukang jahit hanya ada mesin jahit biasa sahaja. Jahit tepi perlu hantar ke kedai lain. Bayangkan berapa upah yang tukang jahit dapat. Itulah nasib tukang jahit yang hanya bergantung seratus peratus kepada kerja menjahit dan tidak mempelbagaikan perkhidmatannnya.

2. Kain tak mencukupi.  Pembeli hanya membeli kain ikut kata penjual kain yang tak tahu apa-apa tentang kerja menjahit. Ada kain yang diterima tak sepadan dengan ukuran pemakai.

Bila tukang jahit menerima kain, mereka perlu memikir dan meneliti dahulu bagaimana cara nak potong kain mengikut ukuran yang diberi atau ukuran pada baju contoh atau corak bunga pada kain.

Setiap pelanggan mempunyai ukuran yang berbeza-beza. Kadang-kadang kain yang diberi tidak mencukupi. Ini cukup memeningkan kepala tukang jahit. Kain pula ada berbagai-bagi jenis corak dan bunga. Ada kain yang berjalur, corak berkaki, corak bunga satu arah dan macam-macam lagi.

Potong kain buka boleh ikut suka hati. Ia mesti mengikut arah bunga, jalur dan kedudukan kain kaki corak. Ukuran pelanggan juga bermacam-macam. Ada yang kecil, besar, gemuk kurus, tinggi dan berbagai ukuran. Kalau yang besar, gemuk kadang-kadang kain memang tak cukup. Akibatnya mereka menyalahkan tukang jahit jika kain tidak cukup kononnya tukang jahit tidak pandai memotong dan menjahit pakaian.

Saya cadangkan kepada pelanggan yang membeli kain, ikutlah ukuran berikut. Ukuran adalah anggaran untuk memudahkan kerja tukang jahit. Kalau tak cukup kain mungkin tukang jahit terpaksa menolak tempahan.

Kalau badan yang besar dan gempal. Ukuran kain ela yang perlu dibeli, kalau bidang 45, beli kain 4 meter setengah (4 1/2m). Kalau bidang 60, beli kain ukuran 4 meter.

Kalau kain berkaki atau berjalur, beli kain 4 meter suku (4 1/4m). Kalau badan yang gempal/besar, beli kain 4 1/2 meter.

Kalau badan yang normal atau badan yang biasa sahaja. Tak terlalu gemuk atau besar. Beli kain kalau bidang 45, 4 meter. Kalu bidang 60 3 1/2 meter. Tetapi berkaki atau berjalur perlu beli 4 1/4 meter(bidang 45). Kalau bidang 60 beli 4 meter dah cukup.

Kanak-kanak 5 tahun k ebawah beli kain 2 meter.
Kanak-kanak usia 6-12 tahun beli kain  lebih kurang 3- 3.5 meter.
Usia 12-13 tahun beli kain 3.5 meter ikut saiz badan. Kalau badan besar beli kain 4 meter.

Ada juga pelanggan yang beli kain ela yang sudah siap di potong seperti 2 meter baju 2 meter kain. Selalunya untuk buat baju memang tak cukup. Ini juga bergantung kepada saiz masing-masing. Kalau nak beli juga, beli untuk baju 2 1/4 meter. Jangan peningkan kepala tukang jahit.

Kadang-kadang kalau nak siapkan juga tempahan terpaksa sambung di sana sini untuk menyiapkan juga tempahan. Kerja lebih tetapi harga upah tetap sama.

Kain yang terbaik adalah Kain yang tidak berkepala atau berekor atau corak berkaki. Kain jenis ini paling senang untuk dipotong. Tetap sama jugak coraknya atas dan bawah, kiri atau kanan kalau pusing ke arah mana sekalipun. Inilah kain pilihan tukang jahit. Kain boleh jimat.

3.Kain berbatu. Kain jenis ini memang susah nak jahit sebab batu pada kain boleh patahkan jarum. Tukang jahit terpaksa buang batu dahulu. Kadang-kadang baju boleh koyak jika batu melekat kuat pada kain. Sebab itu tukang jahit terpaksa caj lebih.

4. Baju berlining. Lining adalah lapisan tambahan di dalam baju. Membuat baju berlining seperti membuat dua helai pakaian. Jadi tukang jahit terpaksa caj double.

5. Kain dengan material yang mudah meregang (kenyal). Ada sesetengah tukang jahit tidak mempunyai mesin untuk menjahit kain seperti ini contohnya seperti kain lycra. Kerja renyah tetapi kadang-kadang harga sepasang baju masih sama.

5. Baju atau kain rosak kerana silap potong. Ini juga boleh terjadi. Tukang jahit biasanya mencuba untuk mencari ganti. Dahlah rugi kena buang masa lagi nak cari kain, nak jahit semula dan lain-lain. Kalau tak jumpa kain yang dicari terpaksalah mengaku kepada pelanggan dan membayar ganti rugi.

6. Baju atau kain perlu direpair. Pelanggan tak puas hati kerana baju yang siap tak seperti mana yang diminta atau tak sedap dipakai. Biasanya tukang jahit akan minta balik baju atau kain yang nak direpair. Ini juga membuang masa tukang jahit. Perkara ini sebahahagian dari tugas tukang jahit. Tiada caj dikenakan.

7. Baju atau kain yang siap tak sama dengan baju contoh. Ramai pelanggan yang menghantar baju contoh untuk tempahan. Tukang jahit akan mengukur exactly seperti ukuran baju contoh. Ada juga pelanggan yang komplen baju atau kain tak sedap dipakai sedangkan ukuran exactly seperti baju contoh. Pakai tak sedap juga kadang-kadang menyalahkan tukang jahit. Oleh diharap sangat-sangat supaya pelanggan menghantar baju contoh yang betul-betul sedap dipakai.

8. Ada juga pakaian yang dibuat atau dibeli di tempat lain dihantar untuk repair. Biasanya saya tidak akan terima kecuali yang saya sendiri yang jahit. Saya hanya terima kalau untuk potong kaki kain yang labuh atau tukar zip sahaja. kalau nak kecil atau nak besarkan baju memang tak terima kerana setiap tukang jahit mempunyai cara tersendiri untuk menjahit yang mungkin tak sama dengan tukang jahit lain.

9. Baju nak segera (urgent). Tukang jahit banyak menerima tempahan. Jadi perlulah ikut Q. Kalau nak segera. Perlulah tukang jahit caj lebih. Terutama sekali baju yang susah dibuat.

10. Tempahan last minute terutama di hari raya. Terpaksalah tukang jahit tolak kerana lebih baik tolak awal-awal dari baju tak siap. Kalau tak siap pelanggan akan marah.

11.Baju Fesyen. Ada permintaan dari pelanggan untuk buat membuat baju mengikut fesyen tertentu. Ada juga yang datang dengan design tersendiri. Tukang jahit akan caj lebih untuk pakaian berfesyen ini.

12. Baju dengan tambahan aksesori. Ada juga pelanggan minta untuk tambah aksesori seperti jahitan manik, jahitan border lace, sulaman dan lain-lain. Bayarannya kadang kala berlipat kali ganda. Pelanggan kena faham bahawa harga manik, border lace bukannya murah. Lebih baik pelanggan beli sendiri dan tukang jahit hanya jahit sahaja.

13. Tempahan menjahit online. Ini juga memeningkan kepala tukang jahit jika pakaian dah siap tidak seperti yang jangkaan pelanggan. Kos penghantaran bukannya murah. Pelanggan sendiri perlu menanggung kos penghantaran jika hendak memulang semula kepada tukang jahit untuk repair. Itu yang saya amalkan.

14. Tukang jahit tidak sihat. Sebagai manusia, tukang jahit juga kadang-kadang sakit. Kalau sakit terpaksalah tutup mesin jahit. Tiadalah produktiviti pada hari tersebut. Lambatlah siap baju pelanggan. Ini menjadi kritikal pada musiam perayaan seperti hari raya.

15. Mesin jahit rosak. Di saat kita memerlukan khidmatnya atau 'waktu kecemasan', dia buat perangai pula. Bayangkan pada masa tekanan dari pelanggan meningkat. Terutamanya nak siapkan sebelum hari raya, mesin pula rosak. Nak panggil tukang repair, datang pula lambat. Ini juga melambatkan tempahan.

16. Mungkin juga berlaku pelanggan susah membuat bayaran. Alhamdulillah sejak saya bepindah ke Bandar Baru Bangi tidak pernah berlaku pelanggan tidak membayar. Mungkin kat sini pelanggan saya ramai yang kaya-kaya. Itu yang seronok menjahit di Bandar Baru Bangi ni. Terima kasih kepada semua pelanggan saya.

Yang terbaik adalah pelanggan datang ke rumah saya untuk berbincang. Dari harga hinggalah ke design yang dikehendaki. Ada masa-masa tertentu saya tidak ada di rumah. Call dulu sebelum datang. Hari sabtu saya sibuk sedikit kerana saya membahagi masa untuk kelas menjahit. Hari ahad pagi pula  (9.00 am-12.00 pm) saya biasanya menghadiri kuliah ilmu di masjid. Jadi jangan datang pagi. Mai belah petang.  Hari-hari lain tidak ada masalah tetapi kadang-kadang saya keluar juga beli kain dan urusan lain. Call dulu sebelum datang.

Respond untuk sms/whatsapp/facebook/blog kadang-kadang lambat sedikit. Maklum sahajalah saya sedang menjahit. Tak boleh berhenti. Insya Allah semua akan saya respond. Biasanya tak terlalu lama.

Saya bercadang untuk mengambil tukang jahit bekerja di rumah saya. Sesiapa yang berminat untuk bekerja di rumah Kak Ros boleh call. Insya Allah Kak Ros akan ajarkan dari A-Z supaya mahir.  Kelayakan mesti ada asas mengguna mesin jahit. 

Gambar di bawah adalah beberapa contoh tempahan dari pelanggan dengan pelbagai fesyen. Terima kasih kepada semua pelanggan Kak Ros yang memberi sokongan.  Alhamdulillah rezeki semakin murah sejak berada di Bandar Baru Bangi. Kawan-kawan pun semakin ramai.

baju kurung moden

baju maxi dress

blouse dengan skirt labuh
Post a Comment

Post Utama

Kedai Online Nash Fesyen

Post Paling Popular

HAKCIPTA TERPELIHARA NASH FESYEN 2017