Tuesday 20 May 2014

Pasar Kemboja



Kesempatan balik kampung untuk ke majlis kenduri kahwin di Bandar Baharu, Kedah diambil untuk pergi ke Pasar Kemboja.  Saya mula tahu mengenai pasar kemboja ini setelah diberitahu oleh jiran saya di kampung.

Apabila saya memberitahu kepada jiran-jiran dan kawan-kawan di kampung bahawa saya menjahit dan menjual tudung, jiran-jiran dan kawan-kawan selalunya akan membanding-banding dengan tudung yang dijual secara murah di pasar-pasar malam. Begitulah kalau menjual di kampung.

"Kalau nak beli tudung dan telekung murah pergi ke pasar kemboja di Parit Buntar setiap hari Isnin dan Jumaat."

"Banyak fesyen tudung yang cantik-cantik di sana. Boleh beli secara kodi atau lelong."

Oleh kerana saya terlibat secara langsung dengan tudung dan pakaian ini, teringin sekali melihat sendiri apa yang dijual di pasar Kemboja. Sudah beberapa kali balik kampung tetapi tidak pernah ada kesempatan kerana hari dan masa yang tidak sesuai. Lagi pun bila balik kampung masa begitu padat dengan rancangan-rancangan yang lain.

Kali ini apabila balik untuk ke majlis kenduri kahwin, saya diberitahu pasar Kemboja sekarang dibuka pada setiap hari sabtu. Saya pun tidak melepaskan peluang ini. Sebelum ini pasar ini dibuka pada hari isnin dan jumaat tetapi dikatakan mendapat aduan penduduk berdekatan kerana menganggu lalu lintas di kawasan tersebut. Pasar Kemboja terletak berdekatan dengan sekolah dan masjid. Tambahan pula pada hari jumaat trafiknya bertambah teruk kerana sembahyang jumaat di masjid berdekatan. Oleh sebab itulah pasar tersebut diubah ke hari Sabtu.

Pasar kemboja dikatakan dibuka oleh komuniti kemboja yang berada di sekitar kawasan itu. Pada mulanya urusan jual-beli hanya berlaku dikalangan komuniti mereka sahaja. Barangan jualan mereka mula mendapat perhatian penduduk sekitar kerana dijual dengan harga yang murah terutamanya pakaian. Dari sinilah terbentuklah pasar kemboja yang popular sekarang ini.

Walaupun dikatakan Pasar Kemboja ini di Parit Buntar tetapi sebenarnya apabila saya pergi ke sana pasar ini terletak di kampung Permatang Tok Mahat yang di sebelah Nibong Tebal bersempadan dengan Parit Buntar. Pasar ini dibuka di sepanjang jalan raya di kampung tersebut.

Perjalanan mencari pasar tersebut tidak susah kerana saya sendiri sudah biasa dengan kawasan tersebut. Masalah utama adalah untuk mencari tempat parking. Jangan haraplah nak dapat parking di tepi jalan berdekatan dengan pasar tersebut jika datang lambat. Saya sendiri mencari-cari tempat parking sehinggalah berjumpa dengan masjid yang menyediakan tempat parking di situ. Sekali parking RM2.00.

Memang betul begitu banyak gerai-gerai yang dibuka yang menjual tudung, telekung dan berbagai jenis pakaian wanita. Walaupun dinamakan pasar Kemboja saya lihat ramai juga orang Melayu yang menjual di situ. Terdapat juga pelbagai jenis fesyen tudung, telekung, baju dan lain-lain. Ada yang digantung dan ada yang dilonggok di atas tikar sahaja.

Patutlah jiran saya kata beli di pasar malam atau pasar kemboja boleh dapat harga yang murah. Memang banyak pilihan. Boleh rambang mata memandang.



Oleh kerana masa yang singkat dan malas berjalan jauh, saya hanya sempat singgah di beberapa gerai sahaja kerana tujuan asal saya hanya sekadar untuk melihat-lihat sahaja barangan yang dijual di situ. Banyak lagi gerai yang tidak sempat saya singgah. Lagi pun saya lihat kebanyakan gerai menjual barangan yang sama sahaja.



Kedatangan pendatang kemboja ini untuk mencari rezeki di sini menyebabkan berlaku saingan harga sehingga menyebabkan penjual tudung dan pakaian terutamanya di kalangan penjual rakyat tempatan terasa kesannya. Malahan harga tudung, telekung kain dan pakaian ini dijual lebih murah daripada yang dijual di jalan TAR. Patut pun sudah ada peniaga jalan TAR yang mengeluh dengan kebanjiran peniaga-peniaga Kemboja ini.

Kebanjiran begitu banyak tudung, telekung dan pakaian yang dijual oleh pendatang kemboja ini telah menyebabkan harga tudung, telekung dan lain-lain jatuh di pasaran. Walau apa pun ia tetap menguntung pembeli kerana mempunyai banyak pilihan untuk membeli.


Kepada sesiapa yang ingin mendapat tudung, baju dan lain-lain atau pun yang ingin berniaga tudung dan pakaian secara online boleh cuba-cuba  membuat survey di Pasar Kemboja untuk mendapat harga yang murah.

Saya lebih berpuas hati dengan produk saya sendiri. Harganya tentu tidak sama dengan harga di Pasar Kemboja.

Thursday 15 May 2014

Baju Mini Kurung Kedah


Baju mini kurung kedah ini saya buat untuk saya pakai untuk majlis kenduri di kampung nanti. Potongannya yang pendek sesuai juga dipakai dengan seluar jika tidak mahu dipakai bersama kain. Oleh sebab itulah saya membuatnya menjadi pendek seperti baju kedah atau blouse. Itu untungnya jadi tukang jahit boleh design sendiri macam mana fesyen yang kita hendak. Baju ini pun baru hari ini siap jahit akan dipakai bersama dengan shawl butterfly warna biru turqois yang juga baru siap jahit hari ini.

Sebenarnya saya akan pulang ke kampung hari ini kerana ada majlis kenduri kahwin kakak saya untuk anaknya yang sulung. Majlis kenduri adalah pada hari esok, hari sabtu di Bandar Baharu, Kedah. Saya akan balik kampung mulai hari ini dan akan pulang semula ke Bandar Baru Bangi pada hari ahad, mungkin sampai rumah pada hari ahad malam.

Kepada sesiapa yang nak datang rumah minta tangguh dahulu sehingga minggu depan. Kalau datang pun saya tak ada di rumah.

Anak-anak pun tanya juga baju depa tak mahu buat sama ka? Pakai sahaja baju lama. Tak sempat nak buat.

Wednesday 14 May 2014

Shawl Lace






Fesyen shawl sudah pelbagai. Setiap satu mempunyai keunikannya yang tersendiri mengikut kreativiti perekanya. Keunikannya bergantung kepada cara potongannya sehinggalah kepada tambahan perincian pada shawl. Perincian seperti jahitan manik, kuntuman bunga, lace dan lain-lain dengan pelbagai bentuk dan design menjadikan shawl begitu istimewa sekali.

Gambar di atas adalah contoh shawl yang dijahit dengan lace tempahan dari pelanggan saya. Cantik dan menarik sekali corak bunga lace yang dipilih. Saya kongsikan di sini supaya dapat memberi idea kepada peminat shawl yang tercari-cari  jenis-jenis fesyen shawl yang sesuai.  Rajin-rajinlah selak dalam bab-bab yang lain dalam blog ini. 

Semakin banyak saya berkongsi di sini, semakin banyak pertanyaan yang perlu saya jawab menjadikan saya semakin sibuk setiap hari. Nampaknya saya perlu kurangkan kekerapan entri dalam blog ini untuk memberi lebih fokus kepada aktiviti menjahit.

Sunday 11 May 2014

Hari Keluarga

Hari sabtu dan ahad minggu ini berhenti menjahit kerana bersama anak-anak ke Melaka untuk menyertai Family Day anjuran tempat kerja suami. Program Family Day ini memang diadakan setiap tahun di tempat-tempat menarik yang biasanya mempunyai Water Theme Park. Pada tahun lepas program ini diadakan di Bukit Gambang Water Park, Pahang kali ini pula diadakan Bayou Lagoon Park Resort, Melaka.

Apabila dah bekerja sebagai tukang jahit, bila ada program macam ini, mesti jahit baju untuk diri sendiri dan anak-anak untuk grand dinner. Minggu depan nak kena balik kampung pula sebab ada kenduri kahwin anak kakak. Terpaksa tangguh dahulu kelas menjahit tudung untuk minggu ini dan minggu depan.









Thursday 8 May 2014

Panduan Menjahit Tudung Dan Shawl

Kepada yang baru menjumpai blog ini dan mencari panduan menjahit tudung dan shawl, saya senaraikan semula tutorial yang pernah saya postkan dalam blog ini untuk memudahkan tuan/puan membuat rujukan.

Di bawah ini adalah tutorial-tutorial yang mungkin tidak dijumpai dalam blog ini kerana tenggelam dalam pelbagai entri yang saya postkan sebelum ini.

1.  Panduan Jahit Sendiri Tudung 3 Layer


Tudung chiffon layer sekarang menjadi pilihan ramai di mana-mana. Panduan berikut boleh memberi idea untuk menjahit sendiri tudung tiga layer sendiri. Sila rujuk link di bawah.

http://nashfesyen.blogspot.com/2013/08/panduan-jahit-sendiri-tudung-chiffon-3.html


2. Panduan Jahit Shawl Halfmoon 2 layer



Trend memakai shawl half moon atau selendang separuh bulat menjadi kegilaan anak-anak remaja sekarang. Untuk panduan ini saya mengguna chiffon georgette.Kain yang diperlukan lebih kurang 1 3/4 meter dan bidang 60. Sila rujuk link di bawah.


3. Panduan Tukar Sendiri Awning Tudung



Tudung dengan awning yang patah tidak boleh lagi dipakai. Jika kita tahu menukar sendiri awning tudung tentunya tudung yang kita beli dengan harga yang majal tadi boleh dipakai semula. Saya akan tunjukkan bagaimana kita boleh tukar sendiri awning tudung kita yang rosak. Sila rujuk link di bawah.

http://nashfesyen.blogspot.com/2013/08/panduan-tukar-sendiri-awning-tudung.html

4. Panduan Menjahit Tudung Lycra Berkerongsang



Tudung lycra berkerongsang dengan pelbagai warna menjadi tarikan ramai kerana warnanya yang striking dan designnya yang menarik. Berikut adalah panduan untuk menjahit tudung lyca berkerongsang.

http://nashfesyen.blogspot.com/2013/10/panduan-menjahit-tudung-lycra.html

5. Panduan Menjahit Tudung Labuh Berdagu



Tutorial menjahit tudung labuh berdagu di bawah adalah mengikut kaedah saya sendiri menggunakan kain lycra. Semoga memberi idea bagaimana menjahit tudung berdagu sendiri.


6.  Panduan Menjahit Tudung Syria


Tudung syria adalah antara tudung yang paling mudah dijahit kerana tidak mempunyai awning. Tutorial kali ini saya akan tunjukkan beberapa langkah mudah bagaimana hendak menjahit tudung syria.

http://nashfesyen.blogspot.com/2014/04/panduan-menjahit-tudung-syria.html

7. Panduan Menjahit Tapak Kerongsang Pada Tudung


Saya sering mendapat pertanyaan bagaimana hendak menjahit tapak brooch pada tudung terutamanya untuk tudung 3 layer dan tudung lycra berkerongsang. Tutorial di bawah harap dapat membantu.


8. Ebook Panduan Menjahit Tudung

Ebook ini adalah kompilasi panduan menjahit tudung yang saya postkan dalam blog ini. Tujuan saya supaya panduan ini boleh dirujuk pada satu tempat sahaja iaitu di dalam ebook dan manfaat kepada lebih ramai pihak.


Antara kandungan dalam ebook ini adalah.

Panduan menjahit tudung chiffon 3 layer.
Panduan menjahit shawl half moon.
Panduan menukar awning tudung.
Download secara percuma melalui link di bawah.


Menjahit tudung dan shawl memerlukan kemasan tepi kain supaya nampak kemas dan tidak berserabut. Oleh yang demikian saya juga menyediakan kemasan jahit tepi tudung dan shawl berikut.

1. Jahit Tepi Halus Tudung & Shawl


Sila rujuk link di bawah.


2. Jahit Coverstitch/Interlock


Sila rujuk link di bawah.



Terdapat berbagai lagi panduan yang lain yang terdapat dalam blog ini seperti jahit piping, jahit kelim dan lain-lain. Rajin-rajinlah selak entri-entri dalam blog ini untuk mencarinya. InsyaAllah di masa-masa akan datang saya akan tunjukkan lagi lebih banyak tutorial untuk tudung dan cara menjahit pakaian wanita.

Kepada sesiapa yang berminat untuk belajar menjahit terus daripada saya untuk tudung 3 layer boleh hubungi saya. Kelas sangat terhad kerana saya tidak mengambil rami peserta. 

Semoga tutorial yang saya sediakan memberi manfaat kepada semua yang minat menjahit.

Wednesday 7 May 2014

Butterfly Shawl


shawl butterfly

pola butterfly shawl

Shawl butterfly, butterfly shawl atau selendang rama-rama antara design shawl yang diminati. Mempunyai design lebih kurang simetri  seolah-olah seperti kepak rama-rama antara sebab ia mendapat nama butterfly shawl. Material yang digunakan juga pelbagai dan kebiasaanya dari kain chiffon yang lembut serta terletak cantik di kepala. Untuk contoh di atas adalah menggunakan kain chiffon dengan kemasan jahit tepi halus di sekelilingnya.

Butterfly shawl juga mempunyai pelbagai design yang berlainan bergantung kepada kreativiti masing-masing untuk merekabentuknya. Cara pemakaiannya juga agak mudah dan tidak susah untuk dibelit kerana bentuknya yang lebih kurang sama di kedua-dua belah shawl. 

Begitulah kreativi perekabentuk shawl yang sentiasa memikirkan fesyen-fesyen terbaru untuk shawl mereka. Apabila sudah diminati makin banyaklah permintaan untuk menjahitnya. 

Tuesday 6 May 2014

Tempahan Tudung Dari Staff Imigresen



Tempahan tudung dari staff imigresen ini katanya untuk disesuaikan dengan uniform baru. Awning adalah dari jenis awning lembut dan kemasan bawah tudung menggunakan jahit tepi halus. Tudung dengan awning lembut memang senang untuk dijaga dan tidak ada masalah awning patah.

Terima kasih kepada semua kakitangan kerajaan yang menjadi pembaca senyap blog ini. Ada yang sekadar bertanya dan ada yang datang ke rumah untuk membuat tempahan.

Kalau dilihat kepada statistik dari google analytics, pengunjung dari KL, Selangor dan Putrajaya yang paling ramai berkunjung ke blog ini. Pengunjung lelaki pun ramai juga yang datang ke sini. Mungkin ingin mencari sesuatu untuk dihadiahkan kepada isteri.

Bertuahlah kalau dapat hadiah tudung dari suami.

Post Utama

Kedai Online Nash Fesyen

Post Paling Popular

HAKCIPTA TERPELIHARA NASH FESYEN 2018