Wednesday, 14 May 2014

Shawl Lace






Fesyen shawl sudah pelbagai. Setiap satu mempunyai keunikannya yang tersendiri mengikut kreativiti perekanya. Keunikannya bergantung kepada cara potongannya sehinggalah kepada tambahan perincian pada shawl. Perincian seperti jahitan manik, kuntuman bunga, lace dan lain-lain dengan pelbagai bentuk dan design menjadikan shawl begitu istimewa sekali.

Gambar di atas adalah contoh shawl yang dijahit dengan lace tempahan dari pelanggan saya. Cantik dan menarik sekali corak bunga lace yang dipilih. Saya kongsikan di sini supaya dapat memberi idea kepada peminat shawl yang tercari-cari  jenis-jenis fesyen shawl yang sesuai.  Rajin-rajinlah selak dalam bab-bab yang lain dalam blog ini. 

Semakin banyak saya berkongsi di sini, semakin banyak pertanyaan yang perlu saya jawab menjadikan saya semakin sibuk setiap hari. Nampaknya saya perlu kurangkan kekerapan entri dalam blog ini untuk memberi lebih fokus kepada aktiviti menjahit.

Sunday, 11 May 2014

Hari Keluarga

Hari sabtu dan ahad minggu ini berhenti menjahit kerana bersama anak-anak ke Melaka untuk menyertai Family Day anjuran tempat kerja suami. Program Family Day ini memang diadakan setiap tahun di tempat-tempat menarik yang biasanya mempunyai Water Theme Park. Pada tahun lepas program ini diadakan di Bukit Gambang Water Park, Pahang kali ini pula diadakan Bayou Lagoon Park Resort, Melaka.

Apabila dah bekerja sebagai tukang jahit, bila ada program macam ini, mesti jahit baju untuk diri sendiri dan anak-anak untuk grand dinner. Minggu depan nak kena balik kampung pula sebab ada kenduri kahwin anak kakak. Terpaksa tangguh dahulu kelas menjahit tudung untuk minggu ini dan minggu depan.









Thursday, 8 May 2014

Panduan Menjahit Tudung Dan Shawl

Kepada yang baru menjumpai blog ini dan mencari panduan menjahit tudung dan shawl, saya senaraikan semula tutorial yang pernah saya postkan dalam blog ini untuk memudahkan tuan/puan membuat rujukan.

Di bawah ini adalah tutorial-tutorial yang mungkin tidak dijumpai dalam blog ini kerana tenggelam dalam pelbagai entri yang saya postkan sebelum ini.

1.  Panduan Jahit Sendiri Tudung 3 Layer


Tudung chiffon layer sekarang menjadi pilihan ramai di mana-mana. Panduan berikut boleh memberi idea untuk menjahit sendiri tudung tiga layer sendiri. Sila rujuk link di bawah.

http://nashfesyen.blogspot.com/2013/08/panduan-jahit-sendiri-tudung-chiffon-3.html


2. Panduan Jahit Shawl Halfmoon 2 layer



Trend memakai shawl half moon atau selendang separuh bulat menjadi kegilaan anak-anak remaja sekarang. Untuk panduan ini saya mengguna chiffon georgette.Kain yang diperlukan lebih kurang 1 3/4 meter dan bidang 60. Sila rujuk link di bawah.


3. Panduan Tukar Sendiri Awning Tudung



Tudung dengan awning yang patah tidak boleh lagi dipakai. Jika kita tahu menukar sendiri awning tudung tentunya tudung yang kita beli dengan harga yang majal tadi boleh dipakai semula. Saya akan tunjukkan bagaimana kita boleh tukar sendiri awning tudung kita yang rosak. Sila rujuk link di bawah.

http://nashfesyen.blogspot.com/2013/08/panduan-tukar-sendiri-awning-tudung.html

4. Panduan Menjahit Tudung Lycra Berkerongsang



Tudung lycra berkerongsang dengan pelbagai warna menjadi tarikan ramai kerana warnanya yang striking dan designnya yang menarik. Berikut adalah panduan untuk menjahit tudung lyca berkerongsang.

http://nashfesyen.blogspot.com/2013/10/panduan-menjahit-tudung-lycra.html

5. Panduan Menjahit Tudung Labuh Berdagu



Tutorial menjahit tudung labuh berdagu di bawah adalah mengikut kaedah saya sendiri menggunakan kain lycra. Semoga memberi idea bagaimana menjahit tudung berdagu sendiri.


6.  Panduan Menjahit Tudung Syria


Tudung syria adalah antara tudung yang paling mudah dijahit kerana tidak mempunyai awning. Tutorial kali ini saya akan tunjukkan beberapa langkah mudah bagaimana hendak menjahit tudung syria.

http://nashfesyen.blogspot.com/2014/04/panduan-menjahit-tudung-syria.html

7. Panduan Menjahit Tapak Kerongsang Pada Tudung


Saya sering mendapat pertanyaan bagaimana hendak menjahit tapak brooch pada tudung terutamanya untuk tudung 3 layer dan tudung lycra berkerongsang. Tutorial di bawah harap dapat membantu.


8. Ebook Panduan Menjahit Tudung

Ebook ini adalah kompilasi panduan menjahit tudung yang saya postkan dalam blog ini. Tujuan saya supaya panduan ini boleh dirujuk pada satu tempat sahaja iaitu di dalam ebook dan manfaat kepada lebih ramai pihak.


Antara kandungan dalam ebook ini adalah.

Panduan menjahit tudung chiffon 3 layer.
Panduan menjahit shawl half moon.
Panduan menukar awning tudung.
Download secara percuma melalui link di bawah.


Menjahit tudung dan shawl memerlukan kemasan tepi kain supaya nampak kemas dan tidak berserabut. Oleh yang demikian saya juga menyediakan kemasan jahit tepi tudung dan shawl berikut.

1. Jahit Tepi Halus Tudung & Shawl


Sila rujuk link di bawah.


2. Jahit Coverstitch/Interlock


Sila rujuk link di bawah.



Terdapat berbagai lagi panduan yang lain yang terdapat dalam blog ini seperti jahit piping, jahit kelim dan lain-lain. Rajin-rajinlah selak entri-entri dalam blog ini untuk mencarinya. InsyaAllah di masa-masa akan datang saya akan tunjukkan lagi lebih banyak tutorial untuk tudung dan cara menjahit pakaian wanita.

Kepada sesiapa yang berminat untuk belajar menjahit terus daripada saya untuk tudung 3 layer boleh hubungi saya. Kelas sangat terhad kerana saya tidak mengambil rami peserta. 

Semoga tutorial yang saya sediakan memberi manfaat kepada semua yang minat menjahit.

Wednesday, 7 May 2014

Butterfly Shawl


shawl butterfly

pola butterfly shawl

Shawl butterfly, butterfly shawl atau selendang rama-rama antara design shawl yang diminati. Mempunyai design lebih kurang simetri  seolah-olah seperti kepak rama-rama antara sebab ia mendapat nama butterfly shawl. Material yang digunakan juga pelbagai dan kebiasaanya dari kain chiffon yang lembut serta terletak cantik di kepala. Untuk contoh di atas adalah menggunakan kain chiffon dengan kemasan jahit tepi halus di sekelilingnya.

Butterfly shawl juga mempunyai pelbagai design yang berlainan bergantung kepada kreativiti masing-masing untuk merekabentuknya. Cara pemakaiannya juga agak mudah dan tidak susah untuk dibelit kerana bentuknya yang lebih kurang sama di kedua-dua belah shawl. 

Begitulah kreativi perekabentuk shawl yang sentiasa memikirkan fesyen-fesyen terbaru untuk shawl mereka. Apabila sudah diminati makin banyaklah permintaan untuk menjahitnya. 

Tuesday, 6 May 2014

Tempahan Tudung Dari Staff Imigresen



Tempahan tudung dari staff imigresen ini katanya untuk disesuaikan dengan uniform baru. Awning adalah dari jenis awning lembut dan kemasan bawah tudung menggunakan jahit tepi halus. Tudung dengan awning lembut memang senang untuk dijaga dan tidak ada masalah awning patah.

Terima kasih kepada semua kakitangan kerajaan yang menjadi pembaca senyap blog ini. Ada yang sekadar bertanya dan ada yang datang ke rumah untuk membuat tempahan.

Kalau dilihat kepada statistik dari google analytics, pengunjung dari KL, Selangor dan Putrajaya yang paling ramai berkunjung ke blog ini. Pengunjung lelaki pun ramai juga yang datang ke sini. Mungkin ingin mencari sesuatu untuk dihadiahkan kepada isteri.

Bertuahlah kalau dapat hadiah tudung dari suami.

Monday, 5 May 2014

Benang Polyester Untuk Jahit Tepi Halus



Terdapat berbagai jenis benang untuk tujuan menjahit. Ada yang diberi nama berdasarkan kegunaannya seperti benang jahit, benang sulam, benang jahit tepi, benang cross stitch dan sebagainya. Ada juga yang diberi nama berdasarkan bahan asas pembuatannya seperti benang kapas, benang rayon, benang nylon, benang getah, benang polyester dan sebagainya.

Untuk kegunaan menjahit yang biasa digunakan adalah dari jenis benang polyester. Polyester adalan bahan buatan manusia yang dihasilkan dari bahan kimia petroleum.

Ciri-ciri benang polyester adalah dari jenis benang yang mempunyai kekuatan yang tinggi, bersifat elastik, mempunyai ketahanan pada suhu yang panas dan juga sangat stabil. Disamping itu juga benang polyester juga tahan pada gosokan, tidak mudah luntur dan mempunyai ketahanan terhadap kakisan bahan kimia dan bakteria.

Kelebihan bahan ini kerana mudah dijaga serta tidak mudah kusut dan kelihatan kemas dan rapi. Kekurangannya adalah dari segi daya serapan terhadap lembapan yang rendah. Benang polyester juga boleh didapati dalam pelbagai warna dari warna dari terang sehingga ke warna yang pudar.

Oleh kerana sifat yang sedemikian menjadikan benang polyester selalu digunakan untuk menguatkan jahitan, kekemasan pada pinggir kain dan pelbagai lagi kegunaan lain.

Terdapat pelbagai jenis benang yang berorientasi polyester diberi nama berdasarkan proses penghasilannya. Antaranya seperti spun polyester dan filament polyester,

Benang polyester yang biasa digunakan untuk jahit biasa adalah dari jenis spun polyester. Spun polyester dihasilkan dari 'polyester staple fiber' iaitu fiber sintetik yang kecil dengan panjang yang pelbagai, tercantum dan dipintal (twist) bersama-sama untuk menjadi benang 100% poliester atau benang poliester dengan campuran fiber-fiber lain seperti kapas, viscose dan lain-lain.


Halus atau kasar sesuatu benang ditentukan dengan nombor benang. Biasanaya disebut dengan ukuran S (spining = gulungan / putaran ) seperti yang biasa kita lihat pada bobbin atau kon benang iaitu 45S, 40S, 32S, 30S, 28S, 20S, 16S, 14S, dan seterusnya. Semakin besar ukuran benang yang tertera pada kon atau bobbin semakin kecil ukuran diameter benang. Contoh : 30S < 20S.

Satu lagi jenis benang poliester  yang banyak digunakan  adalah benang filamen poliester sama ada dari jenis polimer filamen bertesktur atau 'texturized polyester filament'. Sifatnya yang licin, gebu, lembut dan nampak menarik apabila digunakan untuk kemasan pada kain yang berserabut. Biasanya digunakan untuk mesin jahit tepi biasa atau jahit tepi halus (overlock/serger machine).

Untuk jenis benang filamen berpanjangan tetap (continous) ukuran benang yang digunakan adalah dengan ukuran Dennier (D) seperti yang tertera pada kon : 20 D, 30 D, 40 D, 70D, 75 D, 150 D, 300 D, 600 D, dan 1200 D. Semakin besar ukuran benang maka semakin besar pula benang yang digunakan (ukuran diameter benangnya). Contoh : 150 D > 75 D


Untuk jahit tepi halus biasanya boleh digunakan benang  spun polyester  dan juga benang filament polyester di mana untuk 3 benang, 1 benang menggunakan benang jahit biasa iaitu spun polyester dan 2 benang menggunakan benang filament polyester untuk memberi kekuatan, kehalusan dan kekemasan pada hasil jahitan.

Friday, 2 May 2014

Baju Kurung Polkadot

baju kurung menyusu polkadot

dress baby corak polkadot

Dalam minggu ini sudah beberapa kali line Unifi di rumah tergendala kerana 'router' rosak. Tidak ada apa-apa yang boleh saya lakukan kecuali menelefon khidmat pelanggan Unifi di nombor 1300 881 221. Technician akan datang dalam tempoh 24 jam begitulah yang diberitahu. Tidak sampai tengahari technician sudah sampai. Alhamadulillah akhirnya pulih setelah router yang rosak diganti dengan router baru.

Tidak sampai  2 hari masalah yang sama berulang lagi. Terpaksa menghubungi semula khidmat pelanggan Unifi. Akhirnya hari ini  line unifi pulih seperti sediakala. Harap-harap tidak ada masalah lagi. Bolehlah update blog seperti selalu.

Bagi saya yang menjalan urusan melalui internet tentunya sesuatu yang amat menggelisahkan kerana tidak dapat berurusan dengan pelanggan secara online Nasib baik masih ada  line telefon, masih boleh menghubungi dan membalas message pelanggan.

Nasib baik itu tidak lama kerana kebetulan line telefon pula kena block disebabkan tidak membayar bil Celcom. Terpaksa cepat-cepat  pergi ke Metro Kajang untuk membayar bil.  Hari ini semua sudah pulih seperti sediakala. Khidmat yang agak pantas daripada perkhidmatan Unifi. Terima kasih.

Berbalik kepada khidmat menjahit yang saya lakukan, baju dengan pelbagai fesyen terus diterima untuk dijahit. Ada yang menghantarnya melalui pos dan kebanyakannya datang terus ke rumah. Kali ini saya update tempahan baju menyusu dengan corak polkadot. Di samping tempahan untuk ibu, dibuat sekali tempahan untuk anak. Untuk membaca artikel berkaitan corak polkadot boleh lihat pada entri yang lepas dengan tajuk corak polkadot.

Beberapa tips memilih corak polkadot.

  • Motif polkadot yang paling umum adalah motif polkadot dengan dasar kain berwarna hitam dan bulatan putih. 
  • Untuk tubuh yang besar pilih motif polkadot dengan bulatan kecil. Motif bulatan besar akan terlihat tubuh kelihatan berisi dan nampak tembam.
  • Untuk yang bertubuh kecil dan ramping boleh memilh motif polkadot dengan bulatan yang lebih besar.
  • Untuk mendapat kesan santai dan retro boleh memilih warna dasar kain berwarna merah dengan bulatan berwarna putih.
  • Untuk acara formal semakin gelap dan semakin kecil motifnya semakin baik. Untuk menampakkan kesan formal boleh dipakai bersama dengan blazer atau cardigan plain yang sama warna dengan warna baju bermotif polkadot.
  • Untuk acara yang lebih santai, boleh pilih warna yang lebih cerah dengan kombinasi warna yang sesuai dengan warna kulit. Jika hendak memlilh bulatan yang besar, pilih yang sesuai dengan bentuk tubuh.
  • Jangan mengguna motif polkadot secara berlebihan. Motif polkadot itu sendiri sudah nampak menonjol. Jika digayakan dengan aksesori lain dari atas kepala hingga ke bawah yang juga bermotif polkadot tentunya akan kelihatan ganjil dan pelik.

Post Utama

Kedai Online Nash Fesyen

Post Paling Popular

HAKCIPTA TERPELIHARA NASH FESYEN 2018