Wednesday, 16 April 2014

Corak Polkadot



Apabila menerima tempahan dari pelanggan untuk menjahit sama ada baju, tudung atau shawl, saya selalu berfikir apakah entri yang sesuai untuk ditulis pada blog untuk tempahan tersebut.  Dari situ timbullah idea untuk menulis berkaitan corak atau motif pada kain atau fabrik yang dipilih oleh pelanggan. Saya pernah menulis berkenaan corak paisley pada entri yang lepas. Kali ini adalah berkaitan dengan motif polkadot.

Terdapa pelbagai motif pada pakaian, tudung dan shawl. Antara cetakan corak yang popular adalah seperti motif paisley, polkadot, tribal. bunga, jalur, kotak, rama-rama dan lain-lain. Polkadot adalah antara ribuan motif yang popular dan menjadi trendy.  Motif polkadot ini sudah menjadi trend dalam dunia fesyen. Trend polkadot pernah popular sekitar tahun 50-an dan 60-an dahulu. Kemudian hilang buat sementara dan akhirnya muncul semula dan kekal popular sehingga kini.

Cetakan corak polkadot pada pakaian  mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Bagi mereka yang suka fesyen yang simple namun tetap bergaya boleh mencuba corak polkadot ini. Polkadot juga tidak terbatas pada pakaian dan aksesori wanita sahaja malah boleh didapati pada sofa, wall paper, kerusi, tirai, meja, kereta, barangan perhiasan dan lain-lain . Di tempat kita apam polkadot juga menjadi resipi popular.

Kalau dulunya corak polkadot digayakan pada maxi, cardigan, blaus dan skirt  kini gaya tersebut boleh didapati pada baju kurung , tudung dan shawl. Pilihan untuk bergaya dengan motif polkadot ini semakin pelbagai.

Trend fesyen bermotif polka yang popular pada tahun 1960-an kini mendapat tempat semula tempatnya di kalangan generasi muda apabila ramai yang memilih corak polkadot untuk baju kurung, shawl dan tudung. Dengan corak bintik kecil sehinggalah yang besar ianya mampu menonjol peribadi yang menarik. Tambahan pula dengan gabungan warna yang garang seperti biru , merah, jingga dan lain-lain memberikan suasana ceria dan berani kepada pemakainya.  Pakaian dengan motif polkadot terlihat begitu klasik dan feminine.

Motif polkadot juga dikenali sebagai motif  bintik, titik atau pun bulatan. Ukuran ‘dot’ juga begitu pelbagai dari saiz seperti titik sehinggalah ke diameter yang lebih besar.  Apapun istilahnya tetap motif yang yang sama iaitu polkadot.

Dengan perkembangan dunia fesyen, motif polkadot diberi suntikan baru  dengan menggabungkan polkadot dengan motif bahan lainnya. Dengan ciri khas motif bulatan kecil dan besar serta variasi warna, polkadot semakin memberikan alternatif pilihan kepada para peminat fesyen. Ramai pereka fesyen antarabangsa dan tempatan gemar bermain dengan reka corak polka dot ini. Mereka memperbaharuinya dalam kombinasi warna yang indah di atas rekaan pakaian sehingga menghasilkan corak yang lebih dramatik serta menggoda.

Istilah asal perkataan  “polka”  itu sendiri adalah dari perkataan Poland yang bermaksud  “Polish woman”. Apabila diterjemah ke bahasa  Czech menjadi  “little woman or girl.”  Jadi polkadot itu sendiri berasal dari nama untuk wanita dan bersifat feminin.  Kini motif polka dot juga direka secara kreatif untuk pakaian lelaki.

Menurut sejarahnya, Polkadot pernah popular pada abad  ke-19 di Eropah. Pada masa tersebut satu tarian yang popular di Eropah dikenali sebagai muzik polka (polka music). Kebetulan pula pakaian bermotif polkadot ini juga menjadi fesyen popular pada masa tersebut sehinggakan motif polka ini sering dikaitkan dengan tarian polka. Tarian polka bukan sahaja popular di Eropah tetapi juga di Amerika dan Rusia.
Begitulah bagaimana corak polka ini dikenali sehinggakan nama polka dipakai dalam dunia fesyen dan dikenali sebagai polkadot.

Pada masa tersebut item-item lain juga menjadi popular menggunakan nama polka seperti 'topi-polka', 'jaket-polka' dan lain-lain. Kebanyakannya item-item tersebut bersifat sementara sebagaimana tarian muzik polka itu sendiri. Apa yang kekal hanyalah corak polka pada fabrik  yang kekal popular sehinggalah ke hari ini. 

Kepada mereka yang mengikuti perkembangan fesyen, motif polkadot juga diminati oleh mereka yang terkenal seperti Lady Diana, Kate Middleton  dan juga Michelle Obama iaitu isteri kepda presiden Amerika Syarikat. Mereka memakai pakaian bermotif polka ini di majlis-majlis rasmi yang mendapat perhatian ramai sehingga menjadikannya sebagai ikutan.

Motif ini pernah menjadi terkenal dan meletup di seluruh dunia apabila dipakai oleh artis-artis Hollywood sehingga menghiasi berita utama dalam industri fesyen di seluruh dunia. Oleh sebab itu motif polkadot dengan cepat menyebar dalam revolusi budaya pop.  Kartun Minnie Mouse yang terkenal juga sering kali dilihat dengan imej pakaiannya yang bercorak polka dot warna putih sehingga menjadi kegilaan dalam fesyen kanak-kanak sehingga kini.

Di Malaysia juga perkembangan fesyen dengan motif polkadot seiring dengan perkembangan fesyen pada peringkat dunia. Corak polkadot tetap mendapat tempat terutama untuk golongan muda yang boleh didapati pada pakaian, dress, skirt. blouse, tudung, shawl sehinggalah kepada aksesori-aksesori yang lain. 

Apa-apa pun motif pada kain atau fabrik yang diplih, hantar sahaja kepada saya untuk dijahit. Apabila dah siap nanti menjadi baju, tudung atau shawl, barulah kita nampak pilihan kita itu sebenarnya sangat istimewa. 
Post a Comment

Post Utama

Kedai Online Nash Fesyen

Post Paling Popular

HAKCIPTA TERPELIHARA NASH FESYEN 2017