Tuesday, 15 April 2014

Nak Belajar Jahit Tudung Tetapi Tak Jadi-Jadi Lagi.


Nak belajar jahit tudung, nak jahit tudung sendiri, nak berniaga online, nak buat itu, nak buat ini. Itulah yang kadang-kadang kita fikirkan. Begitu banyak idea. Semua hendak dilakukan tetapi satu pun masih belum bermula. Ramai yang bercita-cita ingin mempunyai perniagaan sendiri. Ada yang berjaya, ada yang tidak. Minat sudah ada tetapi masih lagi menunggu masa yang sesuai. 

Dalam kelas menjahit tudung yang saya jalankan, peserta saya bukan sahaja di sekitar Bangi. Ada yang datang dari Johor. Ada yang datang dari Jengka, Pahang yang sanggup memandu kereta ke Bangi semata-mata untuk belajar menjahit tudung. Semuanya bergantung kepada diri kita sendiri. Jika berminat, langkah akan disusun supaya kita boleh mencapainya.  Ikuti kisah berikut.

Dalam satu kelas motivasi, seorang penceramah memegang sebatang pensil dan meletakkan pensil tersebut secara menegak di atas meja. Penceramah tersebut bertanya kepada peserta di hadapannya bagaimanakah hendak menjatuhkan pensil tersebut.

Bermacam-macam idea dan cadangan muncul dari peserta di dalam kelas tersebut. Ada yang mencadangkan supaya mengepal-ngepal  kertas menjadi seperti bola dan membalingnya kepada pensil tersebut. Ada yang memberi idea supaya menghembus dengan kuat pensil tersebut sehingga jatuh. Ada juga yang mencadangkan supaya mengoyang-goyang meja tersebut supaya pensil itu jatuh. Begitulah banyaknya idea dan cadangan untuk menjatuhkan pensil tersebut.

Bangun seorang gadis manis yang sudah pandai menjahit dan berjaya dalam perniagaan onlinenya, berjalan ke hadapan kelas dan menyentuh pensil yang diletakkan tegak di atas meja tadi. Akhirnya jatuhlah pensil tersebut.

Apa yang kita boleh pelajari daripada kisah di atas. Kita lihat begitu banyak idea dan cadangan dikeluarkan untuk menjatuhkan pensil tadi tetapi satu pun tidak berjaya menjatuhkannya. Ramai yang hanya pandai memberi cadangan tetapi tidak ada yang bangun MENGAMBIL TINDAKAN. Pensil tersebut hanya boleh dijatuhkan jika  ada yang bangun dan MENGAMBIL TINDAKAN seperti mana gadis tadi. Tanpa TINDAKAN semuanya tidak akan menjadi.

Begitulah kehidupan kita seharian. Begitu banyak yang kita rancang tetapi semuanya tidak menjadi kerana tidak ada TINDAKAN daripada kita untuk melakukannya. Kita lebih suka bertangguh dan menunggu dahulu. 

Cukuplah setakat ini. Saya terpaksa berhenti di sini dahulu kerana terpaksa bangun untuk MENGAMBIL TINDAKAN  menyiapkan kerja-kerja saya yang masih banyak lagi yang tertangguh.

Kalau asyik layan blog ini bila pula masa hendak siapkan kerja. Nasib baik saya tak ada boss.

No comments:

Post Utama

Kedai Online Nash Fesyen

Post Paling Popular

HAKCIPTA TERPELIHARA NASH FESYEN 2018