Kesempatan balik kampung untuk ke majlis kenduri kahwin di Bandar Baharu, Kedah diambil untuk pergi ke Pasar Kemboja. Saya mula tahu mengenai pasar kemboja ini setelah diberitahu oleh jiran saya di kampung.
Apabila saya memberitahu kepada jiran-jiran dan kawan-kawan di kampung bahawa saya menjahit dan menjual tudung, jiran-jiran dan kawan-kawan selalunya akan membanding-banding dengan tudung yang dijual secara murah di pasar-pasar malam. Begitulah kalau menjual di kampung.
"Kalau nak beli tudung dan telekung murah pergi ke pasar kemboja di Parit Buntar setiap hari Isnin dan Jumaat."
"Banyak fesyen tudung yang cantik-cantik di sana. Boleh beli secara kodi atau lelong."
Oleh kerana saya terlibat secara langsung dengan tudung dan pakaian ini, teringin sekali melihat sendiri apa yang dijual di pasar Kemboja. Sudah beberapa kali balik kampung tetapi tidak pernah ada kesempatan kerana hari dan masa yang tidak sesuai. Lagi pun bila balik kampung masa begitu padat dengan rancangan-rancangan yang lain.
Kali ini apabila balik untuk ke majlis kenduri kahwin, saya diberitahu pasar Kemboja sekarang dibuka pada setiap hari sabtu. Saya pun tidak melepaskan peluang ini. Sebelum ini pasar ini dibuka pada hari isnin dan jumaat tetapi dikatakan mendapat aduan penduduk berdekatan kerana menganggu lalu lintas di kawasan tersebut. Pasar Kemboja terletak berdekatan dengan sekolah dan masjid. Tambahan pula pada hari jumaat trafiknya bertambah teruk kerana sembahyang jumaat di masjid berdekatan. Oleh sebab itulah pasar tersebut diubah ke hari Sabtu.
Pasar kemboja dikatakan dibuka oleh komuniti kemboja yang berada di sekitar kawasan itu. Pada mulanya urusan jual-beli hanya berlaku dikalangan komuniti mereka sahaja. Barangan jualan mereka mula mendapat perhatian penduduk sekitar kerana dijual dengan harga yang murah terutamanya pakaian. Dari sinilah terbentuklah pasar kemboja yang popular sekarang ini.
Walaupun dikatakan Pasar Kemboja ini di Parit Buntar tetapi sebenarnya apabila saya pergi ke sana pasar ini terletak di kampung Permatang Tok Mahat yang di sebelah Nibong Tebal bersempadan dengan Parit Buntar. Pasar ini dibuka di sepanjang jalan raya di kampung tersebut.
Perjalanan mencari pasar tersebut tidak susah kerana saya sendiri sudah biasa dengan kawasan tersebut. Masalah utama adalah untuk mencari tempat parking. Jangan haraplah nak dapat parking di tepi jalan berdekatan dengan pasar tersebut jika datang lambat. Saya sendiri mencari-cari tempat parking sehinggalah berjumpa dengan masjid yang menyediakan tempat parking di situ. Sekali parking RM2.00.
Memang betul begitu banyak gerai-gerai yang dibuka yang menjual tudung, telekung dan berbagai jenis pakaian wanita. Walaupun dinamakan pasar Kemboja saya lihat ramai juga orang Melayu yang menjual di situ. Terdapat juga pelbagai jenis fesyen tudung, telekung, baju dan lain-lain. Ada yang digantung dan ada yang dilonggok di atas tikar sahaja.
Patutlah jiran saya kata beli di pasar malam atau pasar kemboja boleh dapat harga yang murah. Memang banyak pilihan. Boleh rambang mata memandang.
Oleh kerana masa yang singkat dan malas berjalan jauh, saya hanya sempat singgah di beberapa gerai sahaja kerana tujuan asal saya hanya sekadar untuk melihat-lihat sahaja barangan yang dijual di situ. Banyak lagi gerai yang tidak sempat saya singgah. Lagi pun saya lihat kebanyakan gerai menjual barangan yang sama sahaja.
Kedatangan pendatang kemboja ini untuk mencari rezeki di sini menyebabkan berlaku saingan harga sehingga menyebabkan penjual tudung dan pakaian terutamanya di kalangan penjual rakyat tempatan terasa kesannya. Malahan harga tudung, telekung kain dan pakaian ini dijual lebih murah daripada yang dijual di jalan TAR. Patut pun sudah ada peniaga jalan TAR yang mengeluh dengan kebanjiran peniaga-peniaga Kemboja ini.
Kebanjiran begitu banyak tudung, telekung dan pakaian yang dijual oleh pendatang kemboja ini telah menyebabkan harga tudung, telekung dan lain-lain jatuh di pasaran. Walau apa pun ia tetap menguntung pembeli kerana mempunyai banyak pilihan untuk membeli.
Kepada sesiapa yang ingin mendapat tudung, baju dan lain-lain atau pun yang ingin berniaga tudung dan pakaian secara online boleh cuba-cuba membuat survey di Pasar Kemboja untuk mendapat harga yang murah.
Saya lebih berpuas hati dengan produk saya sendiri. Harganya tentu tidak sama dengan harga di Pasar Kemboja.