Tuesday, 3 June 2014

Jahit Veil Pengantin



Tempahan untuk majlis perkahwinan terus diterima pada musim cuti sekolah ini. Sebenarnya ditempah sebelum cuti sekolah lagi. Hanya baru siap dijahit kerana hendak dipakai pada hujung minggu ini. Tempahan ini sekali dengan baju nikah yang saya postkan pada entri sebelum ini. 

Tempahan juga dibuat untuk shawl yang akan dipakai oleh para-para dayang pengantin semasa majlis perkahwinan nanti. Kehadiran dayang-dayang pengantin dengan shawl dengan warna yang sama tentunya akan menyerikan majlis perkahwinan nanti. Begitulah majlis perkahwinan yang mahu diraikan. Akan bertambah meriah majlis dengan penghias yang tentunya juga cantik menawan. 



Untuk membuat veil pengantin tidaklah susah. Fabrik kain yang digunakan adalah dari material chiffon yang dipotong dengan bentuk half moon atau half oval. Kemudian jahit tepi halus sekeliling kain yang dipotong tadi. Selepas itu jahit border lace pada bahagian atas half moon atau half oval tadi. SIAP. Mudah sekali dan boleh digayakan dengan baju nikah yang ditempah.

Minggu-minggu ini adalah minggu yang amat sibuk sekali. Pada hari minggu yang lepas, saya ke Taiping kerana ada majlis kenduri anak kakak saya yang bongsu. Sudah lajak ke Taiping terus sahaja balik kampung untuk satu hari. Sebelum itu sudah balik kampung kerana kenduri juga. Selepas ini tidaka ada lagi balik kampung sehingga hari raya nanti. Saya perlu fokuskan kepada tempahan pelanggan.

Kenapa saya merasa sibuk sekali untuk minggu-minggu ini. Semalam sahaja pelanggan datang dari pagi hingga ke malam. Tidak pernah berlaku sebelum-sebelum ini. Ramai yang menghantar untuk jahit tepi shawl untuk persediaan untuk dijual untuk persediaan hari raya nanti sama ada melalui booth atau secara online.

Tempahan tudung pun saya  STOP dahulu buat sementara waktu kecuali tempahan menjahit shawl yang masih diterima sehingga kini. Saya juga telah menambah seorang lagi pembantu untuk membantu saya. Rumah pun sudah penuh dengan bungkusan-bungkusan kain di sana sini. Semakin sempit ruang di rumah.

Semuanya berlaku kerana saya menulis blog.

Thursday, 29 May 2014

Baju Nikah


Sudah 2 hari saya demam. Badan terasa lemah sekali terasa seperti dicucuk-cucuk dengan jarum. Kaki terasa sejuk, badan mengigil diikuti dengan sakit kepala yang amat sangat. Walaupun demikian digagah juga untuk menjahit beberapa helai tudung dan baju. Akhirnya terpaksa menyerah juga. Tidak mampu lagi untuk bekerja dengan badan yang lemah. Tidur sepanjang hari.

Pergi ke klinik dan mengikut kata doktor saya bekerja kuat dan badan banyak bergetar. Macam tahu-tahu sahaja saya menjahit. Tetapi sebelum ini saya bekerja bgitu juga. Okay sahaja. Menurut Robert T. Kiyosaki, saya berada di kuadran S. Pemilik bisnes sendiri. Tidak bekerja, tidak ada pendapatan.

Harap-harap hari ini akan pulih sepenuhnya. Banyak komitmen sebenarnya. Walaupun demam terpaksa digagahkan juga untuk menyiapkan tempahan pelanggan.

Minggu ini cuti sekolah telah bermula. Agak lega sedikit kerana rutin menghantar anak ke sekolah tidak dilakukan. Hujung minggu pula banyak jemputan ke majlis kenduri kahwin termasuk sejauh di Taiping, rumah kakak. Nampaknya hujung minggu tidak produktif juga. Apabila tiba musim cuti sekolah ada sahaja tempahan untuk hati nikah dan juga untuk majlis perkahwinan. Saya sendiri semakin kurang mengambil tempahan untuk baju kerana sudah terlalu banyak tempahan yang saya ambil sebelum ini. Tetapi apabila sudah berjanji lama, saya menerimanya juga.

Tempahan baju nikah di atas adalah baju kurung moden untuk majlis nikah pada minggu depan sedondon dengan baju melayu yang saya tidak masukkan gambar di sini. Saya lebih suka menjahit baju perempuan dari lelaki.

Pada masa sekarang saya banyak menerima tempahan untuk jahit tepi shawl. Boleh dikatan setiap hari ada sahaja yang menghantar. Kebanyakan untuk diniaga di Booth dan juga secara online. Mungkin juga untuk hari raya walaupun lambat lagi.

Begitulah cabaran bekerja sendiri. Walau apapun tetap merasa seronok sehingga demam hilang begitu sahaja.

Wednesday, 28 May 2014

Beza Jahit Tepi Halus & Jahit Tepi Biasa

Saya merujuk jahit tepi halus kepada jahitan halus di sekeliling shawl dengan jarak jahitan yang rapat untuk menutupi bekas potongan pada kain yang tidak kemas. Manakala untuk jahit tepi biasa pula merujuk kepada jahit tepi yang selalu dibuat untuk menutupi bekas potongan kain untuk membuat baju seperti baju kurung. Kedua-duanya mempunyai kemasan yang berlainan

Saya sendiri mengguna mesin jahit tepi yang berlainan untuk kedua-dua jenis jahitan tersebut. Mesin jahit tepi ini dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai 'overlock sewing machine' atau 'serger machine'.

Mesin ini mempunyai pisau atau cutter yang memotong tepi kain apabila kain disuap ke dalam mesin sebelum proses menjahit bermula. Terdapat kombinasi beberapa benang digunakan seperti 3, 4 atau 5 benang.

Saya mempunyai 1 unit mesin jahit tepi biasa dan 2 unit mesin jahit tepi halus untuk menampung permintaan tempahan jahit tepi terutama jahit tepi halus yang semakin meningkat untuk shawl atau selendang. Alhamdulillah buat masa ini masih lagi dapat menampung permintaan pelanggan dengan dibantu oleh beberapa orang pembantu.

Baru-baru ini ada pelanggan saya dari Kedah bertanya kenapa jahitan tepi untuk shawl/tudung bawalnya yang nampak kasar dan jarang berbanding dengan jahitan tepi halus yang terdapat dalam blog ini. Apabila saya melihat gambar yang ditunjukkan tahulah saya bahawa jahitan tepi yang ditunjuknya mengguna mesin jahit tepi biasa.

Di bawah ini saya tunjukkan perbezaan jahitan antara jahit tepi halus dan jahit tepi biasa.

Jahit tepi halus di bawah adalah menggunakan mesin jahit tepi halus yang saya gunakan sekarang.
Klik gambar untuk lebih jelas.





Gambar di bawah pula adalah jahit tepi biasa yang dihantar kepada saya oleh pelanggan dari Kedah ini untuk jahit tepi halus menggantikan jahit tepi seperti di bawah.

Klik gambar untuk lebih jelas.





Sekarang boleh lihat sendiri perbezaan antara kedua-dua jahitan tersebut. Saya menggunakan 2 mesin yang berlainan untuk kedua-dua jahitan tersebut kerana tidak mahu mengubah setting mesin yang sudah sedia baik dan kemas untuk kedua-dua mesin tersebut.

Wednesday, 21 May 2014

Dress Berjahit Lace




Sekeluarga memilih dress berjahit lace dengan warna pink menjadi tema utama. Material adalah dari jenis chiffon glitter dengan potongan A. Selesa dipakai dan nampak bergaya terutama jika dipakai untuk musim perayaan seperti hari raya.

Untuk makluman semua saya sudah menutup tempahan menjahit baju raya. Walaubagaimana pun saya masih menerima tempahan untuk tudung dan shawl. Saya tidak berani mengambil begitu banyak tempahan terutama jika mempunyai dead line sebelum hari raya.

Buat masa sekarang saya ingin memberi fokus untuk jahit tudung dan shawl dahulu. Kebanyakan saya perlu siapkan sebelum bulan puasa ini.

Cepat betul masa berlalu dah nak sambut puasa.

Tuesday, 20 May 2014

Pasar Kemboja



Kesempatan balik kampung untuk ke majlis kenduri kahwin di Bandar Baharu, Kedah diambil untuk pergi ke Pasar Kemboja.  Saya mula tahu mengenai pasar kemboja ini setelah diberitahu oleh jiran saya di kampung.

Apabila saya memberitahu kepada jiran-jiran dan kawan-kawan di kampung bahawa saya menjahit dan menjual tudung, jiran-jiran dan kawan-kawan selalunya akan membanding-banding dengan tudung yang dijual secara murah di pasar-pasar malam. Begitulah kalau menjual di kampung.

"Kalau nak beli tudung dan telekung murah pergi ke pasar kemboja di Parit Buntar setiap hari Isnin dan Jumaat."

"Banyak fesyen tudung yang cantik-cantik di sana. Boleh beli secara kodi atau lelong."

Oleh kerana saya terlibat secara langsung dengan tudung dan pakaian ini, teringin sekali melihat sendiri apa yang dijual di pasar Kemboja. Sudah beberapa kali balik kampung tetapi tidak pernah ada kesempatan kerana hari dan masa yang tidak sesuai. Lagi pun bila balik kampung masa begitu padat dengan rancangan-rancangan yang lain.

Kali ini apabila balik untuk ke majlis kenduri kahwin, saya diberitahu pasar Kemboja sekarang dibuka pada setiap hari sabtu. Saya pun tidak melepaskan peluang ini. Sebelum ini pasar ini dibuka pada hari isnin dan jumaat tetapi dikatakan mendapat aduan penduduk berdekatan kerana menganggu lalu lintas di kawasan tersebut. Pasar Kemboja terletak berdekatan dengan sekolah dan masjid. Tambahan pula pada hari jumaat trafiknya bertambah teruk kerana sembahyang jumaat di masjid berdekatan. Oleh sebab itulah pasar tersebut diubah ke hari Sabtu.

Pasar kemboja dikatakan dibuka oleh komuniti kemboja yang berada di sekitar kawasan itu. Pada mulanya urusan jual-beli hanya berlaku dikalangan komuniti mereka sahaja. Barangan jualan mereka mula mendapat perhatian penduduk sekitar kerana dijual dengan harga yang murah terutamanya pakaian. Dari sinilah terbentuklah pasar kemboja yang popular sekarang ini.

Walaupun dikatakan Pasar Kemboja ini di Parit Buntar tetapi sebenarnya apabila saya pergi ke sana pasar ini terletak di kampung Permatang Tok Mahat yang di sebelah Nibong Tebal bersempadan dengan Parit Buntar. Pasar ini dibuka di sepanjang jalan raya di kampung tersebut.

Perjalanan mencari pasar tersebut tidak susah kerana saya sendiri sudah biasa dengan kawasan tersebut. Masalah utama adalah untuk mencari tempat parking. Jangan haraplah nak dapat parking di tepi jalan berdekatan dengan pasar tersebut jika datang lambat. Saya sendiri mencari-cari tempat parking sehinggalah berjumpa dengan masjid yang menyediakan tempat parking di situ. Sekali parking RM2.00.

Memang betul begitu banyak gerai-gerai yang dibuka yang menjual tudung, telekung dan berbagai jenis pakaian wanita. Walaupun dinamakan pasar Kemboja saya lihat ramai juga orang Melayu yang menjual di situ. Terdapat juga pelbagai jenis fesyen tudung, telekung, baju dan lain-lain. Ada yang digantung dan ada yang dilonggok di atas tikar sahaja.

Patutlah jiran saya kata beli di pasar malam atau pasar kemboja boleh dapat harga yang murah. Memang banyak pilihan. Boleh rambang mata memandang.



Oleh kerana masa yang singkat dan malas berjalan jauh, saya hanya sempat singgah di beberapa gerai sahaja kerana tujuan asal saya hanya sekadar untuk melihat-lihat sahaja barangan yang dijual di situ. Banyak lagi gerai yang tidak sempat saya singgah. Lagi pun saya lihat kebanyakan gerai menjual barangan yang sama sahaja.



Kedatangan pendatang kemboja ini untuk mencari rezeki di sini menyebabkan berlaku saingan harga sehingga menyebabkan penjual tudung dan pakaian terutamanya di kalangan penjual rakyat tempatan terasa kesannya. Malahan harga tudung, telekung kain dan pakaian ini dijual lebih murah daripada yang dijual di jalan TAR. Patut pun sudah ada peniaga jalan TAR yang mengeluh dengan kebanjiran peniaga-peniaga Kemboja ini.

Kebanjiran begitu banyak tudung, telekung dan pakaian yang dijual oleh pendatang kemboja ini telah menyebabkan harga tudung, telekung dan lain-lain jatuh di pasaran. Walau apa pun ia tetap menguntung pembeli kerana mempunyai banyak pilihan untuk membeli.


Kepada sesiapa yang ingin mendapat tudung, baju dan lain-lain atau pun yang ingin berniaga tudung dan pakaian secara online boleh cuba-cuba  membuat survey di Pasar Kemboja untuk mendapat harga yang murah.

Saya lebih berpuas hati dengan produk saya sendiri. Harganya tentu tidak sama dengan harga di Pasar Kemboja.

Thursday, 15 May 2014

Baju Mini Kurung Kedah


Baju mini kurung kedah ini saya buat untuk saya pakai untuk majlis kenduri di kampung nanti. Potongannya yang pendek sesuai juga dipakai dengan seluar jika tidak mahu dipakai bersama kain. Oleh sebab itulah saya membuatnya menjadi pendek seperti baju kedah atau blouse. Itu untungnya jadi tukang jahit boleh design sendiri macam mana fesyen yang kita hendak. Baju ini pun baru hari ini siap jahit akan dipakai bersama dengan shawl butterfly warna biru turqois yang juga baru siap jahit hari ini.

Sebenarnya saya akan pulang ke kampung hari ini kerana ada majlis kenduri kahwin kakak saya untuk anaknya yang sulung. Majlis kenduri adalah pada hari esok, hari sabtu di Bandar Baharu, Kedah. Saya akan balik kampung mulai hari ini dan akan pulang semula ke Bandar Baru Bangi pada hari ahad, mungkin sampai rumah pada hari ahad malam.

Kepada sesiapa yang nak datang rumah minta tangguh dahulu sehingga minggu depan. Kalau datang pun saya tak ada di rumah.

Anak-anak pun tanya juga baju depa tak mahu buat sama ka? Pakai sahaja baju lama. Tak sempat nak buat.

Wednesday, 14 May 2014

Shawl Lace






Fesyen shawl sudah pelbagai. Setiap satu mempunyai keunikannya yang tersendiri mengikut kreativiti perekanya. Keunikannya bergantung kepada cara potongannya sehinggalah kepada tambahan perincian pada shawl. Perincian seperti jahitan manik, kuntuman bunga, lace dan lain-lain dengan pelbagai bentuk dan design menjadikan shawl begitu istimewa sekali.

Gambar di atas adalah contoh shawl yang dijahit dengan lace tempahan dari pelanggan saya. Cantik dan menarik sekali corak bunga lace yang dipilih. Saya kongsikan di sini supaya dapat memberi idea kepada peminat shawl yang tercari-cari  jenis-jenis fesyen shawl yang sesuai.  Rajin-rajinlah selak dalam bab-bab yang lain dalam blog ini. 

Semakin banyak saya berkongsi di sini, semakin banyak pertanyaan yang perlu saya jawab menjadikan saya semakin sibuk setiap hari. Nampaknya saya perlu kurangkan kekerapan entri dalam blog ini untuk memberi lebih fokus kepada aktiviti menjahit.

Post Utama

Kedai Online Nash Fesyen

Post Paling Popular

HAKCIPTA TERPELIHARA NASH FESYEN 2018