Wednesday, 12 February 2014

Tudung Chiffon Dengan Kilauan Batu Swarovski






Apakah yang difikirkan oleh seseorang wanita apabila ingin memakai sesuatu tudung? Pastinya perkara pertama yang difikirkan apakah tudung yang digayakan itu nampak kemas, ringkas, mengikut fesyen semasa dan kelihatan anggun apabila dipakai dalam apa jua suasana sekalipun. Pilihan tudung yang sesuai menjadi keutamaan dan kadang kala menjadi suatu kesukaran pula untuk mendapatkannya. Tambahan pula yang sesuai itu tidak terdapat di mana-mana kedai menjual tudung. Apabila sudah ditemui tidak padan pula dengan warna baju dan saiznya pula tidak mengikut seperti yang dikehendaki.

Pada masa sekarang terdapat berbagai aneka tudung daripada yang biasa sehinggalah yang mempunyai berbagai perincian seperti batu perhiasan, manik, labuci, reben, bunga dan yang lain-lain yang  turut mewarnai dunia fesyen untuk wanita yang ingin bergaya. Dunia fesyen tudung juga tidak ketinggalan dari peredaran fesyen semasa. 

Pemilihan tudung dengan perincian tertentu mampu menampilkan kelainan dan menyerlahkan keayuan dan keanggunan pemakai. Oleh sebab itu ada wanita yang memilih gaya tudung yang mempunyai perhiasaan pada tudung seperti  mempunyai batu-batuan yang bertaburan pada tudungnya.  Batu-batuan yang berkilau yang dihiasi pada tudung menjadikan pemakai kelihatan begitu menawan, berseri-seri serta elegan dan tak ketinggalan zaman.

Pemilihan batu-batuan yang sesuai untuk ditampal pada tudung terutamanya pada awning tudung adalah suatu yang dicari kerana ianya nampak begitu istimewa sekali apabila dipakai di majlis-majlis tertentu terutamanya jika majlis itu diadakan di waktu malam. Pemilihan batu hiasan yang sesuai sebenarnya adalah ingin mendapat kilauan dari batu tersebut terutamanya pada waktu malam apabila disinari oleh cahaya lampu. 

Pemakainya tentu akan kelihatan bergemerlapan sekali dengan muka yang berseri-seri sehingga memukau mata yang memandang. Oleh yang demikian batu hiasan yang sesuai yang mampu memberi impak kilauan tersebut dicari-cari oleh wanita.

Begitulah kehendak pelanggan saya kali ini yang mahukan tudungnya ditaburi baru-batu hiasan pada bahagian awning.  Oleh itu saya cuba mencari batu yang sesuai dan akhirnya membuat keputusan memilih batu swarovski yang memang terkenal di kalangan penggemar fesyen kerana dikatakan mampu memberi kilauan seperti berlian.

Untuk mendapatkan hiasan dari berlian memang sukar kerana harganya yang mahal dan tentu juga tidak selamat untuk dipakai bersama tudung kerana barangan berharga tersebut sentiasa menjadi idaman peragut yang merbahaya kepada pemakainya. Oleh yang demikian pemilihan batu swarovski menjadi alternatif kerana lebih selamat dipakai dan kilauannya tidak kalah seperti kilauan berlian. Pemakainya pun nampak mewah, anggun, kelihatan trendy dan moden.

Oleh sebab itulah saya memilih batu swarovski untuk ditampal sebagai perincian pada awning tudung seperti kehendak pelanggan saya ini. Harga batu swarovski ini memang agak mahal tetapi seperti berlian dan batu permata yang lain. Bolehlah kalau ingin cuba untuk ditampal pada tudung. 

Batu swarovski tidaklah begitu komplikated tetapi kelihatan jelas, ringkas dan sangat cantik dan  menyerikan lagi tudung  terutamanya jika dipakai pada waktu malam apabila nampak berkilau dibias cahaya lampu malam. 

Untuk menampal batu swarovski pada awning pula, saya menggunakan seterika ketika menyediakan awning sebelum dijahit pada tudung. Ini kerana batu swarovski ini adalah batu jenis ‘hot fix’ yang mudah lekat apabila dikenakan haba semasa ingin melekatkan batu pada awning.  Di bawah batu tampal ini sudah mempunyai gam yang apabila digosok dengan seterika atau dikena sedikit haba yang panas sudah mampu melekat dengan kuat pada kain. Batu swarovski yang asli biasanya akan melekat kuat pada kain dan tidak mudah tanggal apabila di basuh.

Caranya sangat mudah dengan meletakkan corak batu swarovski pada awning tudung mengikut corak yang memang sudah tersedia. Tekapkan seterika di atas batu-batu tersebut beberapa saat sehingga batu-batu tersebut betul-betul lekat pada awning tudung. Kemudian apabila batu swarovski tadi sudah melekat dengan baik pada awning tudung barulah saya akan cantumkan awning pada tudung dan menjahitnya sehingga siap tudung tersebut.

Batu swarovski boleh dibeli di kedai-kedai menjual barangan jahitan atau di kedai-kedai yang menjual batu-batu kristal untuk hiasan. Boleh didapati dengan pelbagai corak yang menarik, simpel dan ringkas.


Di bawah sedikit maklumat berkaitan batu swarovski seperti mana rujukan melalui sumber Wikipedia.

Kristal Swarovski sebenarnya bukanlah produk kristal semulajadi tetapi adalah hasil dari batu kristal buatan manusia yang dikeluarkan di Austria  oleh Swarovski AG.  Swarovski AG diasaskan  oleh Daniel Swarovski (1862-1956) orang yang pertama yang menjumpai kristal ini.  Daniel Swarovski  menemui formula  dan teknik dalam kaedah pemotongan kristal untuk menghasilkan suatu kristal yang sangat cantik dan bermutu tinggi. 

Pada Tahun 1895, Daniel Swarovski  menubuhkan suatu perusahaan Swarovski yang menghasilkan produk-produk seperti patung berbentuk miniatur kristal, objek hiasan dalaman rumah dan beberapa perhiasan kristal yang lain.

Sehingga kini keluarga Swarovski meneruskan tradisi ini untuk menghasil produk kristal swarovski yang begitu terkenal di seluruh dunia termasuk di Malaysia.

Produk batu-batu hiasan untuk ditampal pada pakaian dari swarovski menjadi kegilaan pereka fesyen untuk menghiasi  fesyen-fesyen mereka kerana kilauan dari batu kristal swaroski  itu sendiri mampu memberi kesan mewah seolah-olah seperti kilauan pada berlian.

Krsital swarovski banyak digunakan bukan sahaja untuk perhiasan tetapi juga pada aksesori fesyen, telefon bimbit, komputer, kamera, jam tangan  dan juga pada cermin mata. Produk asal dari Swarovski adalah berbentuk patung atau miniature kristal, perhiasaan, hiasan rumah, dan lain-lain. Semua produknya dihiasi dengan logo Swarovski yang berupa bunga 'edelweiss' pada awalnya. Tetapi pada tahun 1988 logo itu telah diganti dengan simbol angsa. 

Untuk menghasilkan gelas kristal seperti cahaya yang terbias pada spektrum pelangi, Swarovski melapisi produknya dengan bahan kimia metalik khas seperti Aurora Borealis (AB) yang memberikan permukaan kristal kelihatan terbias seperti pelangi. Lapisan yang lain dinamakan dengan nama syarikat termasuklah   Crystal Transmission, Volcano, Aurum, and Dorado.

Selain daripada itu Swarovski juga mempunyai anak syarikat yang menghasilkan produk-produk lain yang berlainan yang berasaskan bahan kristal swarovski.

Begitulah pelbagai ragam dunia fesyen dan tidak ketinggalan juga fesyen tudung.
Post a Comment

Post Utama

Kedai Online Nash Fesyen

Post Paling Popular

HAKCIPTA TERPELIHARA NASH FESYEN 2017