Sunday 2 February 2014

Tudung Twist Labuh


Sudah kali ketiga tudung twist ini ditempah oleh pelanggan saya. Seorang guru yang menyambung pelajaran di peringkat Master di UKM. Bila dah berulang tempah, kiranya dah jadi regular customer saya. 

Bagi saya sendiri, tentunya gembira sekali kerana pelanggan berpuas hati dengan sentuhan pertama saya. Dah jadi testimonial untuk perkhidmatan menjahit yang saya lakukan.

Tempahan tudung twist ini sebanyak 12 helai. Baru siap 4 helai sahaja. Tinggal lagi 8 helai  yang perlu dijahit. InsyaAllah minggu depan boleh siap semua. 

Tudung twist labuh ini amat sesuai sekali untuk pergi ke kuliah atau atau ketika mengajar. Mempunyai keistimewaan tersendiri, menambah keyakinan diri serta mampu memberi penampilan yang positif apabila menyampaikan pembentangan dan juga ketika berhadapan dengan sesiapa sahaja. Malahan boleh menambah aura serta meningkatkan karisma sebagai seorang pendidik.

Nampak kemas dan segak bila dipakai. Sesuai untuk semua majlis rasmi dan juga ketika outing bersama kawan-kawan. Materialnya dari fabrik lycra plain dan bercorak.

Kemasan di pinggiran bawah kain menggunakan jahitan coverstitch 2 jarum yang biasa digunakan untuk kemasan kain lycra. Tudung twist juga antara tudung express atau tudung segera yang menjadi pilihan mereka yang sibuk. Senang nak adjust bila dipakai. Cepat dipakai dan senang untuk digayakan. 

Kepada cikgu-cikgu yang berminat bolehlah mencuba tudung twist labuh ini.







Saturday 1 February 2014

Cross Stitch Sebagai Hobi Masa Lapang



Semasa berpindah ke rumah baru-baru ini, banyak barang-barang menjahit yang diselongkar dan disusun semula. Terjumpa bermacam-macam barang-barang lama yang disimpan yang terrasa sayang untuk dibuang. Tinggal berhabuk di dalam laci dan bekas yang entah berapa lama tidak pernah dibuka. Antaranya termasuklah alatan untuk menjahit cross stitch termasuk juga projek cross stitch yang tidak siap-siap.

Suatu waktu dahulu adalah menjadi hobi saya menjahit cross stitch ini. Ada sahaja gambar-gambar menarik seperti pemandangan, bunga, hiasan dan lain-lain semua nak dijadikan cross stitch. Kegilaaan menghasilkan sulaman cross stitch bermula selepas habis bersekolah sehinggalah berkahwin. Hobi ini terhenti sejak mendapat anak pertama. Pada masa itu sarung tilam dan sarung bantal anak pun dijahit cross stitch.

Sekarang tidak ada lagi masa untuk itu semua.  Projek cross stitch yang tak siap masih lagi tersimpan. Antaranya seperti projek cross stitch gambar pemandangan di bawah yang sudah bertahun-tahun terbengkalai. Tak mungkin dapat disiapkan lagi dengan kesibukan sekarang.

Projek cross stitch yang tidak siap-siap.

Cross stitch adalah suatu bentuk sulaman berhias yang dihasilkan dalam rekabentuk silang pangkah X yang disulam di atas kain mengikut pola atau corak tertentu untuk membentuk gambar atau corak yang menarik. Cross stitch atau jahitan silang pangkah ini sangat popular dan menjadi hobi yang menarik mengisi masa lapang. Hasil jahitan seperti gambar bunga, pemandangan dan lain-lain akan diframe dan digantung di dinding sebagai hiasan.

Cross stitch biasanya dihasilkan untuk menghiasi penutup meja, dijahit pada fabrik untuk menjadi hiasan yang digantung pada dinding, membuat kad ucapan, sarung bantal, sarung kotak dan lain-lain.

Menjahit sesuatu corak cross stitch perlu kesabaran yang tinggi sebelum menikmati hasilnya yang menarik. Kalau tidak ada kesabaran memang tidak menjadi.

Bila dah minat menjahit semua perkara nak dicuba. Itulah uniknya tukang jahit.

Friday 31 January 2014

Beroperasi Di Tempat Baru


Alhamdulillah urusan pemindahan ke rumah baru sudah selesai. Mesin jahit dah selesai angkat. Begitu juga semua perabut dan barang-barang lain. Astro dan Unifi pun dah selesai tukar alamat. Sekarang sudah dapat digunakan di tempat baru. Tidak ada lagi gangguan. Semuanya berjalan lancar.

Rumah yang lama pun sudah dibersihkan. Sudah dicuci elok-elok untuk diserahkan kepada tuan rumah. Bayaran rumah sewa pun tak perlu bayar lagi. Masih ada deposit dua bulan. Bayaran api dan air semua sudah settle. Sekarang boleh fokus seratus peratus di tempat baru. Semua berjalan lancar. Cuma yang tinggal hanyalah menyusun dan mengemas sahaja. Itu boleh dilakukan sedikit demi sedikit.

Kebiasaan bila berpindah ke tempat baru, banyaklah barang-barang yang tidak berapa perlu akan dibuang. Kalau simpan pun buat semak rumah sahaja. Ini termasuk kain-kain perca yang berkarung-karung banyaknya. Kalau di dahulu di kampung akan diberikan kepada kakak ipar yang rajin menjahit semula untuk dijadikan pelapik kaki.

Memandangkan masa sekarang yang sibuk tidak ada peluang lagi untuk guna semula kain-kain perca yang disimpan. Begitu juga dengan benang-benang cross stitch dan beberapa jahitan cross stitch yang tidak sempat disiapkan yang masih lagi disimpan dengan elok. Teringat semasa kegilaan menjahit cross stitch dahulu. Begitu banyak gambar dan benang yang dibeli dan disimpan. Kononnya nak disiapkan nanti. Terasa sayang pula nak dibuang. Sekarang aktivi cross stitch tidak mungkin dapat dilakukan lagi.

Seminggu dua ini memang banyak cabaran dan terasa sibuk yang amat sangat. Anak-anak pula hampir kesemua dapat sakit. Yang sulung demam sampai tak bangun-bangun. Risau juga sehingga bawa pergi ke Hospital Serdang. Untuk periksa darah. Takut dapat demam denggi. Pergi pukul 11 malam. Pukul 3 pagi baru selesai. Ramai betul yang sakit.

Anak yang bongsu pula jatuh kerusi terkena  bucu simen. Luka yang dalam pada dahi. Hantar ke Hospital Az Zahrah. Panel hospital untuk tempat kerja suami. Kena jahit sampai lapan jarum.

Anak yang lain-lain pula dapat sakit pada mulut, ulcer dan juga batuk-batuk. Saya sendiri demam, sakit tekak dan batuk yang tak berhenti-henti.

Memandang kerja yang banyak dan pelanggan pula nak baju dan tudung sebelum Raya Cina. Ada yang nak pergi umrah, bercuti ke Indonesia dan juga nak pakai untuk majlis kahwin. Terpaksalah kuatkan semangat melawan sakit yang ada. Akhirnya demam dan batuk hilang begitu sahaja. Kat rumah ni kalau saya yang sakit alamatnya tak jalanlah urusan harian. Anak-anak bila dah sakit apa-apa pun tak boleh buat.

Alhamdulillah sekarang semuanya dah selesai. Semua dah pulih seperti biasa.

Tetamu pula datang tidak berhenti-henti termasuk adik-beradik dari kampung. Datang singgah bila datang ke Bangi. Suatu petanda yang baik bila berpindah ke rumah baru. Orang tua-tua juga pernah berpesan. Jika rumah kita sentiasa terbuka dan ramai yang datang, InsyaAllah itu petanda murah rezeki.

Sekarang saya sudah beroperasi sepenuhnya di tempat baru. Di alamat baru, No 15, Jalan 4/12L, Seksyen 4 Tambahan, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor. Sesiapa yang biasa datang, boleh datang melalui jalan yang sama juga. Hanya nombor rumah sahaja yang bertukar.

Semoga di tempat baru dalam suasana yang baru di tahun baru ini akan dimurahkan lagi rezeki oleh Allah s.w.t. InsyaAllah.

Hari ini kelas menjahit tudung pun sudah bermula di tempat baru.

Thursday 23 January 2014

Jahit Inner Tudung



Bila dah terlibat dengan jahit menjahit tudung ini, tempahan pelanggan datang dengan pelbagai fesyen. Ada yang nak begitulah. Ada yang nak beginilah. Ada yang tunjuk gambar. Ada yang bawa sampel. Begitulah ragamnya. Saya sendiri lebih mudah menjahit jika ada sampel atau contoh berbanding gambar.

Selain daripada tudung ada juga yang minta jahitkan anak tudung atau inner. Itulah yang saya siapkan untuk tempahan kali ini. Tempahan untuk inner sahaja tanpa tudung. Pelanggan bawa sekali dengan sampel. Nak sama sebiji macam sampel.

Inner tudung atau anak tudung memang kadang-kadang susah nak dicari. Saya sendiri pernah menghadapi masalah untuk mencari inner atau anak tudung ini . Berpusing-pusing di pelbagai kedai, singgah di pasar malam hanya untuk mencari inner. Susah betul nak dapat. Masa itu belum lagi menjahit tudung sendiri.  Bila dah jumpa tak sesuai pula. Kadang-kadang saiz kecil. Bila pakai rasa panas. Terasa tekanan pada teliga. Rasa sempit dekat leher. Rasa rimaslah dan macam-macam lagi. Semuanya tak kena.

Jadi tidak hairanlah bisnes jual inner tudung boleh mendapat sambutan yang baik. Ada beberapa tempahan yang saya terima khas untuk tempahan inner tudung sahaja.

Cubalah jual inner tudung ini. Pasti ada sambutan. Tak cuba mana tahu. Try dulu bawa 10 helai kat pejabat. Tentu kita akan tersenyum puas bila pulang kerja. Suami pun hairan kenapa tiba-tiba hari ini nak belanja makan. Semuanya hasil untung dari jual inner tudung.

Terdapat berbagai jenis inner dengan pelbagai nama seperti inner neck, inner magic, inner ninja, inner berawning, inner silang, inner ajaib, inner net, inner berdagu dan lain-lain. Tak tahulah siapa yang bagi nama magic dan ajaib ini. Asal ada produk sahaja. Mesti nak letak nama magic, ajaib dan macam-macam lagi. Strategi berniaga begitulah.

Tempatan dari pelanggan saya adalah untuk inner biasa sahaja dengan soft awning. Material dari kain lycra berwarna hitam. Sesuai dengan pelbagai bentuk muka dan boleh digaya dengan pelbagai jenis tudung dan shawl.

Dahulu saya panggil 'anak tudung' sahaja. Kadang-kadang sebut 'anak' sahaja bila bercakap tentang tudung. Sekarang bila dah mengambil tempahan menjahit mesti kena sebut inner barulah standard.

Inner tudung kebiasaannya dipakai bersama tudung atau shawl. Inner diletak di bawah tudung dan saiznya lebih pendek berbanding tudung atau shawl. Malahan sekarang inner juga boleh didapati dengan pelbagai kaler supaya lebih sesuai dengan warna tudung atau shawl. Warna plain sentiasa menjadi pilihan berbanding dengan yang bercorak.

Keselesaan amat penting apabila memilih inner tudung. Kain jenis cotton, campuran cotton atau lycra sentiasa menjadi pilihan kerana mudah menyerap peluh dan terasa sejuk.

Beberapa sebab kenapa inner dipakai bersama tudung atau shawl. Antaranya bertujuan:

  • menutup leher dan sebahagian dada.
  • supaya tudung dan shawl dapat diletakkan dengan baik dan untuk mengelak dari terlucut.
  • menjadi asas untuk menggayakan tudung atau shawl.
  • untuk mengelak rambut dari terurai dan dapat memperkemas kedudukan rambut.
  • menjadi alas untuk tudung atau shawl yang jarang dan nipis.
  • menguatkan ikatan serta dapat mengukuhkan perhiasan di kepala.
  • menjamin keselesaaan serta dapat menjaga kesihatan rambut dan kulit kepala apabila memakai inner dengan material yang sesuai iaitu kain mestilah dari jenis yang mudah menyerap peluh dan juga angin boleh masuk sehingga terasa di kulit kepala.
  • tiada tekanan pada telinga sehingga boleh menyebab telinga merasa sakit. Inner yang dipilih boleh menjamin kselesaan pemakai.
  • boleh memakai shawl yang jarang kerana ada satu lapisan lagi iaitu anak tudung di dalam.
  • melekat cantik kat muka. Kalau yang ada awning akan terletak cantik pada dahi. Tak payah selalu-selalu nak adjust tudung atau shawl.
  • Jika tudung atau shawl yang longgar boleh menyebabkan boleh terjatuh atas bahu. kadang-kadang nak elak tudung atau shawl jatuh terpaksa pakai kerongsang, penyepit, jarum peniti dan lain-lain. Jika pakai inner kan lebih mudah.
  • Bila pakai inner nampak lebih yakin bila bersama kawan-kawan. Kalau tidak asyik nak tengok cermin sahaja. Daripada dalam rumah, luar rumah kat cermin motosikal, dalam kereta sehinggalah di pejabat. Sampai pejabat pergi tandas dahulu untuk tengok cermin. Dalam beg tangan pun ada cermin untuk adjust tudung atau shawl. Sentiasa rasa tidak puas. 
  • Dengan inner pemakai boleh merasa kemas dan selesa.
  • Dengan inner tudung dan shawl boleh digaya dengan pelbagai cara.
  • Boleh merubah bentuk muka. Setiap wanita mempunyai bentuk muka yang berlainan. Ada bentuk oval, petak, empat segi, panjang, bulat, segitiga, seperti bentuk cawan dan sebagainya. Dengan memakai inner tudung, muka boleh kelihatan cantik dan menawan. Muka yang bulat atau petak boleh berubah menjadi bujur.

Rupa-rupanya ada banyak sebab kenapa memakai inner tudung. Patutlah ramai yang cari. 

Wednesday 22 January 2014

Pindah Rumah

Saya berpindah rumah lagi. Kali ini dekat sahaja. Sebelah rumah. Kalau sebelum ini di rumah No 17. Sekarang No 15. Berpindah untuk merasai suasana baru dan mengambil semangat baru untuk menjahit.

Dalam seminggu kebelakangan ini memang terasa sangat sibuk membuat persediaan berpindah, mengangkat barang dan mengemas rumah. Termasuk juga menyiapkan tempahan pelanggan yang sentiasa urgent. Urusan pemindahan line Astro dan Unifi juga perlu dilakukan ke alamat baru. Terganggulah sekejap perkhidmatan terutamanya Unifi.

Walaupun  perkhidmatan Unifi sedikit terganggu tetapi urusan online tetap berjalan seperti biasa dengan menggunakan line telefon celcom. Yang terganggu hanya untuk update blog sebab saya lebih suka mengguna line Unifi. Lebih cepat dan mudah. Entri blog akan berkuranganlah  dalam seminggu dua ini. Harap urusan pemindahan dapat berlaku dengan cepat.

Setiap kali pindah yang paling leceh sekali adalah mengangkat perkakas rumah yang berat-berat termasuk mesin-mesin jahit. Kalau dahulu berpindah ke Sabah, 3 buah mesin jahit dibawa sekali menaiki kontena. Pada masa itu untuk memindahkan mesin jahit perlu buka body mesin jahit dahulu. Asingkan dari tapak mejanya. Kemudian perlu pasang semula bila dah sampai di tempat baru. Pada masa itulah banyak bahagian mesin yang kemek, patah dan sebagainya. Ada juga skru yang terlebih. Cukup menyusahkan.

Kali ini lebih mudah berbanding dahulu. Heret sahaja ke rumah sebelah. Walaupun begitu sebenarnya tidak begitu mudah seperti yang disangka. Mesin jahitku adalah mesin jahit industri mempunyai motor yang besar. Berat bukan main lagi. Ada 5 buah mesin jahit industri  dan 1 buah mesin mudah alih Singer. Bukan senang nak heret. Tak bergerak kerana berat. Tapak kakinya beralas getah dan kesat. Susah nak ditarik.

Di sini saya tunjukkan tips untuk alihkan mesin jahit dengan cara yang lebih mudah. Tips ini hanya terpakai untuk level yang sama sahaja seperti di atas lantai. Untuk memudahkan kerja mengheret, letakkan kotak yang sudah di buka di bawah tapak kaki mesin jahit. Selepas itu heret ke destinasi yang dikehendaki. Perlu dua orang juga kerana berat. Cara ini lebih mudah untuk menggerakkan mesin jahit dan tak merosakkan lantai. Itulah cara yang saya lakukan seperti gambar di bawah.


Sekarang selesai sudah mengangkat mesin jahit dan sudah boleh beroperasi di rumah baru. Yang tinggal hanyalah perkakas-perkakas yang lain yang boleh diangkut sedikit demi sedikit sehingga selesai hujung bulan ini.

Perkhidmatan menjahit tidak boleh berhenti. Setiap hari ada sahaja customer tanya bila boleh siap. Oleh itu terpaksa selesaikan dahulu tempahan customer. Barang-barang yang lain boleh diangkat kemudian.

Berikut adalah antara beberapa hasil jahitan yang disiapkan beberapa hari ini. Antaranya termasuk shawl, anak tudung dan juga beberapa helai baju. Yang lain sabar dahulu yer.  InsyaAllah boleh siap dalam beberapa hari lagi.

Bila sudah masuk rumah baru makin semangat pula nak menjahit. Urusan akan lebih lancar selepas ini. InsyaAllah.

Selepas ini mungkin pindah rumah sendiri pula.



Saturday 18 January 2014

Tudung Labuh Muslimah





Dah lama saya cari orang yang boleh buat tudung labuh ni. Akhirnya saya jumpa juga masa saya google dalam internet. Saya dari Bangi Lama. Dekat sahaja. Saya nak cuba buat satu dahulu. Nanti nak datang try. Kalau sedap pakai nanti saya nak buat satu lagi. Saya nak labuhnya begini dan begini.

Begitulah lebih kurang permintaan pelanggan saya ini.

InsyaAllah. Nanti saya try buat satu dahulu. Datang cuba dulu. Kalau sedap pakai, bolehlah buat satu lagi.

Menjahitlah saya sehingga siap dan pelanggan pun datang mencuba. Alhamdulillah berpuas hati. 

Saya pun siapkan tempahan tudung labuh muslimah ini seperti di atas.

Begitulah sebahagian daripada ragam kehidupan saya. InsyaAllah jika saya mampu saya buatlah. Kalau tidak mampu saya terpaksa tolak. Untuk saya menjahit saya perlukan sedikit masa.

Di sini saya sampaikan pesanan oleh Ustaz Don Daniyal dalam salah satu kuliahnya. Boleh melihat dan mendengar sendiri melalui video youtube. Banyak juga dikongsi oleh blog-blog yang lain.

Syarat-syarat memakai tudung yang sempurna.
  • Berjuntai (labuh) ke bawah, menutup dada.
  • Berselindung- tidak boleh transparent atau jarang. Tudung yang longgar - menyembunyikan bentuk tubuh seperti bahu, telinga. 
  • Di atas dada iaitu menutupi dada. Tidak dimasukkan di dalam baju.
  • Labuh di bawah dada dan atas pusat. Jika angin meniup sekali pun tidak mudah mudah terselak.
Berfesyen tidak menjadi kesalahan dengan mematuhi syarat-syarat di atas. 

Rupanya banyak lagi yang perlu saya pelajari dan perbaiki.

Wednesday 15 January 2014

Blog Yang Mendapat Perhatian

Apabila mula membangunkan blog ini saya sentiasa  berfikir bagaimana mahu mencipta blog yang boleh menarik perhatian pengunjung.

Tulisan ini adalah berdasarkan pengalaman saya sendiri. Mungkin bermanfaat kepada pembaca yang berminat untuk menulis blog. Jangan pendamkan ilmu yang ada di dada. Kongsikan dengan orang lain.

Sayyidina Ali bin Abi Thalib Karamallahu Wajhah pernah berkata. "Ikatlah Ilmu Dengan Menulisnya".
InsyaAllah kita akan merasai nikmatnya.

Jika ada yang berkata menulis blog ini seperti syok sendiri sahaja. Biarlah. Sekurang-kurangnya syok saya boleh dikongsi dengan orang lain.

Berbalik kepada persoalan tadi. Bagaimana mencipta blog yang mampu menarik perhatian pengunjung?

Bagaimanakah jawapannya? Saya sendiri tercari-cari.

Akhirnya saya mendapat jawapan melalui pengalaman saya sendiri. Dengan bertanya soalan ini kepada diri sendiri. Jika saya mempunyai masalah di manakah tempat yang pertama sekali saya tuju?

Ya,  GOOGLE. Saya akan mendapatnya melalui carian di google dengan harapan saya akan mendapat jawapannya.

Oleh itu untuk mencipta blog yang mendapat perhatian maka saya perlu membuat satu blog yang dicari-cari oleh pengunjung di mana maklumat tersebut mestilah dapat menyelesaikan masalah pengunjung tersebut.

Soalan seterusnya apakah kepakaran saya untuk menyelesai masalah pengunjung tersebut? Saya hanya tahu menjahit. Tidak ada kepakaran lain.

Oleh itu saya mesti membina satu blog yang berkaitan dengan dunia jahit menjahit dengan memberi panduan kepada pengguna yang mahukan maklumat tersebut.

Dari situlah muncullah idea untuk memberi panduan berkaitan dengan jahit-menjahit ini. Blog ini tentunya mempunyai niche yang spesifik, tetapi tetap ada peminatnya sendiri.

Alexis Dawes dalam ebooknya "Desperate Buyers Only" menyatakan jika kita ingin menjual sesuatu produk informasi, ciptalah satu produk informasi tersebut dan jualkan kepada mereka yang amat-amat memerlukannya untuk menyelesai masalah mereka. Dengan kata lain mereka betul-betul terdesak untuk mendapatkannya untuk menyelesaikan masalah mereka. Maka produk informasi tersebut akan terjual.

"Create and sell information products to people who are highly anxious to solve their problems"

Begitulah tulisan dari Alexis Dawes yang menjadi rujukan saya dalam menulis blog ini.

Di dalam blog ini saya tidak menjual produk informasi tetapi saya menulisnya secara percuma. Panduan dari Alexis Dawes dijadikan sebagai rujukan untuk menarik perhatian pengunjung. Oleh itu saya perlu menulis dengan memberi panduan yang dapat menyelesai masalah mereka. Itulah yang saya cuba lakukan dan akan terus lakukan.

Jika sesuatu panduan atau tulisan mampu menyelesaikan masalah pengunjung sudah tentu mereka akan mengucapkan terima kasih kepada kita kerana apa yang mereka cari selama ini akhirnya mereka dapati. Malahan ada yang akan berkata mengapalah baru sekarang aku berjumpa panduan ini. Kegembiraan akan terpancar di muka seolah-olah seperti terjumpa dengan gua yang penuh dengan harta karun.

Apabila blog kita sudah mendapat perhatian pengunjung,  InsyaAllah daripada situ  secara tidak langsung kita boleh menjana pendapatan melaluinya samada daripada tulisan atau servis yang kita berikan.

Saya petik satu quote dari Steve Pavlina,

 “It should feel genuinely good to earn income from your blog – you should be driven by a healthy ambition to succeed. If your blog provides genuine value, you fully deserve to earn income from it.” 

"Ia harus merasa benar-benar terbaik untuk menjana pendapatan melalui blog anda - anda harus didorong oleh cita-cita yang sihat untuk berjaya. Jika blog anda menyediakan nilai yang tulen, anda berhak sepenuhnya untuk memperolehi pendapatan melaluinya"

Ada yang bertanya saya "tidak rugikah memberi panduan menjahit tudung secara percuma melalui blog? Saya tidak merasa rugi apa-apa malah saya dapat menjana pendapatan yang agak baik dari panduan-panduan yang saya berikan samada melalui kelas, tempahan menjahit dan sebagainya.

Di sini saya senaraikan 10 post yang paling mendapat perhatian di dalam blog ini berbanding post-post yang lain. Maklumat yang dicari adalah yang mampu menyelesaikan masalah pengguna. Sudah tentunya dari bantuan google.

1. Panduan Jahit Sendiri Tudung Chiffon 3 Layer.


Dalam entri ini saya memberi panduan bagaimana menjahit sendiri tudung chiffon 3 layer.Panduan percuma ini memang dicari-cari oleh ramai penggemar tudung 3 layer. Langkah demi langkah ditunjukkan secara bergambar.

2. Cara Jahit Shawl Half Moon 2 Layer.


Entri ini berkaitan cara menjahit shawl half moon 2 layer. Saya juga memberi ukuran pola. Langkah demi langkah ditunjukkan secara bergambar.

3. Jahit Tepi Tudung dan Shawl.


Inilah servis yang paling banyak mendatangkan pendapatan kepada saya. Ada yang sanggup poskan shawl kepada saya untuk mendapat servis ini. Malahan ada pelanggan dari luar kawasan Bandar Baru Bangi juga datang untuk mendapat servis ini.

4. Beli Kain Di Jakel.


Entri ini lebih kepada maklumat mengenai pengalaman saya membeli kain di Jakel. Saya juga menyentuh tentang kejayaan Empayar Perniagaan Jakel.

5. Tempahan Menjahit Pakaian Yang Pelanggan Perlu Tahu.


Entri ini lebih kepada keluhan tukang jahit mengenai dilema yang dihadapi oleh tukang jahit ketika menerima tempahan pelanggan seperti kain tidak mencukupi dan sebagainya.

6. Jual Shawl dan Tudung Online Dengan Jenama Sendiri.


Antara entri yang mendapat perhatian dan menjadi panduan kepada sesiapa yang ingin mencipta jenama sendiri melalui jualan tudung dan shawl.

7. Panduan Menjahit Tudung Labuh Berdagu.


Entri ini masih baru lagi saya postkan tetapi begitu cepat sekali memintas post-post yang lebih awal. Begitu cepat mendapat perhatian. Panduan disertakan dengan langkah bergambar. Saya juga banyak menerima tempahan untuk tempahan tudung labuh ini sama ada untuk awning lembut atau awning keras. Berdagu ataupun tanpa pelapik dagu.

8. Cara Jual Shawl Online.


Entri ini memberi idea secara umum kepada mereka yang ingin menjual shawl secara online. Saya banyak mendapat tempahan menjahit shawl melalui entri ini. Malahan begitu banyak pertanyaan sehingga ke hari ini.

9. Menjahit Baju Kurung Berlace.


Ramai yang mengharapkan saya memberi panduan bagaimana menjahit baju kurung. Ini saya tahu melalui pertanyaan-pertanyaan melalui message dan sebagainya. Entri ini lebih kepada servis yang saya lakukan. Sedikit mengenai sejarah pakaian berlace saya masukkan di sini.

10. Panduan Tukar Sendiri Awning Tudung.


Entri ini saya tulis ketika mendapat servis menukar awning tudung dari pelanggan. Langkah demi langkah ditunjukkan. Saya juga berjaya meraih pendapatan melalui servis ini. Kebanyakan pelanggan menghantarnya melalui pos.

Lihat sendiri entri yang sebagaimana yang mendapat perhatian pengunjung. Kebanyakan dicari oleh pelanggan untuk menyelesaikan masalah mereka. Oleh sebab itulah saya berani menulis entri ini.

Post Utama

Kedai Online Nash Fesyen

Post Paling Popular

HAKCIPTA TERPELIHARA NASH FESYEN 2018