Showing posts with label pindah rumah. Show all posts
Showing posts with label pindah rumah. Show all posts

Friday, 31 January 2014

Beroperasi Di Tempat Baru


Alhamdulillah urusan pemindahan ke rumah baru sudah selesai. Mesin jahit dah selesai angkat. Begitu juga semua perabut dan barang-barang lain. Astro dan Unifi pun dah selesai tukar alamat. Sekarang sudah dapat digunakan di tempat baru. Tidak ada lagi gangguan. Semuanya berjalan lancar.

Rumah yang lama pun sudah dibersihkan. Sudah dicuci elok-elok untuk diserahkan kepada tuan rumah. Bayaran rumah sewa pun tak perlu bayar lagi. Masih ada deposit dua bulan. Bayaran api dan air semua sudah settle. Sekarang boleh fokus seratus peratus di tempat baru. Semua berjalan lancar. Cuma yang tinggal hanyalah menyusun dan mengemas sahaja. Itu boleh dilakukan sedikit demi sedikit.

Kebiasaan bila berpindah ke tempat baru, banyaklah barang-barang yang tidak berapa perlu akan dibuang. Kalau simpan pun buat semak rumah sahaja. Ini termasuk kain-kain perca yang berkarung-karung banyaknya. Kalau di dahulu di kampung akan diberikan kepada kakak ipar yang rajin menjahit semula untuk dijadikan pelapik kaki.

Memandangkan masa sekarang yang sibuk tidak ada peluang lagi untuk guna semula kain-kain perca yang disimpan. Begitu juga dengan benang-benang cross stitch dan beberapa jahitan cross stitch yang tidak sempat disiapkan yang masih lagi disimpan dengan elok. Teringat semasa kegilaan menjahit cross stitch dahulu. Begitu banyak gambar dan benang yang dibeli dan disimpan. Kononnya nak disiapkan nanti. Terasa sayang pula nak dibuang. Sekarang aktivi cross stitch tidak mungkin dapat dilakukan lagi.

Seminggu dua ini memang banyak cabaran dan terasa sibuk yang amat sangat. Anak-anak pula hampir kesemua dapat sakit. Yang sulung demam sampai tak bangun-bangun. Risau juga sehingga bawa pergi ke Hospital Serdang. Untuk periksa darah. Takut dapat demam denggi. Pergi pukul 11 malam. Pukul 3 pagi baru selesai. Ramai betul yang sakit.

Anak yang bongsu pula jatuh kerusi terkena  bucu simen. Luka yang dalam pada dahi. Hantar ke Hospital Az Zahrah. Panel hospital untuk tempat kerja suami. Kena jahit sampai lapan jarum.

Anak yang lain-lain pula dapat sakit pada mulut, ulcer dan juga batuk-batuk. Saya sendiri demam, sakit tekak dan batuk yang tak berhenti-henti.

Memandang kerja yang banyak dan pelanggan pula nak baju dan tudung sebelum Raya Cina. Ada yang nak pergi umrah, bercuti ke Indonesia dan juga nak pakai untuk majlis kahwin. Terpaksalah kuatkan semangat melawan sakit yang ada. Akhirnya demam dan batuk hilang begitu sahaja. Kat rumah ni kalau saya yang sakit alamatnya tak jalanlah urusan harian. Anak-anak bila dah sakit apa-apa pun tak boleh buat.

Alhamdulillah sekarang semuanya dah selesai. Semua dah pulih seperti biasa.

Tetamu pula datang tidak berhenti-henti termasuk adik-beradik dari kampung. Datang singgah bila datang ke Bangi. Suatu petanda yang baik bila berpindah ke rumah baru. Orang tua-tua juga pernah berpesan. Jika rumah kita sentiasa terbuka dan ramai yang datang, InsyaAllah itu petanda murah rezeki.

Sekarang saya sudah beroperasi sepenuhnya di tempat baru. Di alamat baru, No 15, Jalan 4/12L, Seksyen 4 Tambahan, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor. Sesiapa yang biasa datang, boleh datang melalui jalan yang sama juga. Hanya nombor rumah sahaja yang bertukar.

Semoga di tempat baru dalam suasana yang baru di tahun baru ini akan dimurahkan lagi rezeki oleh Allah s.w.t. InsyaAllah.

Hari ini kelas menjahit tudung pun sudah bermula di tempat baru.

Wednesday, 22 January 2014

Pindah Rumah

Saya berpindah rumah lagi. Kali ini dekat sahaja. Sebelah rumah. Kalau sebelum ini di rumah No 17. Sekarang No 15. Berpindah untuk merasai suasana baru dan mengambil semangat baru untuk menjahit.

Dalam seminggu kebelakangan ini memang terasa sangat sibuk membuat persediaan berpindah, mengangkat barang dan mengemas rumah. Termasuk juga menyiapkan tempahan pelanggan yang sentiasa urgent. Urusan pemindahan line Astro dan Unifi juga perlu dilakukan ke alamat baru. Terganggulah sekejap perkhidmatan terutamanya Unifi.

Walaupun  perkhidmatan Unifi sedikit terganggu tetapi urusan online tetap berjalan seperti biasa dengan menggunakan line telefon celcom. Yang terganggu hanya untuk update blog sebab saya lebih suka mengguna line Unifi. Lebih cepat dan mudah. Entri blog akan berkuranganlah  dalam seminggu dua ini. Harap urusan pemindahan dapat berlaku dengan cepat.

Setiap kali pindah yang paling leceh sekali adalah mengangkat perkakas rumah yang berat-berat termasuk mesin-mesin jahit. Kalau dahulu berpindah ke Sabah, 3 buah mesin jahit dibawa sekali menaiki kontena. Pada masa itu untuk memindahkan mesin jahit perlu buka body mesin jahit dahulu. Asingkan dari tapak mejanya. Kemudian perlu pasang semula bila dah sampai di tempat baru. Pada masa itulah banyak bahagian mesin yang kemek, patah dan sebagainya. Ada juga skru yang terlebih. Cukup menyusahkan.

Kali ini lebih mudah berbanding dahulu. Heret sahaja ke rumah sebelah. Walaupun begitu sebenarnya tidak begitu mudah seperti yang disangka. Mesin jahitku adalah mesin jahit industri mempunyai motor yang besar. Berat bukan main lagi. Ada 5 buah mesin jahit industri  dan 1 buah mesin mudah alih Singer. Bukan senang nak heret. Tak bergerak kerana berat. Tapak kakinya beralas getah dan kesat. Susah nak ditarik.

Di sini saya tunjukkan tips untuk alihkan mesin jahit dengan cara yang lebih mudah. Tips ini hanya terpakai untuk level yang sama sahaja seperti di atas lantai. Untuk memudahkan kerja mengheret, letakkan kotak yang sudah di buka di bawah tapak kaki mesin jahit. Selepas itu heret ke destinasi yang dikehendaki. Perlu dua orang juga kerana berat. Cara ini lebih mudah untuk menggerakkan mesin jahit dan tak merosakkan lantai. Itulah cara yang saya lakukan seperti gambar di bawah.


Sekarang selesai sudah mengangkat mesin jahit dan sudah boleh beroperasi di rumah baru. Yang tinggal hanyalah perkakas-perkakas yang lain yang boleh diangkut sedikit demi sedikit sehingga selesai hujung bulan ini.

Perkhidmatan menjahit tidak boleh berhenti. Setiap hari ada sahaja customer tanya bila boleh siap. Oleh itu terpaksa selesaikan dahulu tempahan customer. Barang-barang yang lain boleh diangkat kemudian.

Berikut adalah antara beberapa hasil jahitan yang disiapkan beberapa hari ini. Antaranya termasuk shawl, anak tudung dan juga beberapa helai baju. Yang lain sabar dahulu yer.  InsyaAllah boleh siap dalam beberapa hari lagi.

Bila sudah masuk rumah baru makin semangat pula nak menjahit. Urusan akan lebih lancar selepas ini. InsyaAllah.

Selepas ini mungkin pindah rumah sendiri pula.



Post Utama

Kedai Online Nash Fesyen

Post Paling Popular

HAKCIPTA TERPELIHARA NASH FESYEN 2018