Sunday, 20 April 2014

Susahnya Jahit Kain Berbatu




Kebiasaannya kalau menerima tempahan menjahit saya akan lihat dahulu sama ada boleh menjahit atau tidak. Antara kain yang susah nak dijahit adalah kain yang terlalu nipis, selalu bergulung dan berbatu. Kali ini saya menerima tempahan menjahit shawl di mana terdapat 4 helai shawl berbatu.

Awal-awal lagi saya sudah menolak tetapi pelanggan saya ini hendak juga saya menjahit. Saya tidak berani mengambil risiko untuk menjahit kerana batu yang melekat kuat pada shawl akan menyebabkan jarum patah dan menjahitnya perlu berhati-hati dan lambat. Saya perlu membuang dahulu batu yang melekat pada kain. Jika melekat kuat pada kain kain boleh koyak. Untuk mengguntingnya juga susah kerana boleh menyebabkan gunting tumpul.

Pelanggan saya ini adalah pelanggan tetap saya yang selalu menghantar shawl kepada saya. Selalunya saya mengguna mesin jahit tepi halus untuk menjahit sekeliling shawl tetapai untuk kain berbatu ianya cukup berisiko. Jika mesin jahit tepi saya rosak tempahan lain untuk shawl dan tudung akan terganggu. Saya tidak mahu mengambil risiko tersebut.

Akhirnya saya terima tetapi dengan syarat pelanggan mesti mengetuk batu-batu pada laluan jarum dahulu. Saya tidak mengguna jahit tepi halus tetapi saya mengguna jahit kelim di sekeliling shawl. Jahit kelim juga sebenarnya melambat kerja saya kerana saya tidak boleh jahit dengan laju dan terpaksa berhati-hati.

Akhirnya siap juga menjahit shawl berbatu tetapi kenalah caj lebih. Lain kali janganlah hantar lagi kain berbatu untuk saya menjahit.

Saturday, 19 April 2014

Jom Belajar Menjahit Tudung

kelas tudung minggu ini

Banyak faedahnya kalau boleh menjahit tudung sendiri.
  • Dapat jimat duit. Tak payah upah tukang jahit.
  • Boleh design tudung sendiri.
  • Boleh cari kain yang matching dengan baju.
  • Boleh jahit untuk anak-anak dan keluarga.
  • Boleh mengisi masa lapang.
  • Boleh kurangkan stress.
  • Dapat tambah kemahiran menjahit.
  • Rasa puas bila melihat hasil jahitan sendiri.
  • Boleh tayang dekat suami tudung yang cantik buatan sendiri.
  • Kalau dah pandai boleh ambil tempahan dari kawan-kawan.
  • Hasil jahitan boleh kongsi dalam facebook, blog dan instagram.

Thursday, 17 April 2014

Tudung 3 Layer Plain Tanpa Brooch







Ini adalah tudung 3 layer plain yang ditempah oleh pelanggan saya dari Ampang. Setakat ini sudah 12 helai ditempah dengan kaler yang berlainan. Boleh lihat entri saya yang lepas untuk gambar tudung 3 layer plain yang lain.  Semuanya tak nak brooch. 

Kebiasaannya saya akan cari kain di Jakel untuk mendapatkan semua kaler yang diminta. Kalau kedai kain lain memang susah nak cari semua kaler. Itu pun di Jakel sendiri ada beberapa kaler lain yang tidak dapat saya cari. 

Semalam saya dapat message melalui whatsapp katanya tudung dah diterima. Alhamdulillah semua ok dan cantik.  Pelanggan saya ini nak order lagi 3 helai. Kali ini nak kaler hitam,  baby pink dan lite purple pula.


Nampaknya kena turun Jakel KL lagilah hujung minggu ini. Puas pulalah nanti nak mencari kaler yang diminta. Sebenarnya ada beberapa lagi tempahan dari pelanggan lain yang belum ada kain. Nanti bolehlah borong sekali. Sekurang-kurang setengah hari mesti habis masa dekat sana. 

Kalaulah saya ada modal banyak bolehlah borong kain banyak-banyak dan simpan kat rumah. Tak payah nak keluar KL selalu. Ruang rumah pun semakin sempit dah sekarang.

Wednesday, 16 April 2014

Corak Polkadot



Apabila menerima tempahan dari pelanggan untuk menjahit sama ada baju, tudung atau shawl, saya selalu berfikir apakah entri yang sesuai untuk ditulis pada blog untuk tempahan tersebut.  Dari situ timbullah idea untuk menulis berkaitan corak atau motif pada kain atau fabrik yang dipilih oleh pelanggan. Saya pernah menulis berkenaan corak paisley pada entri yang lepas. Kali ini adalah berkaitan dengan motif polkadot.

Terdapa pelbagai motif pada pakaian, tudung dan shawl. Antara cetakan corak yang popular adalah seperti motif paisley, polkadot, tribal. bunga, jalur, kotak, rama-rama dan lain-lain. Polkadot adalah antara ribuan motif yang popular dan menjadi trendy.  Motif polkadot ini sudah menjadi trend dalam dunia fesyen. Trend polkadot pernah popular sekitar tahun 50-an dan 60-an dahulu. Kemudian hilang buat sementara dan akhirnya muncul semula dan kekal popular sehingga kini.

Cetakan corak polkadot pada pakaian  mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Bagi mereka yang suka fesyen yang simple namun tetap bergaya boleh mencuba corak polkadot ini. Polkadot juga tidak terbatas pada pakaian dan aksesori wanita sahaja malah boleh didapati pada sofa, wall paper, kerusi, tirai, meja, kereta, barangan perhiasan dan lain-lain . Di tempat kita apam polkadot juga menjadi resipi popular.

Kalau dulunya corak polkadot digayakan pada maxi, cardigan, blaus dan skirt  kini gaya tersebut boleh didapati pada baju kurung , tudung dan shawl. Pilihan untuk bergaya dengan motif polkadot ini semakin pelbagai.

Trend fesyen bermotif polka yang popular pada tahun 1960-an kini mendapat tempat semula tempatnya di kalangan generasi muda apabila ramai yang memilih corak polkadot untuk baju kurung, shawl dan tudung. Dengan corak bintik kecil sehinggalah yang besar ianya mampu menonjol peribadi yang menarik. Tambahan pula dengan gabungan warna yang garang seperti biru , merah, jingga dan lain-lain memberikan suasana ceria dan berani kepada pemakainya.  Pakaian dengan motif polkadot terlihat begitu klasik dan feminine.

Motif polkadot juga dikenali sebagai motif  bintik, titik atau pun bulatan. Ukuran ‘dot’ juga begitu pelbagai dari saiz seperti titik sehinggalah ke diameter yang lebih besar.  Apapun istilahnya tetap motif yang yang sama iaitu polkadot.

Dengan perkembangan dunia fesyen, motif polkadot diberi suntikan baru  dengan menggabungkan polkadot dengan motif bahan lainnya. Dengan ciri khas motif bulatan kecil dan besar serta variasi warna, polkadot semakin memberikan alternatif pilihan kepada para peminat fesyen. Ramai pereka fesyen antarabangsa dan tempatan gemar bermain dengan reka corak polka dot ini. Mereka memperbaharuinya dalam kombinasi warna yang indah di atas rekaan pakaian sehingga menghasilkan corak yang lebih dramatik serta menggoda.

Istilah asal perkataan  “polka”  itu sendiri adalah dari perkataan Poland yang bermaksud  “Polish woman”. Apabila diterjemah ke bahasa  Czech menjadi  “little woman or girl.”  Jadi polkadot itu sendiri berasal dari nama untuk wanita dan bersifat feminin.  Kini motif polka dot juga direka secara kreatif untuk pakaian lelaki.

Menurut sejarahnya, Polkadot pernah popular pada abad  ke-19 di Eropah. Pada masa tersebut satu tarian yang popular di Eropah dikenali sebagai muzik polka (polka music). Kebetulan pula pakaian bermotif polkadot ini juga menjadi fesyen popular pada masa tersebut sehinggakan motif polka ini sering dikaitkan dengan tarian polka. Tarian polka bukan sahaja popular di Eropah tetapi juga di Amerika dan Rusia.
Begitulah bagaimana corak polka ini dikenali sehinggakan nama polka dipakai dalam dunia fesyen dan dikenali sebagai polkadot.

Pada masa tersebut item-item lain juga menjadi popular menggunakan nama polka seperti 'topi-polka', 'jaket-polka' dan lain-lain. Kebanyakannya item-item tersebut bersifat sementara sebagaimana tarian muzik polka itu sendiri. Apa yang kekal hanyalah corak polka pada fabrik  yang kekal popular sehinggalah ke hari ini. 

Kepada mereka yang mengikuti perkembangan fesyen, motif polkadot juga diminati oleh mereka yang terkenal seperti Lady Diana, Kate Middleton  dan juga Michelle Obama iaitu isteri kepda presiden Amerika Syarikat. Mereka memakai pakaian bermotif polka ini di majlis-majlis rasmi yang mendapat perhatian ramai sehingga menjadikannya sebagai ikutan.

Motif ini pernah menjadi terkenal dan meletup di seluruh dunia apabila dipakai oleh artis-artis Hollywood sehingga menghiasi berita utama dalam industri fesyen di seluruh dunia. Oleh sebab itu motif polkadot dengan cepat menyebar dalam revolusi budaya pop.  Kartun Minnie Mouse yang terkenal juga sering kali dilihat dengan imej pakaiannya yang bercorak polka dot warna putih sehingga menjadi kegilaan dalam fesyen kanak-kanak sehingga kini.

Di Malaysia juga perkembangan fesyen dengan motif polkadot seiring dengan perkembangan fesyen pada peringkat dunia. Corak polkadot tetap mendapat tempat terutama untuk golongan muda yang boleh didapati pada pakaian, dress, skirt. blouse, tudung, shawl sehinggalah kepada aksesori-aksesori yang lain. 

Apa-apa pun motif pada kain atau fabrik yang diplih, hantar sahaja kepada saya untuk dijahit. Apabila dah siap nanti menjadi baju, tudung atau shawl, barulah kita nampak pilihan kita itu sebenarnya sangat istimewa. 

Tuesday, 15 April 2014

Nak Belajar Jahit Tudung Tetapi Tak Jadi-Jadi Lagi.


Nak belajar jahit tudung, nak jahit tudung sendiri, nak berniaga online, nak buat itu, nak buat ini. Itulah yang kadang-kadang kita fikirkan. Begitu banyak idea. Semua hendak dilakukan tetapi satu pun masih belum bermula. Ramai yang bercita-cita ingin mempunyai perniagaan sendiri. Ada yang berjaya, ada yang tidak. Minat sudah ada tetapi masih lagi menunggu masa yang sesuai. 

Dalam kelas menjahit tudung yang saya jalankan, peserta saya bukan sahaja di sekitar Bangi. Ada yang datang dari Johor. Ada yang datang dari Jengka, Pahang yang sanggup memandu kereta ke Bangi semata-mata untuk belajar menjahit tudung. Semuanya bergantung kepada diri kita sendiri. Jika berminat, langkah akan disusun supaya kita boleh mencapainya.  Ikuti kisah berikut.

Dalam satu kelas motivasi, seorang penceramah memegang sebatang pensil dan meletakkan pensil tersebut secara menegak di atas meja. Penceramah tersebut bertanya kepada peserta di hadapannya bagaimanakah hendak menjatuhkan pensil tersebut.

Bermacam-macam idea dan cadangan muncul dari peserta di dalam kelas tersebut. Ada yang mencadangkan supaya mengepal-ngepal  kertas menjadi seperti bola dan membalingnya kepada pensil tersebut. Ada yang memberi idea supaya menghembus dengan kuat pensil tersebut sehingga jatuh. Ada juga yang mencadangkan supaya mengoyang-goyang meja tersebut supaya pensil itu jatuh. Begitulah banyaknya idea dan cadangan untuk menjatuhkan pensil tersebut.

Bangun seorang gadis manis yang sudah pandai menjahit dan berjaya dalam perniagaan onlinenya, berjalan ke hadapan kelas dan menyentuh pensil yang diletakkan tegak di atas meja tadi. Akhirnya jatuhlah pensil tersebut.

Apa yang kita boleh pelajari daripada kisah di atas. Kita lihat begitu banyak idea dan cadangan dikeluarkan untuk menjatuhkan pensil tadi tetapi satu pun tidak berjaya menjatuhkannya. Ramai yang hanya pandai memberi cadangan tetapi tidak ada yang bangun MENGAMBIL TINDAKAN. Pensil tersebut hanya boleh dijatuhkan jika  ada yang bangun dan MENGAMBIL TINDAKAN seperti mana gadis tadi. Tanpa TINDAKAN semuanya tidak akan menjadi.

Begitulah kehidupan kita seharian. Begitu banyak yang kita rancang tetapi semuanya tidak menjadi kerana tidak ada TINDAKAN daripada kita untuk melakukannya. Kita lebih suka bertangguh dan menunggu dahulu. 

Cukuplah setakat ini. Saya terpaksa berhenti di sini dahulu kerana terpaksa bangun untuk MENGAMBIL TINDAKAN  menyiapkan kerja-kerja saya yang masih banyak lagi yang tertangguh.

Kalau asyik layan blog ini bila pula masa hendak siapkan kerja. Nasib baik saya tak ada boss.

Monday, 14 April 2014

Tudung Syria



Tudung syria memang simple dan ringkas.  Tidak ada awning, mudah digayakan. Boleh juga dipanggil tudung express atau tudung segera. tetap mempunyai peminatnya.  Oleh sebab itu ramai yang menggemarinya. Walaupun simple tetapi tetap bergaya apabila memakainya. 

Warna plain selalunya menjadi pilihan. Tudung ini paling mudah untuk dijahit. Lihat sendiri tutorial menjahit tudung syria yang telah saya postkan dalam entri yang lepas. Potong kain ikut pola. Kemudian jahit untuk cantumkan tudung tersebut. Kemaskan hujung kain dengan jahitan coverstitch atau jahit tepi halus. Sesiapa sahaja yang mempunya asas  menjahit tentu boleh menjahitnya. Sangat mudah.

Walaupun pelbagai fesyen tudung muncul dengan rekabentuk terbaru, tudung syria tidak pernah dilupakan. 
Selesa dipakai dan sesuai dengan kebanyakan bentuk muka. Menjaganya  pun tidak susah. Nak lipat pun senang sebab tidak ada awning. Boleh dimasukkan dicelah -celah beg kalau nak berjalan jauh atau balik kampung. Cara memakainya pun mudah. Sarung sahaja di kepala. Boleh dipakai dengan inner atau tanpa inner. 

Kepada suri rumah yang sepanjang masa berada rumah amat sesuai sekali memakai tudung syria ini. Boleh pakai semasa hendak menyidai kain di ampaian atau semasa nak keluar beli ikan di depan rumah atau semasa nak keluar beli barang di kedai.  Semua nak cepat mesti pakai tudung yang mudah.

Kepada yang bekerja pula tudung syria juga tidak ketinggalan dari segi fesyen. Boleh dipakai dengan kerongsang atau gunakan pin sahaja pun nampak kemas. Tidak perlu lagi nak cerita panjang, cubalah sendiri pakai tudung syria. Lihat muka di cermin. Muka yang nampak tembam tadi sudah kelihatan seperti bujur sirih. Tentu ramai yang tergoda.

Sunday, 13 April 2014

Tempah Baju Pengantin


Walaupun musim cuti sekolah sudah beberapa minggu berlalu, majlis perkahwinan tetap diadakan. Sekarang ini tidak kira masa lagi. Ada masa yang sesuai majlis perkahwinan boleh diadakan.

Bagi pengantin pula persiapan perlu diadakan terutama sekali dalam memilih pakaian pengantin yang sesuai. Perbincangan perlu diadakan sama ada untuk menyewa atau menempah sahaja. Pemilihan baju pengantin yang sesuai perlu dipandang serius dan banyak perkara perlu dititikberatkan. Jika perlu menyewa perlulah mencari baju yang sesuai dengan harga sewa yang berpatutan mengikut budget.

Masalah yang biasa timbul apabila menyewa adalah adalah ukuran baju yang tidak sesuai dengan bentuk tubuh. Sudah puas mencari tetapi semuanya tidak sesuai. Ada yang terlalu labuh, pendek, ketat dan macam-macam lagi. Hari perkahwinan hari yang istimewa. Setiap momen perlu diabadikan untuk kenangan masa hadapan. Jika pakaian pengantin nampak janggal dan kekok. Momen tersebut akan rugi selama-lamanya.

Membuat tempahan pakaian pengantin mungkin boleh dipertimbangkan. Pakaian pengantin secara 'custom made' merupakan suatu kepuasan sebenarnya kerana baju yang ditempah tidak pernah digayakan oleh orang lain. Kalau boleh hari yang istimewa ini biarlah lebih eksklusif dan tidak mahu baju pengantin yang hendak digayakan nanti sama pula dengan orang lain.

Pemilihan rekabentuk baju lebih mudah pada masa sekarang. Dengan bantuan google cari sahaja rekabentuk baju pengantin yang dikehendaki. Kemudian berbincang dengan tukang jahit untuk menjahit seperti gambar yang dicari. Kesesuaian baju berkait rapat dengan bentuk tubuh seseorang disamping pemilihan warna, perincian atau tema yang dikehendaki. Oleh sebab itulah baju 'custom made' menjadi pilihan dan boleh dicadangkan kepada tukang jahit.

Pemilihan warna seperti warna emas kekuning-kuningan dengan lace lining yang diperincikan dengan manik dan kristal tentunya memberi percikan aura glamour yang menawan kepada pengantin. Pengantin tentunya tersenyum riang di hari yang sungguh bermakna ini. Majlis gilang-gemilang dengan menggayakan baju pengantin yang ditempah ini di atas pelamin yang indah pula diperhati oleh sanak saudara dan rakan taulan dan dirakam pula oleh jurugambar profesional akan menjadi momen yang sungguh indah yang akan dikenangkan suatu masa nanti.

Tak rugi saya menempah baju pengantin.

Post Utama

Kedai Online Nash Fesyen

Post Paling Popular

HAKCIPTA TERPELIHARA NASH FESYEN 2018