Tuesday, 25 November 2014

Tudung Tailor Made



Tudung tailor made atau custom made hanya tukang jahit yang boleh buat. Sebab iti dipanggil tailor made. Kalau nak cari sebiji macam kita kehendaki di kedai memang tidak akan jumpa terutamanya dari segi ukuran. Tempahan melalui tukang jahit yang paling mudah. Kebiasaannya tukang jahit akan mengambil masa untuk siapkan. Tambahan pula jika kain atau material perlu dicari sendiri.

Saya baru sahaja balik dari Johor setelah tiga hari berada di sana. Sampai di rumah hampir maghrib. Memandangkan tempahan dah agak lama dan pelanggan saya pun nal pakai pada hujung minggu ini maka perlu saya siapkan juga malam ini. 

Mabuk perjalanan pun belum hilang lagi. Sempat juga siapkan dua helai tudung instant pleated yang customer nak ambil besok.



Ingat entri kali nak masukkan gambar-gambar semasa bercuti di Johor tetapi terpaksa pula menjahit tudung. Besok customer dah nak datang ambil.  

Boleh juga cover duit yang habis semasa pergi ke Johor.

Saturday, 22 November 2014

Bercuti Ke Johor


Cuti sekolah dah bermula. Anak-anak mula bertanya cuti kali ini hendak ke mana. Kalau ikut hati memang tak nak pergi ke mana-mana tetapi demi melayan anak-anak kali ini saya bawa mereka ke Johor sahaja. Banyak negeri-negeri dalam Malaysia, Johor sahaja yang belum pernah saya sampai. 

Kalau nak ke KL bila-bila masa sahaja boleh pergi. Nak balik kampung mungkin hujung December nanti. 

Saya tidak ada di rumah mulai besok iaitu hari ahad hingga ke hari selasa minggu depan. Tiga hari sahaja. Jangan datang ke rumah dari ahad hingga hari selasa ini. Sebarang pertanyaan melalui facebook/email/SMS/Wahatsapp akan saya jawab seperti biasa. Tempahan yang belum siap harap bersabar dulu yer. 

Apa kaitan dengan gambar shawl di atas dengan bercuti? Sebenarnya shawl di atas adalah shawl butterfly yang baru sahaja saya siapkan sebentar tadi. Untungnya boleh menjahit sendiri. Beli kain yang matching dengan warna baju. Balik di rumah potong dan terus jahit sendiri.

Untuk jahit shawl butterfly ini bukannya susah. Potong kain ikut pola dan jahit tepi keliling. Siap. Boleh dipakai terus tanpa susah payah mencarinya di kedai.

Nak pola shawl butterfly ini boleh hubungi Kak Ros. No telefon ada dalam blog ini.

InsyaAllah selasa malam nanti saya akan sampai di rumah.

Kelas Menjahit Tudung Minggu Ini

Kelas menjahit tudung minggu ini

Kelas menjahit tudung terus berjalan setiap minggu pada hari sabtu. Selain boleh bawa pulang tudung, peserta juga dapat empat pola tudung percuma yang boleh dipilih sendiri. Di samping itu juga saya ajarkan juga asas memotong shawl. Ramai yang tidak begitu yakin apabila hendak memotong kain untuk menjadi shawl. Teragak-agaj taku nanti silap-silap potong, kain yang dibeli dengan harga mahal jadi rosak pula. Sebenarnya tidak susah jika tahu asasnya.

Dengan masuk kelas menjahit bukan sahaja dapat belajar menjahit tudung tetapi juga dapat pola yang bolehh dipilih sendiri dan juga tahu asas memotong shawl. Apabila balik nanti boleh cuba buat tudung dan shawl sendiri dengan pola yang dibawa pulang tadi. 

Selain daripada itu banyak tip berkaitan tudung, shawl, mesin jahit, bisnes yang dikongsi semasa kelas berjalan. Boleh tanya apa sahaja berkaitan dunia jahit menjahit. Kadang-kadang bila asyik bersembang tak sedar hari sudah gelap. Seronoklah dapat bersembang dengan Kak Ros. Memang happening. 

Makan tengahari juga disediakan. Minggu ini resepinya nasi tomato dengan ayam beserta acar rampai timun dan nenas yang saya sediakan sendiri.

Jom belajar menjahit tudung. Kelas tidak ramai kerana saya memang tidak ambil ramai peserta untuk setiap kelas.

Berminat untk belajar menjahit tudung hubungi/SMS/Whatsapp Kak Ros : 017-4315193.

Thursday, 20 November 2014

Anak Tudung Berawning Pelbagai Warna

Masalah yang biasa dihadapi apabila hendak memakai tudung adalah untuk mencari anak tudung yang sesuai. Apabila dah jumpa, warnanya pula tidak sesuai. Akhirnya terpaksa memakai tudung yang sama setiap hari kerana tudung yang lain tidak sesuai dengan anak tudung.

Dengan membuat tempahan anak tudung pelbagai warna, pilihan untuk memakai tudung dengan warna dan fesyen yang sesuai tidak akan menjadi masalah lagi. Alang-alang nak tempah anak tudung biar borong terus dengan banyak warna.

Saya tunjukkan di bawah anak tudung pilihan dengan pelbagai warna tersebut.









Saya pun tak mahu lagi tulis panjang-panjang. Sudah mengantuk. Jam hampir pukul 1 malam. Sudah beberapa hari tidur lewat untuk siapkan tempahan. Kalau dahulu mampu menjahit sehingga bunyi ayam berkokok. Sekarang sudah tidak mampu lagi. Kesihatan juga perlu dijaga. Ingat nak bercuti beberapa hari. 

Wednesday, 19 November 2014

Cepatnya Masa Berlalu


Okay.

Tutup mata anda sekarang  untuk beberapa ketika.  

Kemudian buka semula. 

Adakah anda merasai bahawa anda sedang bergerak?

Saya rasakan TIDAK. Kecuali jika anda sedang berada dalam kenderaan yang sedang bergerak. 

Anda tidak merasai apa-apa pergerakan langsung.

Anda masih berada di tempat yang sama, di kerusi yang sama, di tempat anda berada sekarang.

Pada hakikatnya kita sedang bergerak. Bumi bergerak mengelilingi matahari. Seluruh sistem galaksi kita sedang bergerak. Masa bergerak begitu pantas. Umur semakin meningkat. Keadaan sekeiling kita sedang berubah. 

Rupa-rupanya sudah setahun lebih saya menulis blog ini. Begitu cepat masa berlalu. Sekolah sudah mula bercuti. Tahun 2014 semakin ke penghujungnya. Tahun 2015 sedang menanti. Keadaan kita masih sama seperti dahulu. Tidak ada apa-apa tindakan yang diambil. Tiada apa-apa perubahan dilakukan. Masih banyak yang ketinggalan.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Pada hari sabtu dua minggu lepas, selepas kelas menjahit, malamnya saya dan suami ke Alamanda, Putrajaya menonton filem terbaru Interstellar

Saya kerap tertidur sepanjang tayangan berjalan. Letih kerana seharian mengajar menjahit tudung. Sehingga habis tayangan langsung tidak faham jalan cerita. Rugi sahaja.

Apabila selesai tayangan saya bertanya kepada suami. 

Bagaimana jalan ceritanya?

Manusia sudah menemui penempatan baru untuk  tinggal jika bumi ini terancam. Manusia akan berpindah ke sana.

Rupa-rupanya saya sudah banyak ketinggalan kerana kerap tertidur selama ini.

Tuesday, 18 November 2014

Menulis Blog & Menjahit

Statistik Blog Oktober 2014

Hari ini saya dihubungi oleh TV3. Mendapat jemputan datang ke Sri Pentas untuk menunjukkan cara-cara menjahit sequin untuk program Wanita Hari Ini. Saya menolak. InsyaAllah lain kali kalau ada rezeki lagi saya akan pergi.

Melihat kepada statistik daripada trafik yang datang ke blog ini , trafiknya biasa-biasa sahaja. Tidak ada yang istimewa tetapi saya perasan bahawa blog ini sudah ada peminatnya sendiri.

Antara menulis blog dan menjahit sudah tentu saya memilih menjahit sebagai keutamaan saya. Tidak ada sesiapa yang kisah jika saya tidak menulis blog tetapi jika saya tidak menjahit, tempahan pelanggan akan lambat siap dan sudah tentu pelanggan tidak berpuas hati. Mereka akan menghubungi saya dan saya akan merasa tekanannya.

Saya menulis blog untuk mempromosi perkhidmatan menjahit yang saya sediakan. Itulah niat awal saya. Oleh sebab itu lah entri saya yang pertama adalah berkaitan tentang servis yang saya lakukan. Entri yang pertama sahaja tidak cukup kerana ianya bersifat statik dan tidak cukup kuat untuk berada di laman google.

Saya perlu menerbit beberapa entri lagi supaya mendapat kedudukan di search engine. Cara yang terbaik untuk menarik perhatian pengunjung adalah dengan memberi panduan secara percuma. Oleh sebab itu saya menerbit entri berkaitan panduan menjahit tudung 3 layer dan diikuti panduan menjahit tudung halfmoon. Bermula dari situ blog ini mula mendapat perhatian. Saya juga menerbit entri berkaitan cara menjual shawl secara online diikuti dengan jual tudung dan shawl dengan jenama sendiri.

Akhirnya apabila blog ini mula dikenali melalui laman google saya mula menikmati pendapatan yang saya tidak pernah impikan selama ini dengan hanya menjahit di rumah. Memperolehi pendapatan 5 angka secara konsisten setiap bulan adalah sesuatu yang tidak pernah saya impikan selama ini dengan hanya mempromosinya melalui blog. Alhamdulillah.

Semasa baru berpindah ke Bandar Baru Bangi dua tahun yang lepas, saya memikirkan bagaimana cara mahu mempromosi servis jahitan saya. Berpindah ke tempat baru bermakna saya perlu memulakan sesuatu yang baru. Bermula dari kosong.

Untuk mempromosi servis menjahit, saya perlu mempunyai ramai kawan. Berpindah ke tempat baru bermakna tidak tidak ada ramai kawan. Jadi bagaimana saya hendak memberitahu tentang servis menjahit yang saya lakukan. Orang yang pertama saya menceritakan tentang servis menjahit saya ini adalah jiran sebelah rumah apabila mula berbual dengannya.

Mempromosi dengan memberitahu kepada orang lain tentang servis yang saya lakukan bukanlah cara saya kerana saya memang jenis berat mulut.Tambahan pula jiran-jiran kebanyakannya mempunyai kerjaya yang hebat-hebat seperti peguam, penyarah, doktor dan lain-lain.

Pernah terfikir juga untuk meletakkan iklan yang dicetak pada A4 paper dan mengedarnya kedalam peti-peti surat jiran terdekat atau memasukkannya ke dalam surat khabar harian. Itu pun tidak saya lakukan kerana saya memang malu untuk melakukannya.Ada cadangan untuk meletakkan sign board atau banner sahaja di tempat laluan orang ramai.

Akhirnya saya meletakkan beberapa signboard yang ditulis tangan dan diletakkan di beberapa tempat dengan harapan akan ada yang menghubunginya. Kecewa. Tidak ada sesiapa pun yang menelefon sehingga lah signboard itu pudar dan akhirnya hilang begitu sahaja.

Seterusnya saya mula beralih ke internet di mana saya mula mengiklannya kedalam portal iklan mudah.my. Ada beberapa panggilan yang saya terima dan dari situ saya mula menerima tempahan untuk menjahit. Tidak ramai sebenarnya. Seorang sahaja.

Apabila saya semakin tahu mengiklan melalui internet, saya mula explore beberapa portal iklan yang lain seperti majalah.com untuk mengiklan servis yang saya lakukan. Begitu juga saya mula join beberapa group jahitan dalam facebook yang mempunyai minat menjahit seperti saya . Dari situ sudah mula mendapat tempahan dari pelanggan. Masih tidak banyak. Hanya beberapa orang sahaja.

Menggunakan portal iklan percuma untuk mempromosi bisnes ada beberapa had-had tertentu yang ditetapkan oleh pengendali portal tersebut seperti tidak boleh mengiklan setiap hari. Jika sudah mengiklan pada tarikh tertentu perlu menunggu tarikh yang lain untuk jangkamasa yang agak lama untuk mengiklan semula.

Di samping itu juga terdapat ramai yang mempromosi servis yang sama dan ini menyebabkan terdapat saingan dari beberapa pengiklan yang lain. Jika hari ini saya meletakkan iklan, dalam beberapa jam sahaja iklan saya tersebut akan tertinggal di belakang dan dengan cepat berada pada muka surat yang lain. Jika bernasib baik iklan tersebut mempunyai kekuatan SEO dan diindex melalui search engine seperti google.

Selain itu juga iklan tidak boleh ditulis dalam ayat yang panjang. Ada had-had tertentu yang perlu diikuti.

Menunggu masa yang lama dan tidak boleh menulis dengan ayat iklan yang panjang adalah sesuatu yang amat merugikan dalam dunia bisnes yang dinamik ini.

Ada cara lain jika mengiklan tanpa had iaitu perlu membayar dengan harga tertentu. Begitu lah cara portal iklan berfungsi.

Oleh itu sesuatu cara cara yang lain perlu difikirkan iaitu mempromosi bisnes melalui platform yang lebih sesuai iaitu melalui blog. Tetapi menulis blog bukan juga suatu yang mudah. Untuk menulis memerlukan kepakaran, gaya penuulisan tersendiri dan mesti ada keunikannya sendiri. Perlu dikemaskini setiap hari sehingga mendapat tempat di kalangan pengunjung dan mesti mempunyai autoritinya sendiri. Sesuatu yang sukar bagi saya yang perlu menjahit dan mengurus rumah tangga sendiri setiap hari. Jadi bagaimana perlu saya lakukan? Satu rahsia yang mungkin satu hari nanti akan saya ceritakan.

Jika sebelum ini saya mengikan melalui portal pengiklanan di internet dan hanya beberapa orang sahaja yang menghubungi untuk mendapat servis yang saya lakukan, kini saya tidak perlu risau lagi. Dengan blog saya boleh mengiklan seberapa kerap yang saya kehendaki dan juga sepanjang mana sekali pun ayat yang saya mahu tulis.

Dengan blog juga saya merasa sesuatu yang lebih istimewa di mana adanya hubungan atau connection di antara saya dan pengunjung. Daripada hubungan tersebut saya merasa adanya kemesraaan di antara saya dan pengunjung sehingga ada yang datang ke rumah semata-mata untuk berjumpa dengan saya walaupun tidak membuat sebarang tempahan. Sesuatu yang perlu dalam dunia bisnes.


Dengan blog ini juga saya mula menerima tempahan sehingga di luar kawalan dan kesanggupan saya di mana saya terpaksa menolaknya sesetengah daripadanya. Jika dulu saya menerima apa sahaja tempahan dari menjahit langsir sehingga menjahit baju fesyen yang rumit. Kini saya boleh memilih tempahan apa yang lebih mudah dan cepat untuk disiapkan dan sudah tentu juga dengan bayaran yang lebih lumayan. Saya boleh mengoptimumkan tempahan yang diterima.

Kadang-kadang apabila menolak tempahana terasa menyesal juga kerana saya mampu menjahitnya Tempahan yang pertama biasanya akan diikuti dengan tempahan yang kedua dan seterusnya dan akhirnya akan menjadi pelanggan tetap. Sayang memang sayang tetapi saya tidak ada pilihan.


Saya mula memikir untuk outsource sahaja beberapa servis yang saya lakukan. Saya mencubanya untuk beberapa helai baju tetapi kualitinya tidak seperti yang saya mahukan. Akhirnya saya mengambil pekerja untuk bekerja di rumah saya dengan tunjuk ajar dan pengawasan secara langsung dari saya sendiri sehinggalah pekerja itu pandai melakukan sendiri.

Kebiasaannya apabila sudah pandai menjahit sendiri mereka akan mula memikir untuk menjahit sendiri dengan mencari pelanggan sendiri. Mesin jahit pun dibeli dan mereka pun tidak kerja lagi.Saya perlu mengambil orang yang baru pula dan melatihnya pula. Alhamdulillah rezeki masing-masing . Apa yang menarik di akhir-akhirnya mereka ini datang semula dan membantu saya semula. Tidak rugi walaupun saya perlu melatih orang baru.

Saya bermula dari kosong apabila berpindah ke sini tetapi kini saya boleh berbangga dengan pendapatan yang saya perolehi. Dahulu saya hanya ada 4 mesin jahit tetapi kini saya sudah mempunyai 7 mesin jahit dengan 3 mesin jahit tambahan dibeli secara tunai.

Saya juga tidak perlu lagi bergantung duit seratus peratus daripada suami. Terasa seronoknya mempunyai duit sendiri.


Dalam bisnes akan ada pasang surutntya. Pada bila-bila masa bisnes boleh merosot. Tambahan pula dalam dunia digital sekarang ini. Jika ada sesuatu yang negative akan mudah tersebar tanpa dapat disekat-sekat lagi. Saya perlu mempunyai pelanggan tetap saya sendiri seramai mungkin yang mempercayai dan meyakini perkhidamtan yang saya sediakan. Jika sesuatu yang positif itu lebih tinggi dan ramai maka secara tidak langsung perkara yang negatif akan ditolak ke tepi. Nauzubillah.

Perlukah saya menulis blog lagi? Tanpa menulis entri terkini pun saya sudah terpaksa menolak beberapa tempahan. Sudah cukup. Matlamat saya untuk mempromosi servis saya ini sudah pun berjaya melalui blog ini.

Blog menceritakan perkembangan saya. Kadang-kadang boleh merapu juga. Mencoret apa yang terlintas di hati. Tidak perlu merasa malu dikritik, tulisan tak sempurna. Malu jika ada orang lain kata sesuatu. nampak tidak professional. Akhirnya tersimpan sahaja ilmu, pengalaman dan idea yang ada tanpa dapat dikongsi dengan orang lain. Amat rugi sekali. Saya hanya seorang tukang jahit jadi saya tidak perlu risau itu semua.

Saya tidak boleh berhenti setakat ini sahaja. Blog yang tidak dikemasakini seperti rumah yang tidak berpenghuni. Serinya akan hilang tanpa kemasan dan hiasan terbaru. Saya perlu elakkan. Coret lah sedikit pun untuk menunjukkan penghuninya masih wujud. Oleh itu saya akan terus menulis biar pun tidak setiap hari.

Walaupun trafik blog ini biasa-biasa sahaja. Tidak tinggi tetapi setiap hari ada sahaja pengunjung baru. Begitu juga pengunjung lama yang setia menunggu entri terbaru . Ada pemintanya sendiri. Saya akan rugi jika berhenti menulis.

Saya mempunyai matlamat yang lebih tinggi lagi selepas ini. Ingin menikmati pendapatan yang lebih tinggi dari yang sekarang. Enam angka sebulan target saya seterusnya. Dengan strategi dan cara yang betul saya yakin saya boleh mencapainya. Blog ini dapat membantu.

Motivasi menulis blog dan menjahit datang dari pengunjung, pembaca dan pelanggan yang menghargai hasil kerja saya. Apabila tidak mencoret sesuatu pada blog ini terasa seperti ada sesuatu yang kurang. Terasa seronok pula untuk berkongsi pengalaman dan idea.


Perjalanan yang jauh bermula dari langkah yang pertama. Saya baru sahaja bermula.

Friday, 14 November 2014

Minat Shawl Instant Bunga Ros


Shawl instant bunga ros ini adalah dari tempahan terbaru pelanggan saya. Warna pink menjadi pilihan sesuai dengan jiwa wanita yang sukakan kelembutan dan keceriaan.Warna pink amat sesuai untuk menjalinkan hubungan sosial yang santai tetapi tidak begitu sesuai untuk hubungan profesional. 

Warna pink juga boleh dipadan dengan motif bunga pada pakaian. Cahaya pink yang timbul dari tudung menampakkan wajah pemakainya yang cerah dan kelihatan jelita sekali. Memang sesuai untuk gadis-gadis remaja yang suka bergaya dan ingin mendapat perhatian.

Tudung instant bunga ros ini kerumitan menjahitnya hanya pada bunga ros itu sendiri yang perlu dibentuk sendiri dan mengambil sedikit masa untuk dijahit. Kalau menjahit dalam kuantiti yang banyak perlu mengambil masa. Untuk menjahit tudung ini saya perlu menjahit sendiri dan kalau menjahit untuk kuantiti yang banyak perlu mengambil masa untuk menyiapkannya. 

Testimonial dari pelanggan merupakan penghargaan kepada hasil kerja saya yang memberikan semangat kepada saya untuk mencuba sesuatu yang baru. 


Selepas ini akan menyususl tempahan yang lain dengan kain yang dihantar sendiri pula. Alhamdulillah. 

Walaupun saya tidak update blog ini beberapa hari, tempahan dan pertanyaan datang tidak putus-putus. Ini adalah kelebihan yang ada pada blog berbanding medium yang lain. Tempat untuk mempromosi bisnes, berkongsi pengalaman dan menjana pendapatan. Entri yang saya tulis setahun yang lepas masih dibaca dan dijadikan rujukan. Masih segar dan mendapat perhatian.

Terima kasih kepada pelanggan saya ini yang membenar gambarnya dikongsi di sini..

Post Utama

Kedai Online Nash Fesyen

Post Paling Popular

HAKCIPTA TERPELIHARA NASH FESYEN 2018