Sunday, 8 June 2014

Lelaki Juga Pandai Menjahit Tudung


Dalam kelas jahit tudung yang saya jalankan, sudah beberapa kali saya menerima peserta lelaki. Ada yang datang bertemankan isteri dan ada yang menyertainya bersama peserta wanita yang lain termasuklah untuk minggu ini. Peserta kelas saya kali ini datang jauh dari Kuantan, Pahang.

Sentuhan jahitan lelaki kadang kalanya lebih hebat dari jahitan wanita. Semuanya kerana minat dan melihat peluang menambah pendapatan dari jahitan terutamanya tudung dan shawl.

Pakaian termasuk tudung merupakan keperluan asas sampai bila-bila. Permintaannya tidak akan habis seperti mana permintaan untuk makanan. Ada banyak kelebihan jika kita mempunyai skil menjahit. Berbanding pakaian lelaki, pakaian wanita yang paling banyak ditempah kerana wanita amat cerewet dalam pemilihan pakaian termasuk tudung untuk dipakai. Fesyen mesti terkini. Warna pakaian mesti padan terutama tudung dengan baju. Dengan tempahan menjahit sahaja kesesuaian memilih dapat diatasi.

Ini mungkin antara peluang-peluang yang dapat dilihat oleh mereka yang mengikuti kelas menjahit.

Antara kelebihan menjahit terutama untuk lelaki.

  • Dapat menambah pendapatan dengan menawarkan perkhidmatan-perkhidmatan menjahit tudung, tukar awning tudung dan menjual tudung mengikut kehendak pelanggan. 
  • Jika sebelum ini hanya repair seluar bundle sahaja. Selepas ini boleh tambah lagi perkhidmatan baru. Jahit dan repair tudung pula.
  • Boleh belajar menjual tudung dengan jenama sendiri. Fesyen tudung juga sentiasa berubah. Sekejap ada yang suka tudung 3 layer, sekejap 2 layer, ada yang suka yang labuh. Dengan ada asas menjahit semuanya dapat diubah mengikut keperluan. 
  • Boleh jahitkan tudung untuk isteri. Isteri pula mempromosi kepada kawan-kawan. Dapat menambah pendapatan keluarga. Isteri suka, keluarga pun bahagia.
  • Apabila dah pandai menjahit, boleh ajar yang lain pula menjahit. Tak dapat jadi cikgu sekolah boleh juga jadi cikgu menjahit.
  • Menjahit sebagai asas untuk membina empayar perniagaan tudung atau pakaian yang lebih besar. 
  • Jika dah pandai menjahit mudah untuk memahami fesyen tudung. Pelanggan pun seronok bila diajak berbual tentang fesyen tudung.
Menjahit bukan lagi dimonopoli oleh golongan wanita sekadar untuk membantu suami menambah pendapatan suami di rumah tetapi boleh dijadikan satu perniagaan yang menguntungkan jika digabungkan dengan perniagaan tudung dan pakaian yang menjadi keperluan asas manusia terutamanya dengan perkembangan bisnes online sekarang ini. 

Siapa yang pandai mengambil peluang dia yang akan lebih kehadapan. Tidak kira lelaki atau wanita.

Wednesday, 4 June 2014

Butterfly Shawl Berawning





Dari sekeping kain menjadi sebentuk tudung atau shawl yang menarik. Begitulah terbentuknya pelbagai fesyen walaupun hanya untuk dipakai di kepala. Rekabentuk fesyen tidak ada sempadannya. Baik baju, tudung atau shawl. Ada sahaja design terbaru yang direka. Walaupun tudung atau shawl nampak simple sahaja dengan rekabentuk yang hampir serupa. Tetapi apabila datang kepada mereka yang kreatif pelbagai design baru boleh terbentuk.

Pada entri yang lepas saya telah tunjukkan shawl butterfly bersama dengan polanya sekali. Kali ini rekabentuknya sedikit berbeza dengan tambahan awning pada shawl. Shawl pula digabungkan dengan dua kepingan kain menjadi dua layer seupaya lebih tebal dan jarang. Fabriknya pula adalah dari kain chiffon georgette yang kebiasaannya menjadi pilihan untuk shawl atau tudung.

Yang menariknya tentang design ini adalah kedudukan awning yang tidak terletak ditengah-tengah shawl. Awning terletak di sebelah tepi shawl supaya apabila dipakai mudah untuk dililit di kepala. Pemakaianya yang mudah membolehkan sesiapa sahaja memakainya. Nampak kemas dan bergaya sekali. Pilihan warna untuk tempahan kali ini adalah warna plain yang boleh dipakai dengan apa sahaja kombinasi warna baju yang sesuai.

Betapa mudahnya untuk menjahit sendiri tudung kalau sudah ada asas menjahit tudung. Tak sabar sudah untuk menunggu hari sabtu ini untuk kelas menjahit tudung.

Tuesday, 3 June 2014

Jahit Veil Pengantin



Tempahan untuk majlis perkahwinan terus diterima pada musim cuti sekolah ini. Sebenarnya ditempah sebelum cuti sekolah lagi. Hanya baru siap dijahit kerana hendak dipakai pada hujung minggu ini. Tempahan ini sekali dengan baju nikah yang saya postkan pada entri sebelum ini. 

Tempahan juga dibuat untuk shawl yang akan dipakai oleh para-para dayang pengantin semasa majlis perkahwinan nanti. Kehadiran dayang-dayang pengantin dengan shawl dengan warna yang sama tentunya akan menyerikan majlis perkahwinan nanti. Begitulah majlis perkahwinan yang mahu diraikan. Akan bertambah meriah majlis dengan penghias yang tentunya juga cantik menawan. 



Untuk membuat veil pengantin tidaklah susah. Fabrik kain yang digunakan adalah dari material chiffon yang dipotong dengan bentuk half moon atau half oval. Kemudian jahit tepi halus sekeliling kain yang dipotong tadi. Selepas itu jahit border lace pada bahagian atas half moon atau half oval tadi. SIAP. Mudah sekali dan boleh digayakan dengan baju nikah yang ditempah.

Minggu-minggu ini adalah minggu yang amat sibuk sekali. Pada hari minggu yang lepas, saya ke Taiping kerana ada majlis kenduri anak kakak saya yang bongsu. Sudah lajak ke Taiping terus sahaja balik kampung untuk satu hari. Sebelum itu sudah balik kampung kerana kenduri juga. Selepas ini tidaka ada lagi balik kampung sehingga hari raya nanti. Saya perlu fokuskan kepada tempahan pelanggan.

Kenapa saya merasa sibuk sekali untuk minggu-minggu ini. Semalam sahaja pelanggan datang dari pagi hingga ke malam. Tidak pernah berlaku sebelum-sebelum ini. Ramai yang menghantar untuk jahit tepi shawl untuk persediaan untuk dijual untuk persediaan hari raya nanti sama ada melalui booth atau secara online.

Tempahan tudung pun saya  STOP dahulu buat sementara waktu kecuali tempahan menjahit shawl yang masih diterima sehingga kini. Saya juga telah menambah seorang lagi pembantu untuk membantu saya. Rumah pun sudah penuh dengan bungkusan-bungkusan kain di sana sini. Semakin sempit ruang di rumah.

Semuanya berlaku kerana saya menulis blog.

Thursday, 29 May 2014

Baju Nikah


Sudah 2 hari saya demam. Badan terasa lemah sekali terasa seperti dicucuk-cucuk dengan jarum. Kaki terasa sejuk, badan mengigil diikuti dengan sakit kepala yang amat sangat. Walaupun demikian digagah juga untuk menjahit beberapa helai tudung dan baju. Akhirnya terpaksa menyerah juga. Tidak mampu lagi untuk bekerja dengan badan yang lemah. Tidur sepanjang hari.

Pergi ke klinik dan mengikut kata doktor saya bekerja kuat dan badan banyak bergetar. Macam tahu-tahu sahaja saya menjahit. Tetapi sebelum ini saya bekerja bgitu juga. Okay sahaja. Menurut Robert T. Kiyosaki, saya berada di kuadran S. Pemilik bisnes sendiri. Tidak bekerja, tidak ada pendapatan.

Harap-harap hari ini akan pulih sepenuhnya. Banyak komitmen sebenarnya. Walaupun demam terpaksa digagahkan juga untuk menyiapkan tempahan pelanggan.

Minggu ini cuti sekolah telah bermula. Agak lega sedikit kerana rutin menghantar anak ke sekolah tidak dilakukan. Hujung minggu pula banyak jemputan ke majlis kenduri kahwin termasuk sejauh di Taiping, rumah kakak. Nampaknya hujung minggu tidak produktif juga. Apabila tiba musim cuti sekolah ada sahaja tempahan untuk hati nikah dan juga untuk majlis perkahwinan. Saya sendiri semakin kurang mengambil tempahan untuk baju kerana sudah terlalu banyak tempahan yang saya ambil sebelum ini. Tetapi apabila sudah berjanji lama, saya menerimanya juga.

Tempahan baju nikah di atas adalah baju kurung moden untuk majlis nikah pada minggu depan sedondon dengan baju melayu yang saya tidak masukkan gambar di sini. Saya lebih suka menjahit baju perempuan dari lelaki.

Pada masa sekarang saya banyak menerima tempahan untuk jahit tepi shawl. Boleh dikatan setiap hari ada sahaja yang menghantar. Kebanyakan untuk diniaga di Booth dan juga secara online. Mungkin juga untuk hari raya walaupun lambat lagi.

Begitulah cabaran bekerja sendiri. Walau apapun tetap merasa seronok sehingga demam hilang begitu sahaja.

Wednesday, 28 May 2014

Beza Jahit Tepi Halus & Jahit Tepi Biasa

Saya merujuk jahit tepi halus kepada jahitan halus di sekeliling shawl dengan jarak jahitan yang rapat untuk menutupi bekas potongan pada kain yang tidak kemas. Manakala untuk jahit tepi biasa pula merujuk kepada jahit tepi yang selalu dibuat untuk menutupi bekas potongan kain untuk membuat baju seperti baju kurung. Kedua-duanya mempunyai kemasan yang berlainan

Saya sendiri mengguna mesin jahit tepi yang berlainan untuk kedua-dua jenis jahitan tersebut. Mesin jahit tepi ini dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai 'overlock sewing machine' atau 'serger machine'.

Mesin ini mempunyai pisau atau cutter yang memotong tepi kain apabila kain disuap ke dalam mesin sebelum proses menjahit bermula. Terdapat kombinasi beberapa benang digunakan seperti 3, 4 atau 5 benang.

Saya mempunyai 1 unit mesin jahit tepi biasa dan 2 unit mesin jahit tepi halus untuk menampung permintaan tempahan jahit tepi terutama jahit tepi halus yang semakin meningkat untuk shawl atau selendang. Alhamdulillah buat masa ini masih lagi dapat menampung permintaan pelanggan dengan dibantu oleh beberapa orang pembantu.

Baru-baru ini ada pelanggan saya dari Kedah bertanya kenapa jahitan tepi untuk shawl/tudung bawalnya yang nampak kasar dan jarang berbanding dengan jahitan tepi halus yang terdapat dalam blog ini. Apabila saya melihat gambar yang ditunjukkan tahulah saya bahawa jahitan tepi yang ditunjuknya mengguna mesin jahit tepi biasa.

Di bawah ini saya tunjukkan perbezaan jahitan antara jahit tepi halus dan jahit tepi biasa.

Jahit tepi halus di bawah adalah menggunakan mesin jahit tepi halus yang saya gunakan sekarang.
Klik gambar untuk lebih jelas.





Gambar di bawah pula adalah jahit tepi biasa yang dihantar kepada saya oleh pelanggan dari Kedah ini untuk jahit tepi halus menggantikan jahit tepi seperti di bawah.

Klik gambar untuk lebih jelas.





Sekarang boleh lihat sendiri perbezaan antara kedua-dua jahitan tersebut. Saya menggunakan 2 mesin yang berlainan untuk kedua-dua jahitan tersebut kerana tidak mahu mengubah setting mesin yang sudah sedia baik dan kemas untuk kedua-dua mesin tersebut.

Wednesday, 21 May 2014

Dress Berjahit Lace




Sekeluarga memilih dress berjahit lace dengan warna pink menjadi tema utama. Material adalah dari jenis chiffon glitter dengan potongan A. Selesa dipakai dan nampak bergaya terutama jika dipakai untuk musim perayaan seperti hari raya.

Untuk makluman semua saya sudah menutup tempahan menjahit baju raya. Walaubagaimana pun saya masih menerima tempahan untuk tudung dan shawl. Saya tidak berani mengambil begitu banyak tempahan terutama jika mempunyai dead line sebelum hari raya.

Buat masa sekarang saya ingin memberi fokus untuk jahit tudung dan shawl dahulu. Kebanyakan saya perlu siapkan sebelum bulan puasa ini.

Cepat betul masa berlalu dah nak sambut puasa.

Tuesday, 20 May 2014

Pasar Kemboja



Kesempatan balik kampung untuk ke majlis kenduri kahwin di Bandar Baharu, Kedah diambil untuk pergi ke Pasar Kemboja.  Saya mula tahu mengenai pasar kemboja ini setelah diberitahu oleh jiran saya di kampung.

Apabila saya memberitahu kepada jiran-jiran dan kawan-kawan di kampung bahawa saya menjahit dan menjual tudung, jiran-jiran dan kawan-kawan selalunya akan membanding-banding dengan tudung yang dijual secara murah di pasar-pasar malam. Begitulah kalau menjual di kampung.

"Kalau nak beli tudung dan telekung murah pergi ke pasar kemboja di Parit Buntar setiap hari Isnin dan Jumaat."

"Banyak fesyen tudung yang cantik-cantik di sana. Boleh beli secara kodi atau lelong."

Oleh kerana saya terlibat secara langsung dengan tudung dan pakaian ini, teringin sekali melihat sendiri apa yang dijual di pasar Kemboja. Sudah beberapa kali balik kampung tetapi tidak pernah ada kesempatan kerana hari dan masa yang tidak sesuai. Lagi pun bila balik kampung masa begitu padat dengan rancangan-rancangan yang lain.

Kali ini apabila balik untuk ke majlis kenduri kahwin, saya diberitahu pasar Kemboja sekarang dibuka pada setiap hari sabtu. Saya pun tidak melepaskan peluang ini. Sebelum ini pasar ini dibuka pada hari isnin dan jumaat tetapi dikatakan mendapat aduan penduduk berdekatan kerana menganggu lalu lintas di kawasan tersebut. Pasar Kemboja terletak berdekatan dengan sekolah dan masjid. Tambahan pula pada hari jumaat trafiknya bertambah teruk kerana sembahyang jumaat di masjid berdekatan. Oleh sebab itulah pasar tersebut diubah ke hari Sabtu.

Pasar kemboja dikatakan dibuka oleh komuniti kemboja yang berada di sekitar kawasan itu. Pada mulanya urusan jual-beli hanya berlaku dikalangan komuniti mereka sahaja. Barangan jualan mereka mula mendapat perhatian penduduk sekitar kerana dijual dengan harga yang murah terutamanya pakaian. Dari sinilah terbentuklah pasar kemboja yang popular sekarang ini.

Walaupun dikatakan Pasar Kemboja ini di Parit Buntar tetapi sebenarnya apabila saya pergi ke sana pasar ini terletak di kampung Permatang Tok Mahat yang di sebelah Nibong Tebal bersempadan dengan Parit Buntar. Pasar ini dibuka di sepanjang jalan raya di kampung tersebut.

Perjalanan mencari pasar tersebut tidak susah kerana saya sendiri sudah biasa dengan kawasan tersebut. Masalah utama adalah untuk mencari tempat parking. Jangan haraplah nak dapat parking di tepi jalan berdekatan dengan pasar tersebut jika datang lambat. Saya sendiri mencari-cari tempat parking sehinggalah berjumpa dengan masjid yang menyediakan tempat parking di situ. Sekali parking RM2.00.

Memang betul begitu banyak gerai-gerai yang dibuka yang menjual tudung, telekung dan berbagai jenis pakaian wanita. Walaupun dinamakan pasar Kemboja saya lihat ramai juga orang Melayu yang menjual di situ. Terdapat juga pelbagai jenis fesyen tudung, telekung, baju dan lain-lain. Ada yang digantung dan ada yang dilonggok di atas tikar sahaja.

Patutlah jiran saya kata beli di pasar malam atau pasar kemboja boleh dapat harga yang murah. Memang banyak pilihan. Boleh rambang mata memandang.



Oleh kerana masa yang singkat dan malas berjalan jauh, saya hanya sempat singgah di beberapa gerai sahaja kerana tujuan asal saya hanya sekadar untuk melihat-lihat sahaja barangan yang dijual di situ. Banyak lagi gerai yang tidak sempat saya singgah. Lagi pun saya lihat kebanyakan gerai menjual barangan yang sama sahaja.



Kedatangan pendatang kemboja ini untuk mencari rezeki di sini menyebabkan berlaku saingan harga sehingga menyebabkan penjual tudung dan pakaian terutamanya di kalangan penjual rakyat tempatan terasa kesannya. Malahan harga tudung, telekung kain dan pakaian ini dijual lebih murah daripada yang dijual di jalan TAR. Patut pun sudah ada peniaga jalan TAR yang mengeluh dengan kebanjiran peniaga-peniaga Kemboja ini.

Kebanjiran begitu banyak tudung, telekung dan pakaian yang dijual oleh pendatang kemboja ini telah menyebabkan harga tudung, telekung dan lain-lain jatuh di pasaran. Walau apa pun ia tetap menguntung pembeli kerana mempunyai banyak pilihan untuk membeli.


Kepada sesiapa yang ingin mendapat tudung, baju dan lain-lain atau pun yang ingin berniaga tudung dan pakaian secara online boleh cuba-cuba  membuat survey di Pasar Kemboja untuk mendapat harga yang murah.

Saya lebih berpuas hati dengan produk saya sendiri. Harganya tentu tidak sama dengan harga di Pasar Kemboja.

Post Utama

Kedai Online Nash Fesyen

Post Paling Popular

HAKCIPTA TERPELIHARA NASH FESYEN 2018