Monday 6 January 2014

Mengurus Masa Di Hari-Hari Yang Sibuk



Bangun seawal 5.30 pagi dan meyediakan makan dan minum untuk anak-anak yang hendak ke sekolah. Dalam masa yang sama perlu menseterika baju untuk anak-anak dan suami.  Selepas itu mengumpul pakaian yang perlu dibasuh dan memasuknya ke dalam mesin basuh. Jika ada pinggan yang kotor dibasuh dahulu. Jika masa masih panjang, melipat pula baju-baju yang belum dilipat yang penuh di dalam raga.  Kerja yang boleh lakukan serentak perlu lakukan serentak.

Masa menunjukkan 6.15 pagi.  Perlu bangunkan anak-anak  untuk ke sekolah. Bukan senang nak bangunkan anak yang sedap tidur. Terpaksa memanggil beberapa kali baru nak bangun. Anak yang darjah enam bersekolah di Sekolah Kebangsaan Jalan Empat, Bandar Baru Bangi. Sudah ada kesedaran dan boleh bangun sendiri.  Sudah tahu  menyiapkan diri sendiri. Bangun tidur, mandi, makan, salam dan cium terus keluar rumah menunggu bas di tepi jalan untuk ke sekolah.  Semua diurus sendiri. Tepat pukul 7.45 pagi bas sekolah datang ambil.   Sebelum pergi selalu tak pernah lupa minta duit poket sekolah.

Anak yang sekolah menengah tinggal di asrama. Itu tak perlu difikirkan lagi.

Tinggal dua orang anak lagi yang perlu diuruskan. Sebelum itu perlu mandi dan sembahyang subuh dahulu.
Sekarang anak yang darjah dua pula. Anak yang darjah dua ini mengambil masa sedikit untuk bangun. Pagi bersekolah agama. Jam 8 pagi baru kelas bermula. Sekolah agama tidak berapa jauh dari rumah. Pagi-pagi suami yang hantar. Lebih kurang pukul 7.30 pagi sudah keluar bersama suami yang dalam perjalanan ke tempat kerja. Anak yang darjah dua ini jugas semakin ada kesedaran. Tidak macam dulu-dulu. Bukan main susah lagi nak ke sekolah.

Petang pula perlu pergi ke sekolah Kebangsaan. Darjah dua  Juga di Sekolah Jalan Empat. Pergi dengan menaiki bas sekolah. Pukul 12 tengahari perlu menunggu bas  di tepi jalan. Terpaksa ibunya hantar dan tunggu sehingga bas datang. Tak boleh harap lagi tunggu seorang diri. Macam-macam boleh berlaku.

Seterusnya anak yang paling kecil. Anak lelaki. Tahun ini sudah berumur lima . Masuk tadika yang jauhnya selang satu lorong sahaja dari rumah. Hantar dengan jalan kaki sahaja. Tidak sampai 10 minit.

Yang paling susah yang inilah nak urus.  Memang susah nak bangun. Tak mahu pergi tadika. Puas memujuk. Macam-macam alasan diberi. Mungkin belum ada keseronokan. Dia membahasakan dirinnya sebagai “saya”.

“Saya tak nak pergi sekolah, nanti cikgu marah saya”,. “ Sekolah tak seronok”.

Terpaksa memujuk. Kadang-kadang tak jalan juga.

“Pergi la sekolah, sekolah ramai kawan-kawan. Nanti boleh jumpa Haziq , jumpa Sara” . “Nanti boleh pandai”

Dijawab balik “saya tak nak juga”, “ saya nak duduk rumah”. “ saya tak nak pandai”

Susah juga nak memujuk.  Mesti terus mencuba.

“ Nanti kita pergi KLCC, tengok ikan” , “ tidur hotel”

Nampak macam nak berjaya

“Saya nak tidur hotel, nak mandi kolam renang”

OK . Jom kita mandi. Pergi sekolah.

Begitu lah kadang-kadang berlaku. Mungkin tidak betul  caranya. Tiada pilihan.  Nanti dah beberapa hari lagi mungkin semuanya tak perlu dipujuk lagi.

Siap hantar anak ke sekolah tadika. Jam sudah pukul 8.15 am. Perlu mengambil baju di dalam mesin basuh untuk disidai dan dijemur.

Selesai semua kerja rumah. Jam sudah 8.30 am.  Tutup pagar dan pintu rumah.

Pada masa ini lah barulah boleh memulakan aktiviti menjahit, memotong baju atau menjawab message dari bakal pelanggan. Sehinggalah jam menunjukkan pukul 11.00 pagi.

Anak yang sekolah agama balik dari sekolah. Sampai rumah dalam pukul 11.15 pagi. Ada transport yang hantar.  Pukul 12 tengahari perlu menunggu bas sekolah pula untuk ke Sekolah Kebangsaan Jalan Empat.
Berhenti pula menjahit pada pukul 11 pagi . Perlu sediakan makan tengahari untuk anak-anak.   Anak-anak tak boleh lapar ketika di sekolah.

Kemudian temankan anak yang hendak  menaiki bas.  Dah selesai perlu mengambil pula  anak yang di sekolah tadika tadi.

Sampai di rumah jam menununjukkan pukul 12.20 tengahairi. Masa inilah ada masa untuk sambung semula aktiviti menjahit sehingga pukul 2.00 petang.

Berhenti makan, mandi dan sembahyang  zohor.  Semua tersusun dengan sendiri.

Pada masa itu juga anak yang darjah enam pulang. Tidak perlu ambil tahu lagi. Dah besar. Carilah makan sendiri. Buat sendiri apa-apa yang perlu. Selalunya ke komputerlah yang di tujunya.

Masa yang paling produktif adalah dari 2.30 petang sehingga lajak ke 5.30 petang. Masa ini digunakan seoptimum mungkin untuk menyiapkan tempahan. Kadang-kadang  rasa mengantuk, baring-baring sekejap.
Pukul 5.30 petang berhenti menjahit untuk sembahyang asar. Pada masa ini juga  ramai tetamu dan pelanggan mengambil peluang untuk datang. Selepas balik kerja tentulah masa yang sesuai untuk singgah. Kadang-kadang  tumpu ke malam.

Kalau tiada siapa yang datang keluar sekejap dari rumah mengambil udara  di luar rumah. Berbual dengan jiran-jiran . Kadang-kadang ke kedai berdekatan atau ke gerai-gerai di tepi jalan untuk mencari makan atau apa-apa yang perlu. Suami pulang. Anak pun pulang semua berada di rumah semula.

Selepas maghrib rehat sekejap dan seterusnya menyambung semula kerja menjahit sehinggalah puku1 11 malam.  Kadang-kadang semasa menjahit berhenti sekejap melihat kerja sekolah anak-anak. Apabila mata sudah mengantuk, tidak ada kuasa lagi untuk sambung menjahit terus berhenti sembahyang  dan tidur.

Bila masanya menjawab message dari pelanggan dan bakal pelanggan.?

Saya menggunakan Samsung Galaxy Tab yang sentiasa berada di sisi semasa menjahit. Sambil menjahit sambil menjawab message yang masuk. Kadang-kadanga dibiarkan dahulu ketika asyik menjahit. Menjawabnya kemudian. Message dan sms lah  paling cepat dijawab. Begitu juga panggilan telefon.
Jika email dan pertanyaan melalui komen biasanya lambat sedikit kerana saya lebih selesa menjawabnya melalui desktop computer.

Rancangan saya untuk menguruskan masa dengan lebih baik.

  • Mempunyai perancangan kerja yang lebih teratur dan sistematik. Pengurusan yang lebih baik.  Saya mesti mematuhi apa yang saya tetapkan. Misalnya merekodkan setiap tempahan yang diterima dan setkan deadline untuk menyiapkannnya. Memberi keutamaan kepada yang utama.
  • Perlu juga  ada strategi yang lebih baik ketika berlaku perkara  yang diluar jangka seperti mesin rosak, anak-anak sakit dan lain-lain.  Saya sudah mempunyai rangkaian tukang jahit yang sudi membantu. 
  • Mengajar anak-anak mengurus diri mereka sendiri dari bangun pagi, membuat persiapan ke sekolah, membasuh hingga  menseterika baju sendiri. Kalau saya sendiri yang buat memang banyak masa dihabiskan. 
  • Anak-anak pula dihantar di sekolah yang berdekatan supaya lebih mudah untuk mengurus. Biarlah bayar sedikit tetapi tidak banyak masa dihabiskan untuk mengambil dan menghantar.
  • Menyusun semula dan membuat kemasan  barangan menjahit,  fabrik  dari pelanggan  dan lain-lain  dengan lebih teratur supaya tidak banyak masa habis mencari barangan yang hilang. Kadang-kadang gunting tak tahu letak ke mana, benang yang dikehendaki puas dicari. Rasanya macam letak di sini tadi tetapi cari tak jumpa. Kalau ini berlaku memang banyak masa dihabiskan hanya semata-mata mencari.  Perlu praktis 5S.
  • Menyediakan keperluan menjahit yang mencukupi. Tidak perlu berulang-alik ke kedai untuk membeli.
  •   Mengurangkan masa-masa yang  tidak produktif. Misalnya tidak perlu mengambil masa yang lama untuk  memasak. Masak yang ringkas-ringkas pun dah cukup.  Begitu juga makan malam. Untuk masak menu special tunggu sahaja hari minggu.  Untuk urusan mengemas rumah perlu juga meminta bantuan anak-anak dan suami. Kena agih kan tugas. Buat sama-sama. 
  • Mengurangkan masa di depan komputer dan TV.  Jangan sampai terlekat depan TV tengok drama melayu atau cerita Hindustan. Lihat sekadar menghilangkan stress.
  • Mengguna mesin jahit berkapasiti tinggi. Semestinya mesin jahit industri.
  • Mengguna internet yang berkelajuan tinggi. Pada masa ini saya mengguna talian unifi.
  • Jika ada urusan pos, perlu ada pembantu. Biasanya suami akan membantu.
  • Menjaga kesihatan. Kalau sakit banyak aktiviti tidak dapat dijalankan.
  • Tidak berjanji dengan sewenang-wenangnya ketika menerima tempahan baru.   Tak siap susah hati nak menjawab. Mengganggu tugasan yang lain.

Begitulah rutin seharian ku di hari-hari yang sibuk  sebagai suri rumahtangga dan juga  sebagai seorang yang bekerja sendiri dari rumah. Rutin yang tidak dapat dielakkan. Inilah kehidupan yang memaknakan hidup ku ini sehingga kini. Di masa hadapan rutin ini akan berubah lagi.   Bekerja sendiri di rumah jadualnya sangat padat tetapi fleksibel . Kita sendiri yang menentukannya.

Adakah ada saya menceritakan bila pula masa saya menulis blog?

Saturday 4 January 2014

Kuliah Ustazah Norhafizah Musa Di Surau An-Nur

Pagi ini saya ke Surau An-Nur, Bandar Baru Bangi menghadiri kuliah ilmu yang diadakan setiap minggu khas untuk muslimat. Lari sekejap dari aktiviti menjahit untuk menambah ilmu di dada. Penceramah jemputan adalah Ustazah Norhafizah Musa yang popular di TV9 dalam rancangan Tanyalah Ustazah.

Saya kongsikan doa yang disampaikan oleh ustazah untuk manfaat kita bersama.


Doa dari ustazah.

Pelbagai Fesyen Baju Kurung, Dress & Jubah

Masuk tahun baru, mestilah semuanya nak serba baru. Kalau anak-anak sekolah semuanya berpakaian baru. Ibu-ibu juga tidak ketinggalan dengan pakaian baru.

Bonus baru dapat, gaji pun akan naik lagi. Apa salahnya belanja sedikit untuk berpakaian dengan fesyen baju terkini. Malu lah kat kawan-kawan bila pergi kerja, pakai baju yang sama sahaja. Memang lah kawan-kawan tak kata apa-apa. Tetapi perasaan sendiri yang merasa tidak senang seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena.

Pakaian melambangkan imej, peribadi dan personaliti kita. Sekurang-kurang dilihat daripada luaran. Bukannya niat nak melaram. Pakaian yang kemas dan bersih melambangkan diri kita yang sukakan kebersihan. Berpakaian sopan ketika bekerja seperti memakai baju kurung dan jubah menyerlahkan imej kita yang mementingkan kesopanan dan mengikut syariat.

Dengan memakai pakaian dengan fesyen terkini pula menunjukkan kita mengikuti perkembangan fesyen. Walaupun berfesyen tetapi tetap sopan dan menutup aurat. Lagi pun akan nampak cantik dan berkarisma.

Pakaian tak semestinya perlu mahal tetapi sederhana sahaja sudah cukup untuk menyerlahkan imej kita. Pakaian yang kemas dan selesa akan menambah keyakinan kita untuk bergaul. Tidak ada lagi keraguan dihati tentang pakaian.

Apabila kita selesa dan yakin barulah bersemangat untuk melakukan kerja. Makin bersemangat bekerja makin bertambahlah produktivi syarikat. Keuntungan syarikat pun makin meningkat. Nanti boleh dapat bonus lagi. Boleh tempah baju lain pula. Biar sekali lagi dengan package tudung pula.

“I love new clothes. If everyone could just wear new clothes everyday, I reckon depression wouldn’t exist anymore.”  ― Sophie Kinsella

"Saya menyukai pakaian baru. Jika setiap orang boleh sahaja memakai pakaian baru setiap hari, Saya merasakan kemurungan tidak akan wujud lagi" - Sophie Kinsella, Penulis Novel.

Nikmati Beberapa Fesyen Baju Kurung, Dress & Jubah Pilihan Pelanggan.

Baju Mini Kurung Moden



Baju Mini Kurung Dengan Sulaman Lace.



Baju Kurung Pesak.




Dress & Jubah








Thursday 2 January 2014

Menjahit Boleh Mengurangkan Stress?

Menjahit Boleh Membantu Mengurangkan Stress.



Mengejutkan! Kajian klinikal oleh Home Sewing & Craft Association Amerika (HSA) mendedahkan bahawa wanita-wanita yang menjahit sama ada yang mahir atau yang baru mengalami penurunan yang significant pada kadar denyutan nadi, tekanan darah dan juga kadar perpeluhan berbanding wanita-wanita yang terlibat dalam aktiviti-aktiviti masa lapang yang lain.

Kadar denyutan nadi, tekanan darah dan kadar perpeluhan adalah antara tiga faktor utama dalam pengukuran stress. Hasil Kajian yang didapati  menunjukkan bahawa menjahit boleh membantu wanita-wanita untuk merasa relax ketika memberi fokus kepada  aktiviti kreatif menjahit.

Memang seronok kerja sebagai tukang jahit. Goyang kaki boleh dapat duit. Tambahan pula kalau mesin jahit jenis manual. Lagi banyak perlu goyang kaki.

Membaca artikel di atas tentu berita mengembirakan bagi tukang jahit tetapi hakikatnya siapa yang tahu.
Bagi sesiapa yang tidak pernah menjadikan kerja menjahit sebagai suatu karier tentu tidak memahami keadaan sebenar bagaimana tukang jahit perlu mengalami pelbagai keadaan dan cabaran yang boleh menyebabkan stress ketika menghadapi pelbagai karenah pelanggan.

Kadang-kadang terasa sekali tekanannya sehingga terfikir tidak lagi mahu mengambil tempahan menjahit. Lebih baik menjahit untuk produk sendiri sahaja. Oleh kerana menjahit sudah menjadi darah daging perasaan itu perlu diketepikan dan menganggap itu adalah asam garam dalam mana-mana dunia bisnes sekalipun. Menjahit perlukan kesabaran dan keseronokan. InsyaAllah ianya akan menjadi suatu hobi dan bisnes yang menyeronokkan.

Ini berbeza jika menjahit sekadar mengisi masa lapang untuk keseronokan diri sendiri sahaja. Artikel di atas mungkin sesuai untuk menjahit sebegini di mana kreativit yang kita tumpahkan kepada menjahit menjadikan kita merasa tenang dan puas dan dapat mengurang stress.

Stress seperti disebut sebagai tekanan perasaan, ketegangan, panik, perasaan gemuruh, murung dan sebagainya adalah normal kepada manusia. Kita memang tidak boleh lari dari stress.

Stress mesti diurus supaya dapat merangsang kita lebih kreatif, berhati-hati dan menempa kejayaan dalam kerjaya dan hidup kita.

Stress yang gagal diurus akan menghasilkan perasaan seperi letih, pening, sakit badan, mudah lupa, hilag tumpuan, risau, bimbang, hilang sabar, sensitif sehinggakan kadang-kadang terbawa-terbawa ke dalam mimpi. Mimpi menjahit baju.

Sebagai tukang jahit, saya sendiri tidak boleh lari dari stress. Keadaan-keadaan yang boleh mendatangkan stress seperti:

  • Komplen dari pelanggan seperti baju ketat, baju besar, baju tak ikut saiz dan lain-lain.
  • Silap potong kain. Kalau dah silap potong hanya ada dua pilihan sahaja. bayar ganti rugi atau pergi ke kedai cari kain ganti. Memang stress macam mana nak beritahu pelanggan. Kalau nak ganti kain di mana pula nak cari ganti. Bukan semua kain mudah dicari. Ada sesetengah dibeli di Indonesia. Rasa macam nak menangis.
  • Bila sampai deadline perlu siapkan baju pelanggan tetapi belum juga siap. Kain pun belum potong. Keadaan lebih meruncingkan jika pelanggan perlukan baju itu pada masa itu juga. Tak boleh tangguh seperti pada Hari Raya. Boleh lari malam kalau macam ni.
  • Mesin rosak di kala kita memerlukannya untuk menjahit baju urgent. Memang berpeluh, marah dan macam-macam perasaan akan timbul. Nak panggil technician, tidak boleh datang pula pada masa itu. Pelanggan asyik call tanya bila baju boleh siap.
  • Baju rosak seperti kena gunting, koyak dan macam-macam lagi yang berlaku. Ada kala baju dah siap, tinggal nak seterika sahaja. Tiba-tiba semasa sedang seterika, baju pula terbakar kerana terlalu panas.

Bagaimana Saya Mengurangkan Stress?

Saya sentiasa cuba menjadikan kerjaya ini sesuatu yang menyeronokkan. Motivasi yang paling kuat adalah pendapatan dari hasil menjahit. Berbanding kerjaya yang lain, menjahit dengan bekerja sendiri dan di rumah pula, pendapatannya juga setanding dengan kerjaya yang lain.

Antara perkara-perkara yang sering saya lakukan adalah seperti:

  • Menjaga kesihatan. Sekarang saya mula makan suplemen yang mahal untuk menjaga kesihatan.
  • Menerima apa sahaja komplen pelanggan dengan hati terbuka dan cuba menyelesaikannya dengan secepat mungkin
  • Mengatakan tidak jika memang saya tidak tahu atau tidak mampu menjahit seperti fesyen yang diminta oleh pelanggan.
  • Cuba memberi tempoh lebih lama untuk menyiapkan tempahan. Jika tempahan yang mudah boleh lah siap cepat. Sekarang tempahan untuk hari raya ini dah ada yang booking. Mungkin terpaksa  tutup tempahan lebih awal pada kali ini.
  • Mempunyai technician yang mudah berurusan. Technician yang saya ada sekarang memang mudah untuk berurusan. Mudah datang bila dipanggil. Kadang-kadang datang untuk baiki yang mudah-mudah sahaja tidak dikenakan sebarang bayaran.
  • Sentiasa merasa gembira dengan aktiviti menjahit yang dilakukan. Merasa seronok dan bangga melihat hasil jahitan sendiri.
  • Mengubahsuai kedudukan mesin jahit. Sekejap ubah ke kanan, sekejap ke kiri. Sekejap di luar bilik. sekejap di ruang tamu. Kalau dah jemu, tukar lagi. Semuanya untuk menghasil suasana yang baru dan ceria.
  • Kecerahan bilik sentiasa dijaga supaya tidak sampai terlalu gelap sehingga menimbulkan mood yang tidak baik. Saya juga memasang lampu kecil pada kedudukan atas jarum mesin jahit supaya mendapat kecerahan yang mencukupi.




  • Kerusi mesin jahit yang sesuai, tidak terlalu rendah dan tidak terlalu tinggi. Saya pernah guna kerusi yang mempunyai roda supaya senang bergerak dari satu mesin ke mesin yang lain. Akhirnya saya terpaksa tukar kerana benang masuk dalam roda sehingga roda tak berputar lagi.
  • Mengguna meja yang sesuai dengan lebar dan ketinggian yang sesuai. Dahulunya saya gunting di atas lantai terutamanya untuk gunting jubah kerana kainnya yang panjang tetapi sekarang saya dah ada meja memotong kain yang sesuai dan tak perlu lagi potong kain di atas lantai.
  • Jika merasa bosan menjahit saya berhenti sekejap, pergi memasak, tengok TV atau tidur sekejap. Untuk menghilang bosan saya juga ada radio kecil yang sentiasa menjadi teman semasa sunyi. Boleh juga sambil menjahit sambil melayan lagu-lagu retro.
  • Waktu lapang keluar jalan-jalan cari makan di sekitar Bangi. Kadang-kadang melakukan riadah di Tasik Cempaka sambil bermain badminton atau jogging.
  • Yang paling seronok apabila menerima duit dari pelanggan. Terus hilang stress terutama di saat amat-amat memerlukannya

Stress adalah dalam normal dalam kehidupan manusia. Jika kita pandai mengurus stress ia akan menjadi perangsang kepada kita untuk menempa kejayaan yang gemilang. Menyukai apa yang kita lakukan akan menjadi kita lebih kreatif. Minat dan kreativiti dapat mengurangkan stress. Menjahit adalah salah satu yang boleh mengurangkan stress seperti mana kajian di atas.

Tidak semestinya menjahit sahaja tetapi juga melakukan perkara-perkara lain dengan penuh minat dan kreatif seperti memasak, mengemas rumah, menyapu daun kering di halaman rumah, melukis, melipat baju dan lain-lain juga boleh mengurangkan stress.

Kalau minat menjahit dah ada bolehlah belajar menjahit untuk mengurangkan stress. Kelas menjahit tudung masih dibuka.

Nash Fesyen Syarikat Berdaftar Dengan SSM

Merujuk kepada laman web SSM di: http://www.ssm.com.my/acts/fscommand/a0197s0005.htm

"Mengikut seksyen 5(1) Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 - Orang yang bertanggungjawab bagi suatu perniagaan hendaklah, tidak lewat dari tiga puluh hari dari tarikh permulaan perniagaan itu, memohon kepada Pendaftar bagi pendaftaran perniagaan itu."

Nash Fesyen adalah syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dengan nama Nash Fesyen Enterprise. Nombor Pendaftaran adalah 002264612-T.


Berurusanlah Dengan Kami Tanpa Merasa Ragu-Ragu. Terima Kasih Kepada Semua Yang Memberi Sokongan. 

Monday 30 December 2013

Melihat Semula Blog & Perancangan Masa Depan


Bila membaca semula post di dalam blog ini membuat saya tersenyum sendiri. Berkongsi pelbagai artikel, panduan dan lain-lain yang ada juga bersifat personal. Kadang-kadang saya bertanya kepada diri sendiri. Betulkah apa yang aku tulis ini? Semuanya datang secara spontan.

Pada mulanya blog ini dibangunkan bertujuan untuk menceritakan tentang keluarga dan aktiviti berkaitan hobi jahit-menjahit sahaja sepertimana banyak blog-blog yang lain yang menceritakan hal keluarga masing-masing. Ini boleh dilihat dalam post-post saya yang awal.

Tidak sangka pula apabila saya postkan panduan menjahit tudung chiffon 3 layer , terus sahaja mendapat perhatian. Menjadi post yang paling popular dalam blog ini sehingga mendapat banyak pertanyaan. Dari situlah saya mula menawarkan servis menjahit tudung secara online dan akhirnya membuka kelas menjahit tudung. Dari situ juga munculnya bermacam-macam idea untuk menulis blog dan membuka kedai online sendiri di www.nashfesyen.com.

Pada peringkat awal saya membuat promosi servis menjahit melalui mudah.com dan majalah.com. Promosi lebih tertumpu kepada servis menjahit tepi tudung dan shawl serta menjahit pakaian wanita tidak termasuk menjahit tudung. Disebabkan syarat yang diletakkan oleh mudah.com dan majalah.com yang begitu terhad di mana pengiklan tidak boleh mengiklan produk setiap hari dan perlu menunggu lama untuk mengiklan produk atau servis seterusnya timbullah idea untuk belajar membuat blog melalui platform blogspot.

Peringkat awal blog tidak ramai pengunjung dan terasa seperti syok sendiri sahaja. Dengan panduan melalui google dan panduan daripada beberapa blog tertentu barulah saya belajar bagaimana kaedah untuk menarik pengunjung ke blog dan blog ini perlahan-lahan mula menerima pengunjung.

Pada masa ini saya tidak lagi terlalu bergantung kepada mudah.com dan majalah.com untuk mempromosi servis yang saya lakukan.

 Apa Yang Saya Dapat Daripada Blog Ini? 

  • Memperolehi pendapatan melalui servis yang saya lakukan dan dari jualan produk melalui kedai online yang saya bangunkan.
  • Membuat promosi tentang servis yang saya lakukan. Tidak lagi terlalu bergantung kepada laman pengiklanan yang lain. Saya bebas mengiklankan produk saya sebanyak mana yang saya suka tanpada ada limit. Inilah cara marketing yang paling mudah dan murah. Platform blogspot adalah percuma. 
  • Berkongsi pengalaman dan idea dengan pengunjung-pengunjung yang lain.
  • Dapat membina kredibiliti. Sekurang-kurangnya dengan tulisan-tulisan saya boleh menunjukkan saya tahu apa yang saya lakukan dan pembaca blog ini tahu apakah kepakaran saya. Apa yang saya kongsikan diharapkan menjadi maklumat yang berguna kepada pembaca dan dapat menyelesaikan masalah-masalah yang mungkin dihadapi melalui blog ini. Dan harapan saya juga blog ini boleh menjadi rujukan kepada sesiapa sahaja yang terlibat dalam bisnes seperti yang saya lakukan.
  • Dengan bloglah, saya merasakan saya lebih mesra dengan pengunjung yang datang. Saya cuba mengguna gaya penulisan seperti yang ada sekarang supaya tidak terlalu serius. Kebanyakan tulisan adalah datang dari hati saya yang ikhlas berdasarkan pengalaman seharian yang telah saya lalui. Sekurang-kurangnya saya mencuba dahulu sebelum saya berkongsi dengan pengunjung lain. 
  • Blog ini menjadi saluran maklumat antara saya dengan pengunjung. Apa-apa yang saya lakukan saya berkongsi dengan pengunjung. Dengan memaparkan hasil jahitan dan pengalaman saya termasuk gambar keluarga, nombor telefon, lokasi rumah menunjukkan saya betul-betul wujud dan serius dan pengunjung lebih mempercayai bisnes yang saya lakukan. Siapa pun boleh menghubungi saya malahan datang ke rumah saya pada bila-bila masa jika saya ada dirumah.
  • Dengan blog ini juga saya mula membina peminat dan pelanggan saya sendiri sama ada melalui facebook dan google+ dan sebagainya.
  • Blog ini juga menjadi kedai online saya di mana saya boleh gunakan untuk memasarkan produk saya sendiri.
  • Artikel yang terkumpul melalui blog ini akan kekal selagi saya tidak memadamnya atau dirosakkan/hack oleh orang lain atau jika google tidak meneruskan lagi platform blogspot ini. Artikel dan panduan di blog ini boleh menjadi sumber rujukan untuk hari ini dan masa hadapan.
  • Mendapat ilmu-ilmu baru khususnya berkaitan blogging, bisnes internet dan ilmu berkaitan grafik.
Pencapaian Sepanjang Berblog Selama Enam Bulan

  • Sudah 100 entri termasuk entri ini sudah dipost di blog Nash Fesyen dalam tempoh 6 bulan blog ini wujud. 
  • Mempunyai 10 panduan untuk pengunjung termasuk 3 panduan membuat tudung dan 1 panduan membuat shawl. 
  • Menghasilkan 1 ebook panduan menjahit tudung.
  • Membina kedai online mengguna sistem Zen Cart
  • Mengumpul 327 like untuk facebook page Nash Fesyen sehingga hari ini.
  • Mengumpul 62 follower untuk google plus sehingga hari ini. 
  • Mendapat tambahan friend sekurang-kurang 5 – 10 friends setiap hari untuk facebook saya sendiri. Kebanyakan yang add sebagai friend adalah untuk bertanya produk atau servis yang saya lakukan.
  • Mendapat penarafan Page Rank (PR) pada skala 2 dari google.
  • Mendapat ranking Alexa di bawah 1.5 juta pada peringkat global dan di bawah 20,000 untuk peringkat Malaysia.
  • Kebanyakan keyword untuk servis yang saya lakukan adalah pada page pertama carian pada google.
  • Mempunyai kawan bukan sahaja secara on line tetapi juga secara offline yang datang hampir setiap untuk mendapat servis yang saya sediakan.
  • Menjana pendapatan yang agak konsisten terutamanya pada akhir-akhir ini sekurang-kurangnya pendapatan sehari saya sudah mampu membayar bil bulanan unifi. 
  • Membina rangkaian dengan tukang jahit yang lain yang saling membantu antara satu sama lain. 
Perancangan 2014
  • Menambah lebih banyak produk sendiri di kedai online Nash Fesyen yang selama ini semacam diabaikan kerana memberi prioriti kepada tempahan menjahit daripada pelanggan yang tak pernah putus-putus. Perancangan awal juga akan dilakukan untuk memenuhi keperluan Hari Raya Aidil Fitri yang akan menjelang tidak lama lagi. 
  • Memperbaiki dari segi rekabentuk blog ini supaya lebih mesra pengunjung. Mungkin mencuba dengan layout yang lebih menarik. 
  • Menambah beberapa lagi panduan menjahit tudung untuk rujukan pengunjung. - Membuat beberapa lagi ebook berkaitan panduan menjahit.
  • Mempelajari ilmu-ilmu berkaitan SEO dan ‘graphic editing’ supaya gambar-gambar yang dipaparkan lebih menarik.
  • Menggunakan google + sebagai platform untuk mempromosi bisnes. Saya melihat google + sebagai platform bisnes yang tidak boleh diabaikan.
  • Memperkemaskan lagi page facebook Nash Fesyen dengan pelbagai perkongsian menarik. - Mengguna twitter, instagram, pinterest, linkedIn sebagai medium social untuk mempromosi bisnes saya. 
  • Mengikuti kursus-kursus berkaitan usahawan.
  • Meningkat ilmu berkaitan usahawan internet.
Perancangan Jangkamasa Panjang
  • Menjadi usahawan berjaya.
  • Mempopularkan jenama Nash Fesyen sehingga menjadi bualan ramai.
  • Membuka butik sendiri.
Untuk Mencapainya Saya Perlu:
  • Merasa yakin dan bangga dengan apa yang saya lakukan.
  • Bekerja keras untuk menjadikan usaha yang dilakukan adalah yang terbaik bukan sekadar hobi di masa lapang.
  • Konsisten dengan usaha yang dilakukan.
  • Bermotivasi tinggi.
  • Mengkaji pencapaian dan membuat analisis dari masa ke semasa.
  • Berinteraksi dengan pelanggan dan pengunjung sebaik mungkin. 
  • Mengenali lebih ramai pelanggan.
Apa yang saya gariskan di sini atas bukanlah untuk syok sendiri atau nak menunjuk-nunjuk tetapi untuk muhasabah diri dan MENCABAR DIRI SAYA SENDIRI sebagai pemangkin untuk berjaya dan saya sentiasa berdoa semoga apa yang saya lakukan diberkati oleh Allah s.w.t.

Sunday 29 December 2013

Jahit Baju Sekolah dan Tudung Sekolah Soft Awning





Deadline untuk menjahit baju sekolah dan tudung sekolah semakin hampir. Mesti siap sebelum 1 Januari. Kali ini tempahan dari pelanggan adalah dalam bentuk package baju sekolah, tudung dan juga jahit lencana sekolah.

Persediaan anak-anak sekolah mestilah dipenuhi sebelum sekolah dibuka. Dari pakaian sekolah, beg, buku tulis, alatulis dan pelbagai yuran memerlukan perbelanjaan yang besar. Kalau anak ramai dari pra sekolah sehinggalah sekolah menengah bukan sedikit belanja yang perlu dikeluarkan.

Semuanya demi anak-anak dengan harapan akan berjaya dengan cemerlang.

Kebiasaan pakaian sekolah dan tudung, ibu lah yang membuat pilihan. Kalau boleh biarlah pakaian yang dipakai selesa dan boleh dipakai sehingga habis setahun. Tak perlu keluar belanja lebih.

Tudung pula yang paling senang diurus untuk anak-anak terutama yang bersekolah darjah 1 hingga 4. Darjah 5 dan 6 dah boleh urus sendiri. Mesti mudah dipakai, cepat dan segera. Kalau boleh biarlah anak boleh memakai sendiri tudung walau dimanapun sama ada di rumah atau di sekolah terutamanya ketika hendak bersolat.

Kalau dulu tudung susah dibentuk di bahagian kepala dan nampak mengelebeh sehingga menyebabkan rasa tak yakin nak pergi sekolah. Takut ada kawan-kawan yang perli.  Perasaan itu sentiasa wujud dan rasa tidak selesa. Untuk membentuk tudung pula mengambil masa yang lama terutama selepas mengambil air sembahyang. Ibu di rumah lebih merasa susah hati. Bolehkah anak aku ini mengurus diri sendiri?

Seharian anak di sekolah, bersukan, perhimpunan dan lain-lain aktiviti memerlukan tudung yang sesuai.

Oleh sebab itu pilihan tudung sekolah berawning adalah yang paling tepat. Oleh sebab itulah tudung soft awning putih banyak mendapat tempahan pada kali ini.

Material adalah dari jenis kain lycra yang selesa, mudah dipakai, sejuk, lembut, menyerap peluh, tahan panas dan tak merasa rimas. Bila memakai tudung terletak elok di kepala. mudah dicuci dan tahan lasak. Awning pula terbentuk cantik, tak mudah kemek, patah dan boleh dibasuh menggunakan  mesin basuh.

Apabila semua keperluan sekolah dah selesai bolehlah nasihatkan anak-anak.

Baju dah ada, tudung pun Cik Ros dah siap jahit, beg sekolah dah beli. Kenalah belajar rajin-rajin.Tahun ni nak ambil periksa. Jangan dok sibuk lagi dengan face book, berhenti tengok cerita korea, tengok k-pop. Soalan periksa bukan nak keluar cerita korea. Tahun depan semua kena STOP. Mesti lulus cemerlang. Rajin-rajin baca buku. Hafaz quran. Tengok anak-anak orang lain. Beg sekolah pun tak mampu beli. 

Selepas itu tengok respon anak-anak. 

Post Utama

Kedai Online Nash Fesyen

Post Paling Popular

HAKCIPTA TERPELIHARA NASH FESYEN 2018