Masa menunjukkan 6.15 pagi. Perlu bangunkan anak-anak untuk ke sekolah. Bukan senang nak bangunkan anak yang sedap tidur. Terpaksa memanggil beberapa kali baru nak bangun. Anak yang darjah enam bersekolah di Sekolah Kebangsaan Jalan Empat, Bandar Baru Bangi. Sudah ada kesedaran dan boleh bangun sendiri. Sudah tahu menyiapkan diri sendiri. Bangun tidur, mandi, makan, salam dan cium terus keluar rumah menunggu bas di tepi jalan untuk ke sekolah. Semua diurus sendiri. Tepat pukul 7.45 pagi bas sekolah datang ambil. Sebelum pergi selalu tak pernah lupa minta duit poket sekolah.
Anak yang sekolah menengah tinggal di asrama. Itu tak perlu difikirkan lagi.
Tinggal dua orang anak lagi yang perlu diuruskan. Sebelum itu perlu mandi dan sembahyang subuh dahulu.
Sekarang anak yang darjah dua pula. Anak yang darjah dua ini mengambil masa sedikit untuk bangun. Pagi bersekolah agama. Jam 8 pagi baru kelas bermula. Sekolah agama tidak berapa jauh dari rumah. Pagi-pagi suami yang hantar. Lebih kurang pukul 7.30 pagi sudah keluar bersama suami yang dalam perjalanan ke tempat kerja. Anak yang darjah dua ini jugas semakin ada kesedaran. Tidak macam dulu-dulu. Bukan main susah lagi nak ke sekolah.
Petang pula perlu pergi ke sekolah Kebangsaan. Darjah dua Juga di Sekolah Jalan Empat. Pergi dengan menaiki bas sekolah. Pukul 12 tengahari perlu menunggu bas di tepi jalan. Terpaksa ibunya hantar dan tunggu sehingga bas datang. Tak boleh harap lagi tunggu seorang diri. Macam-macam boleh berlaku.
Seterusnya anak yang paling kecil. Anak lelaki. Tahun ini sudah berumur lima . Masuk tadika yang jauhnya selang satu lorong sahaja dari rumah. Hantar dengan jalan kaki sahaja. Tidak sampai 10 minit.
Yang paling susah yang inilah nak urus. Memang susah nak bangun. Tak mahu pergi tadika. Puas memujuk. Macam-macam alasan diberi. Mungkin belum ada keseronokan. Dia membahasakan dirinnya sebagai “saya”.
“Saya tak nak pergi sekolah, nanti cikgu marah saya”,. “ Sekolah tak seronok”.
Terpaksa memujuk. Kadang-kadang tak jalan juga.
“Pergi la sekolah, sekolah ramai kawan-kawan. Nanti boleh jumpa Haziq , jumpa Sara” . “Nanti boleh pandai”
Dijawab balik “saya tak nak juga”, “ saya nak duduk rumah”. “ saya tak nak pandai”
Susah juga nak memujuk. Mesti terus mencuba.
“ Nanti kita pergi KLCC, tengok ikan” , “ tidur hotel”
Nampak macam nak berjaya
“Saya nak tidur hotel, nak mandi kolam renang”
OK . Jom kita mandi. Pergi sekolah.
Begitu lah kadang-kadang berlaku. Mungkin tidak betul caranya. Tiada pilihan. Nanti dah beberapa hari lagi mungkin semuanya tak perlu dipujuk lagi.
Siap hantar anak ke sekolah tadika. Jam sudah pukul 8.15 am. Perlu mengambil baju di dalam mesin basuh untuk disidai dan dijemur.
Selesai semua kerja rumah. Jam sudah 8.30 am. Tutup pagar dan pintu rumah.
Pada masa ini lah barulah boleh memulakan aktiviti menjahit, memotong baju atau menjawab message dari bakal pelanggan. Sehinggalah jam menunjukkan pukul 11.00 pagi.
Anak yang sekolah agama balik dari sekolah. Sampai rumah dalam pukul 11.15 pagi. Ada transport yang hantar. Pukul 12 tengahari perlu menunggu bas sekolah pula untuk ke Sekolah Kebangsaan Jalan Empat.
Berhenti pula menjahit pada pukul 11 pagi . Perlu sediakan makan tengahari untuk anak-anak. Anak-anak tak boleh lapar ketika di sekolah.
Kemudian temankan anak yang hendak menaiki bas. Dah selesai perlu mengambil pula anak yang di sekolah tadika tadi.
Sampai di rumah jam menununjukkan pukul 12.20 tengahairi. Masa inilah ada masa untuk sambung semula aktiviti menjahit sehingga pukul 2.00 petang.
Berhenti makan, mandi dan sembahyang zohor. Semua tersusun dengan sendiri.
Pada masa itu juga anak yang darjah enam pulang. Tidak perlu ambil tahu lagi. Dah besar. Carilah makan sendiri. Buat sendiri apa-apa yang perlu. Selalunya ke komputerlah yang di tujunya.
Masa yang paling produktif adalah dari 2.30 petang sehingga lajak ke 5.30 petang. Masa ini digunakan seoptimum mungkin untuk menyiapkan tempahan. Kadang-kadang rasa mengantuk, baring-baring sekejap.
Pukul 5.30 petang berhenti menjahit untuk sembahyang asar. Pada masa ini juga ramai tetamu dan pelanggan mengambil peluang untuk datang. Selepas balik kerja tentulah masa yang sesuai untuk singgah. Kadang-kadang tumpu ke malam.
Kalau tiada siapa yang datang keluar sekejap dari rumah mengambil udara di luar rumah. Berbual dengan jiran-jiran . Kadang-kadang ke kedai berdekatan atau ke gerai-gerai di tepi jalan untuk mencari makan atau apa-apa yang perlu. Suami pulang. Anak pun pulang semua berada di rumah semula.
Selepas maghrib rehat sekejap dan seterusnya menyambung semula kerja menjahit sehinggalah puku1 11 malam. Kadang-kadang semasa menjahit berhenti sekejap melihat kerja sekolah anak-anak. Apabila mata sudah mengantuk, tidak ada kuasa lagi untuk sambung menjahit terus berhenti sembahyang dan tidur.
Bila masanya menjawab message dari pelanggan dan bakal pelanggan.?
Saya menggunakan Samsung Galaxy Tab yang sentiasa berada di sisi semasa menjahit. Sambil menjahit sambil menjawab message yang masuk. Kadang-kadanga dibiarkan dahulu ketika asyik menjahit. Menjawabnya kemudian. Message dan sms lah paling cepat dijawab. Begitu juga panggilan telefon.
Jika email dan pertanyaan melalui komen biasanya lambat sedikit kerana saya lebih selesa menjawabnya melalui desktop computer.
Rancangan saya untuk menguruskan masa dengan lebih baik.
- Mempunyai perancangan kerja yang lebih teratur dan sistematik. Pengurusan yang lebih baik. Saya mesti mematuhi apa yang saya tetapkan. Misalnya merekodkan setiap tempahan yang diterima dan setkan deadline untuk menyiapkannnya. Memberi keutamaan kepada yang utama.
- Perlu juga ada strategi yang lebih baik ketika berlaku perkara yang diluar jangka seperti mesin rosak, anak-anak sakit dan lain-lain. Saya sudah mempunyai rangkaian tukang jahit yang sudi membantu.
- Mengajar anak-anak mengurus diri mereka sendiri dari bangun pagi, membuat persiapan ke sekolah, membasuh hingga menseterika baju sendiri. Kalau saya sendiri yang buat memang banyak masa dihabiskan.
- Anak-anak pula dihantar di sekolah yang berdekatan supaya lebih mudah untuk mengurus. Biarlah bayar sedikit tetapi tidak banyak masa dihabiskan untuk mengambil dan menghantar.
- Menyusun semula dan membuat kemasan barangan menjahit, fabrik dari pelanggan dan lain-lain dengan lebih teratur supaya tidak banyak masa habis mencari barangan yang hilang. Kadang-kadang gunting tak tahu letak ke mana, benang yang dikehendaki puas dicari. Rasanya macam letak di sini tadi tetapi cari tak jumpa. Kalau ini berlaku memang banyak masa dihabiskan hanya semata-mata mencari. Perlu praktis 5S.
- Menyediakan keperluan menjahit yang mencukupi. Tidak perlu berulang-alik ke kedai untuk membeli.
- Mengurangkan masa-masa yang tidak produktif. Misalnya tidak perlu mengambil masa yang lama untuk memasak. Masak yang ringkas-ringkas pun dah cukup. Begitu juga makan malam. Untuk masak menu special tunggu sahaja hari minggu. Untuk urusan mengemas rumah perlu juga meminta bantuan anak-anak dan suami. Kena agih kan tugas. Buat sama-sama.
- Mengurangkan masa di depan komputer dan TV. Jangan sampai terlekat depan TV tengok drama melayu atau cerita Hindustan. Lihat sekadar menghilangkan stress.
- Mengguna mesin jahit berkapasiti tinggi. Semestinya mesin jahit industri.
- Mengguna internet yang berkelajuan tinggi. Pada masa ini saya mengguna talian unifi.
- Jika ada urusan pos, perlu ada pembantu. Biasanya suami akan membantu.
- Menjaga kesihatan. Kalau sakit banyak aktiviti tidak dapat dijalankan.
- Tidak berjanji dengan sewenang-wenangnya ketika menerima tempahan baru. Tak siap susah hati nak menjawab. Mengganggu tugasan yang lain.
Begitulah rutin seharian ku di hari-hari yang sibuk sebagai suri rumahtangga dan juga sebagai seorang yang bekerja sendiri dari rumah. Rutin yang tidak dapat dielakkan. Inilah kehidupan yang memaknakan hidup ku ini sehingga kini. Di masa hadapan rutin ini akan berubah lagi. Bekerja sendiri di rumah jadualnya sangat padat tetapi fleksibel . Kita sendiri yang menentukannya.
Adakah ada saya menceritakan bila pula masa saya menulis blog?
No comments:
Post a Comment