Friday, 13 December 2013

Lagi Teknik Jahit Kemasan Piping Pada Shawl

Sebelum ini saya saya ada tunjukkan cara jahit kemasan piping dengan cara melipat 'bias tape'. Boleh lihat pada tutorial yang lepas dengan tajuk Cara Mudah Jahit Piping Pada Shawl Dan Tudung.

Kali ini saya akan tunjukkan satu lagi teknik kemasan piping pada pinggir shawl dengan paparan 'bias tape' kelihatan lebih lebar.

Tutorial yang saya tunjukkan di sini adalah teknik yang saya gunakan mengikut cara saya sendiri. Mungkin setiap tukang jahit mempunyai tekniknya sendiri. Fabrik shawl yang digunakan adalah dari jenis lycra dan 'bias tape' atau lis/kun adalah dari jenis satin yang biasa dijual di kedai alatan menjahit.

1. Sediakan kun/lis/bias tape jenis satin mengikut pilihan warna sendiri. Ada yang suka warna yang berlainan supaya nampak perbezaan dengan warna fabrik selendang.

2. Jahit 'bias tape' pada shawl seperti di bawah untuk lekatkan pada shawl. Jahitan adalah di sebelah belakang shawl.


3. Jahit baris pertama 'bias tape' seperti gambar di bawah pada sebelah depan shawl.


4. Jahit baris kedua 'bias tape'  seperti gambar di bawah.


5. Inilah hasil kemasan piping yang diperolehi.


Jahitan di bahagian belakang.


SELAMAT MENCUBA

Thursday, 12 December 2013

Bekerja Sendiri Di Rumah


Siapa tak cemburu melihat kawan atau jiran dengan minyak wangi semerbak, berbaju fesyen cantik dengan tudung twist atau tudung berwarna warni berlayer-layer, berkasut tumit tinggi keluar dari rumah dengan penuh bergaya untuk pergi berkerja.

Dengan berkacamata hitam dan berkereta baru memandu ke tempat kerja tentunya menjadi kebanggaan kepada mereka  yang bekerja makan gaji. Pada waktu malam pula bersama anak-anak makan di luar rumah.

Bila sampai hujung tahun bercerita pula tentang bonus dan kenaikan gaji atau pangkat. Dapat berkursus di hotel-hotel mewah kadang-kadang sehingga keluar negara menambah lagi kecemburuan di kalangan orang yang tidak bekerja makan gaji. Setiap tahun pula pergi ke majlis dinner dan juga ke program hari keluarga syarikat.

Untuk orang yang bekerja sendiri seperti saya tentunya tidak merasai semua itu. Untuk mengurangkan kecemburuan saya, saya juga mempunyai alasan sendiri tentang kelebihan bekerja sendiri dari rumah.

Pendapatan Tanpa Had.

Kadang-kadang sedikit, kadang-kadang banyak. Malahan kadang-kadang boleh melebihi mereka yang makan gaji. Jika makan gaji perlu menungggu sehingga kenaikan gaji untuk mendapat gaji lebih tetapi pendapatan dengan bekerja sendiri boleh memperolehi pendapatan yang tinggi pada bila-bila masa sahaja.

Dapat Jimat Wang. 

  • Jimat petrol. Tak perlu bawa kereta. Kalau keluar pun setakat pergi kedai membeli kain atau kedai alat-alat menjahit
  • Tak perlu sewa pejabat. 
  • Tak perlu membeli pakaian baru kerana pakaian yang ringkas lebih sesuai untuk kerja di rumah.Pakaian yang selesa adalah pakaian yang dipakai di rumah.  Kalau di pejabat perlu memakai pakaian yang berlainan setiap hari. Mesti rasa malu kalau hari-hari pakai pakaian yang sama. Pakaian yang paling selesa adalah pakaian ketika berada di rumah.
  • Takperlu makan diluar. Boleh masak sendiri dan  berkongsi makan bersama anak-anak.
  • Tak perlu hantar anak-anak ke rumah pengasuh. Berapa banyak duit dapat dijimat.

Masa Boleh Dikawal Sendiri. 
Tak perlu tergesa-gesa keluar rumah untuk pergi bekerja. Kemudian tergesa-gesa pula hantar anak-anak ke rumah pengasuh dll. Bila-bila masa sahaja boleh pergi beriadah, shopping, melayari internet, boleh tengok tv pada bila-bila masa sahaja. Kalau letih bekerja boleh baring-baring. Tak payah pergi surau.

Ruang Bekerja Boleh Disusun Ikut Citarasa Sendiri.
Nak susun meja, mesin jahit macam mana pun tak ada siapa yang larang. Boleh kemas bila-bila masa sahaja tanpa perlu ada rakan-rakan yang tegur.

Tiada Politik Pejabat
Tak ada siapa yang cemburu, tiada gosip sana sini. tidak ada cerita jatuh menjatuh, bodek boss dan laini-lain.

Anak-Anak  Membesar Di Depan Mata.
Boleh melihat pembesaran anak-anak. Malahan sentiasa bersama keluarga sepanjang masa.

Waktu Kecemasan
Kecemasan boleh belaku bila-bila masa sahaja seperti keluarga sakit, anak-anak sakit, Anak-anak masuk hospital dan lain-lain. Tak perlu ambil cuti, tak perlu risau kalau perlu jaga anak di hospital. Kalau bekerja sendiri bila-bila masa boleh bergerak ke mana-mana sahaja.

Mengurus Anak-Anak  Dengan Lebih Sempurna.
Anak-anak kadang-kadanag ada aktiviti-aktiviti tambahan di sekolah seperti ko-kurikulm, motivasi, kelas tambahan yang memerlukan balik lambat dari sekolah. kadang-kadanag juga anak-anak tertinggal bas atau van sekolah. Kadang-kadang juga perlu hantar anak tuisyen. Semuanya boleh diurus sendiri jika berada di rumah.

Keluarga Boleh Bantu Dalam Bisnes
Suami dan anak-anak boleh membantu jika ada banyak tempahan seperti packing, lipat baju, seterika baju, menjahit yang mudah dan lain-lain

Dapat Bekerja Sampai Malam
Boleh siapkan tempahan di waktu malam atau bila-bila masa sahaja tanpa perlu pergi semula ke pejabat.

Masak Memasak Sendiri. 
Tak Perlu makan luar. Kalau dahaga boleh pergi ke dapur, tengok apa-apa yang boleh dimakan. Buka peti ais boleh makan dan minum apa sahaja yang ada. Makan banyak pun tak apa. tak ada kawan-kawan yang jeling-jeling

Boleh Memberi Fokus Semasa Bekerja.
Tiada gangguan. Kalau ada pun hanya dari anak-anak. Anak-anak saya pun dah besar. Biasanya mereka tidak peduli lagi apa yang saya lakukan.

Tak Banyak Masa Dihabiskan Dalam Perjalanan
Masa yang paling banyak habis adalah masa memandu pergi dan balik ke tempat kerja.Kalau jauh mungkin pergi sahaja sudah 1 jam. begitu juga dengan masa balik. Kalau trafik jem berjam-jamlah dalam perjalanan tanpa mebuat apa-apa.

Jadi Bos Sendiri.
Saya boleh namakan sahaja apa-apa jawatan yang saya nak, Pengarah Urusan, Pengarah atau apa-apa sahaja. Tak perlu nak tunggu naik pangkat.

Tak Perlu Rasa Bersalah Mengguna Masa Pejabat Atau Peralatan Pejabat
Tentunya rasa bersalah kalau mengguna waktu pejabat atau peralatan pejabat untuk kegunaan peribadi atau bisnes. Nak tengok facebook, blog, mengguna telefon, pensil, pen dan sebagainya semuanya adalah hak sendiri.

Tak Perlu Ada Perasaan Risau Tinggalkan Anak Kepada Pengasuh Atau Pembantu Rumah
Kadang-kadang ada perasaan risau dan tertanya-tanya selamatkah anak di bawah jagaan orang lain.

Saudara Mara & Tetamu Boleh Datang Bila-Bila Masa Sahaja.
Call sahaja, anytime boleh datang sebab selalu ada di rumah. Saudara mara pun suka.

Boleh Mewarisi Bisnes Kepada Anak-Anak. 
Anak-anak boleh bantu membantu kerana setiap orang mempunyai kepakaran masing-masing.

Kerja Sendiri Lebih Kreatif Dan Boleh Mencuba.
Kalau di pejabat belum tentu idea yang kreatif dapat dilaksanakan.

Bonus
Bonus bagi saya adalah apabila pendapatan saya melebihi pendapatan yang saya targetkan setiap bulan. Kalau pendapatan untuk setiap bulan tinggi, tiap-tiap bulanlah saya dapat bonus.

Bekerja sendiri atau makan gaji tetap ada kelebihan masing-masing. Kalau tak ada yang bekerja makan gaji siapa yang nak dapatkan servis daripada saya. Tentunya yang makan gaji dan ada pendapatan. Kalau kita malas tidak ada apa-apa yang dapat kita lakukan.

Wednesday, 11 December 2013

Jahit Manik

Permintaan pelanggan kadang-kadang sukar ditolak. Ada yang minta jahit sulam, kerawang, lace, labuci, kristal dan bermacam-macam perincian yang lain pada baju dan tudung.

Jahitan manik pada baju antara yang mendapat pertanyaan.  Untuk tidak menghampakan permintaan pelanggan kadang-kadang saya menerima juga tempahan pelanggan untuk baju dengan jahitan manik. Paling sukar dalam jahitan manik dan seumpama dengannya adalah memuaskan hati pelanggan. Apa yang kita pandang cantik di mata kita mungkin berbeza mengikut pandangan orang lain.

Gambar di bawah adalah sulaman manik yang menghiasi bahagian leher dan lengan baju. Sebenarnya saya tidak menjahit sendiri manik ini tetapi dijahit oleh pembantu saya. Saya terlalu sibuk untuk tempahan baju, tudung dan shawl.

                baju kurung dengan jahitan manik          manik pada leher baju                                       
                                 
manik pada lengan baju

Kenapa jahitan manik menjadi pilihan dan digilai oleh ramai wanita? 

Sulaman pada manik beserta dengan kilauan yang memukau mata yang memandang mampu menyerlahkan penampilan wanita dan menambah keanggunan pemakainya. Jadi tidak hairanlah ramai yang cuba menjahit manik sendiri dengan berpandukan buku-buku sulaman manik yang banyak terdapat di pasaran dengan pelbagai pattern manik. 

Malahan Itu juga yang membuatkan ramai wanita sanggup berhabis ratusan ringgit untuk menempah sulaman manik pada baju kurung mahupun kebaya mereka.

Jahitan sulaman manik pada pakaian boleh menjadikan pakaian kosong atau plain yang nampak suram tak berseri bertambah menarik dan menawan. Sulaman manik pada pakaian juga mampu menonjol imej mewah lagi eksklufif serta memikat.

Itu juga yang membuatkan ramai wanita sanggup berhabis ratusan ringgit untuk menempah sulaman manik pada baju kurung mahupun kebaya mereka.

Menjahit manik perlu mempunyai kesabaran, ketekunan dan ketelitian terutamanya ketika menyulam benang dan kain pada manik.  Setiap penjahit manik mempunyai teknik masing-masing dengan kreativiti tersendiri. 

Hanya yang mempunyai minat dan kesabaran sahaja mampu menghasilkan sulaman manik yang menarik dan berseni. Kerja remeh dan rumit tetapi hasilnya amat memuaskan. Kalau tidak sabar memang tak menjadi. Tambahan pula kalau suasana sekeliling dengan jeritan anak-anak yang menggangu.

Pemilihan manik, teknik jahitan, gabungan warna dan corak sangat penting agar rekaan nampak cantik selepas sesuatau sulaman manik disiapkan. Padanan warna mampu menimbulkan aura kreatif terutamanya bagi mereka yang meminati rekaan unik pada baju dan sebagainya.

Sulaman manik biasanya dilakukan pada bahagian hujung kain, tengah badan, hujung lengan, di bahagian dada,bahu dan leher.

Kepada yang berminat ingin mendapat tempahan menjahit manik bersama-sama baju bolehlah bertanya dahulu. Jika tidak banyak tempahan pada masa ini bolehlah saya pertimbangkan.

Tuesday, 10 December 2013

Google Page Rank Blog Nash Fesyen

Apabila membaca entri berkaitan dengan Google Page Rank (PR) dan kesannya kepada blog di blog www.hasrulhassan.com, saya tergerak hati untuk check pula berapa Google Page Rank (PR) untuk blog saya. Hasilnya adalah seperti berikut.


Blog saya baru berusia lebih kurang dalam 5½ bulan. Entri saya yang pertama adalah pada 29 Julai 2013 dan alhamdulillah dengan PR 2 dari skala 1-10 merupakan suatu yang baik untuk blog ini.

Ini merupakan satu pengiktirafan daripada google kepada blog ini yang hanya memfokus kepada dunia jahitan, fesyen tudung dan selendang ini yang tentunya trafik ke blog ini tidak tinggi dan menyeluruh seperti blog yang lain yang lebih umum kandungannya.

Kenapa Google Page Rank ini penting dan apa kesannya kepada blog? Inilah yang saya belajar dari entri yang dipostkan oleh Hasrul Hassan di www.hasrulhassan.com. iaitu,

Nilai PR yang bagus menunjukkan bahawa.

  • Blog mempunyai entri-entri berkualiti dan sentiasa dikemas kini
  • Blog secara keseluruhan kurang entri copy-paste.
  • Kandungan blog tidak cedok sumber di sana-sini.
  • Blog mempunyai corak persembahan yang unik dan tersendiri.
Apakah blog saya mempunyai ciri-ciri seperti senarai di atas?  Saya harap begitulah.


Apakah kesan PR kepada blog

  • Blog yang punyai PR yang baik akan membolehkan ia diberikan laluan mudah atau diberi autoriti untuk disenaraikan di enjin carian
  • Blog yang mempunyai blog PR tinggi dianggap mempunyai kredibiliti dan dihormati.

Perlu diketahui jug blog dengan PR yang tinggi tidak semestinya mempunyai ranking trafik yang tinggi.

Bagi saya dapat disenaraikan dalam Page Rank Google sudah cukup baik walaupun dengan PR2. Ia merupakan satu permulaan yang baik kepada saya.

Beberapa servis yang saya jalankan juga sentiasa berada dalam page google dan banyak juga pada page pertama.

Goole sahaja dengan keyword jahit tepi, jahit tepi halus, jahit tepi tudung, jahit tepi selendang, jahit coverstitch, kelas jahit tudung, kelas menjahit tudung, jahit tudung 3 layer, jahit shawl half moon, jahit tudung berdagu dan banyak lagi keyword yang lain, blog saya sentiasa tersenarai di page goole.

Alhamdulillah mungkin rezeki saya pada kali ini. Di masa hadapan belum tentu lagi.

Saya juga berharap blog saya bukan sahaja untuk keuntungan saya tetapi juga dapat membantu yang lain menambah pendapatan sama ada melalui online atau pun offline.

Monday, 9 December 2013

Tudung Soft Awning Plain

Menjahit mengikut kehendak pelanggan terus mendapat sambutan terutamanya untuk tudung lycra berdagu. Ada yang nak labuh. Ada yang nak singkat sedikit. Ada yang nak kaler plain, bercorak dan berbagai lagi.

Pilihan pelanggan kali ini adalah 5 helai tudung plain berdagu soft awning. Tudung adalah dari fabrik lycra dan awning juga dari fabrik lycra. Sedap dipakai, lembut dan sejuk.





Sunday, 8 December 2013

Tudung Lycra Soft Awning

Dari benang menjadi kain. Dari kain menjadi tudung. Tudung adalah dari jenis fabrik lycra. Pilihan diberi kepada pelanggan untuk memilih sama ada untuk membuat tudung berdagu (mempunyai pelapik dagu) atau tanpa berdagu (tiada pelapik dagu) dan juga sama ada untuk jenis awning lembut (soft awning) atau awning keras (hard awning).

Ini memudah pelanggan untuk membuat pilihan sendiri supaya sesuai dengan kehendak dan keselesaan masing-masing. Inilah yang saya postkan dalm entri yang lepas, Tempahan Tudung Labuh Lycra & Cotton Lycra.

Perbezaan antara soft awning dan hard awning adalah soft awning tidak dilapisi dengan pengeras atau bakrum manakala hard awning atau awning keras pula dilapisi dan dijahit dengan pengeras atau bakrum.

Tudung pula dijahit dengan fabrik lycra yang lembut. Walaupun tanpa pengeras awning tersebut boleh terbentuk cantik, kemas, tidak lembik dan tak mudah patah. Pinggiran kain tudung pula dikemaskan dengan menguna jahitan coverstitch (double stitch).

Sesiapa yang berminat dengan tudung lycra labuh ini boleh lihat post saya yang lepas di. mana masih ada lagi fabrik tersedia untuk ditempah.

Jika tidak berkenan dengan fabrik yang saya sediakan boleh bawa kain lycra atau cotton lycra pilihan sendiri. Di Jakel sekarang ada jualan harga junam sempena hujung tahun. Boleh dapatkan kain lycra atau cotton lycra dengan harga murah.

DARI KAIN MENJADI TUDUNG

Tudung di bawah adalah tudung labuh berdagu lycra dengan awning lembut (soft awning).

kain lycra
tudung lycra soft awning

Tudung di bawah adalah tudung labuh berdagu lycra dengan awning keras (hard awning).

kain lycra
tudung lycra hard awning

Friday, 6 December 2013

Kenangan Bercuti Di Kampung Disember 2013

Perjalanan pulang ke kampung dari Bangi lancar dan laju. Begitu juga perjalanan balik. Tidak seperti pulang ke kampung pada aidilfitri yang lepas. Sesak dan perlahan.

Sepanjang perjalanan awan mendung. Sejuk dan tenang. Kadang kala hujan rintik-rintik turun. Dalam perjalanan hanya sekali singgah untuk solat dan makan. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 5 jam.

Hari pertama banyak menghabis masa di kampung. Kampung seperti dahulu juga. Tidak banyak perubahan. Cuma kali ini musim padi menghijau dan hujan setiap hari.

Anak-anak dibiarkan bebas. Bermain dengan sepupu-sepupu dan anak kampung yang lain. Meranduk sawah padi, memancing ikan dan bermain sepanjang hari.

Sebenarnya aku pulang ke kampung suami di Seberang Perai. Kampung ini seperti kampung ku sendiri. Sejak berkahwin aku sudah tinggal di kampung ini hampir 7 tahun. Aku juga mengenali ramai orang kampung. Tinggal berdekatan dengan rumah mertua. Selang beberapa rumah sahaja. Tidak jauh sangat. Kelui pun dengar.

Kampung aku sendiri di Serdang, Kedah hanya singgah sekejap menjenguk adik beradik dan bertanya khabar. Tidak seperti dahulu sewaktu emak dan ayah masih ada. Selalu pulang bermalam.

Hari kedua pula di kampung aku mula berjalan-jalan melawat jiran-jiran  di Sungai Petani. Aku tinggal di Sungai Petani iaitu rumah sendiri hampir 10 tahun. Terlalu banyak jiran-jiran yang bertanya. Bila nak singgah ke rumah?. Minta maaflah. Tak sempat singgah semua. Petang pula aku rumah kakak di Kuala Ketil. Malam baru pulang.

Hari ketiga anak-anak sudah mula bertanya. Bila nak pergi ke Bukit Bendera? Bangun pagi langit cerah. Matahari mempamerkan wajahnya yang manis. Anak-anak makin teruja untuk ke Bukit Bendera. Ingin menaiki keretapi bukit.

Dari rumah ke Bukit Bendera mengambil masa tidak sampai satu jam melalui Jambatan Pulau Pinang. Pengunjung ramai seperti hari-hari lain. Tidak terlalu sesak dan tak menunggu lama untuk mendapat tiket. Sudah lama sebenarnya aku tidak menaiki Bukit Bendera. Sejak 13 tahun yang lalu. Perjalanan lebih selesa kali ini berbanding dahulu. Sekejap sahaja sudah sampai ke puncak.

Cuaca di puncak bukit mendung dan sejuk. Tenang dan mendamaikan. Ada pameran dinasour. Sambil menikmati panorama Pulau Pinang dari puncak bukit, aku masuk juga membawa anak-anak melihat pameran dinasour. Sempat merakam beberapa gambar untuk kenang-kenangan. Bukan senang nak datang. Mungkin bila datang lagi tidak lagi dapat bersama semua anak-anak. Anak-anak bila dah besar nanti tak nak ikut lagi.

Selepas menghabis masa di puncak bukit dan bersolat di masjid puncak bukit, anak-anak sudah mula minta turun untuk mencari makan. Maklum sahaja sudah hampir pukul 2.00 pm. Dah lapar.Perjalanan turun juga lancar. Sampai di kaki bukit terus ke kereta dan menuju ke Penang Road. Mencari-cari kedai makan dan akhirnya singgah di restoran nasi briani Hameediyah. Selepas makan berjalan-jalan pula  di Penang Road. sambil melihat baju dan tudung yang dijual di Penang Road. Anak-anak kemudiannya mengajak ke pasar Chowrasta untuk mencari novel-novel yang dijual murah.

Selepas itu bertolak pula ke Pantai Seagate di Bayan Lepas. Pantai Seagate yang mengadap Pulau Jerjak mendapat gelaran sempena nam kilang Seagate yang berdekatan dengan pantai tersebut. Pada masa dahulu sebelum 1998 kilang Seagate memang terkenal mengambil beribu-ribu pekerja dari segenap kampung di Pulau Pinang, Kedah dan Perak Utara untuk bekerja di situ dengan gaji yang mahal berbanding kilang-kilang yang lain. Ramai yang bekerja di situ. Van-van kilang mengangkut perkerja dari Baling, Sik, Gerik, Batu Kurau, Gunung Semanggol malahan ada yang lebih jauh lagi.  Pantai itu yang menjadi persinggahan gadis-gadis kilang ini bila habis waktu bekerja. Mungkin ramai yang dah berkahwin dan beranak pinak sekarang. Kilang Seagate masih wujud sekarang tetapi pekerjanya tidak lagi seramai dahulu.

Sekarang latarbelakang pantai tersebut kelihatan Jambatan Kedua Pulau Pinang yang memanjang dari Batu Maung ke Batu Kawan. Memang aku bercadang nak melalui Jambatan Kedua ini tetapi belum ada pelunag kerana jambatan ini belum dibuka kepada orang ramai. Singgah di pantai sempat menikmati laksa dan cendol Penang yang penuh satu mangkuk berbanding yang dijual di Bangi.

Pesta Pulau Penang satu lagi tarikan ke Pulau Pinang pada musim cuti sekolah ini. Rancangan asal memang nak singgah ke Pesta Pulau Pinang tetapi oleh sebab masa masih awal dan pesta pula hanya mula dibuka pada pukul 6.30 petang, rancangan ini akhirnya tidak jadi. Anak-anak pula dah mula bosan dan ajak pulang. Akhirnya pulang ke rumah tanpa pergi ke Pesat Pulau Pinang. Bila pulang jalan ke Sungai Nibung iaitu tapak pesta pula jem dan sesak.

Hari ke empat aku lebih banyak menghabis masa di kampung di sebelah pagi. Menikmati keindahan dan kedamaian di kampung.  Pada sebelah petang pulang ke Serdang, Kedah bertanya  khabar adik beradik di sana. Minta maaflah tak sempat nak pergi semua rumah. lain kalilah singgah.

Hari ke lima bertolak pulang semula ke Bangi. Singgah sekejap di Seberang Jaya untuk membeli jeruk madu Pak Ali. Di mana-mana sekarang terdapat kedai menjual jeruk madu Pak Ali. Keluarga Pak Ali dah berjaya mengembang empayar perniagaan jeruk madu secara francais. Katanya bila makan banyak mana pun jeruk Pak Ali ini tidak batuk tidak seperti jeruk yang dahulu.

Aku makan jeruk Pak Ali, batuk juga tetapi tak seteruk batuk-batuk yang dahulu. Ramai juga penjual jeruk yang mengaku saudara mara Pak Ali.

Hari ke lima aku dan keluarga bertolak pulang ke Bangi. Dalam perjalanan sudah ada yang menghantar message. Nak berjumpa. Nampaknya tidak boleh berehat panjang bila sampai di rumah nanti.

Bila balik ke kampung terasa seronok pula untuk  tinggal di kampung. Malahan suami sudah membeli tanah di kampung. Sesuai untuk membuat rumah. Mungkin suatu hari nanti aku akan pulang ke kampung juga Tinggal di kampung yang indah, damai dan permai.

Bisnes menjahit boleh dilakukan di mana-mana. Begitu juga bisnes online.

Beberapa gambar kenangan bercuti di kampung.


Kampung yang indah dan permai dan hujan setiap hari


Mengail puyu dan haruan

Selamat Datang Ke Bukit Bendera

Panorama indah dari puncak bukit



Pameran di puncak bukit.

Mencari makan dan berjalan-jalan di Penang Road

Mencari buku di pasar Chowrasta dan Singgah di Pantai Seagate. Di belakang pula Jambatan Kedua Pulau Pinang. 

Makanan eksotik. Mungkin di tempat lain dipanggil dengan nama yang lain.

siput lala                                         siput pait

mentarang                                      kulat sisir

Post Utama

Kedai Online Nash Fesyen

Post Paling Popular

HAKCIPTA TERPELIHARA NASH FESYEN 2018