Saturday 6 December 2014

Legoland, Johor



Jika tidak kerana permintaan anak-anak saya memang tidak mahu pergi ke Legoland kerana tiketnya yang mahal untuk orang seperti saya. Sudah lama anak-anak mengajak untuk ke Legoland ini dan sering mengulanginya setiap kali cuti sekolah. Mungkin mereka mendengarnya dari kawan-kawan atau sering melihat gambar-gambar Legoland ini di internet atau melalui video Youtube.

Akhirnya saya dan keluarga sampai juga ke Legoland di Johor pada ahad minggu lepas untuk merasai sendiri pengalaman dan keseronokan di Legoland. Walaupun sudah seminggu berlalu tetapi hari ini baru sempat melihat gambar-gambar semasa di sana dek kerana kesibukan dengan aktiviti harian yang tidak akan habis sampai bila-bila.

Saya dan keluarga bertolak dari Bangi ke Johor lebih kurang pukul 9.00 malam pada hari sabtu dan sampai di Johor pada pukul 12 tengah malam.. Agak lewat kerana pada siangnya saya mempunyai kelas menjahit. Hujan di sepanjang perjalanan dan agak lebat dari Bangi sampai ke Melaka dan beransur kurang selepas melintasi sempadan Johor.

Di entri saya tidak berniat untuk berkongsi panduan untuk ke Legoland tetapi lebih kepada berkongsi pemerhatian saya terhadap bisnes Legoland itu sendiri. Keseronokan dan keterujaan anak-anak saya biarlah dipaparkan secara bergambar sahaja.

Legoland Malaysia adalah taman tema Legoland keenam di dunia dan merupakan yang pertama di Asia terletak di Wliayah Iskandar, Nusajaya, Johor. Beberapa pemerhatian saya tentang bisnes Legoland


Tiket Mahal Tetapi Ramai Juga Yang Datang

Legoland sudah dikenali sejak dahulunya dengan permainan legonya. Apabila Lego membuka taman temanya, nama lego sudah menjadi jenama yang sudah melekat di fikiran ramai orang terutamanya kanak-kanak dan juga orang dewasa yang pernah bermainan permainan lego ini semasa kecil dahulu. Jadi ramai yang sanggup mengeluar belanja yang besar untuk merasai pengalam dan melihat sendiri keunikan Legoland.

Tiket untuk dewasa RM140 (12 – 59 tahun) seorang dan kanak-kanak (3-11 tahun) dan warga emas (60 tahun ke atas) RM110 seorang untuk tiket sehari masuk ke Legoland Themed park.

Untuk orang seperti saya memang terasa mahal tambahan pula denga anak lima orang. Dua orang anak saya sahaja yang masuk kategori kanak-kanak.


Bayar Mengguna Kad Maybank Boleh Dapat Diskaun Sehingga 35%

Menjalin kerjasama dengan syarikat yang berpengaruh merupakan satu strategi yang bijak dalam bisnes.

Legoland dan Maybank telah menjalin kerjasama dan secara rasmi menjadi “Retail Bank” kepada Legoland. Strategi yang bijak dan satu kerjasama menang-menang kerana kedua-dua mendapat manfaat. Bayangkan sahaja berapa ramai pemegang akaun Maybank yang boleh menjadi sasaran pemasaran Legoland.

Diskaun 35% diberi kepada pengunjung jika membayar mengguna kad Maybank tetapi terhad untuk 4 orang sahaja untuk satu kad Maybank.


Taman Tema, Taman Air & Hotel Legoland Dengan Bayran Yang Berlainan Untuk Setiap Satu.

Untuk mengembang empayar perniagaan mesti mempelbagaikan sumber pendapatan dengan bisnes yang berlainan tetapi saling berkaitan. Di Legoland Johor terdapat tiga tempat menarik iaitu Hotel Legoland, Taman Tema Air da Teman Tema Permainan. Setiap satu dikenakan harga yang berlainan. Ada package combo dan mendapat diskaun jika masuk ke tempat-tempat tersebut. Kalau nak masuk ketiga-tiga tempat tersebut memang boleh kempis duit poket.

Saya dan keluarga hanya masuk ke Taman Tema Permainan sahaja. Itu pu sudah terasa masa tidak mencukupi. Jika masuk ke Taman Tema Air mungkin saya dan anak-anak tidak dapat merasai ke semua permainan yang terdapat di sana. Tambahan pula anak bila sudah berendam dalam air memang susah hendak keluar.


Pelbagai Produk Berkaitan Legoland Dijual Di Dalam Taman Tema

Menjual produk-produk sampingan yang berkaitan dengan bisnes yang dijalankan adalah sesuatu kesempatan yang baik sewaktu minat dan mood pengunjung masih tinggi dan segar dengan perkara-perkara yang sedang menikmatinya. Terdapat kedai yang menjual set blok lego, t-shirt, DVD, buku, cenderamata dan sebagainya di dalam Taman Tema. Makanan luar juga tidak dibenar di bawa masuk.

Dengan tiket sehari, sepanjang hari berada di dalam Taman Tema mesti akan berbelanja di sana terutama untuk makan dan minum. Anak-anak pula jika Nampak sahaja makanan segera dan air minuman terus lapar walaupun baru sahaja makan di luar tadi. Makanan dan minuman dijual dengan harga yang agak mahal berbanding di luar.




Pelbagai Permainan Dalam Taman Tema

Lego memperkenal konsep “Play & Learn” dan menekankan kepentingan pelajaran melalui permainan. Dengan konsep ini Lego mecipta pelbagai inovasi dalam produknya. Kepelbagaian yang terdapat pada produk lego hari ini adalah hasil dari imaginasi, kreativiti dan eksperimen yang terjana melalui konsep “play & learn” yang diperkenal oleh Lego.

Terdapat 7 tema khas iaitu ‘The Beginning’, ‘Lego Technic’ , ‘Lego City’, ‘Miniland, ‘Lego Kingdom’, ‘Imagination’ dan ‘Land of Adventure’. Setiap tema direka khas supaya sesuai untuk keluarga dan kanak-kanak terutama dari usia tiga hingga 12 tahun. Ada permainan ‘outdoor’ dan ‘indoor’ yang mesti dicuba.

Permaina direka supaya anak-anak dan ibubapa boleh menyertainya bersama. Apabila sudah membayar harga tiket yang mahal akan terasa rugi jika tidak mencuba semua permainan yang terdapat disitu. Barulah terasa berbalui dengan tiket yang dibayar. Terkenang seperti masuk ke ‘funfai’ yang selalu dating ke kampong semasa kecil-kecil dahulu.

Antara yang menarik yang mesti dicuba seperti menaiki roller coaster di Project X Lego Technic dan Lego Kingdom, menonton wayang 4D di Lego Studio, menaiki keretapi mengelilingi Miniland, memandu bot dalam tasik, meyertai racing kereta, memandu kapal terbang, masuk dalam gua harta karun , melihat permandangan sekeliling legoland melalui menara peninjau yang berpusing dan banyak lagi.






Miniland Merupakan Produk Unik di Legoland

Keistimewaan sesuatu bisnes adalah pada keunikan produknya. Dengan ada produk yang unik akan membezakannya dengan pesaiang-pesaing yang lain. Miniland adalah produk yang unik yang terdapat pada Legoland.

Binaan bangunan menggunakan blok-blok lego dengan mengambil tempat-tempat yang menarik dan terkenal di selurtuh dunia adalah satau keistimewaan yang terdapat di Miniland. Antaranya seperti bangunan Taj Mahal, Angkor Watt , Istana Terlarang Maharaja China dan lain-lain. Memang menarik untuk menjamu mata. Struktur-sruktur ini memang unik kerana direka sama seperti bangunan asal.

Disamping itu juga bangunan-bangunan dan tempat menarik di Malysia seperti KLCC, Masjid, KLIA, rumah-rumah mengikut negeri antara yang dibina dengan set blok lego.

Di setiap tempat juga terdapat model-model yang dibina dari blok lego seperti model mini figure, model haiwan, manusia, kereta, dinosaur dan lain-lain menambah keunikan Legoland. Misalnya untuk ke surau model seorang lelaki , perempuan dan kanak-kanak yang berpakaian lengkap dibina dari blok lego.

Saya dan anak-anak suka merakam gambar dengan model-model lego untuk kenangan kerana keunikannya.




Boleh Mencuba Sendiri Membina Model Dengan Blok Lego

Konsep “Play & Learn” Lego memberi peluang kepada kanak-kanak dan orang dewasa untuk mencuba sendiri membina sruktur dan model dari blok-blok lego. Falsafah di sebalik blok-blok legoland adalah “ di mana kita boleh mencuba sendiri membina blok-blok kita sendiri”. Panduan lengkap dan tutorial diberikan supaya mudah diikuti. Secara tidal langsung Lego boleh menjual produk set-set blok legonya jika kaedah atau panduan sudah difahami.

Di setiap tempat permainan juga disediakan tempat dengan set blok-blok lego untul dicuba semasa menunggu giliran untuk permainan tersebut.



Tedapat Teknologi Baru Dalam Pertunjukan & Permainan

Memanfaat teknologi mampu memberi impak baru dalam bisnes dan ini dilakukan oleh Legoland melalui projek Miniland Star Wars dan Wayang 3D. Di Lego Mindstorms, Lego juga mengintegrasi teknologi robot dalam permainan legonya yang sesuai untuk kanak-kanak. Permainan interaktif lego ini membolehkan kanak-kanak mengasah bakat dan kreativiti mereka untuk mempunyai pemikiran rekacipta.

Anak-anak saya juga mencuba dan mendapat sijil.


Ada Jurugambar Yang Sentiasa Mengambil Gambar Kita

Gambar yang menarik boleh menarik minat untuk kita membeli. Teknik mengambil gambar yang menarik dan jelas boleh adalah satu skil yang perlu dipelajari.

Apabila pengunjung dating ke sesuatu tempat sesautu momen yang menarik mesti dirakam untuk kenang-kenangan. Selalunya kita terlepas momen ini kerana tidak berkesempatan untuk merakamnya atau ketidaksediaan kita untuk merakamnya.

Di dalam Taman Tema Legoland terdapat jurugambar-jurugambar dengan kamera masing-masing yang canggih mengambil gambar kita terutama ketika kita menyertai sesuatu permainan. Apabila ditunjukkan kepada kita memang jelas dan terang sekali gambarnya sehingga kita terliur untuk memilikininya. Untuk memilikinya perlu membayar. Mahal pula tu. Strategi bisnes mengambil gambar ini memberi keutungan kepada mereka yang diberi peluang untuk mengambil gambar begini di Legoland.

Nasib baik saya tak terpengaruh.


Ada Target Tertentu Untuk Setiap Hari

Bisnes mesti mempunyai target. Legoland sentiaa mempunyai target untuk mencapai bilangan pengunjung tertentu setiap hari.

Saya bertanya kepada staff di situ. Berapa ramai pengunjung yang dating? Staf tersebut memberitahu target untuk hari ini hanya 3,000 pengunjung sahaja kerana cuaca tak menentu dan sentiasa hujan. Hari ahad juga hari bekerja di Johor

Begitulah beberapa permerhatian saya tentang bisnes Legoland. Mungkin boleh diaplikasikan dalam bisnes-bisnes yang lain.


Hari beransur petang dan anak-anak pula merungut sentiasa lapar dan saya dan keluarga pun mengambil keputusan untuk keluar dari Taman Tema Legoland.

Sewaktu keluar dari Legoland maghrib semakin hampir dan kami singgah di Plaza Angsana untuk menikmati makan malam dan membeli belah membeli makanan segera , roti dan biskut untuk dimakan keesokan harinya.

Sebelum sampai esok makanan sudah tinggal separuh habis dimakan anak-anak.

Hari kedua tidak ada apa-apa dilakukan. Hanya terperap dalam bilik sahaja. Walaupun begitu saya tetap membawa kain untuk dipotong daripada menghabis masa begitu sahaja. Ada pelanggan telefon untuk ajak pergi ke rumahnya apabila mengetahui saya berada di Johor. Saya tidak dapat pergi kerana suami bekerja.

Malamnya keluar sekali lagi ke Plaza Angsana untuk makan malam. Bercadang untuk mencari makan di tempat lain tetapi oleh kerana tidak biasa dengan tempat-tempat di Johor tidak ada pilihan lain setelah berpusing beberapa kali puas mencari tempat makan tidak berjumpa.

Seterusnya kami bercadang hendak ke Danga Bay tetapi apabila sampai di sana tidak ada apa-apa pun yang menarik kerana terlalu banyak projek pembinaan di situ. Sempat singgah di depan Istana Johor dan mengambil beberapa keping gambar.

Hari ketiga selepas suami habis bekerja terus pulang ke Bangi. Anak-anak pun tak sabar untuk sampai ke rumah.




Saya tidak pernah sampai ke Johor sebelum ini. Inilah pertama kali menjejak kaki Johor. Teringat permintaan anak-anak hendak pergi ke Legoland lah yang membawa saya ke sini. Anak-anak semakin membesar. Jika anak-anak sudah membawa haluan masing-masing dan tidak tinggal bersama lagi mungkin tidak ada peluang lagi untuk berkumpul bersama-sama seperti ini lagi.


Anak perempuan saya ada 4 orang. Dari kiri Nashratul, Nashreen, Nashrah, Nashaida.

Wednesday 3 December 2014

Seronoknya Dapat Belajar Menjahit Tudung



Belajar menjahit tudung memang menyeronokkan. Tambahan pula tudung yang dibuat dari hasil tangan sendiri menjadi pula. Tak sia-sia masuk kelas menjahit tudung. Apabila sudah menjadi untuk tudung yang pertama akan dicuba untuk tudung yang seterusnya. Semakin lama menjahit semakin mahir dan kreatif. Macam-macam idea datang untk design tudung yang lain pula. Terasa kepuasannya melihat hasil jahitan sendiri.

Gambar tudung di sini adalah hasil daripada jahitan salah seorang student yang masuk kelas menjahit yang saya sediakan. Alhamdulillah dah boleh hasilkan tudung sendiri.




Practice makes perfect.

Tuesday 2 December 2014

Beroperasi Di Kedai Jahit Sendiri

Alhamdulillah sekarang saya sudah beroperasi di kedai jahit sendiri. Semua urusan akan dilakukan di sana. Tidak perlu lagi datang ke rumah.

Kedai jahit saya terletak di Jalan Reko. Ada bazar malam (uptown) di situ setiap hari Selasa hingga Ahad. Jika mengadap ke kedai saya, di sebelah kanannya adalah M Garden Hotel. Di sebelah kirinya pula Etiqa Insuran. Kedai jahit saya di tingkat 1 di atas kedai Lambaian Residence.

Jika berada di dalam kedai mengadap keluar tingkap akan berhadapan dengan Pencawang Elektrik. Nun jauh di seberang jalan pula adalah Sekolah Menengah Jalan Reko. Bersebelahan dengan kedai selang beberapa pintu di sebelah kiri terdapat Kedai Makan Nasi Ulam. Jauh sedikit ada kedai 7 Eleven. Di sebelah sana bangunan kedai paling hujung akan nampak Econsave Jalan Reko.

Kedai saya tidak lagi dipasang dengan sign board atau banner. Kalau berdasarkan banner atau signboard buat masa ini memang tidak akan jumpa. InsyaAllah saya akan pasang banner nanti untuk mudah dicari.

Untuk memudah mencari, google sahaja M Garden Hotel Jalan Reko, InsyaAllah boleh sampai ke kedai. Jika google Nash Fesyen akan sampai ke rumah saya.

Beberapa foto keadaan dalam kedai. Baru sahaja memindah barang dan mesin jahit. Masih lagi berselerak. Masih mememikir bagaimana untuk menghias kedai.

Mesin-mesin jahit yang terdapat dalam kedai

Meja untuk memotong kain dan rak benang di belakang

Rak benang jahit tepi

Ruang hadapan untuk mempamer tudung-tudung untuk dijual

Dengan membuka kedai jahit, status saya sebagai seorang yang bekerja di rumah tidak boleh dipakai lagi. Sekarang saya mempunyai cabaran baru yang lebih besar.Bekerja dengan tiga kali lipat lagi untuk terus kekal bisnes jahit saya di kedai tersebut. Kalau tidak saya boleh lupakan sahaja kedai tersebut dan kembali semula ke rumah.

Saya juga mencari tukang jahit yang berminat untuk bekerja dengan saya. Saya akan tunjukkan cara menjahit tudung, tukar awning, jahit shawl dan sebagainya sehingga pandai. Menjahit akan dilakukan di kedai supaya saya boleh memantau sepanjang masa supaya jahitannya sentiasa kemas.

Dengan membuka kedai jahit ini diharapkan tidak ada yang malu-malu lagi hendak datang. InsyaAllah kelas menjahit tudung mulai minggu depan akan  lebih luas dan selesa.

Nak datang perlu message dahulu ya. Grill pintu hadapan sentiasa berkunci untuk keselamatan. Nak datang berbincang dahulu pun boleh. Nak tengok hasil jahitan dahulu pun boleh sebelum membuat keputusan membuat tempahan.

Selamat Datang Ke Kedai Jahit Nash Fesyen

Sunday 30 November 2014

Shawl Bunga Ros Pelbagai Warna

Ada sahaja tempahan terhadap shawl bunga ros ini. Ada beberapa lagi tempahan menanti untuk dijahit. Kali ini saya update shawl instant bunga ros ini dengan pelbagai warna yang menjadi pilihan pelanggan.







Kali ini tak ada cerita dalam entri. Cukup tunjuk gambar sahaja sahaja. Bunga ros pada shawl saya bentuk sendiri dan terus jahit. Untuk siapkan satu shawl bunga ros ini akan memakan masa sedikit berbanding fesyen shawl yang lain.

Akhir-akhir ini semakin ramai yang datang untuk berjumpa. InsyaAllah boleh sahaja tetapi hantar message dahulu kerana kadang-kadang saya tiada di rumah.

Saturday 29 November 2014

Jarak Bukan Penghalang Untuk Belajar Jahit Tudung


Mengambil kesempatan cuti sekolah membawa anak-anak berjalan di KL dan seterusnya mengambil peluang untuk belajar jahit tudung. Student kak Ros kali datang dari jauh. Seorang dari Selama, Perak berdekatan dengan kampung saya di Serdang, Kedah. Seorang lagi dari Termerloh, Pahang. Kedua-duanya cikgu sekolah dan sudah mengenali satu sama lain. Berpakat untuk datang sekali.

Selamanya ini sudah pandai jahit baju. Kali ini nak tambah lagi kemahiran menjahit untuk tudung pula. Rupanya senang sahaja jahit tudung ini. Kali kalau dah jahit baju tak perlu pening lagi untuk cari tudung. Boleh jahit sendiri sahaja.

Sebelum ini pun sudah ada student saya yang datang dari jauh. Antaranya dari Jengka, Pahang, Ipoh, Perak, Melaka, Johor dan juga Terengganu.

Kalau sudah berminat tidak ada alasan lagi untuk belajar menjahit.

Hari ini ada pelanggan saya dari Johor yang datang semata-mata berjumpa untuk berbincang tentang tempahan jahit tudung untuk butiknya.

Saya tinggal di Bandar Baru Bangi. Dekat sahaja dengan KL.

**Saya kongsi gambar di blog ini hanya dengan kebenaran tuannya sahaja.

Tuesday 25 November 2014

Tudung Tailor Made



Tudung tailor made atau custom made hanya tukang jahit yang boleh buat. Sebab iti dipanggil tailor made. Kalau nak cari sebiji macam kita kehendaki di kedai memang tidak akan jumpa terutamanya dari segi ukuran. Tempahan melalui tukang jahit yang paling mudah. Kebiasaannya tukang jahit akan mengambil masa untuk siapkan. Tambahan pula jika kain atau material perlu dicari sendiri.

Saya baru sahaja balik dari Johor setelah tiga hari berada di sana. Sampai di rumah hampir maghrib. Memandangkan tempahan dah agak lama dan pelanggan saya pun nal pakai pada hujung minggu ini maka perlu saya siapkan juga malam ini. 

Mabuk perjalanan pun belum hilang lagi. Sempat juga siapkan dua helai tudung instant pleated yang customer nak ambil besok.



Ingat entri kali nak masukkan gambar-gambar semasa bercuti di Johor tetapi terpaksa pula menjahit tudung. Besok customer dah nak datang ambil.  

Boleh juga cover duit yang habis semasa pergi ke Johor.

Saturday 22 November 2014

Bercuti Ke Johor


Cuti sekolah dah bermula. Anak-anak mula bertanya cuti kali ini hendak ke mana. Kalau ikut hati memang tak nak pergi ke mana-mana tetapi demi melayan anak-anak kali ini saya bawa mereka ke Johor sahaja. Banyak negeri-negeri dalam Malaysia, Johor sahaja yang belum pernah saya sampai. 

Kalau nak ke KL bila-bila masa sahaja boleh pergi. Nak balik kampung mungkin hujung December nanti. 

Saya tidak ada di rumah mulai besok iaitu hari ahad hingga ke hari selasa minggu depan. Tiga hari sahaja. Jangan datang ke rumah dari ahad hingga hari selasa ini. Sebarang pertanyaan melalui facebook/email/SMS/Wahatsapp akan saya jawab seperti biasa. Tempahan yang belum siap harap bersabar dulu yer. 

Apa kaitan dengan gambar shawl di atas dengan bercuti? Sebenarnya shawl di atas adalah shawl butterfly yang baru sahaja saya siapkan sebentar tadi. Untungnya boleh menjahit sendiri. Beli kain yang matching dengan warna baju. Balik di rumah potong dan terus jahit sendiri.

Untuk jahit shawl butterfly ini bukannya susah. Potong kain ikut pola dan jahit tepi keliling. Siap. Boleh dipakai terus tanpa susah payah mencarinya di kedai.

Nak pola shawl butterfly ini boleh hubungi Kak Ros. No telefon ada dalam blog ini.

InsyaAllah selasa malam nanti saya akan sampai di rumah.

Kelas Menjahit Tudung Minggu Ini

Kelas menjahit tudung minggu ini

Kelas menjahit tudung terus berjalan setiap minggu pada hari sabtu. Selain boleh bawa pulang tudung, peserta juga dapat empat pola tudung percuma yang boleh dipilih sendiri. Di samping itu juga saya ajarkan juga asas memotong shawl. Ramai yang tidak begitu yakin apabila hendak memotong kain untuk menjadi shawl. Teragak-agaj taku nanti silap-silap potong, kain yang dibeli dengan harga mahal jadi rosak pula. Sebenarnya tidak susah jika tahu asasnya.

Dengan masuk kelas menjahit bukan sahaja dapat belajar menjahit tudung tetapi juga dapat pola yang bolehh dipilih sendiri dan juga tahu asas memotong shawl. Apabila balik nanti boleh cuba buat tudung dan shawl sendiri dengan pola yang dibawa pulang tadi. 

Selain daripada itu banyak tip berkaitan tudung, shawl, mesin jahit, bisnes yang dikongsi semasa kelas berjalan. Boleh tanya apa sahaja berkaitan dunia jahit menjahit. Kadang-kadang bila asyik bersembang tak sedar hari sudah gelap. Seronoklah dapat bersembang dengan Kak Ros. Memang happening. 

Makan tengahari juga disediakan. Minggu ini resepinya nasi tomato dengan ayam beserta acar rampai timun dan nenas yang saya sediakan sendiri.

Jom belajar menjahit tudung. Kelas tidak ramai kerana saya memang tidak ambil ramai peserta untuk setiap kelas.

Berminat untk belajar menjahit tudung hubungi/SMS/Whatsapp Kak Ros : 017-4315193.

Post Utama

Kedai Online Nash Fesyen

Post Paling Popular

HAKCIPTA TERPELIHARA NASH FESYEN 2018