Tuesday 22 April 2014

Menjahit Memberi Idea Untuk Menulis Blog

baju fesyen

shawl dengan piping dan lace

tudung 2 layer pink

Menjahit memberi idea kepada saya untuk menulis blog. Daripada mula memilih kain, memijak mesin jahit sehinggalah selesai menjahit berbagai-bagai perkara boleh dijadikan entri blog.

Ketika memilih kain atau fabrik saya boleh menulis berkaitan corak atau motif pada kain. Apabila melihat warna pada kain pula saya boleh menulis kaitan dengan fesyen yang diminati.

Apabila saya memotong kain, saya boleh menulis berkaitan cara memotong kain, bagaimana membuat ukuran sehinggalah kepada pola-pola yang digunakan.

Apabila saya menggunakan mesin pula, saya boleh menulis berbagai perkara berkaitan mesin jahit dari cara untuk setkan jarum yang betul sehingalah kepada bagaimana untuk menghasilkan jahitan yang cantik. Apabila mesin mula melakukan jahitan, saya kan mula merasa ketenangan dan keseronokan menjahit. Ketika inilah muncul berbagai-bagai idea untuk menulis. Perkara-perkara seperti bisnes menjahit, tempahan menjahit dan bermacam-macam kisah lain mula datang untuk dicoretkan di dalam blog.

Selesai menjahit adalah kemuncak kepuasan apabila melihat hasil jahitan sendiri. Dari sekeping kain menjadi produk 3 dimensi yang menarik merupakan sesuatu yang amat menyeronokan. Hanya dengan merasainya sendiri barulah tahu kenikmatannya. Pada masa ini idea untuk menulis datang seperti air yang mengalir sehingga tidak sabar-sabar lagi hendak diterjemahkan dalam bentuk kata-kata.

Lihat sendiri hasil jahitan di atas. Bermacam-macam perkara boleh ditulis.

Menjahit memang menyeronokkan.

Monday 21 April 2014

Jahit Awning Pada Shawl

shawl half moon tanpa awning
shawl halfmoon selepas dijahit dengan awning

shawl halfmoon berawning

shawl dengan awning

Shawl berawning menjadi pilihan kerana mudah dipakai dan senang untuk digayakan. Oleh sebab itu ada yang mengambil keputusan untuk memasang awning pada shawl. Ada yang dahulunya minat memakai shawl dan kini mengambil keputusan tidak mahu memakainya lagi kerana berkejar dengan masa setiap hari. Shawl yang dahulunya banyak dibeli kini hanya disimpan sahaja di rumah. Hendak dibuang terasa sayang kerana shawl ini sudah biasa dipakai dan coraknya yang menarik. Ada yang sudah koyak ditengahnya dan sudah tidak boleh dipakai lagi.

Untuk mengelaknya daripada dibiar begitu sahaja lebih baik dipasang awning pada shawl tersebut supaya boleh dipakai semula. Itulah pilihan yang terbaik. Tidak perlu disimpan atau dibiar begitu sahaja. Malahan dengan memasang awning pada shawl menjadikan shawl nampak menarik dan kemas. Pilihan warna pada awning disesuaikan dengan warna dan corak pada tudung. 

Kenapa tak terfikir perkara macam ini dahulu. 

Sunday 20 April 2014

Susahnya Jahit Kain Berbatu




Kebiasaannya kalau menerima tempahan menjahit saya akan lihat dahulu sama ada boleh menjahit atau tidak. Antara kain yang susah nak dijahit adalah kain yang terlalu nipis, selalu bergulung dan berbatu. Kali ini saya menerima tempahan menjahit shawl di mana terdapat 4 helai shawl berbatu.

Awal-awal lagi saya sudah menolak tetapi pelanggan saya ini hendak juga saya menjahit. Saya tidak berani mengambil risiko untuk menjahit kerana batu yang melekat kuat pada shawl akan menyebabkan jarum patah dan menjahitnya perlu berhati-hati dan lambat. Saya perlu membuang dahulu batu yang melekat pada kain. Jika melekat kuat pada kain kain boleh koyak. Untuk mengguntingnya juga susah kerana boleh menyebabkan gunting tumpul.

Pelanggan saya ini adalah pelanggan tetap saya yang selalu menghantar shawl kepada saya. Selalunya saya mengguna mesin jahit tepi halus untuk menjahit sekeliling shawl tetapai untuk kain berbatu ianya cukup berisiko. Jika mesin jahit tepi saya rosak tempahan lain untuk shawl dan tudung akan terganggu. Saya tidak mahu mengambil risiko tersebut.

Akhirnya saya terima tetapi dengan syarat pelanggan mesti mengetuk batu-batu pada laluan jarum dahulu. Saya tidak mengguna jahit tepi halus tetapi saya mengguna jahit kelim di sekeliling shawl. Jahit kelim juga sebenarnya melambat kerja saya kerana saya tidak boleh jahit dengan laju dan terpaksa berhati-hati.

Akhirnya siap juga menjahit shawl berbatu tetapi kenalah caj lebih. Lain kali janganlah hantar lagi kain berbatu untuk saya menjahit.

Saturday 19 April 2014

Jom Belajar Menjahit Tudung

kelas tudung minggu ini

Banyak faedahnya kalau boleh menjahit tudung sendiri.
  • Dapat jimat duit. Tak payah upah tukang jahit.
  • Boleh design tudung sendiri.
  • Boleh cari kain yang matching dengan baju.
  • Boleh jahit untuk anak-anak dan keluarga.
  • Boleh mengisi masa lapang.
  • Boleh kurangkan stress.
  • Dapat tambah kemahiran menjahit.
  • Rasa puas bila melihat hasil jahitan sendiri.
  • Boleh tayang dekat suami tudung yang cantik buatan sendiri.
  • Kalau dah pandai boleh ambil tempahan dari kawan-kawan.
  • Hasil jahitan boleh kongsi dalam facebook, blog dan instagram.

Thursday 17 April 2014

Tudung 3 Layer Plain Tanpa Brooch







Ini adalah tudung 3 layer plain yang ditempah oleh pelanggan saya dari Ampang. Setakat ini sudah 12 helai ditempah dengan kaler yang berlainan. Boleh lihat entri saya yang lepas untuk gambar tudung 3 layer plain yang lain.  Semuanya tak nak brooch. 

Kebiasaannya saya akan cari kain di Jakel untuk mendapatkan semua kaler yang diminta. Kalau kedai kain lain memang susah nak cari semua kaler. Itu pun di Jakel sendiri ada beberapa kaler lain yang tidak dapat saya cari. 

Semalam saya dapat message melalui whatsapp katanya tudung dah diterima. Alhamdulillah semua ok dan cantik.  Pelanggan saya ini nak order lagi 3 helai. Kali ini nak kaler hitam,  baby pink dan lite purple pula.


Nampaknya kena turun Jakel KL lagilah hujung minggu ini. Puas pulalah nanti nak mencari kaler yang diminta. Sebenarnya ada beberapa lagi tempahan dari pelanggan lain yang belum ada kain. Nanti bolehlah borong sekali. Sekurang-kurang setengah hari mesti habis masa dekat sana. 

Kalaulah saya ada modal banyak bolehlah borong kain banyak-banyak dan simpan kat rumah. Tak payah nak keluar KL selalu. Ruang rumah pun semakin sempit dah sekarang.

Wednesday 16 April 2014

Corak Polkadot



Apabila menerima tempahan dari pelanggan untuk menjahit sama ada baju, tudung atau shawl, saya selalu berfikir apakah entri yang sesuai untuk ditulis pada blog untuk tempahan tersebut.  Dari situ timbullah idea untuk menulis berkaitan corak atau motif pada kain atau fabrik yang dipilih oleh pelanggan. Saya pernah menulis berkenaan corak paisley pada entri yang lepas. Kali ini adalah berkaitan dengan motif polkadot.

Terdapa pelbagai motif pada pakaian, tudung dan shawl. Antara cetakan corak yang popular adalah seperti motif paisley, polkadot, tribal. bunga, jalur, kotak, rama-rama dan lain-lain. Polkadot adalah antara ribuan motif yang popular dan menjadi trendy.  Motif polkadot ini sudah menjadi trend dalam dunia fesyen. Trend polkadot pernah popular sekitar tahun 50-an dan 60-an dahulu. Kemudian hilang buat sementara dan akhirnya muncul semula dan kekal popular sehingga kini.

Cetakan corak polkadot pada pakaian  mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Bagi mereka yang suka fesyen yang simple namun tetap bergaya boleh mencuba corak polkadot ini. Polkadot juga tidak terbatas pada pakaian dan aksesori wanita sahaja malah boleh didapati pada sofa, wall paper, kerusi, tirai, meja, kereta, barangan perhiasan dan lain-lain . Di tempat kita apam polkadot juga menjadi resipi popular.

Kalau dulunya corak polkadot digayakan pada maxi, cardigan, blaus dan skirt  kini gaya tersebut boleh didapati pada baju kurung , tudung dan shawl. Pilihan untuk bergaya dengan motif polkadot ini semakin pelbagai.

Trend fesyen bermotif polka yang popular pada tahun 1960-an kini mendapat tempat semula tempatnya di kalangan generasi muda apabila ramai yang memilih corak polkadot untuk baju kurung, shawl dan tudung. Dengan corak bintik kecil sehinggalah yang besar ianya mampu menonjol peribadi yang menarik. Tambahan pula dengan gabungan warna yang garang seperti biru , merah, jingga dan lain-lain memberikan suasana ceria dan berani kepada pemakainya.  Pakaian dengan motif polkadot terlihat begitu klasik dan feminine.

Motif polkadot juga dikenali sebagai motif  bintik, titik atau pun bulatan. Ukuran ‘dot’ juga begitu pelbagai dari saiz seperti titik sehinggalah ke diameter yang lebih besar.  Apapun istilahnya tetap motif yang yang sama iaitu polkadot.

Dengan perkembangan dunia fesyen, motif polkadot diberi suntikan baru  dengan menggabungkan polkadot dengan motif bahan lainnya. Dengan ciri khas motif bulatan kecil dan besar serta variasi warna, polkadot semakin memberikan alternatif pilihan kepada para peminat fesyen. Ramai pereka fesyen antarabangsa dan tempatan gemar bermain dengan reka corak polka dot ini. Mereka memperbaharuinya dalam kombinasi warna yang indah di atas rekaan pakaian sehingga menghasilkan corak yang lebih dramatik serta menggoda.

Istilah asal perkataan  “polka”  itu sendiri adalah dari perkataan Poland yang bermaksud  “Polish woman”. Apabila diterjemah ke bahasa  Czech menjadi  “little woman or girl.”  Jadi polkadot itu sendiri berasal dari nama untuk wanita dan bersifat feminin.  Kini motif polka dot juga direka secara kreatif untuk pakaian lelaki.

Menurut sejarahnya, Polkadot pernah popular pada abad  ke-19 di Eropah. Pada masa tersebut satu tarian yang popular di Eropah dikenali sebagai muzik polka (polka music). Kebetulan pula pakaian bermotif polkadot ini juga menjadi fesyen popular pada masa tersebut sehinggakan motif polka ini sering dikaitkan dengan tarian polka. Tarian polka bukan sahaja popular di Eropah tetapi juga di Amerika dan Rusia.
Begitulah bagaimana corak polka ini dikenali sehinggakan nama polka dipakai dalam dunia fesyen dan dikenali sebagai polkadot.

Pada masa tersebut item-item lain juga menjadi popular menggunakan nama polka seperti 'topi-polka', 'jaket-polka' dan lain-lain. Kebanyakannya item-item tersebut bersifat sementara sebagaimana tarian muzik polka itu sendiri. Apa yang kekal hanyalah corak polka pada fabrik  yang kekal popular sehinggalah ke hari ini. 

Kepada mereka yang mengikuti perkembangan fesyen, motif polkadot juga diminati oleh mereka yang terkenal seperti Lady Diana, Kate Middleton  dan juga Michelle Obama iaitu isteri kepda presiden Amerika Syarikat. Mereka memakai pakaian bermotif polka ini di majlis-majlis rasmi yang mendapat perhatian ramai sehingga menjadikannya sebagai ikutan.

Motif ini pernah menjadi terkenal dan meletup di seluruh dunia apabila dipakai oleh artis-artis Hollywood sehingga menghiasi berita utama dalam industri fesyen di seluruh dunia. Oleh sebab itu motif polkadot dengan cepat menyebar dalam revolusi budaya pop.  Kartun Minnie Mouse yang terkenal juga sering kali dilihat dengan imej pakaiannya yang bercorak polka dot warna putih sehingga menjadi kegilaan dalam fesyen kanak-kanak sehingga kini.

Di Malaysia juga perkembangan fesyen dengan motif polkadot seiring dengan perkembangan fesyen pada peringkat dunia. Corak polkadot tetap mendapat tempat terutama untuk golongan muda yang boleh didapati pada pakaian, dress, skirt. blouse, tudung, shawl sehinggalah kepada aksesori-aksesori yang lain. 

Apa-apa pun motif pada kain atau fabrik yang diplih, hantar sahaja kepada saya untuk dijahit. Apabila dah siap nanti menjadi baju, tudung atau shawl, barulah kita nampak pilihan kita itu sebenarnya sangat istimewa. 

Post Utama

Kedai Online Nash Fesyen

Post Paling Popular

HAKCIPTA TERPELIHARA NASH FESYEN 2018