Sunday 15 February 2015

Shawl Instant Lycra Bercorak






Menjahit perlukan kemahiran. Untuk mendapat kemahiran perlukan diulang berkali-kali tanpa jemu. Misalnya untuk menjahit kelim, jahit gulung atau jahit pleat, jika tidak dicuba berkali-kali tidak akan berjaya untuk mendapat jahitan seperti yang dikehendaki. Saya sendiri semasa mula menjahit kelim sentiasa sahaja jahitan tergelincir dan serba tidak menjadi. Frust memanjang. Apabila selalu mencubanya, menjadikan saya semakin mahir dan sekarang terasa semakin cepat dan mudah. Pekerja saya sendiri yang saya latih menjahit pleat juga semakin mahir sekarang ini. Pada mulanya memang banyak berlaku kesilapan sehingga perlu menetasnya berkali-kali.

Jika ada yang bertanya saya supaya tunjukkan tutorial bagaimana cara menjahit tepi halus, jahit kelim, pleated dan lain-lain, saya boleh tunjukkan apabila berada di hadapan mesin jahit. Selepas itu perlu praktis berkali-kali sehingga mahir. Salah seorang pekerja saya yang pada mulanya datang bekerja tidak tahu langsung menggunakan mesin jahit tepi. tetapi sekarang sudah mahir dan sudah pandai untuk menukar benang sendiri, setting mesin mengikut kesesuaian kain dan tahu untuk menyelesaikan masalah jika benang putus.

Begitu juga cara menjahit untuk sesetengah pattern tudung, cara menjahitnya tidak perlukan pola tetapi hanya perlukan sedikit pengubahsuaian semasa menjahit. Menjahit perlukan kesabaran dan ketekunan. Kreativiti untuk menghasil tudung atau pakaian dengan fesyen tertentu akan datang dengan sendiri dengan hanya sekilas pandang sahaja pada tudung atau pakaian yang ingin dijahit. Kadang-kadang dengan gambar atau contoh sahaja sudah boleh agak cara jahitannya.

Shawl instant lycra bercorak seperti di atas juga berasal dari pola yang asas sahaja. Dengan sedikit pengubahsuaian boleh menghasilkan shawl seperti yang dikehendaki. Ada beberapa tutorial yang saya tunjukkan dalam entri yang lepas boleh menjadi asas untuk menjahit tudung dan shawl sendiri.

Dalam seminggu dua ini saya amat sibuk kerana ramai pelanggan hendak ambil tudung dan baju sebelum Raya Cina.  Raya Cina tinggal beberapa hari sahaja lagi.Terpaksa sehari suntuk berada di kedai, kadang-kadang hingga ke malam. Tak menang tangan nak menepis bila ada yang bertanya bila boleh siap baju dan tudung.  Sebab itu entri blog semakin hari semakin ringkas. Tak sempat nak fikir apa yang perlu ditulis.

Raya Cina pun dan jadi macam Raya Melayu. Ramai yang nak pakai tudung dan baju baru.

Friday 13 February 2015

Tudung Twist Awning Lembut



Tudung twist soft awning ini tanpa pelapik dagu dan awningnya adalah awning lembut. Senang nak solat. Untuk menghasilkan tudung ini saya membuat sedikit pengubahsuaian pada pola asal seperti yang pernah saya tunjukkan pada tutorial "Panduan Menjahit Tudung Labuh Berdagu" untuk disesuaikan dengan ukuran yang diminta oleh pelanggan. Cara menjahitnya sama sahaja seperti panduan yang telah saya tunjukkan pada tutorial yang lepas cuma tanpa pelapik dagu.

Kepada peminat tudung twist sama ada dengan pelapik dagu atau tanpa pelapik dagu bolehlah mencuba. Kali ini pilihan pelanggan adalah warna hitam. Ada beberapa lagi tempahan tudung yang seterusnya selepas tempahan pertama ini.   

Semakin hari semakin sibuk pula saya menerima pelanggan-pelanggan baru yang datang setiap hari sampai masa menjahit menjadi semakin kurang.

Thursday 12 February 2015

Tudung Labuh








Sesuai untuk mereka selesa dengan bertudung labuh yang menutup badan. Kepelbagaian warna memberi lebih keceriaan kepada pemakai. Juga boleh dipakai untuk menunaikan ibadat solat.

Al-Fatihah buat Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang telah kembali ke rahmatullah. Salam takziah kepada keluarga bekas MB Kelantan. Teringat tok guru pernah datang ke kampung dan menjadi imam di surau kami.

Innalillahiwainnailaihirajiun. 

Wednesday 11 February 2015

Blouse Lycra


Bagi mereka yang memikirkan apakah pakaian yang sesuai untuk dipadankan dengan seluar, kain atau sarung yang bukan sepasang dengan baju boleh memilih blouse sebagai pakaian pilihan.Blouse yang merupakan baju pendek yang longgar sesuai sebagai pakaian harian. Tidak perlu dipadankan dengan kain sepasang menjadi pilihan untuk keluar berjalan-jalan, ke pasar harian malahan untuk berehat di rumah. Mernjadi pilihan terutama oleh golongan wanita yang selesa dengan pemakaian seluar panjang ketika untuk berjalan-jalan dan beriadah.



Blouse lycra seperti yang ditunjukkan dalam gambar menjadi pilihan pelanggan kerana sifat kain lycra yang sejuk, elastik dan lembut. Malahan mudah dijaga tanpa perlu diseterika. Warna pilihan adalah warna plain yang boleh sesuai dengan pelbagai jenis tudung.

Bagi tukang jahit pula untuk menjahit kain lycra memerlukan kemahiran tertentu dan juga mesin jahit yangs sesuai untuk menjahit lycra kerana sifat kain yang suka bergulung apabila digunting kerana sifat meregangnya. 

Tuesday 10 February 2015

Baju Kurung Moden


Baju kurung merupakan fesyen di kalangan wanita di Malaysia. Terdapat pelbagai design dan fesyen baju kurung mengikut tempat dan negeri. Bermula dengan baju kurung tradisional, baju kurung mengalami beberapa perubahan untuk disesuaikan dengan bentuk badan, fesyen terkini yang dipengaruhi dari fesyen barat dan keadaan fesyen semasa supaya nampak lebih moden. 

Fesyen baju kurung juga mempunyai nama-namanya sendiri seperti baju kurung Melaka, baju kurung Johor, baju kurung Kedah, baju kurung Pahang, baju kurung Teluk Belanga, baju kurungg Cekak Musang, baju kurung Riau. Juga mengikut cara jahitan seperti baju kurung pesak, baju kurung pesak gantung, baju kurung jahitan tulang belut, baju kurung leher bulat dan lain-lain. Baju kurung juga mempunyai nama mengikut pilihan kain seperti baju kurung cotton, baju kurung lycra, baju kurung satin dan lain-lain.


Baju kurung moden adalah pengubahsuaian yang dibuat dari baju kurung biasa atau tradisional dengan potongannya mengikut bentuk badan yang digemari terutama oleh golongan wanita muda yang mempunyai bentuk badan yang menarik. Baju kurung moden biasanya tidak ada pesak dan kekek dan mempunyai zip belakang. Sementara baju kurung Pahang pula lebih longgar dan mempunyai sedikit cutting di pinggang. Juga tidak mempunyai kekek dan kembang sedikit di bawah. Baju kurung tradisional pula cuttingnya lebih lurus hingga ke bawah.

Walau apa pun bentuknya baju kurung tetap menjadi pilihan untuk majlis-majlis yang sinonim dengan majlis-majlis orang-orang Melayu yang mahukan pemakainya nampak sopan seperti kenduri kahwin, majlis hari raya, majlis untuk sambutan tertentu dan lain-lain.



Memilih fesyen baju kurung paling senang dilakukan untuk ke pejabat, keluar berjalan-jalan dan ke majlis ilmu kerana terdapat pelbagai fesyen baju kurung yang boleh disesuaikan dengan keadaan majlis yang dihadiri.

Kebanyakan tukang pasti tahu menjahit baju kurung mengikut pilihan pelanggan mereka kerana asas menjahit baju bermula dengan menjahit baju kurung. Sekurang-kurangnya sehelai baju kurung mesti ada dalam almari pakaian sebagai lambang seorang wanita melayu.

Monday 9 February 2015

Kebaya + Kurung = Kebarung


Bagi yang berbadan gempal mungkin memakai kebaya bukanlah pilihan tepat kerana kebaya mempunyai potongan mengikut bentuk badan. Masih ada pilihan jika ingin bergaya dengan baju ala-ala kebaya iaitu kebarung. Kebarung sesuai dipakai sama ada untuk mereka yang berbadan kurus atau gempal.

Gabungan ciri-ciri kebaya dan kurung menghasilkan suatu fesyen baju yang menarik yang dikenali sebagai kebarung iaitu singkatan baju kebaya dan baju kurung. Kebarung lebih labuh dan longgar sesuai untuk mereka yang tidak menyukai baju yang mengikut cutting badan. Baju ini penuh popular pada tahun 1990an dahulu dan kini masih ramai yang meminati fesyen kebarung ini.

Saya masih ingat sekali masa pertama kali memakai kebarung ini ke tempat kerja sehingga ramai yang bertanya dari mana boleh dapat baju fesyen begini. Mungkin pertama kali melihatnya pada masa tersebut. 

Dari mana boleh tempah fesyen kebarung macam ni?  

Sunday 8 February 2015

Baju Fesyen Labuh Di Belakang Singkat Di Depan.


Baju fesyen yang nampak simple digemari oleh mereka yang sukakan kehidupan yang simple. Walaupun nampak simple tetapi untuk menjahitnya tidak begitu mudah. Fesyen yang menggabung baju dan kain ini memerlukan ketelitian semasa memotong. Jika berlaku kesilapan kain boleh rosak.

Baju fesyen labuh di belakang dan singkat di depan ini boleh dipakai dengan seluar terutama kepada mereka yang aktif bergerak ke sana ke mari. Pemilihan kain dengan warna biru gelap ini boleh sesuai juga dipakai dengan jeans. 

Bagaimana hendak menempah sebarang jenis baju fesyen? Boleh tunjukkan gambar atau bawa contoh baju. Hanya tempahan untuk individu sahaja buat masa ini. Bukan untuk tempahan pukal.

Post Utama

Kedai Online Nash Fesyen

Post Paling Popular

HAKCIPTA TERPELIHARA NASH FESYEN 2018