Wednesday 16 April 2014

Corak Polkadot



Apabila menerima tempahan dari pelanggan untuk menjahit sama ada baju, tudung atau shawl, saya selalu berfikir apakah entri yang sesuai untuk ditulis pada blog untuk tempahan tersebut.  Dari situ timbullah idea untuk menulis berkaitan corak atau motif pada kain atau fabrik yang dipilih oleh pelanggan. Saya pernah menulis berkenaan corak paisley pada entri yang lepas. Kali ini adalah berkaitan dengan motif polkadot.

Terdapa pelbagai motif pada pakaian, tudung dan shawl. Antara cetakan corak yang popular adalah seperti motif paisley, polkadot, tribal. bunga, jalur, kotak, rama-rama dan lain-lain. Polkadot adalah antara ribuan motif yang popular dan menjadi trendy.  Motif polkadot ini sudah menjadi trend dalam dunia fesyen. Trend polkadot pernah popular sekitar tahun 50-an dan 60-an dahulu. Kemudian hilang buat sementara dan akhirnya muncul semula dan kekal popular sehingga kini.

Cetakan corak polkadot pada pakaian  mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Bagi mereka yang suka fesyen yang simple namun tetap bergaya boleh mencuba corak polkadot ini. Polkadot juga tidak terbatas pada pakaian dan aksesori wanita sahaja malah boleh didapati pada sofa, wall paper, kerusi, tirai, meja, kereta, barangan perhiasan dan lain-lain . Di tempat kita apam polkadot juga menjadi resipi popular.

Kalau dulunya corak polkadot digayakan pada maxi, cardigan, blaus dan skirt  kini gaya tersebut boleh didapati pada baju kurung , tudung dan shawl. Pilihan untuk bergaya dengan motif polkadot ini semakin pelbagai.

Trend fesyen bermotif polka yang popular pada tahun 1960-an kini mendapat tempat semula tempatnya di kalangan generasi muda apabila ramai yang memilih corak polkadot untuk baju kurung, shawl dan tudung. Dengan corak bintik kecil sehinggalah yang besar ianya mampu menonjol peribadi yang menarik. Tambahan pula dengan gabungan warna yang garang seperti biru , merah, jingga dan lain-lain memberikan suasana ceria dan berani kepada pemakainya.  Pakaian dengan motif polkadot terlihat begitu klasik dan feminine.

Motif polkadot juga dikenali sebagai motif  bintik, titik atau pun bulatan. Ukuran ‘dot’ juga begitu pelbagai dari saiz seperti titik sehinggalah ke diameter yang lebih besar.  Apapun istilahnya tetap motif yang yang sama iaitu polkadot.

Dengan perkembangan dunia fesyen, motif polkadot diberi suntikan baru  dengan menggabungkan polkadot dengan motif bahan lainnya. Dengan ciri khas motif bulatan kecil dan besar serta variasi warna, polkadot semakin memberikan alternatif pilihan kepada para peminat fesyen. Ramai pereka fesyen antarabangsa dan tempatan gemar bermain dengan reka corak polka dot ini. Mereka memperbaharuinya dalam kombinasi warna yang indah di atas rekaan pakaian sehingga menghasilkan corak yang lebih dramatik serta menggoda.

Istilah asal perkataan  “polka”  itu sendiri adalah dari perkataan Poland yang bermaksud  “Polish woman”. Apabila diterjemah ke bahasa  Czech menjadi  “little woman or girl.”  Jadi polkadot itu sendiri berasal dari nama untuk wanita dan bersifat feminin.  Kini motif polka dot juga direka secara kreatif untuk pakaian lelaki.

Menurut sejarahnya, Polkadot pernah popular pada abad  ke-19 di Eropah. Pada masa tersebut satu tarian yang popular di Eropah dikenali sebagai muzik polka (polka music). Kebetulan pula pakaian bermotif polkadot ini juga menjadi fesyen popular pada masa tersebut sehinggakan motif polka ini sering dikaitkan dengan tarian polka. Tarian polka bukan sahaja popular di Eropah tetapi juga di Amerika dan Rusia.
Begitulah bagaimana corak polka ini dikenali sehinggakan nama polka dipakai dalam dunia fesyen dan dikenali sebagai polkadot.

Pada masa tersebut item-item lain juga menjadi popular menggunakan nama polka seperti 'topi-polka', 'jaket-polka' dan lain-lain. Kebanyakannya item-item tersebut bersifat sementara sebagaimana tarian muzik polka itu sendiri. Apa yang kekal hanyalah corak polka pada fabrik  yang kekal popular sehinggalah ke hari ini. 

Kepada mereka yang mengikuti perkembangan fesyen, motif polkadot juga diminati oleh mereka yang terkenal seperti Lady Diana, Kate Middleton  dan juga Michelle Obama iaitu isteri kepda presiden Amerika Syarikat. Mereka memakai pakaian bermotif polka ini di majlis-majlis rasmi yang mendapat perhatian ramai sehingga menjadikannya sebagai ikutan.

Motif ini pernah menjadi terkenal dan meletup di seluruh dunia apabila dipakai oleh artis-artis Hollywood sehingga menghiasi berita utama dalam industri fesyen di seluruh dunia. Oleh sebab itu motif polkadot dengan cepat menyebar dalam revolusi budaya pop.  Kartun Minnie Mouse yang terkenal juga sering kali dilihat dengan imej pakaiannya yang bercorak polka dot warna putih sehingga menjadi kegilaan dalam fesyen kanak-kanak sehingga kini.

Di Malaysia juga perkembangan fesyen dengan motif polkadot seiring dengan perkembangan fesyen pada peringkat dunia. Corak polkadot tetap mendapat tempat terutama untuk golongan muda yang boleh didapati pada pakaian, dress, skirt. blouse, tudung, shawl sehinggalah kepada aksesori-aksesori yang lain. 

Apa-apa pun motif pada kain atau fabrik yang diplih, hantar sahaja kepada saya untuk dijahit. Apabila dah siap nanti menjadi baju, tudung atau shawl, barulah kita nampak pilihan kita itu sebenarnya sangat istimewa. 

Tuesday 15 April 2014

Nak Belajar Jahit Tudung Tetapi Tak Jadi-Jadi Lagi.


Nak belajar jahit tudung, nak jahit tudung sendiri, nak berniaga online, nak buat itu, nak buat ini. Itulah yang kadang-kadang kita fikirkan. Begitu banyak idea. Semua hendak dilakukan tetapi satu pun masih belum bermula. Ramai yang bercita-cita ingin mempunyai perniagaan sendiri. Ada yang berjaya, ada yang tidak. Minat sudah ada tetapi masih lagi menunggu masa yang sesuai. 

Dalam kelas menjahit tudung yang saya jalankan, peserta saya bukan sahaja di sekitar Bangi. Ada yang datang dari Johor. Ada yang datang dari Jengka, Pahang yang sanggup memandu kereta ke Bangi semata-mata untuk belajar menjahit tudung. Semuanya bergantung kepada diri kita sendiri. Jika berminat, langkah akan disusun supaya kita boleh mencapainya.  Ikuti kisah berikut.

Dalam satu kelas motivasi, seorang penceramah memegang sebatang pensil dan meletakkan pensil tersebut secara menegak di atas meja. Penceramah tersebut bertanya kepada peserta di hadapannya bagaimanakah hendak menjatuhkan pensil tersebut.

Bermacam-macam idea dan cadangan muncul dari peserta di dalam kelas tersebut. Ada yang mencadangkan supaya mengepal-ngepal  kertas menjadi seperti bola dan membalingnya kepada pensil tersebut. Ada yang memberi idea supaya menghembus dengan kuat pensil tersebut sehingga jatuh. Ada juga yang mencadangkan supaya mengoyang-goyang meja tersebut supaya pensil itu jatuh. Begitulah banyaknya idea dan cadangan untuk menjatuhkan pensil tersebut.

Bangun seorang gadis manis yang sudah pandai menjahit dan berjaya dalam perniagaan onlinenya, berjalan ke hadapan kelas dan menyentuh pensil yang diletakkan tegak di atas meja tadi. Akhirnya jatuhlah pensil tersebut.

Apa yang kita boleh pelajari daripada kisah di atas. Kita lihat begitu banyak idea dan cadangan dikeluarkan untuk menjatuhkan pensil tadi tetapi satu pun tidak berjaya menjatuhkannya. Ramai yang hanya pandai memberi cadangan tetapi tidak ada yang bangun MENGAMBIL TINDAKAN. Pensil tersebut hanya boleh dijatuhkan jika  ada yang bangun dan MENGAMBIL TINDAKAN seperti mana gadis tadi. Tanpa TINDAKAN semuanya tidak akan menjadi.

Begitulah kehidupan kita seharian. Begitu banyak yang kita rancang tetapi semuanya tidak menjadi kerana tidak ada TINDAKAN daripada kita untuk melakukannya. Kita lebih suka bertangguh dan menunggu dahulu. 

Cukuplah setakat ini. Saya terpaksa berhenti di sini dahulu kerana terpaksa bangun untuk MENGAMBIL TINDAKAN  menyiapkan kerja-kerja saya yang masih banyak lagi yang tertangguh.

Kalau asyik layan blog ini bila pula masa hendak siapkan kerja. Nasib baik saya tak ada boss.

Monday 14 April 2014

Tudung Syria



Tudung syria memang simple dan ringkas.  Tidak ada awning, mudah digayakan. Boleh juga dipanggil tudung express atau tudung segera. tetap mempunyai peminatnya.  Oleh sebab itu ramai yang menggemarinya. Walaupun simple tetapi tetap bergaya apabila memakainya. 

Warna plain selalunya menjadi pilihan. Tudung ini paling mudah untuk dijahit. Lihat sendiri tutorial menjahit tudung syria yang telah saya postkan dalam entri yang lepas. Potong kain ikut pola. Kemudian jahit untuk cantumkan tudung tersebut. Kemaskan hujung kain dengan jahitan coverstitch atau jahit tepi halus. Sesiapa sahaja yang mempunya asas  menjahit tentu boleh menjahitnya. Sangat mudah.

Walaupun pelbagai fesyen tudung muncul dengan rekabentuk terbaru, tudung syria tidak pernah dilupakan. 
Selesa dipakai dan sesuai dengan kebanyakan bentuk muka. Menjaganya  pun tidak susah. Nak lipat pun senang sebab tidak ada awning. Boleh dimasukkan dicelah -celah beg kalau nak berjalan jauh atau balik kampung. Cara memakainya pun mudah. Sarung sahaja di kepala. Boleh dipakai dengan inner atau tanpa inner. 

Kepada suri rumah yang sepanjang masa berada rumah amat sesuai sekali memakai tudung syria ini. Boleh pakai semasa hendak menyidai kain di ampaian atau semasa nak keluar beli ikan di depan rumah atau semasa nak keluar beli barang di kedai.  Semua nak cepat mesti pakai tudung yang mudah.

Kepada yang bekerja pula tudung syria juga tidak ketinggalan dari segi fesyen. Boleh dipakai dengan kerongsang atau gunakan pin sahaja pun nampak kemas. Tidak perlu lagi nak cerita panjang, cubalah sendiri pakai tudung syria. Lihat muka di cermin. Muka yang nampak tembam tadi sudah kelihatan seperti bujur sirih. Tentu ramai yang tergoda.

Sunday 13 April 2014

Tempah Baju Pengantin


Walaupun musim cuti sekolah sudah beberapa minggu berlalu, majlis perkahwinan tetap diadakan. Sekarang ini tidak kira masa lagi. Ada masa yang sesuai majlis perkahwinan boleh diadakan.

Bagi pengantin pula persiapan perlu diadakan terutama sekali dalam memilih pakaian pengantin yang sesuai. Perbincangan perlu diadakan sama ada untuk menyewa atau menempah sahaja. Pemilihan baju pengantin yang sesuai perlu dipandang serius dan banyak perkara perlu dititikberatkan. Jika perlu menyewa perlulah mencari baju yang sesuai dengan harga sewa yang berpatutan mengikut budget.

Masalah yang biasa timbul apabila menyewa adalah adalah ukuran baju yang tidak sesuai dengan bentuk tubuh. Sudah puas mencari tetapi semuanya tidak sesuai. Ada yang terlalu labuh, pendek, ketat dan macam-macam lagi. Hari perkahwinan hari yang istimewa. Setiap momen perlu diabadikan untuk kenangan masa hadapan. Jika pakaian pengantin nampak janggal dan kekok. Momen tersebut akan rugi selama-lamanya.

Membuat tempahan pakaian pengantin mungkin boleh dipertimbangkan. Pakaian pengantin secara 'custom made' merupakan suatu kepuasan sebenarnya kerana baju yang ditempah tidak pernah digayakan oleh orang lain. Kalau boleh hari yang istimewa ini biarlah lebih eksklusif dan tidak mahu baju pengantin yang hendak digayakan nanti sama pula dengan orang lain.

Pemilihan rekabentuk baju lebih mudah pada masa sekarang. Dengan bantuan google cari sahaja rekabentuk baju pengantin yang dikehendaki. Kemudian berbincang dengan tukang jahit untuk menjahit seperti gambar yang dicari. Kesesuaian baju berkait rapat dengan bentuk tubuh seseorang disamping pemilihan warna, perincian atau tema yang dikehendaki. Oleh sebab itulah baju 'custom made' menjadi pilihan dan boleh dicadangkan kepada tukang jahit.

Pemilihan warna seperti warna emas kekuning-kuningan dengan lace lining yang diperincikan dengan manik dan kristal tentunya memberi percikan aura glamour yang menawan kepada pengantin. Pengantin tentunya tersenyum riang di hari yang sungguh bermakna ini. Majlis gilang-gemilang dengan menggayakan baju pengantin yang ditempah ini di atas pelamin yang indah pula diperhati oleh sanak saudara dan rakan taulan dan dirakam pula oleh jurugambar profesional akan menjadi momen yang sungguh indah yang akan dikenangkan suatu masa nanti.

Tak rugi saya menempah baju pengantin.

Thursday 10 April 2014

Ke Cherating, Pahang




Saya ke Cherating, Pahang. Bertolak petang Rabu dan balik semula ke Bangi hari ini hari Khamis. Satu hari sahaja. Tak berjalan ke mana-mana. Hanya tinggal di hotel sahaja. Perjalanan pulang singgah beli keropok lekor. Mesti beli kalau ke Cherating.

Walaupun saya berada di Cherating sebenarnya hati saya berada di rumah. Anak-anak hendak bersekolah. Tempahan pelanggan pun banyak belum siap. Hari ini sahaja beberapa orang telefon nak datang ke rumah. Ada yang datang sudah sampai di pintu pagar. Datang hari Jumaat yer. Saya tak ada di rumah.

Saya menginap di Suria Resorts & Hotels. Tidak ramai orang. Mungkin bukan hari cuti. Kebiasaan di hotel, anak-anak mandi kolam renang. Saya juga membawa shawl untuk dipotong. Tak mahu buang masa. Balik nanti boleh jahit terus.

Alhamdulillah sekarang saya sudah berada di rumah. 

Tuesday 8 April 2014

Panduan Menjahit Tudung Syria

Tudung syria adalah antara tudung yang paling mudah dijahit kerana tidak mempunyai awning. Tutorial kali ini saya akan tunjukkan beberapa langkah mudah bagaimana hendak menjahit tudung syria.

Tudung syria ini adalah bersaiz labuh lebih kurang 24 inci dari dagu. Fabrik untuk tudung syria ini menggunakan kain lycra berwarna hitam.

STEP 1
Sediakan kain lycra 1.5 meter untuk saiz labuh (Saiz XL). Untuk saiz L atau M boleh menggunakan kain 1 meter. Sediakan pola untuk tudung syria.


STEP 2
Lipat dua kain lycra dan letakkan pola di atas kain.


STEP 3
Gunting kain mengikut pola tudung.


Hasil dari kain yang digunting.


STEP 4
Jahit lurus untuk cantumkan tudung. Bahagian yang perlu dijahit seperti garisan merah.



STEP 5
Kemaskan pinggir kain dengan mesin jahit tepi biasa.


Hasil jahitan seperti gambar di bawah.


STEP 6
Kemaskan bahagian sekeliling muka dengan jahitan coverstitch.


Hasil jahitan sekeliling muka dengan kemasan coverstitch 2 benang seperti gambar di bawah.


STEP 7
Kemaskan bahagian bawah tudung dengan menggunakan jahitan coverstitch seperti di atas.


Hasil kemasan coverstitch di bawah kain dengan coverstitch 2 benang seperti gambar di bawah.


STEP 9
Tudung siap dan boleh digayakan. 

pandangan depan

pandangan sisi

SELAMAT MENCUBA

Monday 7 April 2014

Apabila Saya Menulis Blog


Saya mula menulis blog sejak Julai 2013 dengan tujuan untuk memperkenalkan servis menjahit yang saya lakukan. Entri saya yang pertama adalah berkaitan perkhidmatan menjahit pakaian wanita. Kini hampir 8 bulan saya menulis blog dengan entri-entri yang bersangkut paut dengan servis yang saya lakukan sahaja.

Bukan senang untuk menulis satu topik yang tertumpu kepada dunia jahit menjahit dan fesyen tudung, baju dan shawl ini. Adalah lebih mudah untuk menulis sesuatu topik yang berkaitan kehidupan seharian atau menulis mengenai isu semasa yang boleh diambil dari banyak sumber. Menulis mengenai dunia jahit menjahit dan fesyen yang terhad kepada pakaian orang-orang melayu sahaja tentunya terhad rujukannya. Mungkin nanti apabila semua perkara yang mahu ditulis sudah ditulis tentunya tidak ada idea lagilah untuk saya menulis.  Akhirnya saya terpaksa mengurangkan entri di blog ini dari menerbitnya setiap hari kepada sekali seminggu atau pun sekali sebulan atau tidak menulis langsung.  Akhirnya blog ini akan menjadi sejarah.

Walaubagaimana pun saya berpuashati setakat ini kerana setiap entri yang saya tulis bukanlah bersifat semasa tetapi sesuatu yang evergreen yang boleh dirujuk pada bila-bila masa selagi blog ini wujud.

Sekurang-kurangnya pada masa ini saya sudah berjaya mendominasi carian pada google untuk servis yang saya lakukan samada pada page pertama atau page kedua google. Keyword untuk carian pada google seperti kelas menjahit tudung, jahit tepi tudung, jahit tepi halus, jahit tepi shawl, tempahan menjahit pakaian wanita, tempahan menjahit tudung dan lain-lain sentiasa bersifat evergreen dan akan dicari pada bila-bila masa. Oleh sebab itu blog ini sentiasa dirujuk walaupun tiada entri terbaru.

Sebagaimana yang saya telah tuliskan dalam entri yang terdahulu blog ini tidak mungkin mendapat trafik yang terlalu tinggi kerana blog ini adalah berkaitan dengan fesyen pakaian wanita melayu yang pengunjungnya tentunya golongan wanita dan orang melayu sahaja. Buat masa ini trafik untuk blog ini secara konsisten mendapat antara 2000 hingga 2500 view setiap hari. Sesuatu yang patut saya banggakan  kerana kebanyakannya trafik datang dari carian pada google.

Oleh itu apabila saya menulis blog ini banyak perkara yang saya pelajari dan alami. Kadang-kadang saya sendiri tidak menyangkanya.
  • Saya mula mempelajari tentang ilmu blogging yang sebelum ini saya tidak tahu apa-apa pun.
  • Saya mula mempelajari kaedah mengambil gambar walaupun tidak secara professional dan juga asas tentang cara mengedit gambar menggunakan photoshop.
  • Setiap hari saya menerima berpuluh-puluh message samada melalui whatsapp, sms, pm melalui facebook, email dan juga panggilan telefon yang memerlukan saya menghabiskan masa beberapa jam hanya untuk membalas message tersebut. Produktiviti menjahit saya sedikit terganggu dengan rutin baru tersebut.
  • Saya menerima tetamu yang akhirnya menjadi pelanggan saya hampir setiap hari dari pagi hingga ke malam yang inginkan servis yang saya lakukan. 
  • Saya menerima tetamu atau pelanggan dari mereka yang tidak disangka-sangka dari artis terkenal, personaliti TV, pemilik butik, mereka yang berjawatan tinggi di sektor swasta dan kerajaan dan termasuklah kawan sekolah yang sudah lama tidak berjumpa. Kadang-kadang saya sendiri merasa risau untuk menerima tempahan dari pelanggan-pelanggan yang sebegini. 
  • Saya juga menerima tetamu yang semata-mata ingin berjumpa dan berkenalan dengan saya. 
  • Saya juga mendapat pertanyaan dari pelajar universiti yang membuat kajian mengenai tesis mereka. Saya menerima pertanyaan berkaitan kajian tentang usahawan wanita online dan juga kajian tentang bahasa-bahasa di blog.
  • Saya juga mendapat tawaran untuk pinjaman dari bank-bank yang setakat ini memang saya tidak berminat.
  • Saya juga menerima tempahan-tempahan untuk menjahit baju, tudung, shawl yang pelbagai fesyen yang saya sendiri pun tidak pernah tahu sebelum ini. Secara tidak langsung saya mempelajari tentang fesyen terkini.
  • Saya juga menerima beberapa permintaan untuk menaja tudung dan shawl untuk beberapa event untuk majalah fesyen dan juga beberapa event lain di blog.
  • Tentunya yang paling manis sekali saya sudah mempunyai pendapatan saya sendiri hasil dari perkhidmatan yang saya lakukan. Tak perlu lagi nak menumpang duit suami untuk membeli produk yang saya minat.
Semuanya kerana saya menulis blog dan blog saya mudah dijumpai melalui carian di google.

Post Utama

Kedai Online Nash Fesyen

Post Paling Popular

HAKCIPTA TERPELIHARA NASH FESYEN 2018