Thursday 12 September 2013

Beli Kain Di Jakel

Dalam minggu ini aku mendapat tempahan untuk tudung berdagu Prof Muhaya, tudung hoodie, tudung lycra berkerongsang, tudung syria dan tudung halfmoon berawning. Aku perlu kumpulkan dahulu semua tempahan ini sebelum aku pergi membeli kain tudung.

Insyallah aku akan membuat tutorial untuk pembaca blog ini iaitu panduan cara menjahit tudung berdagu ala-ala Prof Muhaya, panduan cara menjahit tudung hoodie, panduan cara menjahit tudung lycra berkerongsang dan panduan cara menjahit tudung syria. Insyallah, boleh bookmark blog ini supaya tak kehilangan panduan ini nanti.

Kebiasaannya kalau tempahan tak banyak aku hanya mencari kain di Kamdar Kajang.  Pilihan warna kain tidak banyak di Kamdar Kajang seperti diminta oleh pelanggan.

Hari ini aku ke Jakel Shah Alam untuk membeli kain untuk tempahan yang diminta pelanggan. Aku selalu ke Jakel Shah Alam jika tempahan banyak. Aku akan kumpulkan dulu semua tempahan dan mendapatkan kain sekaligus kerana boleh menjimatkan wang dan masa. Selalunya warna kain yang aku cari tidak pernah menghampakan aku. Oleh kerana itu aku selalu ke Jakel Shah Alam. Sebagai tukang jahit aku biasanya akan mendapat diskaun untuk kain yang aku beli. Itu pun kena kenal dengan pengurus dia dulu, nama dia Razif.

Semasa menunggu aku bertanya juga kakitangan Jakel di situ kalau-kalau Jakel nak buka cawangan kat Bandar Baru Bangi. Mengikut kakitangan tersebut memang ada rancangan untuk buka cawangan Jakel di Bandar Baru Bangi tetapi tak tahu lagi bila. Kalau betul betul jadi, tak perlu lagi aku pergi ke Shah Alam. Boleh jimat duit dan masa aku. Bolehlah aku turun kos jahit tudung nanti. Terdapat beberapa kedai tekstil kat Bandar Baru Bangi tetapi kain untuk tudung tak banyak pilihan. Kalau ada pun harganya memang mahal.

Baru-baru ini aku ada membaca satu artikel di dalam Majalah Keluarga keluaran Sept 2013 berkaitan kisah Datok Mohamad Faroz, Pengarah Urusan Jakel yang berjaya mengembangkan Empayar Jakel seperti sekarang. Baru aku tahu Jenama Jakel ini sebenarnya adalah dari nama pengasasnya sendiri iaitu Mohamed Jakel.

Dalam usia muda lagi Mohamad Faroz telah membantu ayahnya berniaga terutamanya pada hujung minggu dan cuti sekolah. Jika kanak-kanak sebayanya bebas bermain, Mohd Faroz terpaksa akur dengan kehendak bapanya membantu perniagaan Jakel. Segalanya usahanya akhirnya berbaloi keran berjaya mencipta nama Jakel terkenal seperti sekarang. Mengikutnya itu berlaku hampir 27 tahun lamanya.

Datok Hj Mohamad Faroz Mohamed Jakel sekarang berusia 41 tahun. Kini Jakel memiliki 20 cawangan di seluruh negara dengan lebih 5000 kakitangan dan mengendalikan 26 Anak Syarikat di bawah Kumpulan Jakel.

Pada musim perayaan Hari Raya Aidil Fitri yang lalu, Jakel juga  melantik Aaron Aziz sebagai duta Baju Melayu dan koleksi ini dikenali sebagai "Aaron Aziz by Jakel". Koleksi baju Melayu Aaron Aziz ini direka khas dan khusus dengan mengetengahkan kemasan pada leher, poket dan motif corak.

Seperti dilaporkan dalam akhbar Utusan Malaysia, Baju Melayu Aaron Aziz berjaya dijual sebanyak 400,000 pasang di seluruh negara. Suatu strategi perniagaan yang menguntungkan Jakel menggunakan Aaron Aziz, pelakon popular untuk mempromosikan baju melayu.

Inilah cerita inspirasi yang aku kutip untuk pembaca sekelian sebagai perangsang kepada kita untuk membina empayar perniagaan kita sendiri. Insyaallah.


Jakel Shah Alam

Artikel Jakel Dalam Majalah Keluarga

Chiffon Georgette

Chiffon Printed


Lycra Plain

Lycra Printed

Thai Silk

Cordoruy

Saturday 7 September 2013

Tudung Bawal

Tudung bawal

Tudung bawal memang terkenal sejak dahulu lagi dan mengalami beberapa transformasi seiring dengan perubahan fesyen tudung. Dari tudung bawal yang dahulunya tudung bawal kosong atau tudung bawal plain muncul pelbagai jenis tudung bawal dengan fesyen terkini seperti tudung bawal yang bercorak, tudung bawal bersulam, dijahit manik dan  yang dipasang awning supaya mudah dipakai.

Di bawah ini saya kumpulkan beberapa artikel tudung bawal dari beberapa sumber untuk pengunjung blog Nash Fesyen.

Tudung Bawal Kembali Digemari
Sumber Artikel : Uusan Malaysia (20/04/2013)

FENOMENA tudung yang pelbagai jenis, daripada yang mudah dipakai sehinggalah selendang panjang, kesemuanya menjadi pilihan muslimah yang meminati fesyen hijab pada hari ini.

Sebelum tercetusnya fenomena itu, tudung bawal merupakan tudung yang menjadi pilihan kerana mudah dipakai dan senang digayakan dalam sebarang majlis.

Dengan kemunculan pelbagai jenis tudung terbaharu, tudung bawal mulai dilanda zaman malap. Ada yang menganggap tudung bawal adalah tudung ‘budak sekolah’, selain telah lapuk dan tidak mengikuti gaya serta trend terkini.

Namun sejak akhir-akhir ini, fenomena busana Muslim yang sentiasa berkembang telah menyuntik nafas baru kepada penggemar tudung bawal.

Ini dapat dilihat pada pelbagai rekaan, corak dan warna yang lebih cantik di pasaran.

Dengan menggunakan rona-rona menarik dan terkini, rekaan bunga timbul (3D) dan rekaan eksklusif dengan tambahan lace menjadikan ia kembali diminati para penggemar fesyen masa kini.

Baru-baru ini, krew .com dapat melihat sendiri beberapa rekaan dari Butik De Wanie Scarf dan Shawl yang mengetengahkan beberapa rekaan tudung bawal yang menarik.

Gabungan warna yang ceria serta segar menghidupkan kembali ‘tudung budak sekolah’ ke arena yang lebih baik, sekali gus mula mendapat tempat dalam kalangan penggemar busana Muslim. - AMIRUL


Kenali Tudung Bawal
Sumber Artikel: Majalah Nur

Dewasa ini terdapat pelbagai jenis tudung di pasaran sehinggakan ramai yang rambang mata untuk memilih tudung mana yang bersesuaian. Ini termasuklah tudung bawal yang sejak dahulu hingga sekarang sentiasa menjadi pilihan. Ramai wanita Malaysia kini menggemari tudung bawal. Penggemarnya tidak kira usia, tua dan muda, di mana-mana dilihat anggun saja memakai tudung bawal yang mempunyai pelbagai warna. Semak fakta di bawah untuk mengetahui lebih lanjut tentang tudung bawal.

1. Tudung bawal sentiasa menjadi pilihan kerana ia mampu menarik hati sesiapa sahaja kerana terpikat dengan keindahan sulaman yang ada pada tudung bawal. Sulamannya yang halus dan kemas adalah hasil daripada ketelitian dan kesabaran. Ia hadir dalam pelbagai kombinasi warna menarik dan dalam motif bunga-bungaan. Sesuai dengan sifat-sifat kewanitaan.

2. Biasanya tudung bawal ini dibuat daripada kain jenis "voile". Kain jenis "voile" ini adalah berasal daripada kain kapas yang nipis dan lembut. Ia mudah diurus dan dijaga. Terdiri dalam beberapa ketegori, antaranya ialah "Japanese Voile" atau Bawal Jepun, "Korean Voile" atau Bawal Korea dan juga "Siam Voile" atau Bawal Siam.

3. Antara ketiga-tiga jenis kain bawal itu, kain Bawal Jepun lebih popular kerana kualitinya. Kainnya dikatakan tidak berbulu walaupun kerap dipakai dan dicuci. Selain itu, ia mudah dibentuk apabila diletakkan di kepala. Dengan kualiti kain sebegitu elok, tidak hairanlah jika harga untuk tudung bawal daripada jenis ini agak mahal berbanding dengan jenis yang lain.

4. Kain Bawal Korea atau Siam juga mempunyai tekstur kain lembut dan nipis. Ia juga mudah diurus dan dijaga, tetapi mempunyai kelemahan seperti kainnya mudah berbulu apabila kerap dicuci menjadi ia mudah hilang seri kain dan tidak cantik lagi. Oleh sebab itu, harganya lebih murah berbanding kain Bawal Jepun walaupun sulamannya sama-sama cantik.

5. Walau apa pun kategori tudung tudung bawal tidak menjadi masalah kepada pemakai, kerana apa yang penting ialah keindahan sulam pada tudung bawal itu. Fabrik yang baik dan sulaman yang cantik pasti membuatkan si pemakai berasa anggun sentiasa.

Penjagaan Tudung Bawal

Tahukah kamu kain tudung bawal sangat sensitif, tetapi tahan lasak jika kena caranya. Teksturnya yang jarang dan nipis membuatkan fabriknya memerlukan penjagaan supaya ia tahan lama. Cuba ikuti tip-tip ini, mungkin boleh membantu kamu!

1. Gunakan kerongsang yang mempunyai pin tajam dan kekuncinya yang kukuh agar tidak mudah jatuh. Pin yang tajam mengelakkan tekstur kain bawal daripada benangnya tertarik keluar.

2. Jangan sekali-kali mencuci tudung bawal kamu dengan mesin basuh. Lebih-lebih lagi yang mempunyai batu berlian. Selain sulamannya menjadi tidak cantik, ia juga boleh menyebabkan batu-batu berlian yang melekat pada kain tertanggal.

3. Kamu perlu mencucinya hanya menggunakan air yang dicampurkan sedikit sabun pencuci, rendam sekejap dan bolehlah terus membilasnya. Mudah bukan!

4. Untuk mengeringnya, sidai saja di tempat yang kurang terdedah pada cahaya matahari.

5. Jika tudung bawal kamu mempunyai labuci, kamu boleh menggosoknya dengan menggunakan lapik lain atau menggosoknya dari belakang.

6. Akhir sekali, kamu disarankan menggunakan seterika pada suhu yang sederhana sahaja. Kainnya lembut, jadi ia cepat lendek.


Pengayaan Baru Tudung Bawal Buat Kita Keluar Dari Zaman Lampau
Sumber Artikel: dara.karangkraf.com

Oleh: WEB DARA.COM
Tarikh: 11 Jun 2013

Tudung bawal masih tak lapuk dek zaman, masih komersil. Biarpun hadir pelbagai jenis tudung dan trend pada hari ini, bawal masih relevan. Malah kerana minatnya orang ramai terhadap tudung bawal, banyak pembaharuan dan adaptasi baru dilakukan terhadap tudung bawal. Bawal berbatu, empat tone, cekak manik dan bawal pelangi antara beberapa yang boleh meneruskan minat penggemar tudung bawal.

Soalan cepu emas, pernahkah anda terfikir, dari mana asalnya nama tudung ni? Kalau tudung Ombak Rindu, Tudung Nur Kasih tu boleh diteka lagi, ia adaptasi daripada filem. Begitu juga dengan tudung Fareeda, tudung Yuna, Hana Tajima dan sebagainya. Ia diberi nama berdasarkan nama artis atau gaya si pemakai. Tapi kalau tudung bawal pula bagaimana, adakah ia datang daripada nama ikan bawal?

Ha, kalau nak tahu nama tudung bawal ni special sikit. Ia berasal daripada perkataan voile , membawa maksud fabrik yang lembut. Ia kemudian dimelayukan menjadi bawal.  Istilah voile ini berasal daripada Perancis iaitu Veil kerana fabriknya yang ringan. Jadi ia tidak ada kena mengena dengan ikan bawal ya.

Tudung bawal antara trend tudung yang masih bertahan lama meskipun ada banyak persaingan daripada jenis selendang, pashmina, lycra, syria, tudung tiga lapis dan tribal. Malah untuk mengelakkan rasa bosan pengguna, cara pemakaiannya juga dipelbagaikan.

Ada yang menjadikan tudung bawal seakan selendang, dengan gaya semat tudung seperti Hana Tajima. Kemudian ada juga yang menjadikan ia seakan selendang dengan gaya belitan mirip tribal. Begitu juga untuk mereka yang berani berfesyen, menjadikan tudung bawal seakan turban, dengan gaya Yuna.

Bagi yang suka keringkasan pula, tudung bawal boleh dipakai seperti biasa, namun memilih rona-rona warna lebih menarik. Batu yang ditanam ringkas pada tudung juga boleh menyerlahkan imej yang elegan tanpa kelihatan terlalu menonjol. Selain dibuat sendiri, kami terarik juga dengan tudung-tudung bawal yang dipopularkan personaliti terkenal Datin Norjuma Habib menerusi produk Adijuma.

Rasanya Datin Norjuma antara pengusaha yang giat mempertahankan fesyen tudung ini dan berjaya. Apabila kita sebut sahaja tudung bawal, Adijuma antara jenama yang akan kita ingat. Daripada range murah hingga lebih eksklusif ada dalam koleksi Adijuma. Datin Norjuma membuktikan tudung bawal masih trend, masih relevan dan masih lagi komersial.

Apa yang perlu adalah sedikit kepelbagaian corak, warna dan penggayaan yang disesuaikan dengan pakaian. Sedang kami mencari idea tentang pemakaian tudung bawal, terjumpa pula video pemakaian tudung bawal batik 206 koleksi Adijuma. Cubalah tengok-tengok, dan anda akan faham apa maksud kami, bahawa bawal masih belum outdated.




Wednesday 4 September 2013

Cara Jahit Sembat Menggunakan Mesin

Tujuan jahit sembat adalah untuk menjahit kelepet supaya kemas. Jahit sembat ini dijahit di hujung lengan baju dan bawah baju. Hasil jahitan akan nampak kemas dan halus.

Kebiasaannya ramai tukang jahit menjahit sembat hujung lengan dan bawah baju menggunakan jahitan tangan. Ini tentunya lambat dan membuang masa. Di sini saya nak tunjukkan bagaimana kita boleh menggunakan mesin jahit  untuk menjahit sembat ini. Jahitannya kemas dan cepat. Masa pun tidak terbuang.

Lihat contoh di bawah. Benang hitam digunakan supaya nampak jelas cara menjahit.

Lipat kain menggunakan jarum peniti

Lipatan kain tadi sedia untuk dijahit

Sebelum mula menjahit, lipatan kain tadi dilipat sekali 
lagi ke arah bawah

Mulakan jahitan bawah pada hujung kain

Lihat cara menjahit

Hasil jahitan di belakang kain

Hasil jahitan di depan kain

SELAMAT MENCUBA

Monday 2 September 2013

Baju Mini Kurung Moden

Baju kurung memang sinonim dengan wanita melayu. Siapa wanita melayu tidak pernah memakai baju kurung. Semuanya pernah memakainya. Kalau tidak jangan sebut wanita melayu. Pakaian tradisional wanita melayu sejak zaman Kesultanan Melaka lagi.

Baju kurung bukan sahaja diminati oleh wanita melayu tetapi juga wanita dari kaum-kaum lain seperti Cina, India dan kaum-kaum di Sabah dan Sarawak. Baju kurung dipakai di pejabat-pejabat dan menjadi kemestian di majlis perkahwinan orang-orang melayu, majlis pertunangan dan di majlis melibatkan agama Islam. Semasa perayaan hari raya sama ada Aidil Fitri atau Aidil Adha baju  kurung menjadi kemestian wanita melayu. Sekurang-kurangnya setiap wanita melayu mesti menempah baju kurung.

Untuk wanita Islam, baju kurung sesuai dipakai kerana menutup aurat, selesa dan tidak panas.

Baju kurung juga tidak terlepas dari perkembangan fesyen semasa. Dari baju kurung muncul pelbagai jenis fesyen baju kurung berbentuk moden seperti kebarung, baju kurung moden dan juga baju mini kurung moden.

Sebagai tukang jahit, baju kurung adalah baju yang pertama yang perlu dipelajari. Rugilah kalau tidak tahu menjahit baju kurung kerana baju ini sentiasa dipakai untuk diri sendiri dan anak-anak perempuan. Kalau tahu menjahit tentu dapat menjimatkan duit. Baju inilah yang paling banyak menerima tempahan. Saya menerima tempahan menjahit baju kurung yang tidak pernah putus-putus. Inilah 'core business' saya sebenarnya.

Kali ini saya nak tunjukkan baju mini kurung moden yang saya jahit menggunakan pola seperti di bawah.

baju mini kurung moden


pola baju mini kurung (klik untuk besarkan gambar)

Sunday 1 September 2013

Cara Jual Shawl Online

Pelbagai jenis shawl

bergaya dengan shawl

Semakin ramai yang melibatkan diri dalam perniagaan online. Antara yang popular adalah menjual tudung atau shawl secara online. Salah seorang customer saya, student dari UKM memberitahu dia berjaya sehingga 80 helai shawl sebulan. Baru-baru ini saya mendapat tempahan untuk menjahit tepi shawl dari student UPM sebanyak 51 helai. Sebelum ini sahaja ramai pelanggan saya datang khas untuk jahit tepi shawl. Sememangnya pertanyaan tentang shawl memang tak pernah putus-putus.

Trend menjual shawl secara online semakin meningkat kerana mendapat permintaan yang tinggi di kalangan remaja. Mereka kelihatan segak dan bergaya apabila mengenakan shawl di kepala. Anak saya sendiri lebih suka memakai shawl daripada tudung layer. Katanya trend sekarang remaja sekarang memang suka memakai shawl. Inilah peluang untuk menjual shawl secara online.

Lihat sahaja begitu banyak keyword yang digoogle di internet mengenai shawl seperti - shawl dua warna, shawl cotton tribal, shawl dua tone, shawl chiffon, shawl yuna, shawl zara, shawl sila amzah, shawl silk, shawl untuk pengantin, shawl cotton 2 layer, shawl muslimah, shawl bawal, shawl blog, shawl online murah, shawl online shopping, shawl online blog, shawl online boutique, blog jual shawl, dan banyak lagi.

Begitu banyak search untuk pelbagai jenis shawl menunjukkan permintaan yang tinggi untuk shawl. Kita perlu ambil peluang ini untuk mulakan perniagaan shawl secara online.

BAGAIMANA NAK BERMULA?

Minat

Mesti ada minat untuk berniaga. Kalau tak berminat lupakan sahaja niat utnuk berniaga.

Ilmu

Ilmu terutama sekali ilmu komunikasi dengan pelanggan. Ilmu menggunakan internet seperti facebook, e-mail dan lain-lain yang berkaitan. Memahami etika penggunaan internet penting supaya kita tidak dianggap sebagai penjual yang tak beretika. Pengetahuan tentang trend terkini shawl juga penting supaya kita tidak dianggap ketinggalan. Perkara ini boleh dipelajari jika kita ada minat.

Produk

Produk yang saya cadangkan adalah shawl.

Kita boleh membeli secara borong dengan harga yang murah. Jika kita membeli secara borong, corak atau pattern selendang adalah mengikut pattern yang telah sedia ada dari kilang. Kita tidak ada banyak pilihan.

Satu lagi cadangan saya kita membeli kain sendiri dan menghantarnya kepada tukang jahit. Kita beli kain mengikut kehendak kita sendiri dengan corak yang kita pilih sendiri. Potong sendiri kain mengikut bentuk selendang dan hantar kepada tukang jahit untuk jahit tepi halus. Saya menyedia perkhidmatan jahit tepi halus.

Untuk peringkat permulaan kita boleh cuba dengan modal yang kecil dahulu.

Komputer/Laptop dan Sambungan Internet

Kalau nak berniaga online kenalah sediakan semua peralatan ini. Kalau tak ada macam mana nak berniaga.

Kamera
Untuk mengambil gambar shawl yang cantik perlu ada kamera. Gambar ini perlu kita upload ke internet.

Kaedah Pembayaran

Kalau nak menjual mesti ada akaun di mana pembeli perlu transfer duit ke akaun kita. Saya cadangkan kita mengguna akaun maybank2u. Ini kerana di mana-mana sahaja terdapat mesin ATM Maybank dan dapat memudah pembeli membuat pembayaran. Antara cadangan lain menggunakan akaun CIMB. Untuk pembelian dari luar negara kita boleh guna akaun Paypal.

Menghantar Pesanan

Gunakan perkhidmatan pos laju atau perkhidmatan kurier yang lain di mana kita boleh tracking pergerakan produk.


PERKARA YANG PALING PENTING ADALAH MENGIKLANKAN PRODUK KITA.

Bagaimana nak mengiklankan produk kita?

Blog

Saya mencadang kita menggunakan blog untuk mempromosi produk shawl kita. Kita ada kawalan terhadap blog kita sendiri. Kita boleh kemaskini blog kita sebanyak mana yang kita mahu. Letakkan gambar-gambar shawl yang menarik. Iklankan blog kita. Kita perlu pastikan blog kita dipaparkan pada page google. Kita perlu mempelajari teknik SEO.

Kita boleh mengguna Blogspot atau Wordpress. PERCUMA sahaja. Belajarlah untuk membina blog. Jangan risau kalau kita tak pandai pada permulaan. Apabila kita dah mula berblog kita secara secra automatik akan menguasainya.

Blog saya sendiri pun dari segi rekabentuk tidaklah begitu menarik. Saya pun masih belajar. Template yang saya guna pun saya dapatkan secara percuma dari internet. Saya pun baru bermula dalam dunia blog ini. Alhamdulillah, setakat ini setiap hari ada sahaja pertanyaan dari pelanggan.

Kalau nak lebih professional kita boleh beli hosting dan domain kita sendiri.

Facebook

Kalau selama ini kita hanya menggunakan facebook untuk berkongsi gambar dan cerita kita. Kali ini kita boleh membuat promosi untuk memperkenalkan shawl kita. Gunakan facebook secara beretika. Jangan 'tag' ikut sesuka hati. Jangan keterlaluan mempromosi produk kita.

Facebook Fan Page

Kita boleh create dan set profile fan page kita sendiri untuk mengiklan produk kita. Jemput kawan-kawan kita untuk promosi fanpage kita.

Instagram dan Twitter

Mulakan upload gambar-gambar shawl kita dan sebarkan melalui twitter.

Mengiklan di web pengiklanan.

Antaranya seperti mudah.com dan majalah.com. PERCUMA

Kedai Online

Kalau perniagaan dah maju, bolehlah kita buka kedai online kita sendiri iaitu dengan mengguna e-commerce software atau blogshop. Kita boleh mengguna open source shopping cart sepert Zen Cart, Magento, ZeusCart, PrestaShop dan lain-lain. Pembayaran pula boleh setkan dengan mengguna kad kredit.


Bagaimana?

Kalau dah bersedia bolehlah mula. Pergi beli kain, potong ikut saiz shawl dan hantar kepada saya untuk jahit tepi halus dan start buat promosi. Ingat usaha yang bersungguh-sungguh akan menghasilkan kejayaan.


BEBERAPA TIP TAMBAHAN

1. Untuk menarik perhatian pelanggan, gambar yang kita upload mestilah cantik dan menarik. Kita boleh menggaya sendiri shawl yang kita nak jual. Kalau muka kiut, comel, segak lebih mudah menarik perhatian pelanggan. Kalau malu nak letak gambar sendiri boleh guna model atau gayakan sahaja pada kepala patung.

2. Kita mesti berani menonjolkan diri kita. Meletak gambar sendiri beserta contact no. lebih meyakinkan pelanggan. Kalau kita nak menyembunyikan identiti kita dan muncul sebagai anonymous tentunya pelanggan tak yakin dan menganggap kita cuba menipu.

3. Mencari kawan atau follower seramai mungkin. Ingat pembeli yang yakin dengan kita sahaja yang akan membuat pembelian.

4. Terus belajar ilmu perniagaan internet seperti rekabentuk blog/web, ilmu-ilmu seo supaya blog kita sentiasa dipaparkan di muka pertama terutamnanya di google. Bila pengguna internet membuat search produk shawl mereka akan menjumpai blog kita.

5. Mengembali wang kepada pelanggan jika pelanggan tak berpuashati.

6. Tunjukkan cara-cara memakai shawl yang kita nak jual seperti merakam dalam bentuk video dan upload ke Youtube.

7. Mengetahui trend shawl terkini dan mengambil peluang menjualnya semasa mendapat sambutan.


Kalau tak laku macam mana?

Bawa sahaja ke tempat kerja kita dan jual secara offline.

Kalau tak laku juga?

Boleh pakai sendiri.

SELAMAT MENCUBA


Wednesday 28 August 2013

Cara Jahit Shawl Half Moon 2 Layer

Trend memakai shawl half moon atau selendang separuh bulat menjadi kegilaan anak-anak remaja sekarang. Saya sendiri banyak mendapat permintaan menjahit shawl half moon ini.  Shawl half moon ini mudah dipakai, cantik dan nampak segak dipandang dan sesuai untuk pergi ke majlis-majlis.

Ianya juga mudah dibentuk dan amat sesuai dipakai dengan baju bercorak. Bahan kain yang nipis sangat selesa dan tidak panas. Boleh juga dipakai labuh atau singkat.

Untuk panduan ini saya mengguna chiffon georgette.Kain yang diperlukan lebih kurang 1 3/4 meter dan bidang 60.

Berikut adalah langkah-langkah untuk menjahit shawl half moon 2 layer.

Langkah 1: Sediakan pola dan kain.

Pola di bawah mengikut saiz yang diminta oleh pelanggan.



Langkah 2: Lipat kain menjadi 2.


Langkah 3: Lipat pola menjadi 2 letakkan di atas kain.


Langkah 4: Potong kain mengikut pola.



Langkah 5: Ulangkan untuk kain yang kedua tetapi dengan potongan kain kurang 2 inci dari kain yang pertama.



Langkah 6: Jahit kelim lebih kurang 1/4 inci untuk ke dua-dua kain.



Langkah 7: Lipat 2 kain. Tandakan dengan kapur di tengah-tengah.


Langkah 7: Cantum ke dua-dua layer. Lihat tanda kapur untuk mendapat centre kain. Lekatkan dengan mengguna jarum peniti. Kain yang kecil di atas dan yang besar di bawah. Mulakan jahitan di sepanjang kain.



Hasil kain yang telah dijahit.



Langkah 9: Kemaskan dengan jahitan tepi halus di sekeliling kain untuk kedua-dua layer.





Langkah 10: Shawl half moon sudah siap dijahit dan boleh digayakan di kepala.



SELAMAT MENCUBA

Monday 26 August 2013

Baju Kedah Moden

Baju kedah atau baju kurung kedah dipercayai berasal dari Selatan Thailand. Baju ini adalah inspirasi dari baju kurung asal yang berubah mengikut rekabentuk dan fesyen-fesyen tertentu.

Dari baju kurung yang asal terhasilnya pelbagai jenis rekabentuk baju kurung seperi baju kurung melaka, baju kurung pahang, baju kurung riau, baju kurung johor atau dikenali juga baju kurung teluk belanga, baju kurung cekak musang dan juga baju kurung kedah.

Baju kedah biasanya dipakai bersama kain batik atau kain sarung dan disifatkan sebagai pakaian seharian atau pakaian basahan. Baju kedah lebih menyerupai blaus pendek dibuat singkat sampai ke paras punggung.

Di negeri Kedah baju ini suka dipakai oleh kaum wanita yang membantu keluarga atau suami di bendang.

Baju kedah juga tidak ada pesak dan mempunyai poket besar untuk mudah mengisi barang tertentu.

Baju kedah moden pula adalan inspirasi dari baju kedah tradisional di mana pada masa sekarang dipakai bersama kain lipat depan atau kain susun belakang. Baju kedah moden tidak lagi mempunyai poket dan sudah biasa dipakai ke majlis-majlis seperti majlis kenduri.

Itulah serba sedikit maklumat yang aku tahu mengikut sumber Wikipedia dan dari pemerhatian aku sendiri.

Tempahan baju kedah adalah antara yang paling aku suka kerana mudah dijahit dan cepat siap. Untuk sepasang baju kedah moden dan kain biasanya aku boleh siapkan dalam masa tidak sampai satu jam.

Gambar di bawah adalah baju kedah yang siap dijahit untuk pelanggan.


baju kedah moden

Post Utama

Kedai Online Nash Fesyen

Post Paling Popular

HAKCIPTA TERPELIHARA NASH FESYEN 2018