Wednesday, 8 July 2015

Tudung Twist Soft Awning







Hari raya aidilfitri akan menjelma dalam beberapa hari sahaja lagi. Sepatutnya target saya semua tempahan menjahit akan disiapkan dalam dua minggu sebelum hari raya. Saya perlu membahagi masa untuk terutama dalam dua minggu terakhir ini untuk persediaan menyambut aidilfitri terutamnya untuk siapkan baju raya untuk saya dan anak-anak. Sebaliknya semakin dekat dengan aidilfitri semakin banyak pula pertanyaaan dan tempahan yang dihantar terutamanya untuk tempahan perseorangan. 

Tudung dan shawl yang paling banyak dihantar untuk tempahan menjahit. Saya boleh menolaknya tetapi memandangkan pelanggan yang datang adalah pelanggan yang selalu datang memujuk saya untuk menerimanya saya menerimanya juga. Lagi pun masa pun masih ada dan sempat untuk siapkan tempahan. Mungkin selepas membeli baju raya dan kesukaran untuk memilih tudung yang sesuai maka pilihan tudung yang sesuai adalah dengan membeli kain dan menghantarnya untuk dijahit. 

Akhir-akhir ini juga ramai yang menghantar untuk potong labuh kain. Untuk potong labuh kain saya masih menerimanya tetapi tidak untuk repair dan kecilkan baju atau kain. 

Sekarang saya meletak target baru untuk siapkan semua tempahan iaitu sehingga ahad ini. Selepas itu saya akan berehat panjang dan balik kampung sehinggalah seminggu selepas raya akan mula beroperasi semula. Sudah ramai yang bertanya terutamanya untuk tempahan pukal shawl, tudung dan kelas menjahit.

Tudung di atas adalah tudung twist soft awning dari kain moss crepe. Saya pernah tunjukkan cara menjahit tudung labuh berdagu dalam blog ini dan caranya lebih kurang sama sahaja cuma tudung ini tanpa pelapik dagu. Boleh juga guna material lyca untuk menjahit tudung ini dan meletak pelapik dagu sebagai mana tutorial yang saya tunjukkan sebelum ini. Pelbagai warna tudung dari pelanggan saya ini memberi banyak pilihan untuk warna dan corak baju. Warna lembut yang dipilih akan memberi kecerahan kepada pemakainya sebagaimana cahaya api yang menyambar pada muka dan akan nampak berseri-seri apabila dipakai pada hari raya nanti. 

Kemasan keliling pula menggunakan jahit tepi halus untuk mendapat kesan curly tudung ini. Selain dari kemasan jahit tepi halus boleh juga menggunakan kemasan jahit coverstitch sebagaimana tutorial saya sebelum ini. 

Wednesday, 17 June 2015

Selamat Menyambut Ramadan Al-Mubarak 2015


Kepada semua pembaca blog www.nashfesyen.blogspot.com saya ingin mengucapkan selamat menunaikan ibadah puasa 2015-1436H.

Semoga ramadan tahun ini menjadi lebih baik dari ramadan-ramadan sebelum ini.

Wednesday, 3 June 2015

Tempahan Tudung Untuk Majlis Tilawah Al Quran Peringkat Antarabangsa 2015




Tilawah Al Quran Peringkat Antarabangsa akan diadakan pada minggu depan iaitu dari 10 Jun 2015 hingga 16 Jun 2015 di PWTC, KL yang akan disertai oleh qari dan qariah dari pelbagai negara. Teringat semasa dulu apabila adanya majlis tilawah Al Quran maka teringatlah pada bulan puasa. Kemerduan suara qari dan qariah sentiasa menusuk kalbu apabila mereka mengumandangkan ayat-ayat Al Quran. Sayunya terasa di hati.

Apa yang istimewanya tilawah pada kali ini kepada saya kerana mendapat tempahan menjahit tudung yang akan dipakai oleh qariah-qariah semasa majlis tilawah Al Quran nanti.  Tudung dari material moss crepe glitter yang  dijahit secara simple sahaja. Kesan glitter pada tudung akan nampak berkilauan apabila disinari cahaya lampu semasa qariah naik ke pentas nanti. 

Satu kebanggan pula kepada saya apabila mendapat kepercayaan untuk menjahit tudung ini.

Monday, 1 June 2015

Festival Floria Putrajaya 2015

Rancangan asal cuti sekolah pada kali ini adalah untuk balik kampung. Anak-anak pun suka sebab biasanya kalau balik kampung memang ada rancangan untuk berjalan-jalan. Memandangkan tempahan menjahit kali ini berlipat kali ganda banyaknya berbanding tahun lepas, rancangan balik kampung terpaksa ditangguhkan. Jika balik kampung sekurang-kurang mengambil masa empat atau lima hari. Kebanyakan pelanggan pula hendakkan tempahan disiapkan sebelum bulan puasa terutama untuk shawl dan tudung. Menghabiskan masa di kampung untuk lima hari akan menyebabkan tekanan dari pelanggan meningkat. Lebih baik berkorbankan sahaja rancangan balik kampung. Lagi pun hari raya nanti lebih kurang sebulan lebih sahaja lagi akan balik kampung juga. Menangguhkan dahulu keseronokan balik kampung adalah pilihan yang terbaik.

Untuk tidak menghampakan cuti sekolah anak-anak yang suka berjalan-jalan maka dipersetujui supaya pergi sahaja ke tempat yang mudah dan dekat dan tidak mengambil masa yang lama. Oleh yang demikian Festival Floria atau Pesta Bunga Putrajaya menjadi pilihan. Selepas ini mungkin akan berjalan-jalan di sekitar KL sahaja.

Masa untuk pergi pula adalah pada waktu malam supaya tidak panas dan mudah untuk berjalan. Disangkakan pengunjung tidak ramai kerana pergi pada hari Ahad malam Isnin kerana keesokan harinya adalah hari bekerja. Rupa-rupanya pengunjung ramai sekali sehingga terpaksa mletak kereta pada tempat yang jauh di tepi jalanraya.  Oleh kerana bertolak keluar rumah agak lewat, sampai di sana pun dalam sekitar jam 9.30 malam. Festival dibuka sehingga pukul 12 malam. Bayaran dikenakan untuk masuk iaitu dewasa RM5 dan kanak-kanak RM1. Walaupun lewat kebanyakan tempat berjaya dijelajahi.

Terdapat pelbagai jenis spesis bunga di sini berserta dengan taman-taman mini yang disusun dengan penuh kreatif dengan cahaya lampu yang bergemerlapan. Peminat-peminat bunga tentu akan berpuashati dengan segala jenis bunga dengan warna-warna yang menarik, bau-bauan bunga yang enak, bentuk bunga yang pelbagai, hiasan-hiasan yang sangat kreatif serta pelbagai tarikan yang lain.

Rakaman gambar di bawah sebagai kenangan melawat Festival Floria Putrajaya 2015.

Tiket masuk ke tapak pesta & tiket masuk ke 'Winter & Spring Garden'

Parking di tepi jalan raya. Terpaksa jalan jauh ke tapak pesta

Di dalam tapak pesta

Beberapa Gambar Menarik Semasa Kunjungan








Winter & Spring Garden. Tiket masuk RM3 seorang. 




Bahagian Pameran Bunga-Bungaan Yang Menarik.




Gambar dirakam pada waktu malam dengan kilauan cahaya lampu. Banyak gambar yang tak menjadi. Mungkin lebih menarik jika datang waktu siang. Ada pameran kucing juga di sini malangnya tidak berjumpa seekor kucing pun ketika kunjungan.

Thursday, 28 May 2015

Tempahan Shawl Dari Seberang Jaya




Shawl kedut





Shawl bunga ros

Menghampiri bulan Ramadan menjadikan seoarang tukang jahit seorang yang sangat sibuk. Pada masa sekarang tempahan yang masuk tidak berhenti-henti. Tempahan shawl dari peniaga terutamanya perlu disiapkan sebelum puasa bermula kerana pada masa itu jualan mesti dilakukan awal. Tempahan baju raya pula perlu dirancang dengan betul untuk mengelaknya dari tidak siap. 

Ini menjadikan tukang jahit dalam dilema sama ada untuk terus mengambil tempahan atau berhenti dahulu sehingga tempahan yang ada berkurangan. Berhenti mengambil tempahan terutamanya dari customer baru memang merugikan kerana jika customer itu pertama kali datang mereka berpotensi menjadi customer tetap pada masa depan. Bagi customer lama pula apabila sudah biasa membuat tempahan mereka tidak mahu lagi mencari di tempat lain. Memang sukar untuk menolak. Keupayaan menjahit seorang diri memang tidak boleh kerana setiap orang hanya ada 24 jam sehari. Apabila ditolak waktu tidur dan urusan yang lain masa yang tinggal untuk menjahit hanya beberapa jam sahaja. Cara yang terbaik adalah dengan menambah lagi tukang jahit untuk membantu. Masa yang diperlukan sekarang sudah boleh digandakan. 

Cabaran baru pula akan timbul. Adakah kuliti jahitan sama seperti yang dikehendaki?  Cabaran ini akan berkurangan apabila tukang jahit yang baru tadi semakin mahir menjahit. Pada masa sekarang sudah mula berfikir untuk menambah lagi tempahan untuk diambil. Oleh itu cabaran itu akan berterusan sehinggalah apabila tempahan baru sudah tidak diambil lagi. Begitulah kitarannya.

Kadang-kadang berfikir juga tidak perlu lagi membuat promosi. Cukuplah dengan apa yang ada. Jangan jadi tamak yang akhirnya memudaratkan diri sendiri. 

Mungkin saya perlu berfikir untuk menjahit untuk produk sendiri sahaja.

Post Utama

Kedai Online Nash Fesyen

Post Paling Popular

HAKCIPTA TERPELIHARA NASH FESYEN 2018