Monday 23 February 2015

Baju Fesyen & Baju Pengantin



Tempahan paling mudah untuk baju fesyen sama ada dengan memberi baju contoh atau menghantar gambar melalui whatsapp. Saya akan melihat dahulu fesyennya dan jika semuanya ok termasuk bersetuju dengan harganya bolehlah datang ke kedai untuk menghantar kain untuk dijahit.

Ramai dari kalangan remaja sekarang begitu mudah untuk memilih baju berfesyen. Begitu juga ketika hendak memilih baju untuk majlis pertunangan atau ketika hari perkahwinan. Banyak pilihan boleh dibuat pada masa sekarang. Hanya dengan menggunakan engine carian seperti google image, banyak fesyen pilihan boleh dijumpai Taip sahaja di kotak google image akan muncul pelbagai jenis fesyen pilihan. Pilih sahaja fesyen yang berkenan di hati an terus boleh hantar image gambar tadi kepada tukang jahit melalui aplikasi whatsapp, telegram dan sebagainya untuk membuat tempahan menjahit. Begitu mudah sekali berbanding masa dahulu yang terpaksa mencari dari satu butik ke butik yang lain. Kadang-kadang sudah berjumpa dengan fesyen pilihan, ukuran pula tidak sesuai dengan bentuk tubuh badan. Melepas begitu sahaja.

Baju pengantin di bawah juga ditempah melalui contoh gambar. Semuanya serba mudah jika sudah berminat.


Beberapa contoh fesyen dress dan jubah yang sudah siap dijahit.



Semakin ramai yang booking untuk tempahan hari raya nanti. Nampaknya tempahan menjahit untuk hari raya ini terpaksa ditutup lebih awal. Mungkin sebulan sebelum hari raya.

Sunday 22 February 2015

Shawl Pleat Di Bahu



Shawl dengan jahitan pleat mendapat sambutan yang baik dalam fesyen instant shawl. Kedudukan pleat tidak semestinya berada di bahagian atas kepala tetapi juga boleh berada di hadapan atau di sisi pada atas bahu

Pleat pada shawl di atas di jahit pada kedudukan bawah pada shawl dan apabila dililit ianya terletak di atas bahu.  Kain yang digunakan adalah kain chiffon dengan kemasan sebelah atas dijahit dengan kelim halus.

Tuesday 17 February 2015

Baju Kain Batik Sarung



Kain batik sebagai sarung popular di kalangan generasi lama seperti emak dan nenek kita dahulu. Dipakai sebagai pakaian harian dan juga sebagai kain basahan. Generasi baru hampir melupai kain batik ini sebagai pakaian harian dan juga kain basahan dan mungkin tidak selesa untuk memakainya lagi. Lebih suka memakai seluar dari memakai sarung.

Generasi dahulu memakai kain batik ketika berada di rumah, bejumpa jiran-jiran malahan ketika melakukan kerja di kebun atau di sawah. Seringkali juga sebagai kelubung atau tudung kepala. 

Bagi mereka yang menyukai fesyen blouse mungkin juga boleh memikirkan untuk mengguna kain batik sarung sebagai kain untuk membuat baju atau blouse sebagaimana tempahan pelanggan saya ini. 

Baju kain batik sarung ini sesuai sebagai pakaian harian ketika melepak bersama rakan-rakan atau ketika keluar berjalan dan juga untuk ke majlis-majlis tertentu. Fesyen yang ditempah ini dengan butang di hadapan memberi keselesaaan ketika hendak memakainya.

Dengan motif bunga yang menarik menjadikan fesyen menarik sekali sebagai pakaian pilihan. Jika tidak selesa memakai kain batik mari cuba memakai baju kain batik sarung pula.

Monday 16 February 2015

Tudung Sedondon & Tudung Pengantin


Tudung sedondon


Tudung pengantin


Tudung 2 layer hard awning


Tudung 2 layer soft awning

Tudung sedondon biasa dipakai apabila ahli keluarga berkumpul terutama jika ada majlis-majlis tertentu seperti majlis perkahwinan. Untuk mendapat tudung sedondon dengan mencari di kedai-kedai memang susah. Cara yang terbaik adalah dengan membuat tempahan. 

Tempahan tudung sedondon di atas adalah untuk majlis perkahwinan yang akan diadakan di Kelantan pada cuti Hari Raya Cina nanti. Tudung 2 layer dengan warna hijau lumut dan krim dipilih sebagai warna untuk memeriahkan majlis nanti. Tempahan bersama dengan tudung pengantin di mana warna krim 2 layer dipilih untuk pengantin. 

Hari ini juga saya perlu siapkan kerana besok pelanggan saya ini sudah nak bergerak balik ke kampung. Tempahan sepuluh helai semuanya dengan 8 dewasa dan 2 kanak-kanak termasuk tudung pengantin. Salah satu tudung adalah dengan jahitan soft awning. 

Tentunya lebih meriah kalau tempahan dibuat bersama-sama dengan sepasang baju.

Sunday 15 February 2015

Shawl Instant Lycra Bercorak






Menjahit perlukan kemahiran. Untuk mendapat kemahiran perlukan diulang berkali-kali tanpa jemu. Misalnya untuk menjahit kelim, jahit gulung atau jahit pleat, jika tidak dicuba berkali-kali tidak akan berjaya untuk mendapat jahitan seperti yang dikehendaki. Saya sendiri semasa mula menjahit kelim sentiasa sahaja jahitan tergelincir dan serba tidak menjadi. Frust memanjang. Apabila selalu mencubanya, menjadikan saya semakin mahir dan sekarang terasa semakin cepat dan mudah. Pekerja saya sendiri yang saya latih menjahit pleat juga semakin mahir sekarang ini. Pada mulanya memang banyak berlaku kesilapan sehingga perlu menetasnya berkali-kali.

Jika ada yang bertanya saya supaya tunjukkan tutorial bagaimana cara menjahit tepi halus, jahit kelim, pleated dan lain-lain, saya boleh tunjukkan apabila berada di hadapan mesin jahit. Selepas itu perlu praktis berkali-kali sehingga mahir. Salah seorang pekerja saya yang pada mulanya datang bekerja tidak tahu langsung menggunakan mesin jahit tepi. tetapi sekarang sudah mahir dan sudah pandai untuk menukar benang sendiri, setting mesin mengikut kesesuaian kain dan tahu untuk menyelesaikan masalah jika benang putus.

Begitu juga cara menjahit untuk sesetengah pattern tudung, cara menjahitnya tidak perlukan pola tetapi hanya perlukan sedikit pengubahsuaian semasa menjahit. Menjahit perlukan kesabaran dan ketekunan. Kreativiti untuk menghasil tudung atau pakaian dengan fesyen tertentu akan datang dengan sendiri dengan hanya sekilas pandang sahaja pada tudung atau pakaian yang ingin dijahit. Kadang-kadang dengan gambar atau contoh sahaja sudah boleh agak cara jahitannya.

Shawl instant lycra bercorak seperti di atas juga berasal dari pola yang asas sahaja. Dengan sedikit pengubahsuaian boleh menghasilkan shawl seperti yang dikehendaki. Ada beberapa tutorial yang saya tunjukkan dalam entri yang lepas boleh menjadi asas untuk menjahit tudung dan shawl sendiri.

Dalam seminggu dua ini saya amat sibuk kerana ramai pelanggan hendak ambil tudung dan baju sebelum Raya Cina.  Raya Cina tinggal beberapa hari sahaja lagi.Terpaksa sehari suntuk berada di kedai, kadang-kadang hingga ke malam. Tak menang tangan nak menepis bila ada yang bertanya bila boleh siap baju dan tudung.  Sebab itu entri blog semakin hari semakin ringkas. Tak sempat nak fikir apa yang perlu ditulis.

Raya Cina pun dan jadi macam Raya Melayu. Ramai yang nak pakai tudung dan baju baru.

Friday 13 February 2015

Tudung Twist Awning Lembut



Tudung twist soft awning ini tanpa pelapik dagu dan awningnya adalah awning lembut. Senang nak solat. Untuk menghasilkan tudung ini saya membuat sedikit pengubahsuaian pada pola asal seperti yang pernah saya tunjukkan pada tutorial "Panduan Menjahit Tudung Labuh Berdagu" untuk disesuaikan dengan ukuran yang diminta oleh pelanggan. Cara menjahitnya sama sahaja seperti panduan yang telah saya tunjukkan pada tutorial yang lepas cuma tanpa pelapik dagu.

Kepada peminat tudung twist sama ada dengan pelapik dagu atau tanpa pelapik dagu bolehlah mencuba. Kali ini pilihan pelanggan adalah warna hitam. Ada beberapa lagi tempahan tudung yang seterusnya selepas tempahan pertama ini.   

Semakin hari semakin sibuk pula saya menerima pelanggan-pelanggan baru yang datang setiap hari sampai masa menjahit menjadi semakin kurang.

Thursday 12 February 2015

Tudung Labuh








Sesuai untuk mereka selesa dengan bertudung labuh yang menutup badan. Kepelbagaian warna memberi lebih keceriaan kepada pemakai. Juga boleh dipakai untuk menunaikan ibadat solat.

Al-Fatihah buat Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang telah kembali ke rahmatullah. Salam takziah kepada keluarga bekas MB Kelantan. Teringat tok guru pernah datang ke kampung dan menjadi imam di surau kami.

Innalillahiwainnailaihirajiun. 

Wednesday 11 February 2015

Blouse Lycra


Bagi mereka yang memikirkan apakah pakaian yang sesuai untuk dipadankan dengan seluar, kain atau sarung yang bukan sepasang dengan baju boleh memilih blouse sebagai pakaian pilihan.Blouse yang merupakan baju pendek yang longgar sesuai sebagai pakaian harian. Tidak perlu dipadankan dengan kain sepasang menjadi pilihan untuk keluar berjalan-jalan, ke pasar harian malahan untuk berehat di rumah. Mernjadi pilihan terutama oleh golongan wanita yang selesa dengan pemakaian seluar panjang ketika untuk berjalan-jalan dan beriadah.



Blouse lycra seperti yang ditunjukkan dalam gambar menjadi pilihan pelanggan kerana sifat kain lycra yang sejuk, elastik dan lembut. Malahan mudah dijaga tanpa perlu diseterika. Warna pilihan adalah warna plain yang boleh sesuai dengan pelbagai jenis tudung.

Bagi tukang jahit pula untuk menjahit kain lycra memerlukan kemahiran tertentu dan juga mesin jahit yangs sesuai untuk menjahit lycra kerana sifat kain yang suka bergulung apabila digunting kerana sifat meregangnya. 

Post Utama

Kedai Online Nash Fesyen

Post Paling Popular

HAKCIPTA TERPELIHARA NASH FESYEN 2018