Thursday, 18 September 2014

Apakah Tujuan Mendapat Trafik Yang Tinggi Pada Blog?

Statistik Blog Nash Fesyen Untuk Setahun

Blog ini lahir pada 29 Julai 2013. Rupanya sudah setahun lebih aku menulis blog. Data di atas adalah data dari Google Analytics untuk blog ini dari 29 Julai 2013 sehingga 29 Julai 2014 untuk tempoh setahun. Jumlah pageviews untuk setahun adalah 831,508. Bounce rate pula adalah 3.20%. Tidak terlalu tinggi tetapi tidak juga terlalu rendah.

Setiap blogger inginkan trafik yang tinggi untuk blog mereka. 

Apakah tujuan mendapat trafik yang tinggi?

Adakah trafik yang tinggi merupakan kejayaan kepada sesuatu blog?

Setiap orang ada pandangan sendiri mengikut matlamat masing-masing menulis blog.

Jika matlamatnya untuk berdakwah dan menyampai ilmu, trafik yang tinggi merupakan suatu kejayaan. Tetapi itu juga bergantung kepada kandungan blog masing-masing, Apakah ilmu dan dakwah yang hendak disampaikan berkesan atau tidak.

Matlamat setiap orang berbeza. Terserahlah kepada tujuan masing-masing menulis blog. Antaranya seperti untuk menambah pendapatan, menambah kenalan, membantu orang lain, berkongsi pengalaman, mengumpul follower, menjadi popular, mengasah skill menulis, sebagai rujukan sendiri, menyampai pendapat, menyediakan panduan, merakam kisah harian, kenangan hidup, mengurangkan stress, mendapat perhatian dan lain-lain. Perlu tanya diri sendiri apabila sudah lama menulis adakah matlamat tersebut telah tercapai. 

Bagi blog ini, matlamat adalah untuk memperkenalkan perkhidmatan jahit menjahit yang aku lakukan dan seterusnya menjana pendapatan. Untuk menambah pendapatan aku perlu memastikan pengunjung yang datang ke blog ini menjadi pelanggan untuk servis yang aku lakukan. Biar trafik tidak tinggi tetapi trafik tersebut berjaya menambah pendapatan kepada ku. 

Trafik yang diperlukan adalah  trafik sasaran (targeted traffic) iaitu trafik yang boleh menukar pengunjung menjadi pelanggan yang ingin mendapat perkhidmatan yang aku sediakan.

Salah satu cara untuk mendapatkannya adalah dengan bermain-main dengan keyword untuk servis yang aku lakukan supaya melekat di muka pertama google. Dengan carian melalui google akan membawa mereka ke blog ini. Itu yang selalu aku fikir dan kaji sejak hari pertama lagi aku membangunkan blog ini. Bagi aku kajian keyword amat penting untuk mencapai matlamat yang aku tetapkan. Trafik hanyalah strategi tetapi bukan lagi kejayaan.

Keyword berikut adalah antara yang mendapat tempat di page pertama google untuk blog ini. Keyword untuk perkhidmatan yang aku sediakan adalah seperti jahit tepi halus, jahit tepi tudung, jahit tepi shawl, jahit tepi selendang, kelas menjahit tudung, cara menjahit tudung, tempahan menjahit tudung, belajar menjahit tudung, tempahan jahit tepi shawl dan banyak lagi yang berkaitan dengan jahit menjahit pakaian wanita. Pusing macam mana pun keyword  di atas sentiasa berada di muka pertama google buat masa ini.

Apabila pengunjung mencari keyword tersebut membawa mereka ke blog ini dan sudah tentunya mereka mencari perkhidmatan yang aku sediakan. Kalau tidak apakah tujuan mereka mengoogle keyword tersebut.

Itulah yang dikatakan trafik sasaran atau "targeted traffic" yang aku cari. Oleh sebab itu keyword lain seperti "artis popular 2014", "cara kuruskan badan", "gambar lucah" tidak relevan untuk blog ini tetapi mungkin relevan untuk blog yang lain. Jika ada juga yang datang melalui keyword tersebut ia akan menjadi trafik yang sia-sia.

Keyword dan trafik yang tinggi sahaja tidak mencukupi jika tidak berjaya menukar pengunjung menjadi pelanggan atau sekurang-kurang menjadi pengunjung setia yang akan membaca blog ini setiap hari. Perkara yang paling penting adalah apakah kesan kepada pengunjung tersebut apabila membaca blog ini. Apakah apa yang mereka cari boleh didapati dalam blog tersebut. Mesti ada conversion.

Dari sini pentingnya ilmu "copy writing" iaitu skil menulis kandungan blog untuk tujuan promosi sehingga membuat pengunjung tidak tidur lena,  mempengaruhi emosi pengunjung untuk mendapatkan servis atau produk yang disediakan.

Cuba fikirkan perkara berikut. Yang mana lebih baik untuk yang bermatlamat menjana pendapatan.

1. Blog yang mempunyai 1,000,0000 trafik sebulan menjana pendapatan RM2,000 sebulan
2. Blog yang mempunyai 100,000 trafik sebulan menjana pendapatan RM20,000 sebulan.

Tentunya blog 2 walaupun trafik kurang tetapi pendapatan bulanan lebih tinggi daripada blog 1.

Jadi bagi aku trafik yang menentukan kejayaan sesuatu blog adalah trafik yang datang dari "targeted traffic" yang boleh mencapai matlamat yang kita tetapkan. Trafik yang tinggi tetap penting dan merupakan satu bonus jika mendapatnya tetapi biarlah konsisten sepanjang masa dan bukan untuk tajuk tertentu sahaja. Trafik yang konsisten sepanjang masa juga merupakan antara matlamat untuk blog ini.

Blog sebagai medium untuk aku memperkenalkan servis yang aku lakukan. Biarlah trafik biasa-biasa sahaja tetapi merupakan trafik sasaran yang aku perlukan. Oleh sebab itu aku masih mengekalkan blog ini sebagai blog untuk niche jahit menjahit dan fesyen wanita tanpa mencampur aduk dengan berita-berita semasa yang lain.

Blog ini bukan untuk menjadikan aku popular dan bukan juga untuk mendapat pendapatan melalui pengiklanan.. Oleh sebab itu aku lebih suka jika trafik yang datang adalah 'targeted traffic".

Berikut adalah statistik blog ini untuk beberapa bulan yang aku ambil dari Google Analytics.

Bulan August 2014

Pageviews 100,222. Average sehari 3,330.
Bounce rate 1.75%

Bulan March 2014

Pageviews 98,574. Average sehari 3,200
Bounce rate 2.45%

Bulan December 2013

Pageviews 90,179. Average sehari 3,000.
Bounce rate 3.85%.

Bulan August 2013

Statistik untuk bulan pertama blog ini dilancarkan.

Pageviews 654. Average sehari 22.
Bounce rate 63.91%

Kalau melihat kepada statistik di atas, statistik blog ini menunjukkan trafik yang semakin bertambah bulan demi bulan. Walaupun tidak banyak tetapi sentiasa konsisten. Bounce rate juga rendah menunjukkan pengunjung membaca lebih dari satu page apabila datang ke blog ini. 

Aku patut berbangga dengan pencapaian blog ini.

Wednesday, 17 September 2014

Pleated Shawl





Kali ini saya tunjukkan pula fesyen shawl dengan jahitan pleat. Jahitan pleat iaitu 3 garisan lurus jahitan  di sepanjang shawl menjadikan ianya sangat menarik. 

Bolehlah cuba sendiri untuk menjahit. Untuk entri akan datang pula saya akan tunjukkan instant shawl pula dengan jahitan pleat.

Monday, 15 September 2014

Tudung Syria Dengan Pelapik Dagu






Tudung Syria Berdagu


Pola Tudung Syria Berdagu

Fesyen selalunya berkaitan dengan pengulangan idea. Sedikit sentuhan dan olahan pada fesyen akan mencipta suatu trend baru. Menghasilkan sesuatu yang unik, menjadi ikutan dan kegilaan.

Dari bahan asas benang ditenun menjadi kepingan kain. Dari situ munculnya pereka fesyen memerah idea, menghasilkan lakaran fesyen untuk diserahkan kepada tukang jahit untuk direalisasikan menjadi produk pakaian yang dikehendaki. 

Sesuatu produk itu tidak akan menjadi kenyataan jika tidak mendapat sentuhan dari tukang jahit. Kemahiran tukang jahit sahaja yang mampu menukar kepingan kain menjadi produk tiga dimensi yang cantik, menarik dan indah dipandang.

Tudung jahitan kali ini atas permintaan pelanggan iaitu tudung syria ditambah dengan pelapik dagu. Tudung dengan ukuran labuh dengan fabrik dari jenis lycra. Dijahit tepi dengan jahitan coverstitch. Saya sertakan pola untuk panduan menjahit. Tutorial menjahit tudung di dalam blog ini sudah mencukupi untuk menjahit sendiri tudung ini. 

Sebab itu saya katakan fesyen itu sendiri hanyalah pengulangan idea. Idea yang asal semua orang boleh menggunakannya kerana sudah lama wujud.

Friday, 12 September 2014

Tudung Lycra Berawning



Tudung berawning memang mudah dipakai. Capai dan sarung sahaja di kepala terus menjadi. Oleh sebab itu ianya sentiasa menjadi pilihan walalupun shawl atau selendang semakin menjadi fenomena sekarang.

Tudung berawning yang ditunjukkan di atas adalah dari material lycra. Awningnya adalah dari jenis hard awning juga dari material lycra. InshaAllah jika sesiapa yang telah mencuba panduan menjahit tudung yang saya tunjukkan dalam blog ini, boleh cuba menjahit tudung ini pula. Kemasan tepi adalah menggunakan jahit tepi halus. Jika inginkan kemasan menggunakan jahitan piping atau coverstitch juga menghasilkan kemasan yang menarik. Jika ada keinginan bolehlah cuba menjahit sendiri.

Jika tahu menjahit tudung sendiri memang seronok. Dengan sedikit asas menjahit tudung kita boleh menghasilkan berbagai fesyen tudung. Saya sendiri hanya mengikuti kursus untuk satu pattern tudung sahaja. Yang lain semuanya dijahit sendiri dengan bantuan pola.

Tudung dengan pattern di atas adalah antara fesyen tudung yang banyak ditempah oleh pelanggan.

Thursday, 11 September 2014

Tudung Syria Lycra Piping Bersama Inner


Tudung Syria Piping

Inner

Pada entri sebelum ini saya tunjukkan shawl dengan jahitan piping. Tempahan pelanggan kali juga hendakkan jahitan piping tetapi pada tudung syria. Tempahan sekali bersama dengan inner atau anak tudung seperti yang saya tunjukkan pada gambar di atas. Pilihannya dengan saiz labuh. 

Kain yang digunakan untuk tudung ini adalah kain lycra dengan warna pink pelanggan. Ada dua warna sebenarnya yang ditempah tetapi tak sempat nak pergi cari kain. Tudung ini memang sesuai kepada mereka yang sukakan penampilan tudung labuh.

Saya memang bercadang untuk membeli lebih banyak stok kain terutama warna plain untuk kain chiffon dan lycra supaya mudah dan cepat untuk saya siapkan tempahan tetapi rumah saya tidak banyak ruang lagi untuk menyimpan stok.

Nampaknya saya perlu tempat yang lebuih besar dan luas sebelum ini.

Saya pernah tunjukkan bagaimana unruk menjahit sendiri tudung syria dan piping. Boleh lihat pada entri saya yang lepas atau boleh klik pada tajuk di bawah.



Kepada sesiapa yang baru berjumpa dengan blog ini jangan lupa lihat juga pada entri yang lepas. Banyak fesyen tudung, shawl dan pakaian yang saya kongsikan dalam blog ini. Tak sangka rupanya blog ini sudah melebihi setahun.

Shawl Chiffon Jahit Piping


Shawl panjang dengan kemasan piping

Minggu ini saya betul-betul jadi Supermom. Suami kerja "outstation". Urusan menghantar anak pergi dan balik sekolah perlu dilakukan sendiri. Kebiasaannya menghantar anak ke sekolah dilakukan oleh suami. Minggu ini pula anak yang nombor tiga mengambil peperiksaan UPSR.

Bermula pukul 6.30 pagi menghantar anak ke sekolah menengah. Balik ke rumah dalam pukul 7.30 pagi pula perlu hantar anak yang nombor empat ke sekolah agama. Pukul 7.50 pagi hantar anak yang kecil sekali ke sekolah tadika. Pukul 8.15 pagi baru sampai ke rumah. Bersiap-siap pula untuk ke pejabat pos laju untuk mengurus tempahan pelanggan. Tengahari perlu mengambil  anak pulang dari sekolah pula. Apabila berada di rumah perlu mengurus urusan harian rumah tangga. Membasuh, mengemas dan menjemur pakaian. Semua dilakukan sendirian. 

Apabila anak-anak pulang dari sekolah harapkan boleh lipat kain baju tetapi apabila disuruh ada sahaja alasan. Kerja sekolah banyak, nak study sebab ada exam dan macam-macam lagi.

Mengadap komputer boleh pula lama-lama. Macam-macam dibuka. Facebook, instagram, twitter, tumblr semua ada akaun.

"Ala ibu ni, nak release tension sekejap pun tak boleh"

Suruh lipat kain baju tak mau. Makan pandai pula cari sendiri. Tak payah suruh.

Saya sendiri nak mengadap komputer lama-lama pun tak boleh. Banyak kerja lain nak buat. Bertuah sungguhlah siapa yang banyak masa yang selalu jemput saya main game "Candy Crush".

Namun sesibuk mana sekali pun aktiviti menjahit tetap dilakukan setiap hari. Kali ini tempahan dari pelanggan adalah shawl panjang dan lebar. Kemasan tepi yang diminta pula adalah dengan jahitan piping warna "mint green". Katanya untuk majlis pada 14hb September nanti. Material kain adalah dari kain chiffon georgette warna pink lembut. Dah selesai pos kepada pelanggan.

Untuk jahit piping ini saya dah pernah tunjukkan pada entri yang lepas. Boleh klik link di bawah ini untuk melihatnya dan boleh cuba untuk menjahit sendiri.


Mulai minggu depan anak-anak akan mula bercuti sekolah selama dua minggu. Terasa lega sedikit. Bolehlah ambil lebih banyak tempahan lagi. Pada masa sekarang pun setiap hari ada tempahan yang masuk. Ada yang minta membuat pelbagai jenis fesyen shawl dan tudung. Ada setengahnya terpaksa ditolak. Bukan tidak boleh buat tetapi memerlukan masa untuk menjahitnya.

Kain chiffon yang dihantar oleh pelanggan
untuk dijadikan tudung dan shawl.

Setiap hari ada sahaja yang datang untuk berbincang tentang fesyen tudung dan shawl. Memang seronok apabila bersembang tentang bisnes shawl dan tudung.  Tambahan pula ada yang datang adalah mereka yang memang expert dalam bisnes ini. Memang tak sedar masa berjalan dengan begitu pantas. Ada sekali, hari itu punya la asyik bersembang sehingga anak yang darjah dua datang menegur. 

"Ibu, ibu belum sembahyang maghrib lagi".

Perbualan pun terus terhenti walaupun sedang rancak.

"InshaAllah lain kali kami datang lagi".

"Seronoklah bersembang dengan Kak Ros"

Sunday, 7 September 2014

Shawl Jahit Manik



Shawl Manik

Antara aksesori atau perincian yang paling banyak dijadikan hiasan pada tudung atau shawl adalah manik. Penggubah-penggubah manik yang memang pandai menyusun manik dengan pelbagai pattern gubahan dan  juga jenis manik menjadikannya sangat cantik sekali hiasannya. Tudung atasu shawl yang pada mulanya berharga puluhan ringgit meningkat menjadi ratusan ringgit hanya dengan tambahan hiasan manik yang menarik ini.

Permintaan terhadap tudung atau shawl manik ini memang cukup baik kerana dengan sedikit hiasan manik menjadikan pemakai tudung atau shawl manik ini kelihatan anggun, elegan dan menawan. 

Terdapat pelbagai bentuk dan saiz manik yang boleh diperolehi di pasaran dengan harga dari yang murah sehinggalah yang mahal. Sentuhan tangan seseoraang dan skil mengubah manik yang menjadikan tudung atau shawl itu berbeza antara satu dengan lain. Peminat-peminat shawl manik sentiasa mencari penggubah-penggubah yang pandai menjahit manik untuk tudung dan shawl mereka.

Gambar di atas adalah gubahan manik pada shawl halfmoon. Kepada peminat shawl manik bolehlah cuba untuk mengarang sendiri manik pada shawl halfmoon yang sedia ada. 

Di mana nak dapatkan shawl halfmoon? Klik sahaja pada shawl halfmoon dalam entri ini.

Post Utama

Kedai Online Nash Fesyen

Post Paling Popular

HAKCIPTA TERPELIHARA NASH FESYEN 2017