Monday 10 February 2014

Pelanggan Berulang Penting Untuk Perniagaan

Pelanggan dari Sabah




Pelanggan dari UKM

Bisnes menjahit untuk terus hidup tidak susah dan menikmati pendapatan yang konsisten setiap bulan tidak susah. Apabila sudah ada pelanggan setia, kita sudah ada asas yang cukup untuk mengekalkan pendapatan bulanan kita. Pakaian seperti baju, tudung dan sebagainya bukanlah barangan yang hanya perlu dibeli sekali sahaja. Pakaian perlu ditukar selalu. Sekurang-kurangnya setiap dua bulan sekali atau apabila tiba musim perayaan semuanya akan mencari pakaian baru.

Begitu juga untuk mereka yang mendapat servis untuk mendapat tempahan menjahit untuk menjual tudung atau shawl untuk dijual secara online. Apabila sesuatu produk itu sudah habis dijual, mereka akan datang lagi untuk membuat tempahan baru. 

Untuk mendapat pelanggan berulang atau setia inilah merupakan satu cabaran kepada tukang jahit. Bila sudah berjaya mengekalkan pelanggan setia ini kita akan menikmati pendapatan bulanan yang selesa. Jika kita sudah selesa dengan pendapatan kita melalui pelanggan setia kita dengan kapasiti yang kita ada, tidak perlu lagi kita susah-susah membuat promosi.

Sebagai seorang pengguna pula selalunya akan merasai pengalaman ini. Apabila seseorang pengguna itu sudah biasa membeli sesuatu produk atau mendapat perkhidamatan tertentu dari seseorang pengguna tersebut akan  terus membeli atau mendapat perkhidmatan dari tempat atau orangyang sama juga. 

Contohnya jika seseorang pengguna sudah mula menghantar kain untuk dijahit dari tukang jahit biasanya dia akan terus kekal dengan tukang jahit yang sama jika berpuas hati dengan servis yang pertama itu. Pandangan pertama atau 'first impression' terhadap sesuatu servis menyebabkan pengguna itu terus kekal dengan servis itu. Begitu juga untuk perkhidmatan yang lain seperti menggunting rambut dan lain-lain.

Ini kerana apabila pengguna  membeli atau sudah biasa mendapat perkhidmatan dari suatu kedai atau orang tertentu biasanya akan terus kekal dengan kedai yang sama atau orang yang sama. 

Mengikut kajian yang dilakukan kejayaan sesuatu bisnes sangat bergantung kepada  pelanggan yang berulang atau 'repeat customer'. Oleh itu mengekalkan pelanggan yang berulang adalah sesuatu yang amat kritikal terhadap sesuatu bisnes khususnya seperti bisnes menjahit yang saya lakukan.

Ini berlaku kerana antara pengguna dan penyedia perkhidmatan tersebut sudah ada satu hubungan peribadi yang mana pengguna merasa selesa untuk mendapatkan khidmat seterusnya daripada mereka. 

Apabila pengguna sudah biasa mendapat perkhidmatan dari tukang jahit yang sama mereka akan terus setia dengan tukang jahit tersebut walaupun terdapat tukang jahit yang lain menawar perkhidmatan yang sama. 

Begitu juga apabila pengguna sudah biasa membeli di kedai online tertentu, mereka akan terus membeli di kedai online yang sama walaupun banyak lagi kedai online yang lain menawarkan produk yang sama.

Kadang-kadang menjadi tradisi keluarga untuk terus kekal dengan perkhidmatan dari orang yang sama bermula dari dirinya sendiri sehinggalah ke anak cucunya. Malahan apabila diberi pilihan yang lain mereka tetap tidak mahu berubah. Kalau tukang jahit mendapat pelanggan sebegini tidak susah lagi untuk terus kekalkan bisnes yang ada.

Kepada penjual atau penyedia perkhidmatan pula seperi saya sendiri perlu melihat pelanggan berulang ini sebagai suatu peluang atau potensi untuk meneruskan kelangsungan dalam bisnes yang dijalankan.

Untuk membina 'repeat customer' penjual atau penyedia perkhidmatan perlu memastikan produk atau servisnya mempunyai ciri-ciri yang disukai oleh pelanggan. Itu yang perlu saya fikirkan untuk perkhidmatan yang saya sediakan

Untuk mendapat pendapatan yang konsisten saya perlu memastikan pelanggan saya yang sudah biasa mendapat perkhidmatan saya akan terus datang lagi dan lagi sehinggakan saya tidak perlu lagi mencari pelanggan yang baru apabila melebihi kapasiti saya untuk menjahit.

Sekarang saya melihat keadaan ini telah berlaku kepada banyak pelanggan saya yang sudah biasa membuat tempahan. 

Mari kita lihat apakah kelebihan pelanggan berulang ini?
  • Pelanggan yang sudah biasa dengan produk yang digunakan sukar untuk menukar dengan produk yang lain. Jika mereka sudah biasa dengan tudung jenama A, sukar sekali untuk menukar dengan tudung jenama yang lain walaupun tudung jenama lain setanding dan lebih baik daripada jenama A. Begitu juga dengan produk atau perkhidmatan yang lain. 
  • Adalah lebih murah untuk menarik pelanggan yang sedia ada berbanding yang baru kerana tak perlu lagi membelanjakan untuk iklan, marketing, media dan juga lain-lain untuk menarik pelanggan baru. Begitu juga banyak masa pun dapat dijimatkan. Masa yang ada boleh lebih fokus kepada menyiapkan tempahan atau memberi perkhidmatan yang lebih baik.
  • Apabila pelanggan pertama kali sudah suka dengan produk atau servis kita, mereka akan terus datang lagi untuk membeli atau membuat tempahan baru jika pada pandangan pertama terhadapa produk atau servis yang kita lakukan adalah baik dan bermutu. Biasanya pelanggan ini akan menyebarkan kepada kawan-kawannya yang lain  tentang produk kita. Pemasaran dari mulut ke mulut akan berlaku dan tersebar dengan lebih luas. 
  • Pelanggan mengharapkan kita mampu menyelesaikan masalah mereka dan mampu mengikut kehendak mereka. Jika kita mampu melakukan, mereka tentunya tidak ragu-ragu lagi akan setia dengan produk atau servis yang kita lakukan. Lagi pun senang nak berurusan apabila sudah ada hubungan peribadi yang dijalin buat pertama kali dahulu.
  • Untuk membina pelanggan berulang, kita perlu konsisten. Produk/Servis mesti bekualiti dan excellence. Barulah pelanggan datang lagi. Betul tak.
  • Membina hubungan yang baik dan positif dengan pelanggan. Apabila pelanggan sudah suka mereka akan datang lagi. Menjalin hubungan peribadi menjadi seperti kawan-kawan yang rapat amat penting.
  • Dapat mengenali pelanggan dengan baik. Bukan senang untuk membina pelanggan yang berulang jika kita tidak mengenali pelanggan kita, nilai-nilai yang ada pada pelangga kita, kehendak mereka dan lain-lain.. Oleh sebab itu menyimpan data-data pelanggan sangat penting. Inipun InsyaAllah saya cuba lakukan
  • Jika berlaku sebarang kesilapan terhadap servis kita seperti baju tidak menepati kehendak pelanggan akan lebih mudah untuk berbincang dengan pelanggan sebab sudah kenal dan biasa dengan pelanggan tersebut. Mereka boleh menerima penjelasan kita.
  • Membina hubungan yang lebih mesra. Oleh sebab itulah saya menulis blog dengan gaya penulisan saya tersendiri. Saya sebenarnya cuba meletakkan diri saya seolah-olah seperti pada kedudukan pelanggan apabila menulis. Saya rasa saya lebih mesra dengan berbuat begitu.
  • Bila sudah ada kesetiaan dari pelanggan sudah tidak susah-susah lagi untuk membuat marketing dan promosi.

Jika dah ada pelanggan berulang, pendapatan setiap bulan akan jadi konsisten. Mungkin jika sudah melebihi kapasiti saya ada untuk menjahit, tak perlu lagi saya nak susah-susah buat promosi selepas ini. Mungkin juga sudah boleh berhenti untuk terus menulis di blog. Saya bukan nak jadi blogger popular.

Sunday 9 February 2014

Tempahan Tudung Untuk Ibu Tersayang



Tempahan tudung untuk hari jadi emak dari Kedah.



Tempahan tudung untuk emak dari Selangor

Tudung untuk hadiahkan kepada ibu. Permintaan yang memang sukar  ditolak. Nak cepat pula tu. Mesti siapkan sebelum hari jadi ibu. Itulah salah seorang permintaan dari pelanggan saya di atas.  Kedua-duanya tempahan khas untuk ibu tersayang.

Kebiasaanya saya memerlukan masa untuk menyiapkan satu-satu tempahan. Kalau nak cepat memang saya terpaksa tolak. Perlu ikut giliran. Tetapi bila bersangkutan dengan tempahan khas untuk ibu memang susah untuk kata tidak. Tambahan pula untuk hadiah hari jadi ibu.

Permintaan ini menyentuh perasaan dan emosi saya. Setiap orang ada ibu. Kepada yang sudah meninggal kita sedekahkan al fatihah. Yang masih hidup memang beruntunglah. Kak Ros sendiri ibu dan ayah sudah tiada lagi. Hanya ibu dan ayah mertua yang masih ada. Kedua-duanya begitu baik sekali. Dilayan seperti anak sendiri. Alangkah bertuahnya.

Siapa tidak sayang ibu. Ibulah segala-galanya. Masa sakit kita cari ibu. Masa susah juga cari ibu. Masa putus tunang dengan ibu kita mencurah perasan. Masa tidak duit, tanpa segan silu tempat ibulah kita meminta. Anak tiada pengasuh dengan ibu juga kita mengadu. Alangkah seronoknya jika ibu masih ada. Terasa indahnya hidup ini. Begitu juga terasa sunyinya tanpa ibu.

Mungkin kita masih ingat lagi lagi semasa kita bersekolah dahulu. Balik sahaja sekolah ibu dahulu yang dicari. Soalan pertama kita bertanya. Hari ini ibu masak apa? Yang kita ingat nak makan sahaja. Ibu akan bersusah payah memasak. Takut anaknya tidak makan. Masakan ibulah yang paling sedap dalam dunia ini.

Begitu juga bila kita berbuat sesuatu, semua nak ceritakan kepada ibu. Ibu memang pendengar yang setia.

Semasa kita nak menghadapi peperiksaan, ibu akan mencari air penerang hati. Supaya kita lulus cemerlang dalam peperiksaan. Ibu berdoa siang dan malam untuk kejayaan kita.

Bila kita sakit ibulah yang paling susah hati. Di merata tempat ibu cuba mencari ubat dan penawar. Segala jenis daun dan herba dicuba untuk menyembuhkan penyakit anaknya. Kadang-kadang sampai tidak tidur malam menjaga kita. Itu belum dikira ketika anaknya masuk hospital. Sepanjang masa menunggu di hospital. Susah betul hati ibu kepada anaknya.

Ibu tentu pernah berkata kepada kita, Jika kamu besar nanti, sudah berkahwin dan mempunyai anak, barulah kamu mengerti betapa susahnya menjaga anak-anak sendiri. Sekarang kita sudah besar. Sudah berkahwin dan mempunyai anak. Benar sekali kata-kata ibu. Kita merasainya sekarang.

Bila kita sudah bekerja. Mempunyai rumah sendiri di bandar. Selalu kita balik kampung. Ibulah yang meraikan kita. Tidak sabar menunggu kita pulang. Kalau tiada ibu terasa begitu sunyi sekali.

Semasa nak pulang semula ke rumah kita di bandar. Ibulah yang paling sibuk sekali. Menyediakan itu dan ini sebagai bekal untuk kita bawa pulang. Tebang pisang di belakang rumah. Korek ibu kayu. Kutip ulam dan segala macam sebagai bekal untuk kita. Malahan masakan yang masih ada dibungkus untuk kita makan dalam perjalanan. Begitulah ibu mengambil berat terhadap kita. Jasa ibu memang besar.

Oleh sebab itulah memang sukar sekali untuk menolak tempahan dari pelanggan saya ini jika tempahan itu untuk dihadiahkan khas untuk ibu.

Kasih sayang ibu terhadap anaknya tiada batasnya.  Bagi Kak Ros sendiri, ingatan-ingatan manis dan sedih semasa ibu masih hidup sudah lama berlalu dan tidak akan kembali lagi.

Pada masa ibu masih hidup dahulu selalunya baju kurung dan baju kedah yang selalu Kak Ros jahitkan untuk ibu. Pada masa itu belum tahu menjahit tudung lagi. Kak Ros masih beruntung kerana masih mempunyai ibu mertua.

Kepada sesiapa yang masih mempunyai ibu alangkan beruntungnya. Semasa ibu masih hidup inilah, untuk kita berbakti kepada ibu. Hadiah kanlah sehelai tudung labuh sebagai tanda kasih sayang kepada ibu.

Tentunya ibu akan menitiskan air mata kegembiraan dengan pemberian yang bermakna daripada kita. Sebenarnya bukan itu sangat yang ibu pinta tetapi tanda ingatan daripada seorang anak kepada ibu yang ibu harapkan. Jangan biarkan ibu menangis kesedihan mengingatkan kita yang tak pulang-pulang menjengok ibu di kampung.

Kerana mu oh ibu. Anaknda hadiahkan sehelai tudung labuh yang anaknda tempah khas untuk ibu.

Thursday 6 February 2014

Tempahan Menjahit Tudung Melalui Pos



Tempahan tudung di atas adalah untuk pelanggan saya dari Klang Selangor. Cara tempahan secara online. Kain pilihan dihantar melalui pos.

Tempahan menjahit  melaui pos ini samada pelanggan menghantar sendiri kain pilihan atau saya yang menyediakan kain dengan warna yang dikehendaki.

Jika pelanggan yang menghantar sendiri kain tersebut lebih menyenangkan saya kerana saya tidak perlu keluar untuk mencari kain. Bagi pelanggan tentu pula tentu lebih baik kerana memilih sendiri kain, dapat memegang dan dapat merasai kelembutan kain, melihat sendiri warna atau corak yang dikehendaki sebelum menghantar kepada saya untuk dijahit menjadi tudung.

Cuma perlu keluarkan sedikit kos penghantaran. Jika ingin mengirim sebarang kain kepada saya pastikan jangan mengguna pos biasa takut nanti tak sampai ke tangan saya.  Saya tidak bertanggungjawab jika berlaku kehilangan dalam perjalanan. Biarlah mengguna perkhidmatan kurier seperti pos laju supaya boleh tracking pergerakan barangan yang dikirim. Bincang dahulu dengan saya berapa meter kain yang perlu dibeli supaya nanti kain yang dibeli mencukupi.

Setiap minggu ada sahaja bungkusan dari pos laju.

Ramai juga yang menyerahkan kepada saya untuk menyediakan kain sendiri. Tidak ada masalah. Boleh sahaja saya cuba mencari kain yang dikehendaki. Kalau tak ada warna atau kain pilihan saya cuba memberi warna pilihan yang lain.  Saya cuba menghantar gambar dahulu untuk confirm. Melalui gambar, warna mungkin sedikit berbeza dengan warna sebenar. Sebab itu saya suka berurusan dengan whastapp.

Oleh kerana saya sibuk menjahit, lambat balas message kadang-kadang juga berlaku. InsyaAllah saya cuba menjawab. Bila dah fokus kepada menjahit memang saya tidak akan berhenti sehingga jahitan siap. Setiap hari saya menerima begitu banyak sekali message yang masuk melalui sms/whatsapp/facebook dan juga email.

Memang susah sedikit mencari kain tempahan yang dikehendaki. Kadang-kadang kain susah nak dapat. Tiada stok. Warna tidak ada dan macam-macam lagi. Masa saya pun banyak yang habis untuk keluar dan mencari. Saya tidak boleh keluar setiap hari hanya pada masa-masa tertentu sahaja. Biasanya dalam seminggu mungkin sekali sahaja. Oleh itu tempahan mungkin lambat sedikit siap.

Saya lebih suka pergi ke Jakel sebab banyak pilihan. Kalau Kamdar biasanya saya Kamdar Kajang di Saujana Impian. Masalahnya selalunya tidak banyak pilihan. Banyak kali frust sebab kain dicari tidak ada warna yang dikehendaki. 

Di Gulatis Bangi pula bukan pilihan saya. Kain chiffon sangat mahal berbanding di Jakel atau Kamdar. Di kedai kain lain jangan harap la nak ada jual kain chiffon. Lebih baik ke Jakel KL atau Shah Alam sahaja. 

Saya ada juga menyimpan beberapa stok kain chiffon yang biasanya banyak digunakan seperti warna plain. Kalau kain chiffon corak memang saya tak sediakan.

Beberapa stok kain chiffon dan lycra.

Untuk kain  lycra saya ada juga menyimpan stok kain plain dan bercorak kerana banyak tempahan untuk tudung syria dan tudang berdagu. 

Jika saya dikehendaki menyediakan kain sendiri, saya perlu minta deposit dahulu sebelum menjahit tudung kerana sebagai komitmen tanda bersetuju. Rugilah saya penat-penat pergi mencari kain dan menjahit tiba-tiba batal pula tempahan. 

Kepada semua yang membuat tempahan menjahit, saya perlukan sedikit masa untuk menyiapkan tempahan. Kalau nak cepat memang saya tak boleh nak sediakan. Penghantaran melalui pos, kos penghantaran perlu ditanggung oleh pelanggan. Saya biasanya menggunakan pos laju.

Ramai juga yang message saya nak dapatkan no telefon. Harap dapat mencari sendiri di sebelah kanan blog ini.

Wednesday 5 February 2014

Baju Kurung Kain Kapas






Baju kurung memang diminati oleh semua golongan wanita melayu. Tidak kira bagi mereka yang tidak bekerja, surirumah, bekerja di pejabat, pelajar kolej dan universiti sehinggalah kepada golongan professional. Sekurang-kurangnya setiap wanita melayu mempunyai simpanan baju kurung yang boleh dipakai pada bila-bila masa sahaja. Baju kurung yang merupakan pakaian tradisional sentiasa menawan untuk digayakan pada bila-bila masa dan di mana jua samada ketika bekerja di pejabat, balik kampung, menghadiri majlis kenduri, menghadiri majlis ilmu, keluar berjalan-jalan. Semuanya sesuai sekali memakai baju kurung. 

Baju kurung pesak di atas adalah tempahan dari seorang doktor pakar bius yang juga merupakan 'regular customer' saya. Lima helai semuanya. Sudah beberapa kali saya menerima tempahan menjahit ini. Fabriknya adalah dari kain kapas bercorak.

Bercakap tentang kain kapas ini memang bagi saya sebagai tukang jahit suka menjahit baju kurung dari kain kapas kerana mudah dipotong dan dijahit. Kainnya tidak licin dan mudah dipegang. 

Secara ringkasnya, kain kapas dihasilkan daripada pokok kapas yang lazimnya tumbuh di kawasan tropika dan subtropika. Di sekeliling biji kapas terdapat fiber lembut yang diproses untuk dijadikan benang. Benang-benang itulah yang digunakan bagi menghasilkan kain kapas yang lembut dan menyerap peluh.

Kapas sudah dikenali sejak ribuan tahun dahulu lagi. Sudah ditenun sejak zaman pra sejarah dan sudah dijadikan pakaian oleh orang orang-orang India kuno, Mesir dan China. Pengeluaran kapas sudah dimulakan di Mexico dan Lembah Sungai Indus sejak 5000 SM.

Ada juga sesetengah ahli sejarah mendakwa pokok berkenaan mula ditanam 7,000 tahun lalu di Mehrgarh Pakistan. Pada tahun 800 Masihi, didapati pedagang Arab mula menjual kain kapas di Eropah. Sekitar tahun 1607M pokok kapas mula ditanam di Pulau Bahamas sebelum ia berkembang ke Florida dan Virginia, Amerika Syarikat. Pokok kapas di tanam secara meluas dan menjadi perusahaan utama terutamanya di India dan Jepun.

Warna asli kapas adalah putih kekuningan dan dapat diwarnakan dengan pelbagai warna. 

Kain kapas memang sesuai dengan cuaca di negara kita yang sentiasa panas kerana ia sejuk dan mudah menyerap peluh. Sesuai walau apa pun keadaan cuaca sama ada sejuk atau panas kerana ia bersifat menghangatkan bila sejuk dan menyejukkan bila panas disebabkan sifatnya yang merupakan pengalir haba yang baik.

Antara ciri-ciri kain kapas.
  • Mempunyai keteguhan samada semasa kering atau basah.
  • Mempunyai ketahanan terhadap suhu panas dan juga cahaya matahari.
  • Pengalir haba yang baik Baju pun tak panas.
  • Mempunyai Ketahanan terhadap bahan kimia samada asid atau alkali
  • Mempunyai ketahanan terhadap mikroorganisma.
  • Sejuk, lembut dan Selesa dipakai. Kandungan lembapan 7% dan daya penyerapan 21%. Oleh sebab itu mudah menyerap peluh. Boleh mengurangkan bau badan.
  • Mempunyai sifat kenyal. Mudah renyuk. Mengecut pada cucian pertama.
  • Mudah menyerap lembapan.
  • Tiada cas elektrostatik.
  • Sesuai kepada sesiapa yang mempunyai alahan pada kulit. Dapat mengelak kulit badan daripada mengalami gatal-gatal dan ruam.

Penjagaannya pun tidak sukar dan kain kapas juga tahan lasak. Boleh dibasuh dengan tangan atau mesin basuh.  Seelok-eloknya rendam dahulu di dalam air sebelum dimasukkan ke dalam mesin basuh.

Bolehlah mencuba baju kurung kain kapas untuk Hari Raya Aidilfitri nanti. 

Tuesday 4 February 2014

Tudung Tiga Layer Putih



Putih menjadi pilihan kali ini. Semuanya putih untuk ketiga-tiga layer. Jahit tepi halus pun nak benang putih. Katanya untuk dipakai semasa mesyuarat. Sesuai dipakai dengan uniform kerja. Tudungnya tidak berapa labuh. Size M. Labuh dari dagu 14 inci. 

Warna tudung atau pakaian yang dipilih untuk dipakai sehari-hari membawa makna tersendiri, malah ada yang menyatakan bahawa manusia boleh mengubah perasaannya dan tingkahlakunya dengan memakai warna tertentu. Kuasa warna juga secara tidak langsung menonjolkan ragam seseorang. Pilihan warna yang dibuat menunjukkan personaliti diri yang dikatakan akan mempengaruhi mood pemakai. Secara tidak langsung, warna pakaian seseorang melambangkan personaliti.

Warna putih melambangkan kesucian dan kesegaran. Ia simbol seseorang yang ingin memulakan hidup baru seperti kain kanvas yang menunggu lakaran seorang artis. Ia juga melambangkan kebersihan dan kebolehan profesional. Warna putih menjadi lambang kesucian dan  kemurniaan.

Warna putih merupakan warna asas yang belum tercemar dengan warna-warna lain. Ia memberi rasa bersih dan segar. Ia juga melambangkan keceriaan, kebersihan, kemurniaan, kesucian, keayuan, kejelasan, kesederhanaan, kecanggihan dan juga kecekapan.

Warna putih mencerminkan sifat sabar, sopan santun, rendah diri, suka menolong dan gemar berjenaka serta mudah dipujuk apabila merajuk. Juga mempunyai fikiran yang bersih iaitu tidak banyak prasangka terhadap orang lain. Perasaan hati sentiasa tenteram dan hidup bertawakal.  Putih juga melambangkan baik dan amanah. Sukakan kesederhanaan dalam kehidupan, sukakan kebebasan, mempunyai sikap berdikari dalam hidup yakni tidak suka bergantung kepada orang lain apabila melakukan sesuatu serta mempunyai sifat amanah.

Putih menjadi pilihan di mana-mana sahaja. Lihat sahaja di dinding rumah, di pejabat dan bangunan. Di hari perkahwinan persalinan pengantin dengan pakaian putih menjadi kemestian. Putih mampu menambah kemanisan dan keayuan pengantin dan menceriakan majlis raja sehari.

Warna putih juga merupakan warna perangsang, warna pencetus idea. Ada yang menyatakan hari Isnin, hari pertama mula bekerja, memakai pakaian putih mampu memberi perangsang untuk bekerja. Banyak idea akan tercetus dan kreativiti akan bercambah.

Warna putih mempunyai kesan tersendiri. Ia mampu memberi rasa anggun kepada pemakainya. Nampak eksklusif dan sangat sesuai untuk semua jenis acara resmi. Setiap pakaian yang berwarna putih biasanya padan untuk dikombinasikan dengan warna apapun. Berpakaian putih tidak kira baju atau tudung akan nampak kemas dan rapi dari segi penampilan.  

Warna putih juga dilambangkan dengan sikap suka berbelanja. Mungkin tidak begitu baik kepada peminat putih tetapi berita baik untuk tukang jahit.

Monday 3 February 2014

Berjaya Menjahit Tudung Sendiri Ikut Tutorial Dan Menerima Tempahan.



Belajar menjahit tudung melalui panduan yang diberikan melalui blog dan akhirnya berani mengambil tempahan dari pelanggan. Itulah hasil yang diperolehi oleh salah seorang pengunjung blog ini yang mempunyai passion menjahit.  Boleh lihat sendiri hasil tudung seperti di atas.

Saya tentunya merasa bangga jika ada pengunjung yang berkongsi kejayaan mereka menjahit tudung sendiri berdasarkan panduan yang diberikan dalam blog ini. Sekurang-kurangnya panduan yang saya curahkan menjadi sumber rujukan untuk menjahit tudung sendiri. Terasa cukup dihargai apabila mendapat testimonial dari pengunjung.

Sentiasa ada sahaja message dari pembaca blog yang bertanya itu dan ini apabila ada yang mencuba menjahit tudung sendiri berdasarkan panduan dalam blog ini. Memang sukar sedikit memberi tunjuk ajar dengan pertanyaan melalui message ini tetapi saya cuba menjawabnya juga. 

Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Apabila kita mencuba kita akan menikmati hasilnya. Minat atau passion yang menyala-nyala akan mendorong kita melaksanakan dengan bersungguh-sungguh. Apabila tidak menjadi akan dicuba lagi sehingga berjaya. Hasilnya adalah suatu kepuasan yang tidak terhingga apabila melihat tudung yang bermula dengan hanya beberapa kepingan kain akhirnya menjadi produk 3 dimensi yang dipakai dan digaya dengan cantik sekali.

Kita biasa mendengar ungkapan dalam bahasa Inggeris "practice makes perfect" yang mengkehendaki supaya kita sentiasa mempratikkan usaha kita berkali-kali sehingga mencapai hasil yang terbaik. Walaupun ada satu lagi ungkapan dalam bahasa Inggeris "no one is perfect in this world" yang bertentangan dengan ungkapan yang pertama tadi tetapi bukanlah bermaksud kita perlu mencapai kesempurnaan seratus peratus.

Ungkapan "practice makes perfect" memerlukan kita perlu mempraktiskan usaha kita berkali-kali sehingga kita mencapai hasil yang terbaik. Pengalaman yang kita perolehi semasa mencuba sesuatu akan menjadikan kita lebih lebih kreatif untuk memperbaikinya sehingga mencapai suatu hasil penuh keseniaan dan memuaskan. Malahan hasilnya sesuatu yang cantik dan menawan sekali.

Begitu juga apabila kita menjahit, kita perlu mencuba dan terus mencuba. Apabila berlaku kesilapan kita mesti mencuba lagi sehinggalah mendapat hasil yang kita kehendaki. 

Saya sendiri apabila menjahit tidak lepas dari melakukan kesilapan walaupun menjahit itu menjadi rutin saya setiap hari. Ada sahaja komplen dari pelanggan yang memerlukan saya memperbaikinya tetapi perkara itu sudah menjadi kebiasaan sebagai tukang jahit dan perlulah menerima hakikat tersebut. 

Bermulahlah dengan jahitan yang mudah dahulu, kemudian praktis lagi. Lama-kelamaan kita anda akan dapat menguasainya dengan baik sekali. Walaupun kita sudah masuk kelas menjahit tetapi jika kita tidak mencuba menghasilkan tudung sendiri, lama-kelamaan apa yang kita pelajari sedikit demi sedikit akan hilang begitu sahaja. Mesti praktis selalu sehinggalah kita berhasil menghasilkan tudung yang cantik.

Ramai yang telah mencuba menjahit tudung sendiri dan akhirnya mereka berjaya. Begitulah seronoknya menjahit. 

Kalau tak yakin juga marilah masuk kelas menjahit.

Sunday 2 February 2014

Tudung Twist Labuh


Sudah kali ketiga tudung twist ini ditempah oleh pelanggan saya. Seorang guru yang menyambung pelajaran di peringkat Master di UKM. Bila dah berulang tempah, kiranya dah jadi regular customer saya. 

Bagi saya sendiri, tentunya gembira sekali kerana pelanggan berpuas hati dengan sentuhan pertama saya. Dah jadi testimonial untuk perkhidmatan menjahit yang saya lakukan.

Tempahan tudung twist ini sebanyak 12 helai. Baru siap 4 helai sahaja. Tinggal lagi 8 helai  yang perlu dijahit. InsyaAllah minggu depan boleh siap semua. 

Tudung twist labuh ini amat sesuai sekali untuk pergi ke kuliah atau atau ketika mengajar. Mempunyai keistimewaan tersendiri, menambah keyakinan diri serta mampu memberi penampilan yang positif apabila menyampaikan pembentangan dan juga ketika berhadapan dengan sesiapa sahaja. Malahan boleh menambah aura serta meningkatkan karisma sebagai seorang pendidik.

Nampak kemas dan segak bila dipakai. Sesuai untuk semua majlis rasmi dan juga ketika outing bersama kawan-kawan. Materialnya dari fabrik lycra plain dan bercorak.

Kemasan di pinggiran bawah kain menggunakan jahitan coverstitch 2 jarum yang biasa digunakan untuk kemasan kain lycra. Tudung twist juga antara tudung express atau tudung segera yang menjadi pilihan mereka yang sibuk. Senang nak adjust bila dipakai. Cepat dipakai dan senang untuk digayakan. 

Kepada cikgu-cikgu yang berminat bolehlah mencuba tudung twist labuh ini.







Post Utama

Kedai Online Nash Fesyen

Post Paling Popular

HAKCIPTA TERPELIHARA NASH FESYEN 2018