Wednesday, 12 August 2015

Terima Pelajar Praktikal Menjahit



Sudah dua minggu saya menerima pelajar praktikal di kedai jahit sahaja. Jika ada permohonan saya tidak akan menolak. Malahan saya memberi elaun lagi. Saya baru sahaja menambah satu lagi mesin jahit lurus di kedai saya. 

Permohonan untuk membuat praktikal  di sini diusaha sendiri oleh pelajar. Semuanya melalui carian google. Datang dari jauh untuk menjalani praktikal di sini. Mengikut pelatih saya ini akan ada lagi yang datang untuk praktikal di sini. Satu permulaan yang baik selepas yang pertama. Di samping pelatih dapat belajar di sini saya juga mendapat keuntungan. Win-win.

Minggu pertama sudah dapat mengenali jenis-jenis kain terutamanya kain untuk membuat tudung. Sudah kenal jenis-jenis kain chiffon, lycra, moss crepe, satin dan lain-lain. Dalam masa baru dua minggu sahaja sudah dapat menngguna pelbagai jenis mesin, boleh memotong kain untuk tudung dan shawl sendiri. Sudah dapat mengusai dengan baik jahit tepi, jahit kelim dan jahit lurus. Hari ini sudah dapat membuat tudung soft awning sendiri. 

Kepada Syikin ambil peluang sepanjang praktikal ini untuk belajar mengenali dan membuat pelbagai jenis fesyen tudung, shawl dan baju. Masa tiga bulan akan pantas berlalu seperti angin yang bertiup. Tanamkan minat yang mendalam. Belajarlah semahu-mahunya.Kurangkan berkhayal. Yang dikhayal tidak akan ke mana.   Belajar menjahit bukan sekadar untuk menjadi tukang jahit tetapi sebagai langkah pertama untuk menjadi usahawan yang berjaya. 

Monday, 10 August 2015

Warna Warni Di Aidil Fitri 2015

Bersama kawan-kawan sekolah.

Syawal makin menghampiri ke penghujungnya. Setiap minggu ada sahaja jemputan ke rumah terbuka aidil fitri untuk meraikan bulan syawal ini. Suasana rumah terbuka yang diraikan sehingga sebulan di bulan syawal tidak pernah dirasai di zaman kanak-kanak dahulu. Paling lama pun merasai suasana aidilfitri hanya seminggu sehingga duit raya habis dibelanja atau tiada lagi kuih raya di rumah. Walaupun begitu zaman kanak-kanak tetap indah.

Cuti raya baru-baru ini singkat sahaja berada di kampung. Tidak sempat untuk berjalan jauh kerana cuti sekolah tidak panjang. Seperti biasa cuti hari raya dihabiskan dengan menziarahi sanak saudara dan berkumpul bersama kawan-kawan yang pulang ke kampung.

Minggu kedua selepas hari raya apabila pulang semula ke sini sempat juga mengadakan rumah terbuka secara ringkas dengan menjemput jiran-jiran sebelah rumah, para pekerja dan kawan-kawan yang berada di sekitar sini sahaja. Minggu-minggu seterusnya lebih banyak masa dihabiskan untuk menghadiri jemputan dari kawan-kawan pula.

Masa-masa sibuk kini kembali menjelma seperti tidak ada cuti lagi. Kedai jahit sudah beroperasi seperti biasa. Alangkah seronoknya kerana dapat menulis di blog ini lagi.

Gambar-gambar kenangan hari raya dirakam di sini supaya dapat dilihat semula di kemudian hari.






Sedih apabila terkenang kepada kakak ku yang pergi menghadap ilahi beberapa hari sebelum syawal menjelma. Al fatihah untuk Kak Mariah. Semoga tenang di sana.

Tuesday, 14 July 2015

Selamat Hari Raya Aidil Fitri 2015/1436H


Dengan ingatan tulus ikhlas saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri minal aidin wal faidzin kepada semua pembaca blog ini di mana sahaja kalian berada. Terima kasih kepada semua yang sudi singgah ke blog ini walaupun sekejap tetap memberi makna kepada saya untuk terus mencoret sesuatu di blog ini. Semoga servis yang saya lakukan khususnya kepada pelanggan-pelanggan saya memberi keceriaan dan kenangan indah semasa menyambut hari lebaran nanti. Maaf zahir & batin saya mohon kepada semua. 

InshaAllah Kedai Jahit Nash Fesyen akan dibuka seminggu selepas hari raya ini.

Thursday, 9 July 2015

Tudung Lycra Berkerongsang






Tudung lycra sesuai dipakai terutamanya semasa hari raya aidilfitri ini. Pada hari raya aidilfitri ini cuaca dijangka panas sepanjang hari. Pemilihan kain untuk tudung atau shawl yang selesa untuk dipakai sepanjang hari perlu difikirkan. Tudung yang sesuai dan tahan lasak seperti tidak mudah kedut, mudah dijaga, tidak licin dan sejuk perlu dipertimbangkan semasa menyambut tetamu  atau ketika mengunjugi saudara mara atau rakan-rakan. Tudung atau shawl mesti juga mudah dipakai tanpa perlu mengambil masa yang lama. Sifat kain lycra yang lembut, sejuk, mudah meregang, tidak licin, tidak tembus cahaya, tidak mudah berkedut dan mudah dijaga menjadi pilihan ramai untuk dibuat shawl atau tudung untuk dipakai pada hari lebaran nanti. 

Oleh sebab yang demikian antara tempahan yang paling banyak mendapat sambutan sama ada untuk dijual atau dipakai sendiri pada musim raya kali ini adalah shawl dan tudung dari material lycra dan juga moss crepe. Sifat stretchable atau mudah meregang juga sesuai untuk semua jenis bentuk muka. Ada pelanggan saya berulang kali membuat tempahan disebabkan shawl dan tudung mendapat sambutan hebat dan laris dijual. 

Lycra juga mempunyai pelbagai warna untuk disesuaikan dengan baju yang dipakai. Walaupun demikian berbanding chiffon warna kain lycra tidak begitu banyak pilihan. Saya sendiri telah mengunjungi beberapa jenis kedai kain untuk mencari beberapa warna lycra yang dikehendaki. Agak malang kerana tidak banyak pilihan warna walaupun saya mencarinya sehingga ke Jakel KL. Ini menjadi cabaran untuk memilih tudung yang sesuai dengan warna dan corak baju. 

Tudung lycra berkeronsang di atas adalah antara tudung yang sudah lama saya tunjukkan dalam blog ini. Tudung ini menggabungkan dua warna kain dari material lycra. Awning pula adalah dari jenis hard awning supaya mudah terbentuk semasa memakainya. Kemasan keliling pula saya menggunakan jahit tepi halus.

Jika ingin menjahit sendiri tudung ini boleh merujuk tutorial yang saya pernah tunjukkan dalam blog ini pada entri bertajuk Panduan Menjahit Tudung Lycra Berkerongsang.

Wednesday, 8 July 2015

Tudung Twist Soft Awning







Hari raya aidilfitri akan menjelma dalam beberapa hari sahaja lagi. Sepatutnya target saya semua tempahan menjahit akan disiapkan dalam dua minggu sebelum hari raya. Saya perlu membahagi masa untuk terutama dalam dua minggu terakhir ini untuk persediaan menyambut aidilfitri terutamnya untuk siapkan baju raya untuk saya dan anak-anak. Sebaliknya semakin dekat dengan aidilfitri semakin banyak pula pertanyaaan dan tempahan yang dihantar terutamanya untuk tempahan perseorangan. 

Tudung dan shawl yang paling banyak dihantar untuk tempahan menjahit. Saya boleh menolaknya tetapi memandangkan pelanggan yang datang adalah pelanggan yang selalu datang memujuk saya untuk menerimanya saya menerimanya juga. Lagi pun masa pun masih ada dan sempat untuk siapkan tempahan. Mungkin selepas membeli baju raya dan kesukaran untuk memilih tudung yang sesuai maka pilihan tudung yang sesuai adalah dengan membeli kain dan menghantarnya untuk dijahit. 

Akhir-akhir ini juga ramai yang menghantar untuk potong labuh kain. Untuk potong labuh kain saya masih menerimanya tetapi tidak untuk repair dan kecilkan baju atau kain. 

Sekarang saya meletak target baru untuk siapkan semua tempahan iaitu sehingga ahad ini. Selepas itu saya akan berehat panjang dan balik kampung sehinggalah seminggu selepas raya akan mula beroperasi semula. Sudah ramai yang bertanya terutamanya untuk tempahan pukal shawl, tudung dan kelas menjahit.

Tudung di atas adalah tudung twist soft awning dari kain moss crepe. Saya pernah tunjukkan cara menjahit tudung labuh berdagu dalam blog ini dan caranya lebih kurang sama sahaja cuma tudung ini tanpa pelapik dagu. Boleh juga guna material lyca untuk menjahit tudung ini dan meletak pelapik dagu sebagai mana tutorial yang saya tunjukkan sebelum ini. Pelbagai warna tudung dari pelanggan saya ini memberi banyak pilihan untuk warna dan corak baju. Warna lembut yang dipilih akan memberi kecerahan kepada pemakainya sebagaimana cahaya api yang menyambar pada muka dan akan nampak berseri-seri apabila dipakai pada hari raya nanti. 

Kemasan keliling pula menggunakan jahit tepi halus untuk mendapat kesan curly tudung ini. Selain dari kemasan jahit tepi halus boleh juga menggunakan kemasan jahit coverstitch sebagaimana tutorial saya sebelum ini. 

Wednesday, 17 June 2015

Selamat Menyambut Ramadan Al-Mubarak 2015


Kepada semua pembaca blog www.nashfesyen.blogspot.com saya ingin mengucapkan selamat menunaikan ibadah puasa 2015-1436H.

Semoga ramadan tahun ini menjadi lebih baik dari ramadan-ramadan sebelum ini.

Wednesday, 3 June 2015

Tempahan Tudung Untuk Majlis Tilawah Al Quran Peringkat Antarabangsa 2015




Tilawah Al Quran Peringkat Antarabangsa akan diadakan pada minggu depan iaitu dari 10 Jun 2015 hingga 16 Jun 2015 di PWTC, KL yang akan disertai oleh qari dan qariah dari pelbagai negara. Teringat semasa dulu apabila adanya majlis tilawah Al Quran maka teringatlah pada bulan puasa. Kemerduan suara qari dan qariah sentiasa menusuk kalbu apabila mereka mengumandangkan ayat-ayat Al Quran. Sayunya terasa di hati.

Apa yang istimewanya tilawah pada kali ini kepada saya kerana mendapat tempahan menjahit tudung yang akan dipakai oleh qariah-qariah semasa majlis tilawah Al Quran nanti.  Tudung dari material moss crepe glitter yang  dijahit secara simple sahaja. Kesan glitter pada tudung akan nampak berkilauan apabila disinari cahaya lampu semasa qariah naik ke pentas nanti. 

Satu kebanggan pula kepada saya apabila mendapat kepercayaan untuk menjahit tudung ini.

Post Utama

Kedai Online Nash Fesyen

Post Paling Popular

HAKCIPTA TERPELIHARA NASH FESYEN 2018