Saturday, 28 December 2013

Kenangan Di Sabah

Sudah dua tahun aku meninggalkan bumi Sabah dan menetap di Bandar Baru Bangi. Semuanya meninggalkan kenangan indah yang penuh warna warni.

Mengingat kembali kenangan di Sabah, aku kadang-kadang berfikir bahawa betapa untungnya anak-anak ku dapat hidup di rantau orang dan menimba pengalaman yang amat mahal harganya. Dahulunya bersekolah di Kedah, berpindah dan bersekolah di Sabah dan sekarang di Bandar Baru Bangi. Tentunya banyak yang sudah dipelajari terutamanya sejarah, adat resam dan budaya setempat. Jika ditanya kepada anak-anak ku sekarang kalau berpindah lagi, anak-anak ku sendiri akan berkata, "tukarlah di mana pun, kami tak kisah".

Dulu-dulu semasa menetap di Sungai Petani, bisnes jahit ku sudah lama berjalan. Apabila suami memberitahu akan bertukar ke Sabah, aku berbahagi perasaan antara antara hendak atau tidak. Hendak kerana, aku boleh menetap di tempat orang yang jauh di seberang laut yang tidak pernah ku jejaki selama ini. Tidak pula kerana aku terpaksa memberhentikan bisnes menjahit yang memang sudah mendapat sambutan. Malahan pula terpaksa meninggalka rumah sendiri yang sudah 10 tahun ku diami dan juga terpaksa berjauhan dengan keluarga.

Ditanya pula kepada anak-anak, mereka pada mulanya jika tidak mahu berpindah kerana terpaksa meninggalkan sekolah, kawan-kawan dan keselesaan di rumah sendiri.

Akhirnya keputusan untuk berpindah ke Sabah dibuat dan persediaan mula dilakukan. Suami berpindah dua bulan lebih awal pada bulan November kerana anak-anak masih bersekolah dan suami sendiri  mahu mengurus urusan mencari rumah sewa dan persediaan pertukaran sekolah anak-anak .

Akhirnya berpindah lah aku dan keluarga ke Sabah dengan membawa sekali 3 dari 4 buah mesin jahit yang aku miliki. Kami sekeluarga menetap di Tanjung Aru berdekatan dengan Lapangan Terbang Air Asia dan MAS, juga berdekatan dengan bandar Kota Kinabalu.

Aku memang bercadang untuk meneruskan perkhidmatan menjahit ku tetapi bila tiba di Sabah dengan suasana yang baru aku tidak meneruskan niat itu. Mesin jahit ku hanya aku gunakan untuk menjahit pakaian anak-anak dan juga untuk keluarga sahaja. Masa di Sabah lebih banyak ku habiskan untuk berjalan-jalan ke seluruh pelosok negeri Sabah. Tidak ada promosi langsung berkenaan menjahit.

Kadang-kadang terfikir juga penat sahaja membawa mesin jahit naik kapal dari jauh tetapi jarang menggunakannya. Malahan di Sabah aku sendiri tidak berusaha mencari kain untuk baju dan tudung. Tudung dan baju kebanyakan dibeli yang sudah siap di Wisma Muis, Segama, Sinsuran, Karamunsing dan beberapa Tamu di sekitar Kota Kinabalu dan Putatan.

Setiap bulan ada sahaja tempat dilawati dari timur ke barat, utara ke selatan sehinggalah ke pulau-pulau. Aku sendiri menjadi mahir memandu sendiri di Bandar Kota Kinabalu dan sejauh sehingga ke Kundasang, Ranau dan Poring melalui jalan raya yang berliku-liku dengan banyak tanah runtuh di sana sini. Selain itu juga mengikuti suami yang memandu sehingga Sandakan, Lahad Datu, Semporna sehinggalah ke Tawau di timur Sabah.

Begitu juga sehingga ke Kota Belud, Kota Marudu sehingga ke Kudat di utara Sabah dan di selatan pula melewati Banjaran Crocker sehingga ke Tenom sambil menikmati panorama yang indah di Sabah yang bersulamkan gunung ganang dan hutan tropika.

Setiap tempat menarik dan bersejarah akan disinggahi sekurang-kurang untuk memberitahu saudara mara bahawa tempat ini sudah pernah dijejaki. Antaranya seperti, Gua Gomantong, Rumah Agnes Keith di Sanadakan, penulis buku yang popular "Land Below The Wind", di Sepilok melihat Orang Utan, membeli telur penyu di bandar Sandakan, di Air Panas Poring membawa anak mandi manda, singgah membeli sayur dan cendawan di Kundasang, ke Simpang Mengayau yang popular dengan "Tip Of Borneo", ke Labuk Bay melihat 'proboscis monkey',

Ke kampung Gombizau yang terkenal dengan lebah madu, Kampung Sumangkap dengan pembuatan gongnya, Rumah Panjang kaum Rungus yang mahir dengan manik-maniknya, Banjaran Crocker yang tinggi dan sayup mata memandang, Taman Pertanian Sabah di Tenom menikmati bunga-bunga yang cantik, ke Tamu di Kota Belud dan banyak lagi tempat menarik di sekitar Kota Kinabalu serta singgah di Tamu-Tamu yang begitu banyak di Sabah.

Kadang-kadang membawa keluarga menaiki keretapi dari Kota Kinabalu sehinggalah ke Beaufort dan juga menaiki feri dengan kereta sendiri melalui Menumbok sehinggalah ke Labuan. Kami sekeluarga juga tidak melepas peluang melawat pulau-pulau di sekitar Kota  Kinabalu seperti Pulau Sapi, Manukan dan Mamutik sehinggalah pulau-pulau di sekitar Semporna. Mandi laut dan snorkeling dengan air lautnya yang jernih sehingga kelihatan ikan berenang dan pasir laut yang memutih.

Suaminya tentunya lebih jauh lagi sehingga ke Kalabakan, Maliau Basin, Felda Sahabat sehingga ke Tambisan di Lahad Datu dan juga ke puncak Gunung Kinabalu. Malahan sehingga melintasi sempadan sehingga ke Brunei dan pedalaman Sarawak.

Semuanya menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan.

Berada di Sabah bukan seperti pelancong yang tertumpu ke tempat-tempat tertentu sahaja tetapi banyak perkara yang dipelajari apabila sudah lama di sana, berkawan dengan pelbagai etnik, menghadiri majlis kenduri kahwin sehinggalah urusan sekolah anak-anak semuanya dilalui dengan pengalaman yang menarik.

Anak-anak sendiri mulaberubah percakapan dari bahasa Utara Kedah ke bahasa Sabah akibat pergaulan dengan kawan-kawan di sekolah. Begitu juga sewaktu menyambut hari raya aidilfitri dan aidiladha, kami sekeluarga pernah menyambutnya di Sabah dan terasa sekali bila berjauhan dari keluarga.

Apabila sudah lama menetap di Sabah anak-anak sendiri  sudah dapat menerima cara hidup baharu dan mula merasa seronok dan selesa bergaul dengan rakan rakan dari Sabah sehingga apabila diberitahu akan ditukar semula ke Semenanjung, masing-masing mula berkata tidak mahu dan mahu bersekolah di Sabah lagi.

Kini sudah dua tahun aku menetap di Bandar Baru Bangi. Anak-anak pula sudah dapat menyesuaikan diri dengan sekolah di Bandar Baru Bangi. Kadang-kadang anak-anak bertanya juga, bila lagi nak pergi ke Sabah?

Kalau ke Sabah lagi suatu hari nanti kami sekeluarga hanya akan menjadi seperti pelacong-pelancong yang lain juga tidak akan lagi merasai kenikmatan seperti mana menetap di Sabah dahulu.

Jika pada masa itu aku sudah mempunyai blog banyak lagi yang aku boleh abadikan di dalam blog seperti sekarang tetapi semuanya sudah berlalu. Yang tinggal hanyalah kenangan dengan beberapa gambar yang masih tersimpan untuk dikongsi seperti di bawah.

Anak-anak bersekolah di Sabah



Di sekitar Tanjung Aru



Di sekitar jalan ke Kundasang berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu.



Pulau-Pulau di sekitar Kota Kinabalu - Manukan, Mamutik dan Pulau Sapi dikenali sebagai Taman Tunku Abdul Rahman




Sekitar Semporna - menaiki bot dan mandi di dalam laut yang jernih.



Sepanjang Jalan Ke Kudat

Banyak jagung bakar dijual di sepanjang perjalanan.


Simpang Mengayau - Tip Of Borneo




Sekitar Kudat


Kampung Sumangkap - terkenal dengan pembuatan gong.



Kampung Gombizau - terkenal dengan lebah madu.




Banjaran Crocker



Tenom - Taman Pertanian Sabah, tempat yang perlu dilawati.





Labuan





Melawat Zoo Lok Kawi



Menumbok - Nak pergi ke Labuan dengan kereta perlu melalui Jeti Menumbok. Memandu dari Kota Kinabalu ke Menumbok lebih kurang 3 jam.


Gua Gomantong - Semasa perjalanan ke Tawau singgah di Gua Gomantong tempat burung layang-layang membuat sarang.


Memorial Mat Salleh - dalam perjalanan pulang dari Tenom melalui Keningau singgah sebentar di memorial Mat Salleh pahlawan terbilang.


Friday, 27 December 2013

Trafik Ke Blog dan Alexa Ranking

Salah satu cara untuk melihat prestasi blog kita adalah dengan melihat pada ranking yang dikeluarkan oleh alexa di www.alexa.com. Semakin rendah nombor yang dikeluarkan semakin baik ranking laman web kita.

Alexa memberi penarafan kepada laman-laman web dengan mengambilkira bilangan trafik yang diperolehi oleh laman web tersebut. Alexa tidak mengambil kira sama ada sesuatu laman web tersebut berkualiti atau tidak kandungannya berbanding Page Rank (PR) yang diberi oleh google.  Asal ada pengunjung mengklik blog kita maka dapatlah trafik ke blog kita dan dikira oleh Alexa. Alexa akan membanding dengan laman web yang lain dan memberi tanda aras atau ranking kepada laman web kita.

Semakin kecil nilai alexa menunjukkan bahawa jumlah pageviews semakin tinggi. Jumlah klik ke blog yang tinggi memungkinkan jumlah pembaca blog juga tinggi. Laman web yang mempunyai ranking yang baik biasanya akan berpotensi memperolehi pendapatan yang lumayan dari hasil pengiklanan. Inilah yang saya belajar.

Ranking diberi untuk peringkat global dan juga tempatan (Malaysia).

Berapakah  Ranking Alexa Untuk Blog Nash Fesyen? 

Untuk hari ini (28/12/13) ranking alexa untuk blog Nash Fesyen adalah 1,431,632 di peringkat global manakala untuk ranking Malaysia pula adalah 14,211. Memang blog ini jauh ketinggalan dari blog popular yang lain.  Nasib baik juga alexa senaraikan juga blog ini. Ada juga yang datang singgah.



Untuk melihat berapa banyak trafik yang blog kita terima kita boleh melihat pada statistik 'page view' pada blogger.com

Kalau melihat pula 'page view' yang dikeluarkan oleh blogger.com, blog ini mempunyai lebih kurang antara 1,500 - 2,000 page view sehari. Statistik yang agak baik untuk blog yang baru berusia 6 bulan.



Bagi saya sendiri yang rank ditunjukkan oleh www.alexa.com dan juga statistik dari blogger.com tidaklah begitu mengecewakan kerana blog ini dibuat bukanlah untuk menjadi popular dan menjana pendapatan melalui pengiklanan.

Blog ini hanya ingin berkongi pengalaman menjahit dan menawar perkhidmatan yang saya sediakan. Income saya adalah dari servis yang saya lakukan.

Kenapa Saya Berkata Begitu?

  • Blog saya baru berusia lebih kurang 6 bulan, Bukan senang untuk bersaing dengan blog yang sudah lama established yang mempunyai ribuan atau jutaan pembaca setiap hari.
  • Blog ini dalam bahasa Melayu. Yang datang hanyalah pembaca yang memahami Bahasa Melayu sahaja.
  • Blog ini lebih fokus kepada menjahit dan fesyen pakaian wanita untuk orang melayu sahaja. Orang lelaki tentu tak ramai datang. Yang datang tentu yang sayang isteri. Begitu juga dengan bangsa lain.
  • Blog ini lebih fokus kepada hobi menjahit dan fesyen wanita. Bukan semua wanita suka menjahit. 

Mendapat 'page view' antara 1,500 - 2,000 sehari bagi saya suatu pencapaian yang baik dengan kapasiti perkhidmatan yang saya sediakan.  Walau bagaimanapun yang patut saya patut berasa bangga kerana kebanyakan trafik yang datang ke blog saya dari carian melalui search engine terutamanya google.

Mengikut alexa carian dari search engineblog Nasah Fesyen menyumbang 38.7% (untuk hari ini) berbanding dari sumber yang lain. Pencapaian yang agak tinggi.


Ini bermakna pengunjung yang datang ke blog ini kebanyakannya adalah pengunjung baru kerana mereka mencari servis yang saya sediakan melalui search engine berbanding yang hanya ingin klik kerana ingin membaca berita panas.

Pengunjung yang mencari melalui search engine yang akan membawa ke blog kita biasanya mendatangkan trafik yang lebih berkualiti yang akhirnya menerima perkhidmatan kita. Blog yang baik bagi saya adalah blog yang boleh meyelesaikan masalah pengunjung. Kualiti trafik adalah lebih baik daripada kuantiti trafik. Inilah matlamat saya bila saya mula membuka blog ini.

Jika pendapatan blog kita bergantung kepada pengiklanan, trafik yang tinggi memang diperlukan. Tidak ada siapa yang berminat untuk mengiklan di blog yang kurang trafik. Walaubagaimana pun keperluan untuk mendapat trafik yang tinggi tidak boleh diabaikan untuk mengembangkan bisnes kita.

Mungkin blog ini tak begitu tinggi trafik dan popular kerana:

  • Saya sendiri terlalu sibuk dengan aktiviti menjahit sehingga tidak ada masa untuk memfokus kepada mendapatkan trafik ke blog.
  • Jarang-jarang update entri blog ini tidak semacam setengah blog yang boleh update sampai 5 kali sehari. Kalau saya buat macam tu alamatnya tak siaplah baju dan tudung yang ditempah  pelanggan.
  • Tak rajin buat blog walking atau memberi komen ke blog lain  dan juga tidak aktif di mana-mana forum dengan alasan seperti di atas. Sibuk. Jadi siapa nak singgah blog kita kalau kita sendiri tak singgah kat blog orang lain.
  • Tak join dengan komuniti blogger yang lain. Ada yang buat kontes, perjumpaan, seminar dan macam-macam lagi tak pernah sekali pun saya join. Macam mana orang nak kenal kita.

Mungkin blog ini boleh mendapat traffik yang tinggi jika diletakkan entri-entri berkaitan:
  • Cerita-cerita artis seperti artis popular, artis kahwin, artis cerai, skandal artis dan lain-lain yang tentunya ramai yang berminat nak tengok.
  • Berita sukan seperti sukan SEA, Piala Dunia, perlawanan bola sepak sepak klub terkenal seperti Manchester United , Liverpool dan lain-lain yang mempunyai jutaan peminat.
  • Cerita pelik-pelik seperti makhluk yang pelik-pelik, cerita hantu, bomoh, cerita ikan lompat masuk kapal, sotong, udang, kerang naik ke darat dan lain-lain yang memang disukai oleh orang melayu.
  • Cerita separuh lucah dengan gambar-gambar tertentu yang sentiasa menjadi carian pengunjung.
  • Link untuk menonton drama melayu terkini atau cerita korea terkini yang menjadi kegilaan ramai malahan boleh didownload ke dalam komputer sendiri.
  • Berita-berita semasa yang boleh copy-paste dari laman web berita seperti cerita politik, banjir, jambatan runtuh, bas terbalik, helikopter terhempas dan sebagainya.
  • Jadual-jadual yang menjadi carian dan rujukan pengunjung yang ingin mengetahui dengan segera sesuatu seperti senarai nama peserta PLKN, jadual gaji kerajaan, keputusan itu dan ini dan sebagainya.
  • Letakkan tajuk-tajuk panas yang memikat yang siapa sahaja pandang akan terus klik.


InsyaAllah saya akan teruskan blog seperti konsep yang sedia ada seperti sekarang. Tidak akan bercampur aduk dengan cerita-cerita seperti di atas.

Sebagaimana yang saya beritahu tadi saya akan lebih fokus kepada perkhidmatan menjahit dan menjual pakaian dan aksesori wanita yang saya sediakan bukannya untuk mendapat keuntungan dari pengiklanan atau yang lain-lain sepertinya.

Setakat ini saya hanya meletak iklan Nuffnang kerana ingin mencuba tetapi hasilnya memang mengecewakan. Kalau berbulan-bulan meletak iklan dengan hanya mendapat beberapa puluh ringgit sahaja tidak ada apa yang dapat dibanggakan. Mungkin saya perlu belajar lebih banyak lagi.
Saya merasakan biarlah trafik yang datang ke blog ini adalah trafik yang berkualiti yang datang kerana minat dengan hobi menjahit,  ingin belajar sesuatu atau ingin mendapat servis yang saya sediakan. Biarlah pengunjung yang datang mendapat sesuatu dari blog ini daripada datang sekali sahaja kemudian tidak datang-datang lagi. 

“It should feel genuinely good to earn income from your blog – you should be driven by a healthy ambition to succeed. If your blog provides genuine value, you fully deserve to earn income from it.” 

Steve Pavlina

Thursday, 26 December 2013

Tudung Syria 3 Layer Labuh





Tudung Syria 3 layer ditempah dengan kaler pilihan sendiri dan bersaiz labuh. Material pula dalah dari kain chiffon berkualiti tinggi dan tidak jarang. Tempahan dibuat melalui email dengan menyatakan kaler yang dikehendaki. Apabila persetujuan dicapai, kain dicari dan akhirnya 2 helai tudung syria 3 layer labuh siap dijahit. 

Tak perlu pos, saya akan datang ambil sendiri. Saya tinggal di Kajang. Nanti saya datang.

Akhirnya hari ini pelanggan saya datang di rumah dan urusan selesai. Alhamdulillah saya sangat berpuashati, nanti saya promosi kat kawan-kawan saya pula. 

Post Utama

Kedai Online Nash Fesyen

Post Paling Popular

HAKCIPTA TERPELIHARA NASH FESYEN 2018