Monday, 26 January 2015

Tahun 2014 Yang Ditinggalkan

Statistik blog 2014

Jika tidak kerana ada yang mengingatkan saya tentang blog ini, saya hampir tidak mempedulikannya lagi kerana kesibukan yang bertambah sejak saya membuka kedai jahit sendiri. Jika dahulu semasa menjahit di rumah saya sempat lagi mengadap komputer yang berada di rumah untuk melihat perkembangan yang berlaku. 

Kini seharian saya berada di kedai tanpa komputer di depan mata menjadi saya semakin sukar untuk update blog ini seperti selal. Walaupun saya mempunyai smart phone saya lebih selesa untuk update blog ini mengguna komputer deskstop di rumah. 

Membuka kedai menyebabkan masa menjahit saya semakin berkurangan kerana banyak masa yang diambil untuk melayan tetamu dan pelanggan yang semakin kerap datang setiap hari. Ada yang datang dari jauh semata-mata untuk berjumpa dan berbincang sahaja sebelum membuat tempahan. Jika dahulu mungkin ramai tidak begitu selesa untuk berurusan di rumah.

Tahun 2014 baru sahaja berlalu meninggalkan pelbagai kenangan pahit manis yang sesetengahnya dirakam dalam blog ini untuk kenangan, rujukan dan iktibar di masa hadapan. Untunglah generasi sekarang yang mempunyai platform seperti blog untuk menulis dan merakam aktiviti harian mereka yang menjadi pengganti diari buku suatu masa dahulu. 

Walaupun blog ini berusia lebih kurang setahun enam bulan, banyak yang perlu dilihat semula untuk diperbaiki dan ditingkatkan prestasinya.

Matlamat Jangka Pendek dan Jangkan Panjang

Setahun yang lalu saya menulis mengenai matlamat yang perlu saya capai terutama dalam perniagaan menjahit yang saya jalankan. Kini saya perlu melihat semula adakah pencapaian tersebut telah saya capai atau hanya pencapaian biasa-biasa sahaja tanpa ada apa-apa peningkatan. 

Saya telah meletakkan beberapa matlamat yang perlu saya capai untuk jangka masa pendek dan jangkamasa panjang untuk perniagaan saya dan pencapaian blog ini untuk tahun 2014.

Antara matlamat tersebut adalah meningkat promosi melalui media sosial yang lain selain facebook dan blog. Saya meletakkan matlamat untuk membuka akaun instagram, twitter, pinterest dan beberapa yang lain. Saya juga ingin memperbaiki blog ini supaya nampak lebih menarik dan lebih responsif dengan grafuk dan theme yang lebih menarik. Saya juga ingin meningkatkan prestasi kedai online di www.nashfesyen.com. Intulah matlamat jangka pendek yang telah saya sasarkan.

Namun matlamat yang saya letakkan di atas tidak satu pun tercapai. Promosi yang saya lakukan sekarang hanyalah melalu blog sahaja tanpa bergantung kepada medium yang lain. Suatu pencapaian yang perlu saya dikaji dan dilihat semula.

Matlamat jangka panjang pula adalah untuk membuka kedai sendiri dan meningkatkan jenama Nash Fesyen. Walaupun matlamat ini saya letak untuk jangka masa panjang namun saya telah mencapainya lebih awal. Saya sudah memiliki kedai sendiri. Jenama Nash Fesyen juga semakin meningkat dengan carian keyword nash fesyen mengatasi keyword-keyword lain dalam carian ke blog ini.

Prestasi Blog

Daripada statistik Google Analytics pencapaian dari segi trafik tidak begitu mengecewakan. Walaupun blog ini baru berusia lebih kurang setahun enam bulan page view blog ini telah mencapai lebih dari sejuta page view tanpa banyak promosi melalui ping, blog walking, networking dan lain-lain. Kebanyakan trafik datang dari google dan pembaca senyap blog ini yang telah mengikutinya dari dahulu lagi. Purata page view untuk blog ini adalah anatara 2000 hingga 3000 setiap hari. Sesuatu pencapaian yang agak baik terutama untuk niche menjahit yang tidak semua orang meminatinya.

Dari segi bounce rate pula juga tidak mengecewakan apabila bounce rate blog ini untuk tahun 2014 adalah 2.20% yang bermaksud pengunjung yang datang ke blog ini membaca lebih daripada satu muka surat. 

Blog ini juga tidak banyak mendapat komen dari pengunjung dan tidak juga mendapat tempat dari Alexa kerana tidak menepati ciri-ciri yang diperlukan oleh Alexa. Dari segi Google Page Rank pula blog ini masih kekal pada tahap 2 kerana Google tidak mengemaskini Page Ranknya sehingga kini. 

Walau bagaimana pun pertanyaan dari pengunjung tidak pernah berkurangan setiap hari yang bertanyakan bisnes menjahit yang saya lakukan sama ada melalui whatsapp, sms, message dan lain-lain.

Keyword Blog


Blog ini telah menguasai dengan baik beberapa keyword penting berkaitan dengan bisnes shawl tudung dan juga menjahit pakaian wanita yang telah membawa pulangan yang lumayan kepada bisnes yang saya lakukan. Keyword yang melekat pada blog ini merupakan keyword yang evergreen dan dicari sepanjang masa.

Blog Yang Memberi Inspirasi


Apabila saya menulis blog ini saya mengharapkan  supaya boleh menulis bukan sahaja berkaitan dengan promosi bisnes tetapi juga memberi pengetahuan kepada pembaca dan juga memberi inspirasi kepada mereka yang berminat untuk perniagaan shawl dan tudung. 

Alhamdulillah saya mendapat begitu banyak feedback yang positif sama ada melalui whatsapp, komen message dan sebagainya. Ada antara mereka yang datang sendiri selepas membaca blog ini dan akhirnya menceburi dalam bisnes perniagaan shawl dan tudung. Saya juga mendapat feedback yang baik dari kalangan tukang jahit yang sebelum ini memerah tenaga menjahit siang dan malam dengan upah menjahit yang tidak seberapa kini telah mempelbagai sumber pendapatan mereka dan mendapat pendapatan yang lumayan.

Jika dahulu mereka hanya menjahit baju sahaja kini mula menjahit shawl dan tudung. Begitu ramai yang bertanya saya untuk membeli mesin jahit tepi halus dan ingin menawarkan servis jahit shawl dan tudung. 

Kelas menjahit tudung yang saya lakukan juga mendapat sambutan yang baik selepas mereka membaca blog ini di mana hampir setiap minggu ada sahaja kelas yang dijalankan.

Tahun 2014 Yang Ditinggalkan

Di penghujung tahun 2014 saya telah mendapat demam denggi sehingga menyebabkan aktiviti harian terganggu. Seminggu lamanya saya terpaksa berulang alik ke hospital untuk memeriksa platlet darah. Badan menjadi letih dan lesu seolah-olah virus denggi memerah daya yang ada pada saya menyebabkan aktiviti bisnes terganggu. 

Namun saya gagahi juga untuk menjahit dan menyiap beberapa tempahan pelanggan. Yang paling saya bimbang adalah masuk ke dalam wad hospital kerana ia akan menganggu urusan bisnes dan urusan harian saya. Alhamdulillah tidak berlaku.

Dugaan yang saya terima tidaklah sebesar dugaan mangsa banjir di Pantai Timur yang kehilangan tempat berlindung. Akhirnya saya pulih dan semakin bersemangat untuk melakukan kerja semula.

Tahun 2014 saya beroperasi di rumah sepenuhnya di mana begitu banyak cabaran dan keseronokan yang saya lalui sebagaimana yang telah saya ceritakan dalam entri-entri yang lepas. Kini saya beroperasi di kedai di mana rutinnya tidak sama lagi sebagaimana saya beroperasi di rumah dahulu.

Matlamat Tahun 2015


Saya akan mengembangkan bisnes menjahit saya bukan sahaja untuk tudung, shawl dan pakaian wanita tetapi juga untuk menjahit uniform, baju korporat dan juga beberapa jenis baju yang lain.

Saya juga ingin menambah satu lagi kosong di belakang pendapatan yang saya dapat sekarang. 

InsyaAllah tahun 2015 akan menjanjikan sesuatu yang lebih baik. Saya amat yakin sekali.
Post a Comment

Post Utama

Kedai Online Nash Fesyen

Post Paling Popular

HAKCIPTA TERPELIHARA NASH FESYEN 2017