Monday 25 August 2014

Shawl Palestin Dari Gabungan Warna Bendera Palestin




Warna hijau, putih, merah dan hitam dari warna bendera Palestin memberi idea untuk menghasilkan shawl palestin sebagai tanda sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin. Gabungan kain dengan warna ini yang dijahit bersama-sama menghasilkan shawl yang cukup menarik dan ceria dan berani yang boleh menimbulkan semangat perjuangan kepada yang memakai atau yang melihatnya.

Pada entri yang lepas berkaitan Shawl Palestin, kain yang digunakan adalah dari kain tudung bawal yang tidak begitu terserlah warnanya. Kali ini kain untuk shawl dari kain chiffon yang lebih jelas kelihatan warnanya.  

Fesyen shawl memang pelbagai tetapi sebenarnya cara menjahitnya tidak banyak berbeza dengan shawl-shawl lain yang biasa dilihat.

Selepas ini boleh hasilkan shawl untuk menyambut Hari Kemerdekaan pula.

Sunday 24 August 2014

Tudung Dengan Hiasan Sequin


Hiasan sequin pada tudung

Hiasan sequin pada tangan baju

Sequin adalah perhiasan berkelip-kelip berbentuk disk yang boleh dijadikan hiasan menarik pelbagai bentuk. Hiasan sequin ini dijahit atau cantum terutamanya pada pakaian, beg, kasut dan pelbagai aksesori yang lain supaya kelihatan berkilat dan nampak menarik. Pada mulanya sequin dihasilkan daripada logam yang berkilau tetapi pada hari ini, sequin banyak diperbuat daripada plastik dan juga terdapat dalam pelbagai warna dan bentuk.

Tudung dan shawl juga tidak terlepas daripada sentuhan sequin untuk mendapat kesan bekilau ini. Dengan kreativiti yang ada tidak salah untuk kita mencuba menghias tudung dan shawl kita dengan hiasan sequin untuk mendapat kesan berkilau.

Wednesday 20 August 2014

Shawl Palestin



Serangan  berterusan rejim Zionis Israel terhadap bumi Palestin Di Gaza menimbulkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia. Berbagai cara dilakukan untuk mengutuk serangan tersebut seperti mengadakan demontrasi, memboikot produk-produk yang dikatakan membantu rejim Israel dan bermacam-macam cara lagi. Semuanya dilakukan dengan niat membantah keganasan rejim Israel terhadap umat Islam di Palestin. 

Antara cara lain yang boleh digunakan untuk menyatakan sokongan terhadap Palestin adalah dengan menunjukkan simbol-simbol atau lambang-lambang yang berkaitan dengan negara tersebut. Memakai T-shirt, tudung, shawl dan sebagainya yang melambangkan negara Palestin seperti warna-warna yang terdapat pada bendera Palestin adalah antara yang popular dilakukan terutamanya oleh anak-anak muda kita. Oleh sebab itu terdapat beberapa permintaan terhadap tudung dan shawl yang melambangkan sokongan terhadap umat Islam Palestin. 

Shawl yang saya hasilkan ini adalah menggunakan kain dari tudung bawal yang digabungkan menjadi tiga layer dan dijahit sambung untuk mencantumnya. InshaAllah jika ada kelapangan nanti saya akan jahitkan lagi shawl Palestin menggunakan kain chiffon pula supaya warnanya lebih terang dan nampak jelas.

Tuesday 19 August 2014

Tudung Bawal Efek Ruffle







Beli tudung bawal empat segi seperti bawal kangaroo. Potong menjadi dua bahagian di tengah-tengah iaitu dari penjuru ke penjuru. Kemudian cantum semula kedua-dua bahagian tersebut menggunakan jahit tepi halus. Hasilnya adalah sehelai tudung bawal dengan efek ruffle .Boleh dicantum juga dengan mengguna corak atau warna kain yang berlainan.  Lihat contoh-contoh gambar di atas.

Sekarang tudung bawal empat segi yang biasa sudah dinaiktaraf menjadi tudung bawal dengan efek ruffle yang boleh dijual dengan harga lebih mahal.

Efek ruffle adalah satu kesan yang seperti beralun, berombak atau curly yang mampu memberi kesan yang indah, cantik dan menawan pada tudung yang dipakai. Tidak pelu lagi membeli ruffle atau renda untuk ditampal pada tudung. Hanya dengan mencantum semula kain empat segi yang dipotong dari penjuru ke penjuru sudah mampu memberi efek ruffle ini kepada tudung bawal yang kita pakai.

Lihat juga artikel saya berkaitan shawl renda atau ruffle pada entri yang lepas. 

Monday 18 August 2014

Shawl Renda


Renda biasanya dijadikan perhiasan atau aksesori tambahan  yang dijahit pada sarung bantal, telekung, tepi baju dan lain-lain termasuklah tudung. Juga disebut sebagai lace, kerawang, ruffle atau apa-apa nama lain adalah hasil dari benang yang dikait, disirat atau disulam secara manual atau menggunakan mesin. Renda juga boleh dihasilkan sendiri dengan menggunakan pita kain dijahit menjadi berkerawang, beropol, berbunga-bunga atau mempunyai kesan berombak-ombak. 

Renda boleh diperolehi dengan pelbagai warna seperti hitam, putih dan sebagainya. Renda berwarna putih biasanya paling banyak digunakan untuk pakaian pada majlis perkahwinan, majlis pertunangan dan lain-lain mengikut kesesuaian.

Kebiasannya, renda ditampal di bahagian dada, belakang, bahu, pinggang dan sebagainya pada pakaian. Apabila dipasang renda tidak perlu lagi tambahan aksesori yang lain kerana ia sudah nampak indah dan cantik. Pada tudung atau shawl pula ianya boleh ditampal atau dijahit pada tepi kain atau pada jarak beberapa inci pada tepi kain yang kebiasaanya diletak secara melintang.

Shawl pada gambar di atas adalah contoh shawl yang dijahit renda seperti yang dikehendaki oleh pelanggan saya. Semakin hari semakin pelbagai fesyen yang saya terima untuk dijahit. Semuanya memerlukan ketelitian dan kesabaran untuk menjahit.

InshaAllah jika ada kesempatan saya akan kongsi dengan pembaca blog ini pelbagai lagi fesyen shawl yang lain pula. Boleh 'bookmarks' atau 'add to favourite' blog inisupaya tidak hilang lagi. 

Sunday 17 August 2014

Tudung Chiffon Twist 2 Layer

tudung chiffon twist 2 layer


pandangan depan dan sisi

pola tudung

Tudung chiffon twist 2 layer ini panjang di bahagian hadapannya tidak sama di sebelah kiri dengan kanan. Maksudnya di sebelah kiri tidak sama panjang dengan di sebelah kanan atau sebaliknya mengikut pilihan pelanggan. Lihat pada pola yang saya tunjukkan mungkin boleh gambarkan bagaimana design tudung tersebut.

Cara memakainya juga mudah dengan hanya memasang kerongsang pada tudung. Material yang saya gunakan adalah chiffon georgette. Awning juga menggunakan material yang sama. 

Tempahan dari pelanggan saya ini adalah untuk ke majlis perkahwinan. Satu untuk emak dan satu untuk dipakai sendiri. Best kan dapat bergaya dengan tudung chiffon 2 layer. Mesti nak ambil gambar dengan emak untuk diabadikan sebagai kenangan.

Saturday 16 August 2014

Kelas Menjahit Tudung Setiap Hari Sabtu

Belajar menjahit 

Hasil jahitan

Saya menjalankan kelas menjahit tudung setiap hari sabtu. Sabtu hari anak-anak tidak bersekolah. Jadi saya tidak perlu mengurus anak-anak untuk ke sekolah Tidak perlu membuat persediaan untuk anak-anak ke sekolah, mengambil dan menghantar dan juga memasak. Ahad pula hari sibuk kerana ramai pelanggan suka datang ke rumah. Hari ahad juga kadang-kadang terpaksa keluar rumah untuk pelbagai urusan yang lain.

Permintaan untuk kelas jahit tudung sentiasa diterima sejak dari bulan puasa lagi. Malahan sewaktu bercuti hari raya yang lepas pun ramai yang bertanya. Ramai yang berminat untuk belajar menjahit. Pertanyaan untuk menjahit bukan sahaja untuk tudung tetapi banyak juga untuk kelas menjahit baju kurung, dress, shawl, telekung dan juga baju melayu. Saya tidak menyedia kelas menjahit yang  lain selain daripada tudung sahaja kerana untuk kelas menjahit baju misalnya memerlukan masa yang agak lama untuk menyiapkan sehelai baju berbanding tudung yang mengambil masa sehari sahaja.

Pada minggu lepas pun sepatutnya ada kelas menjahit tudung tetapi terpaksa saya batalkan kerana banyak jemputan menghadiri majlis terbuka aidil fitri di samping ramai yang ingin datang ke rumah. Maklum sahajalah saya baru balik dari bercuti di kampung, Ramai yang seperti melepas geram untuk berjumpa. 

Pada minggu ini barulah kelas boleh dijalankan dengan 3 orang peserta. Pasangan adik beradik lelaki dan perempuan dari Shah Alam dan seorang dari Perak. Untuk belajar menjahit, jauh dekat bukan penghalang. Jika sudah berminat semuanya boleh menjadi kenyataan.  Alhamdulillah hasil jahitan amat memuaskan. Tudung yang diidamkan menjadi kenyataan untuk di bawa pulang. Kalau nak beli pun sudah mahal harganya. Denagn mengeluar sedikit duit untuk kelas menjahit tudung bukan sahaja ilmu menjahit yang dapat tetapi juga tudung yang cantik boleh di bawa pulang. 

Kepada pelajar-pelajar saya bila balik nanti mesti kena praktis. Kalau tidak ilmu yang diajar akan lupa begitu sahaja. Kemahiran dan skil tidak akan datang dengan sekali cuba. Mesti cuba berkali-kali sehingga tangan menjadi lembut dan berseni untuk menjahit. Kalau tidak pasti boleh rujuk nota jahitan bercetak yang saya berikan. Kalau tidak pasti juga boleh datang jumpa saya semula untuk saya tunjukkan bahagian yang tidak begitu faham sahaja tanpa apa-apa bayaran. Saya juga ada tunjukkan cara potong shawl dan memberi beberapa jenis pola tudung. Bolehlah cuba-cuba menjahit. Dengan kursus menjahit tudung yang saya ajar hari ini, inshaAllah untuk menjahit fesyen tudung yang lain akan menjadi mudah dengan mengikut pola-pola tudung yang saya telah berikan. Oh! Ya. Saya ada tunjukkan satu rahsia bagaimana nak potong kain supaya tudung tidak nampak senget. Jangan lupa petua yang saya berikan. Harap-harap dapat jahit tudung sendiri selepas ini. Bolehlah bergaya depan kawan-kawan. Apabila kawan-kawan bertanya. Boleh sahaja mengaku. "Tudung ini saya yang jahit sendiri." Tentu bangga kan?

Ingat "practice makes perfect". Pekerjaan yang dahulunya kita merasa susah akan menjadi mudah sahaja apabila kita selalu melakukannya.

Kepada sesiapa yang lain berminat untuk mengikuti kelas menjahit tudung boleh hubungi saya. Kelas setiap hari sabtu sahaja. Tempat di Seksyen 4 Tambahan, Bandar Baru Bangi. Siapa cepat dia dahulu dapat belajar menjahit tudung.

Post Utama

Kedai Online Nash Fesyen

Post Paling Popular

HAKCIPTA TERPELIHARA NASH FESYEN 2018