Monday, 13 January 2014

Cara Tukar Zip Seluar Jeans

Seluar jeans memang menjadi kegemaran ramai kerana tebal dan tahan lasak. Diminati samada oleh lelaki atau wanita. Susah koyak walaupun digunakan secara kasar dan lasak. Yang selalu menjadi masalah dengan seluar jeans ini jika zip seluar rosak. Nak buang sayang sebab harganya yang mahal. 

Tidak ada pilihan kecuali menukar zip yang rosak tadi. Boleh hantar kepada tukang jahit atau tukar sendiri sahaja jika mempunyai mesin jahit. Untuk jahit seluar jeans ini memerlukan mesin jahit yang lasak juga kerana jarum mudah patah disebabkan kainnya yang tebal.

Untuk entri ini saya akan tunjukkan bagaimana kita boleh menukar sendiri zip seluar jeans yang rosak.

Tetas dan tanggalkan zip seluar jeans yang rosak.


Tetas bahagian ini juga.


Sediakan zip dengan saiz yang sesuai.


Sediakan tapak zip mesin jahit dan pasangkan pada mesin jahit.


Mulakan jahitan di bahagain hadapan. Pilih benang dengan warna yang sesuai. Lebih elok lagi jika benang seperti warna asal.


Jahit sehingga di hujung bawah zip.


Mulakan jahitan di  sebelah bahagian satu lagi seluar jeans. Mulakan dari bawah sehingga ke atas zip.


Jahit di sebelah atas sisi seluar sehingga nampak kemas.


Jahit di bahagian atas seluar jeans pada lapisan luar seperti pada gambar dari bawah ke atas.



Jahit di bahagian bawah zip. Bahagian ini kain jeans biasanya tebal. Berhati-hati supaya jarum tidak patah.


Kemaskan jahitan di lapisan luar seluar jeans.


Jahit sehingga bahagian atas seperti gambar di bawah.


Kemaskan jahitan pada sisi atas seluar supaya kemas.


Kemaskan jahitan di lapisan luar seluar jeans seperti gambar di bawah.


Seluar jeans dengan zip yang siap ditukar.


SELAMAT MENCUBA

Saturday, 11 January 2014

Shawl Instant



Semuanya nak instant termasuklah fesyen shawl. Di zaman yang serba pantas ini semuanya mesti segera. Dari urusan harian, makanan termasuk juga cara berpakaian.

Oleh sebab itu design fesyen juga tidak ketinggalan . Mesti mudah dipakai, cepat dan tidak ketinggalan dari segi fesyen. Kebiasaan nak pakai shawl memang mengambil masa. Terutamanya ketika nak menggayakannya. Kalau tak pandai pakai nanti nampak tak kemas.

Sebab itu munculnya design shawl yang instant. Ada kuntuman bunga pula di sisi. Shawl adalah dari fabrik chiffon plain yang berkualiti. Walaupun segera tetapi berfesyen. Mudah dipakai dan nampak trendy.

Masa sangat berharga untuk setiap orang. Jika untuk memakai shawl sahaja mengambil masa sampai 20 minit. Bayangkanlah berapa banyak masa dihabiskan setiap hari.

Masa itu emas. Itulah yang selalu kita dengar. Tetapi ada yang tak setuju. Katanya masa itu tak boleh dibandingkan dengan harta benda atau wang ringgit. Masa itu tidak ada tolok bandingnya. Masa yang pergi tidak boleh kembali lagi. Oleh itu masa itu bukan emas tetapi adalah kehidupan. Kehidupan yang lepas tidak boleh berpatah balik.

Masa tidak boleh dibazirkan begitu sahaja. Semua yang boleh jimat mestilah dijimatkan termasuklah memakai shawl.  Begitu juga bagi pelajar universiti dan kolej. Rungutan tidak cukup masa selalu kita dengar.

Selepas ini ada kuliah. Assignment pun belum siap lagi. Awal-awal lagi lecturer dah bagi warning sesiapa yang copy-paste dari internet akan diberi gagal. Susahlah macam ni. Masa dah makin singkat. Nak tiru kawan pun tak boleh. Kawan pun asyik tanya kita bila nak siap. Oleh itu terpaksalah cari bahan sendiri. Google melalui internet kemudian pandai-pandailah spin ayat. 

Semasa google terjumpa blog ini. Tersangkut pula kat sini. Berapa banyak masa dah dihabiskan. Nak baca entri ini pun dah ambil beberapa minit. Nasib baik ada shawl instant.

Chiffon Printed Corak Terbaru Untuk Shawl


Hari ini saya ke Jakel KL. Membeli beberapa jenis kain untuk tempahan tudung dari pelanggan. Perlu disiapkan sebelum hujung bulan ini. Kebanyakannya tudung labuh. Inilah fesyen yang banyak mendapat permintaan.

Saya lebih suka ke Jakel sebab banyak pilihan warna dan corak terutamanya untuk kain chiffon dan lycra. Tidak seperti gedung textile yang lain. Selalunya tidak banyak pilihan. Lebih baik pergi di suata tempat sahaja, mendapat semua kain pilihan.

Kebiasaannya bila dah masuk ke dalam gedung kain, mulalah rambang mata. Daripada beberapa jenis kain sahaja akhirnya terbeli berbagai jenis yang lain. Daripada chiffon plain, chiffon printed, lycra, corduroy sehinggalah Thai Silk. Semuanya diborong kali ini. Kononnya nak tambah stok. Tak payah datang lagi nanti.

Ada beberapa corak terbaru chiffon printed yang baru sampai. Sesuai untuk buat shawl. Saya sendiri membeli beberapa corak chiffon printed ini. Untuk dibuat shawl panjang dan untuk dijual di kedai online Nash Fesyen di www.nashfesyen.com. Kalau dah siap nanti saya akan kongsi di blog ini. Boleh lihat dahulu sebelum membeli. 

Sesiapa yang berminat nak buat shawl sendiri dengan chiffon printed untuk dijual atau dipakai, boleh dapatkan sendiri dari Jakel.  Beli 2 meter kain boleh dapat 2 shawl panjang. Hantarkan kepada saya untuk jahitan tepi.

Di sini saya kongsikan hanya beberapa corak yang saya sempat ambil gambar. Ada banyak lagi corak yang lain.



















Thursday, 9 January 2014

Jahit Kebaya & Kebarung

kebaya

kebarung

Saya jarang menerima tempahan menjahit baju kebaya dan juga kebarung sejak berpindah ke Bangi ini. Tidak banyak permintaan. Tidak seperti semasa saya berada di Sungai Petani dahulu ada sahaja baju kebaya dan kebarung dihantar untuk dijahit.

Kebanyakan pelanggan saya di sekitar Bangi ini lebih suka menghantar baju kurung moden atau jubah sahaja. Mungkin trend sekarang fesyen baju kurung moden lebih sesuai dan diminati berbanding kebaya. Lagi pun fesyen baju kebaya yang fit dengan badan lebih nampak sexy berbanding baju kurung moden. Mungkin sebab itu tak begitu sesuai bagi sesetengah orang. Sebab itulah pilihan yang sesuai adalah baju kurung moden atau  fesyen kebarung sahaja yang boleh menggantikan kebaya.

Kebaya adalah pakaian tradisional wanita melayu dan juga Indonesia yang sudah lama wujud. Mengikut sejarah kebaya dikatakan berasal dari Negara Arab yang di bawa ke Tanah Melayu dan Indonesia sejak dari zaman kesultanan Melaka lagi.

Baju kebaya menjadi antara kesukaan wanita melayu terutama pada tahun 60an dahulu. Kita boleh lihat dalam filem-filem melayu lama, ramai pelakon wanitanya memakai baju kebaya yang menunjukkan baju ini begitu popular pada masa dahulu. Sekarang baju kebaya bukan sahaja dipakai oleh wanita melayu tetapi semua bangsa boleh dilihat memakai baju kebaya.

Biasanya baju kebaya dijahit mengikut saiz badan pemakai kerana pemakai lebih suka bajunya fit pada body supaya nampak lebih ramping seperti semut. Tentunya untuk menjahit kebaya ukuran yang tepat perlu diambil. 

Kebarung pula adalah kombinasi baju kebaya dan baju kurung. Kebarung berbentuk seperti kebaya tetapi mempunyai saiz seperti baju kurung. Oleh kerana baju kebaya ini mengikut bentuk badan yang kelihatan lebih sexy maka tidak begitu sesuai kepada mereka yang bersaiz besar. Jika mereka ingin berfesyen seperti kebaya juga  tetapi dalam bentuk yang lebih longgar lebih sesuai memilih baju  kebarung. 

Ada satu lagi pakaian yang mirip dengan kebaya yang popular iaitu pakaian kebaya nyonya. Dinamakan kebaya nyonya kerana pakaian ini mula-mula dibuat oleh keturunan Baba dan Nyonya Melaka. Pada masa itu golongan wanitanya memakai sebagai pakaian harian dan biasanya dipakai oleh mereka yang berusia 30 tahun ke atas. Pakaian kebaya nyonya sudah menjadi adat resam kepada Baba dan Nyonya di Melaka sehingga menimbulkan keunikannya yang tersendiri. Pada masa sekarang kebaya nyonya tetap mempunyai peminatnya sendiri dan dipakai oleh semua golongan tidak mengira usia.

Wednesday, 8 January 2014

Keselamatan Menjahit Di Rumah

Kemalangan boleh berlaku di mana-mana sahaja termasuk semasa melakukan aktiviti menjahit. Kita selalu dengar kata-kata seperti “ kemalangan tidak dapat dielakkan”, “malang tak berbau”  dan sebagainya.

Sebelum kita menerima sahaja kata-kata tersebut adakah kita tahu bahawa sebenarnya kemalangan boleh dielak jika kita mengambil langkah-langkah tertentu untuk mencegahnya. Jika semua langkah-langkah tersebut kita sudah ambil maka kita perlu bertawakal kepada Allah s.w.t supaya dijauhkan dari segala bencana.

Marilah kita tinggalkan mitos kata-kata di atas dengan mengambil langkah-langkah yang boleh mencegah kita daripada mendapat kemalangan.

Apa yang saya tulis di bawah untuk peringatan diri saya sendiri dan juga kepada sesiapa sahaja yang terlibat dengan aktiviti menjahit terutamanya di rumah.

Kita perlu mengetahui punca atau keadaan yang boleh mendatangkan mudarat kepada kita sehingga boleh meyebabkan kecederaan.

Berikut adalah beberapa punca yang dikenalpasti yang boleh menyebabkan kemalangan kepada kita dan juga keluarga semasa menjahit di rumah.

Jarum 
Jarum dengan hujungnya yang tajam boleh menyebabkan boleh tercucuk kepada anggota badan kita. Antara jarum-jarum yang terlibat semasa menjahit.

  • Jarum pada mesin jahit -  jika tidak dipasang dengan betul boleh menyebabkan patah, terbang dan hinggap ke badan atau mata kita. Dengar sahaja pun  dah seram bulu roma apatah lagi kalau betul-betul berlaku. Sangat merbahaya. Oleh itu pastikan jarum dipasang dengan betul dan jarum mestilah dengan saiz yang betul. Jangan lupa juga pelindung dipasang untuk mengelak jarum yang patah terbang keluar. Jauhkan jari pada jarum semasa menjahit.
  • Jarum peniti –  boleh tercucuk pada jari atau boleh terpijak jika dibiar bersepah di atas meja atau lantai. Saya sendiri dah beberapa kali tercucuk jarum pada jari dan terpijak jarum peniti ini. Apa yang saya praktiskan dengan meletakkan jarum-jarum ini di atas span selepas  menggunakannya. Jika terjatuh ke lantai cepat-cepat kutip dan simpan ditempatnya.
  • Jarum untuk menjahit secara manual terutamanya semasa menjahit sembat atau untuk kemasan pada leher baju seperti jahit mata lalat, tulang belut dan sebagainya. Boleh tercucuk terutamanya pada jari jika kita lalai. Lalai disebabkan ketika menjahit kita tidak memberi perhatian atau fokus pada jahitan kita seperti melihat ke tempat lain. Boleh juga tercucuk ke jari ketika mengantuk atau mata kita melihat TV dan sebagainya. Langkah terbaik kalau dah penat berehatlah dahulu. Jangan paksa diri.

Jarum ini juga merbahaya kepada anak-anak kita terutamanya yang masih kecil. Jarum yang terjatuh ke lantai boleh menyebabkan anak  terpijak. Jika anak kecil masih merangkak boleh menyebabkan tangan dan anggota badannya tercucuk dengan jarum. Jika jarum dibiar berselerak di atas meja pula, anak-anak kecil kita boleh mencapainya. Saya juga biasa mendengar kisah anak-anak yang tertelan jarum. Anak yang kecil biasanya apa yang dicapai akan dimasukkan ke dalam mulut.

Lagi satu jangan memegang jarum dengan mulut. Nanti tertelan atau mungkin jarum itu sendiri sudah tercemar.

Untuk mengelak kemalangan sentiasa kemaskan tempat kerja dan awasi anak-anak kita semasa mereka menghampiri tempat menjahit.

Gunting
Ketajaman gunting boleh mencederakan kita malahan lebih serius berbanding jarum. Gunting boleh menjadi bahaya jika kita tak berhati-hati sehingga menyebabkan kita tergunting tangan sendiri.

  • Gunting sangat merbahaya jika kita meninggalkannya di atas lipatan kain di mana tanpa sedar kita boleh terpegang bahagian tajam gunting tersebut semasa hendak mengambil kain. Inilah bahayanya gunting dalam lipatan boleh mencederakan kita dan juga merosakkkan kain. Yang paling bahaya jika kita terduduk di atas lipatan kain tadi di mana di dalamnya terdapat gunting yang tersembunyi.
  • Gunting juga boleh menjadi bahaya jika kita meletakkannya di atas tempat duduk seperti di atas kusyen dan sebagainya. Oleh kerana sibuk kita mungkin melupainya dan tanpa kita sedar kita terduduk di atas gunting tersebut atau pun boleh berlaku kepada anak-anak kita. Mungkin semasa bermain-main anak-anak terlompat ke atas gunting tersebut. 


Oleh itu pastikan gunting disimpan dengan baik selepas menggunakannya. Jangan biarkan tertinggal di dalam lipatan kain atau tempat duduk. Sangat merbahaya.

Belt Mesin
Belt pada mesin ada yang tertutup ada yang tidak. Belt yang berputar amat merbahaya kerana ia boleh menarik jari kita, rambut, kain yang berjuntai dan lain-lain.  Jangan biarkan anak-anak kita merapati bahagian tersebut. Nanti dimasuknya jari akan tertarik masuk kedalam belt tersebut. Awasi anak-anak kita ketika menjahit. Kalau ada penutup, perlulah tutup. Jangan biarkan terbuka.


Bahagian Mesin Yang Bergerak
Bahagian ini juga perlu diawasi, jangan sampai anggota kita tersentuh. Begitu juga jangan biarkan anak-anak kita merapati kita semasa menjahit.

Arus Eletrik 
Punca arus elektrik boleh datang dari kabel elektrik atau plug yang kita sambungkan ke soket rumah kita. Selalunya arus boleh mengalir ke dalam badan kita jika kita tersentuh dengan kabel atau plug yang rosak.

Pastikan kabel, plug dan soket kita dalam keadaan baik.  Berhati-hati dengan arus elektrik ini. Saya sendiri ada pengalaman tersentuh dengan current pada tangan. Lenguh sampai seminggu.

Kalau kita tidak menggunakan mesin tersebut jangan lupa untuk ‘OFF’.

Benang  Berat Di Pinggir Meja
Saya sendiri pernah ditimpa benang yang berat ke atas ibu jari. Sakit jangan cakaplah. Tiga hari baru pulih. Kalau terjatuh menimpa kaki kita, barulah kita tahu betapa sakitnya sehingga terduduk menahan kesakitan.

Jauhkan benang yang  berat ini di pinggir meja. Simpan di tempat yang sesuai.


Lantai Licin
Lantai licin boleh berlakunya kerana minyak mesin jahit tertumpah ke lantai. Jika kita tidak membersihnya mungkin kita  akan tergelincir. Jika minyak dah tumpah ke lantai, cepat-cepat lap. Jangan bertangguh.

Body Mesin Boleh Terjatuh Ketika Mengangkat
Pernah berlaku kepada technician yang saya panggil di rumah di Sungai Petani dahulu. Semasa technician itu mengangkat keluar body mesin tiba-tiba terjatuh kerana licin kerana body mesin yang berminyak. Kalau nak angkat perlu lap dahulu mesin atau angkat mengguna kain. Jangan nak tunjuk gagah.

Ruang Berongga Pada Mesin
Jangan pandai-pandai masukkan jari, screw driver dan lain-lain pada mana-mana lubang pada mesin. Biasanya dilakukan oleh anak-anak yang kecil. Nanti jari luka terkena benda tajam, pisau dan sebagainya atau mesin terus rosak. Tak pasal-pasal nak kena keluarkan duit untuk repair. Anak saya sendiri dah beberapa kali mematah penetas benang kerana memasukkan ke dalam lubang pada mesin.  Awasi anak-anak dan kemaskan kawasan mesin selepas menjahit.

Mesin Yang Tidak Sesuai Untuk Jahitan Atau Fabrik Tertentu
Ada mesin yang tidak sesuai untuk jahitan atau fabrik  tertentu. Jangan cuba-cuba untuk menjahit jika mesin itu tidak sesuai untuk jahitan tertentu. Contohnya seperti kain yang tebal. Nanti boleh patah jarum dan merosakkan mesin. Gunakan mesin yang sesuai.

Benang-Benang Yang Berselerak
Jika berselerak di atas lantai kita boleh tergelincir kerana terpijak bobbin benang. Kalau ada kucing di rumah perlu jaga-jaga juga kerana kucing suka bermain dengan benang-benang ini.  Di rumah saya sendiri ada seekor kucing yang entah dari mana datang yang menjadi mainan anak-anak. Ikut hati macam nak buang sahaja kucing tersebut. Betul ker bela kucing murah rezeki?

Saya sendiri mempunyai rak khas untuk menyimpan benang.

Seterika Yang Panas
Ini juga punca kemalangan. Seterika yang panas boleh tersentuh pada tangan dan lain-lain anggota badan. Akibatnya boleh melecup. Kain juga boleh terbakar. Oleh itu sentiasa berhata-hati dan mesti tahu macam mana nak setting pada seterika. Jangan lupa OFF elektrik selepas menggunakannya.

Itu sahaja yang terlintas di ingatan saya buat masa ini.  Mungkin ada banyak lagi punca yang boleh menyebabkan kemalangan. Jangan pula merasa takut untuk menjahit selepas membaca artikel ini. Sekadar peringatan untuk sama-sama kita mengambil langkah-langkah yang perlu.  Menjahit tetap menyeronokkan.

Untuk entri yang lain saya akan  tulis pula berkaitan kesihatan pekerjaan semasa menjahit. InsyaAllah kalau berkesempatan.

Keletihan juga boleh menyumbang kepada kemalangan. Berhenti menjahit dan rehat dahulu.  Besok boleh sambung kerja balik.

Post Utama

Kedai Online Nash Fesyen

Post Paling Popular

HAKCIPTA TERPELIHARA NASH FESYEN 2018