Showing posts with label jenis kain sutera. Show all posts
Showing posts with label jenis kain sutera. Show all posts

Saturday, 21 December 2013

Selembut Kain Sutera


Apabila menerima tempahan menjahit baju kurung  sutera tergerak pula hati ini untuk  menulis satu artikel berkaitan dengan sutera  untuk dikongsi dengan pembaca blog ini.

Artikel ini agak panjang kerana sutera itu sendiri mempunyai sejarah yang  panjang  yang wujud beribu-ribu tahun dahulu dan menjadi kemegahan setiap tamadun yang memilikinya.

Pada mulanya saya ingin memecahkan artikel ini menjadi beberapa entri tetapi bila sudah mula menaip dirasakan pula biarlah artikel ini tidak bersambung-sambung untuk mendapat kenikmatan membacanya. Harap bersabar membacanya.

Sutera adalah satu fiber atau gentian yang kuat, lembut serta halus hasil dari cecair protein yang dikeluarkan dari mulut ulat sutera yang kemudiannya ditenun menjadik fabrik yang lembut digunakan untuk membuat pakaian wanita seperti baju kurung, blouse, kemeja dan lain-lain. Juga digunakan untuk membuat tudung, tali leher, langsir, tudung kusyen dan pelbagai lagi.

Ada sutera asli dan juga  campuran seperti didapati  dalam fabrik seperti satin, chiffon, georgette, shantung, crepe  de chine, broked, jacquard dan lain-lain.

Sutera melambangkan kemewahan pemakainya dari dahulu hingga sekarang . Sutera juga seringkali dikait dengan kelembutan dan banyak disyair dan dilagukan sebagai lambang kesetiaan dan pengorbanan dalam percintaan.

Sutera merupakan barang dagangan utama antara timur dan barat apabila China membuka jalur perdangangan yang menghubungkan antara  China, Tibet, India , parsi dan Negara di sekitar Menditerranean hampir 3000 tahun sejak dari Dinasti Han berkuasa (206-220M)  yang dikenali sebagai Laluan Sutera. Laluan Sutera mendapat  nama kerana pada masa itu sutera merupakan bahan dagangan utama.  Keluaran sutera China menjadi barangan mewah dan dieskport sehingga ke Eropah dan Negara-negara Timur. Pada masa itu tidak ada Negara lain yang mengetahui rahsia bagaimana sutera dihasil di China. China cukup ketat mengawal rahsia sutera mereka.

Walaubagaimanapun rahsia sutera China pecah juga apabila imigran-imigran China yang melarikan diri dari pemerintah yang zalim ke negara-negara seperti Korea dan Jepun dan usaha-usaha negara luar menghantar pengintip-pengintip ke negara China untuk mendapat rahsia pengeluaran sutera. Dari situ teknik penghasilan sutera tersebar ke Korea, Jepun, India,  Asia Tenggara dan Eropah seperti di  Itali dan Perancis.
Teknik pengeluaran sutera  tersebar ke Eropah Barat selepas Perang Salib dan pada masa itu banyak peralatan tenun yang canggih mula dicipta untuk menenun sutera.

Bagaimana Sutera Dihasilkan.

Penternakan ulat sutera untuk menghasilkan sutera dikenali sebagai sericulture yang mula dipelopori oleh negara China. Sutera diperolehi dari kepompong ulat sutera yang dihasilkan oleh kupu-kupu Bombyx Mori. Kitaran hidup ulat sutera bermula dari kupu-kupu Bombyx Mori yang menghasikan telur  di atas daun mulberi yang menjadi sumber utama makanan ulat sutera. Dalam jangkamasa tiga hingga tujuh hari, telur kupu-kupu akan menetas menjadi larva dan larva ini akan memakan daun mulberi.  Larva akan bersalin kulit sebanyak empat kali dan berat akan bertambah sepuluh ribu kali ganda.

Terdapat dua pasang kelenjar pada mulut larva yang  dikenali sebagai spirinet. Sepasang kelenjar akan  mengeluar cecair protein dikenali sebagai fibroin  manakala  sepasang kelenjar lagi akan mengeluar cecair protein yang dikenali sebagai serisin. Cecair protein  ini akan menjadi kering apabila terdedah kepada udara dan membentuk filamen yang halus.

Cecair dari air liur urat sutera ini  terdiri dari dua jenis bahan protein haiwan iaitu fibroin. Fibroin merupakan sumber utama  bahan sutera meliputi 75% sutera. Bahan protein yang kedua dikenali sebagi serisin iaitu bahagian luar fiber sutera yang meliputi 25% sutera.

Fungsi serisin adalah seperti  gam yang melekatkan  filamen sutera antara satu dengan  lain.
Larva melilit filament tubuhnya  sehingga terbentuk sarang kepompong atau kokon.  Dalam proses mendapatkan benang sutera,  sarang kepompong atau kokon akan direndam di dalam air panas supaya serisin yang bertindak sebagai gam dapat diuraikan yang tinggal kebanyakannya adalah fiber-fiber fibroin. Filamen yang sudah terurai ditarik dan digulung pada bobbin atau gelendung. Filamen ini dikenali sebagai sutera mentah yang kemudinnya dipintal menjadi benang (yarn) dan digunakan untuk menenun fabrik sutera.
Sutera mentah mempunyai komposisi fibroin  iaitu fiber sutera (76%), serisin sebagai perekat (22%, lilin (1.5%) dan garam-garam mineral (0.5%)

Dalam industri penternakan  sutera, kupu-kupu Bombyx Mori dipelihara dengan memberi makan daun mulberi. Sutera dihasilkan dengan cara penternakan ulat sutera dengan memberikan makan daun mulberi dikenali sebagai sutera ternak, sutera juga diperolehi dari kupu-kupu liar dari hutan yang dikenali sebagai sutera liar.

Sutera liar dikenali sebagai Sutera Tussah.  Sutera ternak berbeza dengan sutera liar (Tussah Silk) di mana kebanyakan sutera liar memakan daun-daun pokok oak. Sutera ternak lebuh halus berwarna hampir  putih dan mempunyai filamentyang lembut. Sutera liar pula adalah lebih kasar tidak sekata dan keperang-perangan. Tidak putih seperti filamen sutera ternak.

Sutra liar berbeza dari sutra ternak dari segi warna dan tekstur kerana biasanya  kepompong liar yang dikumpul sudah dirosak oleh pupa  yang keluar dari kepompong sebelum kepompong tersebut diambil sehingga menyebabkan benang sutra mentah yang membentuk kepompong itu sudah terputus menjadi pendek.

Sifat-Sifat Sutera

  • Sutera  mempunyai rupa yang berkilau kerana di dalama fiber atau gentian sutera terdapat sruktur seperti prisma segitiga yang menyebabkan kain sutera membias cahaya.
  • Teksturnya halus dan lembut. Kain sutera juga ringan dan filamen sutera juga cukup kuat dan teguh. Cukup selesa dipakai.
  • Mempunyai fungsi menjaga kesihatan kerana sifatnya yang lembut memberikan pemakainya suatu perasaan yang menyegarkan.
  • Penyerap bunyi, habuk dan juga cahaya yang panas. Pengalir haba yang baik.
  • Anti radiasi ultra-violet.
  • Teguh semasa kering tetapi berkurangan semasa basah. Kelembapannya boleh menurun sehingga 20% apabila basah.
  • Berbunyi bergemerisik bila bergesel dengan kain lain.
  • Sutera dapat menyerap kelembapan dengan baik. Boleh menyerap sehingga 20% lembapan. Ini menjadikan kain sutera sejuk dan sedap dipakai.
  • Sutera juga meghasilkan cas elekstostatik yang tinggi bila bergesel dengan kulit atau kain yang lain dan akan menyebabkan kotoran, habuk dan sebagainya mudah ditarik dan melekat pada kain.
  • Sutera juga mudah kusut tetapi mudah dilicin kembali dengan seterika.
  • Sutera juga amat sensitif dengan suhu yang tinggi dan apabila diseterika dengan setting yang panas, ia akan berubah warna menjadi kekuning-kuningan. Untuk mengelak seterika yang panas, kain sutera boleh dilapik dengan pelapik kain yang sesuai seperti kain kapas.
  • Sinaran matahari yang terang juga boleh mengubah warna sutera menjadi kekuning-kuningan dan kekuatan sutera juga boleh menjadi lemah di bawah terik sinar matahari.
  • Sutera juga mudah diserang oleh serangga bila disimpan lama tanpa perlindungan  ubat anti serangga.
  • Sutera bila dibakar berbau seperti rambut terbakar.
  • Tidak bersifat elastik seperti fabrik sintetik.
  • Mudah dirosak oleh asid dan alkali.

Cara Menjaga Kain Sutera

  • Tidak sesuai dibasuh dengan mesin basuh. Ssebaiknya dicuci dengan ‘dry cleaner’ supaya fibernya tidak rosak.
  • Jika mahu mencuci sendiri gunakan sabut lembut seperti shampoo atau sabun mandi. Jangan mengguna berus kerana berus boleh merosakkan urat benang sutera. Elakkan mengguna detergent.
  • Tambah air suam secukupnya supaya pelapis atau coating pada sutera bersinar kembali kemudian masukkan kain sutera ke dalamnya. Rendam selama lima minit tanpa dikocak airnya. Jika ada kotoran yang susah dihilang percik sedikit cuka dan kotoran tersebut dengan jari sehingga hilang.  Jangan guna agen peluntur.
  • Fabrik sutera tidak boleh direndam dalam air yang terlalu panas kerana ia kan mengkerintingkan sutera.
  • Basuh  fabrik sutera dengan kaedah meramas, menguli dengan lembut.
  • Selepas membasuh, bilas kain sutera samada menggunakan air yang sedikit berasid mahupun sedikit beralkali. pH yang terbaik adalah sekitar 6 - 8 pH. pH air yang betul dapat memastikan sutera  menjadi lembut dan bersinar.
  • Sutera boleh diremdalam dalam air yang mempunyai pH yang sesuai . Oleh kerana cuka dan limau adalah contoh-contoh sumber asid dan garam pula bersifat alkali maka bolehlah digunakan ke tiga-tiga bahan ini untuk mengubah pH air bilasan.  Dua camca besar garam dicampur dengan dua camca cuka yang dicampur dengan satu gelen air.  Bilas dengan air suam sebanyak dua kali.
  • Elakkan daripada memerah fabrik sutera anda kerana ia akan memintal dan merosakkan aluran urat benang. Jika fabrik sutera anda perlu dikeringkan dengan cepat, masukkan ia di dalam gulungan kain tuala,tekan atau ramas untuk mengeringnya.
  • Sidai di tempat yang redup dan berangin untuk mengelak terkena panas terik matahari.
  • Semasa menyidai guna penyangkut baju untuk menggantung bajudan kain sutera.
  • Terbalikan kain supaya bahagian dalam berada di luar semasa menjemur.
  • Hindari dari menjemur secara langsung di bawah sinar matahari kerana matahari boleh meninggalkan kesan kekuning-kuningan pada kain.
  • Elak menggosok pada suhu yang tinggi semasa menseterika. Gosok dengan suhu sederhana. Boleh setting pada ‘silk’ pada seterika.
  • Untuk meneglak kerosakan pada sutera sepasa menseterika boleh gunakan alas atau pelapik seperti alas kain kapas.
  • Ada petua yang menyatakan pakain sutera boleh disimpan dahulu dalam peti sejuk dahulu beberapa jam untuk memudahkan mensterika kain sutera.
  • Simpan kain sutera di tempat yang kering. Jika perlu boleh bungkus dengan kain kapas.
  • Tidak boleh bersentuh dengan alkohol seperti minyak wangi kerana sifat sutera sebagai protein.


BAGAIMANA MENEGENALPASTI SUTERA YANG ASLI

Dengan Cara Memegang, Memakai dan Pemerhatian.

Dengan memerhati  kepanjangan dan keragaman pada sutera  kerana fiber sutera sangat nipis dan panjang. Fabrik sutera juga lembut, cerah dan bersinar. Sutera asli apabila dipakai terasa suatu perasaan yang menyegarkan kerana sutera asli mempunyai biokompatibiliti yang baik kerana ia terdiri dari protein  yang mengandungi 18 jenis asid amino.

Menarik Sutera  Melalui Cincin.

Sutera asli  yang mempunyai lapisan yang lebih rendah dan ianya lebih mudah ditarik melalui cincin kerana lapisan yang rendah  lebih licin, lembut dan fleksibel berbanding sutera campuran. Ujian ini tidak sesuai untuk semua jenis sutera kerana ada sutera yang lebih tinggi lapisannya dan lebih berat. Fiber sintetik lebih susah ditarik melalui cincin.

Ujian Pembakaran Fabrik Sutera.

Ujian inilah yang paling popular dalam dengan membakar fabrik sutera. Sutera terbakar secara perlahan dengan kesan api tidak menyala dan mempunyai bau seperti rambut terbakar kerana sifat proteinnya. Hasil pembakaran  meninggalkan habuk seperti manik hitam yang mudah dihancurkan menjadi debu.

Ujian Bahan Kimia.

Sutera dibuat dari bahan protin. Ujian kimia boleh membeza antara bahan protein dan bahan sintetik. Larutan CuSo4 diperlukan dengan mencampur dengan NaOH dan air. Sutera akan larut jika dimasuk kedalam larutan tersebut.

JENIS-JENIS SUTERA

Sutera tersedia dalam bermacam-macam tekstil. Ada yang asli berasal 100% dari sumber alam semulajadi iaitu ulat sutera dan ada sutera campuran ( tidak 100% sutera) mempunyai campuran bahan lain. Biasanya campuran lainnya adalah viscose, polyester dan fiber sintetik.  Antara fabrik yang mengandungi campuran sutera adalah brocade, chiffon, damask, georgette, jacquard, kente, organza, pongee, satin, shantung, tafetta, tulle dan velvet.

Thrown Silk
Diperbuat dari fiber filamen yang panjang. Merupakan sutera yang paling mahal. Antara nya terdapat pada satin, chiffon, taffeta, georgette dan digunakan untuk membuat tudung, selendang, blouse, baju kurung, gaun dan lain-lain. Sifatnya lembut beralun, licin dan bersinar. Sangat selesa dipakai.

Spun Silk
Diperbuat dari filamen yang lebih pendek dan harganya lebih murah.  Juga dibuat dari sutera liar seperti pada kain shantung. Lebih banyak kandungan sericin berbanding thrown silk. Antaranya adalah fabrik shantung, baldu dan lain-lain. Biaa digunakan untuk membuat tali leher, langsir, kusyen, selendang , tudung dan lain-lain.

Noil Silk
Diperbuat dari fiber filamen yang bercampur dengan pelbagai fiber yang lain. Diguna untuk membuat pakaian sukan, kain untuk kegunaan di dapur dan lain-lain.

Jenis Sutera Yang Popular

Thai Silk 
Thai Silk adalah sutera yang sangat berat dan dihasilkan dari ulat  sutera mulberi (Bombyx mori). Lebih kekuning-kuningan, filamennya lebih kasar dan mempunyai lebih gam sutera atau serisin (Sehingga 38%) berbanding dengan sutera mulberi yang normal (20-25%).

Thai Silk biasanya dikeluarkan untuk kegunaan industri domestik di Bahagian Timur-Barat Thailand. Ciri-ciri ini menyebabkan mempunyai kaedah tersendiri untuk menenun. TPada masa sekarang Thai Silk yang popular adalah untuk kraftangan dan tali leher. Di Malaysia Thai Silk banyak dijual di kedai-kedai textile dan menjadi pilihan untuk membuat tudung terutamanya awning tudung.

Shantung Silk
Berasal dari Shantung iaitu satu kawsan di China. Dibuat dari sutera liar dengan filamen yang lebih pendek. Shantung silk juga nampak berkilau. Lebih tebal dan berat kerana kurang sericin dikeluarkan  semasa proses pemintalan benang sutera mentah.

Dapat memegang warna dengan baik semasa proses dye dan mempunyai pilihan pelbagai jenis warna. Sesuai dibuat seluar, jaket, dress, vest dan skirt. Shantung silk telah dieksport sejak beratus tahun dahulu lagi.

Sutera Crepe
Crepe atau crape adalah pengkelasan umum untuk fabrik dengan karakteristik permukannya yang  bergerutu halus, berkedut dan berlipat-lipat  Fabrik ini dibuat daripada  sutera, rayon, acetate, cotton, wool dan juga fiber sintetik. Mempunyai kenipisan yang pelbagai dan juga dikenali sebagai "Crêpe de Chine" .  Mempunyai permukaan yang sedikit berkedut hasil dari tenunan benang yang berpintal (twisted).

Terdapat dua variati crepe atau crepe lembut  (juga disebut sebagai  Canton atau Oriental crêpe) dan juga crepe keras. Crepe Keras (Hard Crepe) juga mempunyai beberapa variati seperti satu lapis, dua lapis, tiga lapis dan empat lapis..  Kainnya lembut, nipis dan tak jarang sesuai untuk membuat tudung, selendang, dress dan blouse. Crepe berasal dari perkataan Perancis bermaksud pancake yang nipis.

Sutera Jacquard
Mengambil sempena nama pencipta mesin tenun Jacquard iaitu Joseph Marie Jacquard (1752–1834). Mempunyai corak yang pelbagai seperti corak berbunga dan corak paisley pada tekstur kain.

Tenunannya menghasilkan kesan cerah dan gelap pada fabrik. Kebiasaannya lebih berat dan tumpat. Kain juga lembut beralun, licin dan bersinar.

Sutera Charmeuse
Fabrik sutera tradisional dengan permukaan belakang fabrik rata seperti crepe dan permukaan hadapan berkilau seperti satin. Sesuai untuk tudung, selendang, blouse dan pakaian dalam wanita.

Sutera Duoppini
Juga dikenali sebagi sutera dupion. Dihasilkan dari 2 jenis benang kepompong sutera yang berlainan yang diletak bersebelahan. Tenunan lebih kasar dan tidak seragam. Mudah untuk proses dye dan mudah dijahit. Mempunyai  sifat reversible di mana kedua-dua belah permukaan boleh digunakan.

LARANGAN PEMAKAIAN SUTERA  KEPADA LELAKI DALAM ISLAM

Banyak hadis nabi yang melarang lelaki memakai sutera.  Tidak perlu saya senaraikan di sini. Boleh google sendiri melalui internet.

Juga penjelasan Ustaz Azhar Idrus seperti di You Tube.
http://www.youtube.com/watch?v=qJHR9sbSECI

Sutera juga  disebut di dalam al quran sebagai pakaian syurga.

SEJARAH DAN LEGENDA KEHEBATAN SUTERA

•      Mengikut legenda China  sutera mula ditemui oleh Xi-Ling-Shi  (atau Si-Ling-Chi) isteri Maharaja Hoang Ti ( yang dikenali sebagai Yellow Emperor).  Pada suatu petang  Xi-Ling-Shi sedang bersiar-siar di taman. Oleh kerana tidak tahan dengan terik matahari, putri Xi-Ling-Shi berhenti berteduh di bawah pokok mulberi, sambil minum secawan teh.

Tiba-tiba  kepompong ulat sutera  ter jatuh kedalam cawan tehnya. Teh yang panas melembut dan menguraikan kepompong tadi sehinggalah  fiber yang halus mula mengurai .  Xi-Ling-Shi memerhatinya dengan penuh minat dan memintal filamen  sutera yang dihasilkan oleh kepompong tadi dengan jarinya.

Kemudian ia menyuruh dayang-dayangnya mengumpulkan lebih banyak kepompong untuk diternakkan dan ditenun.

Atas jasanya menemukan ulat sutra dan teknik  membuat sutra, Putri Xi Ling Shi diberi gelaran “Dewi Ulat Sutera” atau  “Goddess of Silkworms” Setiap bulan tertentu sewaktu penetasan ulat sutera, penduduk China menyambutnya dengan perayaan yang dikenali sebagai “silkworm festival”.

Dalam festival ini permaisuri  China sendiri akan pergi ke tapak-tapak  pemeliharaan ulat sutera, menyedia  daun mulberi dan memberi makan ulat sutera dengan cara membawa raga yang mengadungi ulat sutera yang muda.
Semasa penutupan perayaan tersebut permaisuri akan memberi hadiah kepompong sutera kepada rakyatnya sebagai galakan untuk memelihara  ulat sutera .

Selepas menemui pengetahuan ini. China menyimpan rahsia ini dan memonopoli industry sutera hampir 4000 tahun.  Sesiapa yang memecah rahsia ini atau cuba menyeludup telur kepompong atau ulat sutera akan dihukum mati.  China Berjaya menyimpan rahsia tersebut sehingga 3000 tahun lamanya.

Sebelum pembuatan pakaian dengan sutera, sutera juga telah digunakan dalam pembuatan alat muzik. Benang sutera diregangkan  dan disusun yang menghasilkan tone bunyi yang merdu. Fiber sutra juga dipakai untuk bahan membuat  tali pancing, tali busur panah dan juga sebagai bahan kertas.


Sutera menjadi bahan yang amat bernilai dan menjadi hadiah paling utama kepada sesiapa yang berjasa kepada Negara oleh setiap kerajaan di China pada masa dahulu. Pahlawan dan cendekiawan yang berjasa kepada Negara sering dianugerah dengan pakaian sutera yang mahal.

Dikisahkan apabile Liu Bei berjaya memujuk Zhuge Liang menjadi penasihat kepada Negara Shu selepas tiga kali gagal berjumpa dengan Zhuge Liang , Liu Bei berasa  sangat gembira dan menganugerahkan  Zhuge Liang  antaranya dengan persalinan sutera yang mahal sebagai meghormati kesudian Zhuge Liang menjadi penasihat kepada Negara Shu untuk menghadapi peperangan dari Cao-Cao dari Negara Wei dan Sun Quan dari Negara Wu di mana pada masa itu Empayar Han berpecah kepada tiga negara.


Dalam satu cerita klasik Odyssey yang terkenal karangan Homer, Penelope isteri kepada Oddysey  pernah menggambarkan bahawa pakaian suaminya bersinar seperti kulit bawang yang kering yang merujuk kepada fabrik  sutera yang mahal.


Percintaan Putera Raja Khotan (Sekarang-Hetian) dengan puteri Negara  China yang berlaku  pada tahun 440 M telah membocorkan buat kali pertama rahsia sutera yang disimpan  erat sebelum  ini kepada Negara luar.

Puteri China itu telah menyeludup telur ulat sutera dan benih pokok mulberi dengan menyembunyinya di dalam rambut dengan ditutupi oleh topi yang dipakai oleh puteri raja tersebut.  Semasa melalui pintu gerbang kota, pengawal telah memeriksa seluruh tubuhnya tetapi pengawal  tidak berani menyentuh rambut puteri tadi dan akhirnya berjaya membawa keluar dari negara China ke Khotan. Rahsia sutera akhirnya bocor kepada negara luar.


Pengetahuan tentang sutera yang terawal di bawa ke Eropah adalah melalui Alexander The Great (356 -323M) apabila pulang dari India. Walaubagaimanapun pengetahuan itu tidak kekal lama hilang begitu sahaja.


Aristotle pernah memberi huraian tentang  ulat sutera seperti ulat bertanduk yang dipanggilnya sebagai Bombyx. Mengikut Aristotle Kepulauan Cos adalah tempat yang subur dengan pengeluaran sutera.


Pada 552M Maharaja Justinian dari kerajaan Rom telah menghantar 2 orang mubaligh ke China untuk menyeludup telur sutera  dan benih pokok mulberi dengan dengan risiko yang tinggi yang boleh mengancam nyawa mereka sendiri.

Mereka menyembunyi telur ulat sutera dan benih pokok mulberi dalam potongan buluh. Ketibaan telur sutera ke Byzantium menyebabkan monopoli China berakhir.Byzantium menjadi tempat pembuatan sutera dan bisnes sutera berkembang dengan pesat. Sejak itu, teknologi penternakan ulat sutera dipopularkan di Rom


Semasa kekuasaan kerajaan Rom, sutera dianggap setanding dengan emas dan dipakai oleh golongan bangsawan. Para pedagang Rom mengembara sehingga ke China untuk mendapatkan sutera.

Pemerintah Rom pernah melarang menjual dan memakai pakaian sutera  tetapi ia telah ditentang keras oleh golongan bangsawan sehingga akhirnya arahan itu dibatalkan. Julies Caesar dipercayai pemerintah Rom yang pertama memakai pakaian sutera yang sangat mahal ketika itu.


Kaedah penternakan ulat sutera merebak ke Korea dan Jepun yang di bawa oleh imigran China yang melarikan diri dari Maharaja China yang zalim. Di Jepun dan India penternakan sutera menjadi industri keluarga melibatkan dari anak-anak sehinggalah ke golongan dewasa.


Di India pula, cendiakawan  India mendakwa ulat sutera (Bombyx Mori) berasal dari negara mereka. Mengikut mereka ulat sutera  mula dipelihara di kawasan kaki bukit di Himalaya sejak zaman berzaman lagi.


Columbus pernah berkata kepada anak kapalnya bahawa siapa yang mendapati tanah terlebih dahulu akan dihadiahkan dengan sepasang baju sutera.


Pada abad ke tujuh apabila Islam Berjaya menakluk Parsi, orang Arab mula belajar proses menghasilkan sutera. Semasa perkembangan empayar Islam, mereka menyebar teknologi sericulture dan tenunan sutera  ke Afrika, Sicily dan Sepanyol.


Semasa kegemilangan Empayar Othmaniah di Turki, Bandar-bandar sepert Busra, Bilecik dan Uskadar pernah menjadi pusat pengeluaran  sutera terbaik di dunia. Kedudukan kerajaan Turki yang menghubung Asia dan Eropah menjadi tempat persinggahan berbagai jenis kain sutera.

Para saudagar sutera dar Iran yang melalui Anatolia dan Bursa sebelum menjualnya ke  Negara Eropah terutamanya Itali akan dikenakan cukai . Bisnis sutera di Turki menyumbang pendapatan yang besar kepada kerajaan. Produk seni dari hasil sutera menjadi koleksi resmi para sultan dan kebanyakan direkabentuk oleh artis tenunan yang hebat pada masa itu.


Di Lyon, Perancis  pada 1804, Jacquard memperkenalkan kaedah menghasilkan sutera  dengan mengguna kaedah ‘perforated card’  yang mengubah revolusi dalam teknik penenunan  sutera.


Langkasuka yang terletak di yang terletak di timur Semenanjung Tanah Melayu merupakan negeri Melayu yang dikait dengan kerajaan beraja yang memiliki dan mengguna pakaian  dan kelengkapan pakaian mewah dari sutera. Negeri di Selatan Langkasuka iaitu Kelantan dan Terengganu  merupakan kawasan yang sering menerima kunjungan pedagang Arab yang menjadi tempat perdagangan Sutera.


Antara tahun 700 -1000M Srivijaya-Palembang merupakan kerajaan yang terkenal sehingga menjadi wilayahnya pelabuhan dan tempat pertukaran barangan dagangan. Antaranya adalah sutera dari China.


Sutera di Tanah Melayu mula dikenali apabila berlakunya hubungan dagangan antara  China dan India dengan Kerajaan Melaka. Kain cindai yang terkenal di Tanah Melayu adalah dibuat dari kain sutera yang berasal dari India yang dikenali sebagai fabrik Patola. Malahan Sultan Melayu sering menempah fabrik-fabrik sutera yang bermutu tinggi dari India.


Ulat sutera juga adalah makanan popular di sesetengah negara seperti di China, Korea, Tanzania,  Afrika dan Zambia yang memakan larva ulat sutra kerana kandungan proteinnya yang tinggi.

Dongeng Rakyat China Tentang Sutera & Pokok Mulberi

Pada masa dahulu  seorang anak gadis sangat merindui bapanya yang merantau jauh dan sudah lama tidak pulang. Anak gadis ini mempunyai seekor kuda yang amat disayanginya dan untuk menghilang rindunya dia sering bercakap-cakap dengan  kudanya.

Suatu hari secara jenaka, si gadis ini berbisik kepada kudanya jika ia boleh membawa pulang bapanya ke rumah, ia akan berkahwin dengan kuda tersebut. Kuda itu seperti memahami akhirnya mencari bapa gadis itu dan seterusnya membawanya pulang ke rumah. Si gadis sangat gembira dengan kepulangan bapanya sehingga terlupa dengan kata-katanya dahulu untuk mengahwaini kuda tersebut jika bapanya di bawa pulang.

Si bapa menyedari bahawa sesuatu yang pelik telah berlaku kepada kuda tersebut kerana  apabila melihat kuda tersebut tidak makan dan menggelisah sepanjang masa. Ia bertanya kepada anak gadisnya apakah ia pernah berkata  sesuatu dengan kuda tersebut. Gadis itu mengakui bahawa  ia pernah bercakap dengan kuda tersebut akan berkahwin dengannya jika bapanya di bawa pulang ke rumah.

Untuk melindungi anak gadis tersebut bapa gadis tersebut membunuh kuda tersebut. Pada suatu hari semasa si gadis keluar rumah. Kuda yang mati telah bangun semula dan menyelimuti gadis tersebut . Gadis tersebut berubah menjadi menjadi  kepompong ulat sutera.

 Bapa gadis mencari anaknya sepanjang hari tetapi tidak menjumpainya sehinggalah jiran-jirannya memberitahu tentang kepompong ulat sutera tersebut. Dari kepompong tersebut muncul pokok mulberi yang subur yang menjadi itos rakyat China yang mempercayai bahawa pokok mulberi yang hidup adalah berasal dari kuda tadi.

Demikianlah kisah dongeng rakyat china yang sangat rapat dengan sutera dan pokok mulberi.

                                      ----------------------------------------------

Begitulah kisah sutera yang panjang dan beraneka ragam. Penuh lagenda, mitos dan cerita yang menarik. Menjadi kebanggaan kepada pemakainya, dicari dan dicuri rahsianya sehingga sanggup menggadai nyawa untuk mendapatkannya.

Kelembutan sutera diibarat seperti hati wanita yang lembut, penuh kesetiaan dan pengorbanan bila bercinta dan berkahwin sebagaimana kesetiaan dan pengorbanan ulat sutera itu sendiri.

Kepada para suami yang membaca kisah sutera ini sehingga di sini, bolehlah menempah sepasang baju sutera yang cantik  kepada isteri tercinta sebagaimana cintanya Lu Bu kepada Diao Chan yang menghadiah sepasang pakaian sutera yang cukup indah untuk isterinya.

Begitulah harapan si isteri ingin kelihatan ‘Seperti Sutera Dalam Lukisan’ apabila dipakai dengan sutera yang cantik.

Post Utama

Kedai Online Nash Fesyen

Post Paling Popular

HAKCIPTA TERPELIHARA NASH FESYEN 2018