Tuesday, 8 October 2013

Mengenali Fabrik Chiffon, Georgette dan Lycra


Printed Chiffon

Terdapat pelbagai jenis fabrik di pasaran. Kadang-kadang sukar juga untuk membuat keputusan apakah fabrik yang sesuai untuk pakaian. Ramai juga yang bertanya fabrik yang sesuai untuk buat tudung dan selendang. Kali ini saya nak buat entry untuk jenis fabrik yang biasa digunakan untuk buat tudung dan selendang. Artikel ini berdasarkan pembacaan dari pelbagai sumber dan juga pemerhatian sendiri. kalau salah tolong betulkan. Insyallah lain kali saya akan post pula jenis fabrik yang lain.

Fabrik dihasilkan daripada pelbagai jenis bahan mentah yang sedia ada sama ada secara semulajadi atau secara buatan atau gabungan kedua-duanya. Fabrik boleh dikelaskan berasaskan  bahan asal fiber, proses penghasilan  fabrik atau  pengggunaan akhir  fabrik  tersebut.

Fabrik semulajadi  (fabrik asli) adalah fabrik yang dihasilkan  sama ada  dari fiber/gentian /serat dari  kulit binatang, kepompong ulat sutera, biji, daun dan juga batang tumbuh-tumbuhan. Kelebihan fiber semulajadi ini kerana tidak mudah bertukar warna di bawah pancaran cahaya matahari dan tidak mudah luntur .

Fabrik buatan pula boleh dibahagikan kepada fabrik sintetik dan fabrik selulosa terjana semula.
Fabrik sintetik  diperbuat daripada fiber yang mana bahannya adalah dari bahan kimia bukan organik  atau bahan kimia organik (dari sumber petroleum) yang dicampur  dgn bahan kimia lain.

Fabrik selulosa terjana semula terdiri dari campuran fiber asli (contohnya seperti kapas) yang dicampur dengan selulosa.

Terdapat satu lagi jenis fabrik yang berasal dari bahan mineral seperti asbestos, besi ,perak, emas dan juga fiber gelas. Sebelum menjadi kain bahan tersebut diolah menjadi fiber. Fabrik jenis ini mempunyai ketahanan dan menunjukkan gaya mewah pemakainya. Proses pembuatan menggunakan fiber asbestos sangat merbahaya kerana fiber asbestos bila disedut boleh menyebabkan kanser.

FABRIK CHIFFON (SIFON)

Chiffon pada asasny merujuk kepada fabrik yang ditenun nipis dengan kainnya yang  lembut. Fabrik sifon boleh dihasilkan dengan menggunakan fiber-fiber yang berlainan seperti sutera (silk)  atau  fiber sintetik, juga kapas dan lain-lain tetapi chiffon secara umumnya lebih dikaitkan dengan fiber seperti nilon dan silk.

Mudah diwarnakan menggunakan dye dengan pelbagai  warna pilihan yang kita kehendaki tetapi ianya agak sukar untuk diwarnakan pada bahan polyester.  

Chiffon berasal dari Bahasa Perancis yang bermaksud kain yang nipis dan ringan.  Tenunan chiffon agak renggang. Jika didekatkan ke cahaya ianya kelihatan seperti jaring.

Chiffon boleh dibuat dengan menggunakan pelbagai jenis material seperti silk, polyester atau rayon. Chiffon digunakan untuk gaun pengantin, dress, blouse dan tudung.

Teksturnya yang lembut, beralun dan ringan sentiasa  memberi keselesaan yang berpanjangan sesuai  dengan cuaca panas dan lembab. Chiffon sesuai dibuat pakaian tradisional dan moden.  Oleh kerana sifatnya yang tembus cahaya (transperent) biasanya chiffon dilapisi dengan kain pelapik (lining) sama ada dari kain satin atau kain lapisan dalam yang lain.

Teksturnya yang lembut juga didatangi dengan satu warna, gabungan 2 atau lebih warna sama ada terang atau lembut. Dengan fabrik chiffon pemakainya kelihatna hebat dan bergaya. Anggun dan terserlah personalitinya.

Terdapat pelbagai jenis nama yang dikaitkan dengan chiffon.

Chiffon Sutera
Menjadi pilihan untuk tudung dan shawl kerana dilhat dari segi keselesaan kepada pemakainya dan juga berkualiti. Harganya agak mahal dan memerlukan penjagaan yang lebih rapi dan cuciannya memerlukan cucian kering. Hasil buatannya halus dan diminati ramai.

Chiffon Goldline
Hasil buatanya halus dan teliti. Harganya agak mahal tetapi tetap diminati ramai.

Chiffon Georgette
Fabrik ini adalah gabungan fabrik chiffon dan georgette.  Menjadi pilihan ramai kerana lebih mudah dari segi penjagaan dan juga dari segi bajet ianya lebih murah berbanding chiffon sutera. Penjagaannya mudah dan boleh dicuci dengan air.

Double Chiffon
Kain lebih tebak dan kurang tembus cahaya berbanding kain chiffon biasa.

Chiffon Plain 
Menjadi pilihan kepada mereka yang tidan suka corak pada kain.

Chiffon Bercetak (Printed Chiffon)
Mempunyai  motif bercetak dengan pelbagai jenis corak bunga dan abstrak.

Chiffon Paisley
Mempunyai motif bercorak paisley.

Chiffon Tribal
Mempunyai motif bercorak tribal

Ada juga chiffon yang lain seperi Viscose Chiffon, Polyester Chiffon, Silk Chiffon, Cerutti Chiffon, Paris Chiffon, Crepe Chiffon dan Blend Chiffon.

Ada juga yang didatang khas  bersama kain pelapik (lining), bertatah batu dan juga bermanik.


FABRIK GEORGETTE

Fabrik ini biasanya dibuat dari silk atau polyester.  Ia  tidak begitu tembus cahaya, lebih kenyal  dan  sedikit berat berbanding dengan chiffon biasa.

Harga tidak begitu mahal dan menjadi lebih praktikal untuk dibeli. ramai yang memilih fabrik georgette untuk pembuatan tudung dan selendang terutamanya yang tidak menyukai fabrik yang ternampak jarang seperti chiffon biasa.

FABRIK LYCRA ATAU SPANDEX

Lycra atau leicia adalah jenama fabric yang dikeluarkan oleh Syarikat Invista iaitu anak syarikat(subsidiari) kepada Dupont yang terkenal dalam industry bahan kimia. Sesetengah Negara menyebutnya Lycra dan sesetengah Negara menyebutnya Spandex.

Lycra adalah sejenis fiber kenyal yang dapat meregang 4-7 kali ganda dan bila dilepaskan ia dapat kembali ke ukuran asalnya. Lycra bersifat kenyal dan Nampak melekat pada tubuh.

Fiber kain lycra juga dicampur dengan fiber semulajadi seperti wool, linen, sutera dan cotton. Campuran ini tidak mengubah bentuk kain lycra malah meningkat prestasi kain yang lebih baik. Ianya juga meningkat fleksibiliti, memberi kesejukan kepada pemakai dan juga membentuk kain yang lebih fleksible.

Kain lycra juga mempunyai sruktur kimia yang khusus yang dapat menyerap peluh dan anti parasit, fungus, cendawan dan lain-lain. Campuran fiber semulajadi dan buatan juga meningkatkan kualiti kain yang memberi kesegaran dan keselesaan kepada pemakai .

Lycra diaplikasi secara meluas untuk semua jenis pakaian seperti kemeja, blouse, sweater, jaket, jubah, gaun, pakaian renang, pakaian olahraga, telekung, tudung dan juga selendang.

Berbagai nama fabrik dikaitan dengan lycra sebagaimana kain chiffon seperti lycra plain, lycra printed (bercetak), lycra paisley, lycra tribal dan lain-lain.

Lycra Cotton: Lycra jenis ini bergetah dan lembut jadi ia mengikut bentukbadan walaupun ada campuran cotton. Kain Lycra jenis ini bersifat berbulu danmudah terkoyak. Contoh: Jubah atau Cardigan Lycra

Antara ciri-ciri kain lycra seperti ianya kelihatan kasual, kenyal (elastik), tahan lama, tahan haba panas, lembut, halus, penyerap air yang baik mempunyai kestabilan dimensi yang dapat menjaga postur pemakai, mempunyai ketahan lipatan dan fit pada tubuh pemakai. Lycra juga tidak perlu disterika jika malas.

Sunday, 6 October 2013

Kedai Online Menjual Tudung, Shawl & Pakaian Wanita.

Cita-cita ku untuk memiliki kedai online untuk menjual pakaian wanita,tudung, shawl dan aksesori wanita akhirnya tercapai. Kedai Online Nash Fesyen sudah siap dan sudah boleh beroperasi. Sudah sampai masanya aku perlu mengembangkan bisnes aku ini.

Kedai Online Nash Fesyen boleh dilayari melalui alamat www.nashfesyen.com. Insya Allah aku akan menambah lebih banyak produk dalam Kedai Online Nash Fesyen jika ada lebih modal nanti. Walaupun aku perlu mengurus kedai online aku sendiri, kerjaya aku sebagai tukang jahit yang menjadi hobi dan darah dagingku tidak akan ku tinggalkan. Banyak perkara lagi yang perlu aku belajar dalam selok belok perniagaan online. Doalah semoga aku berjaya.

Berikut adalah maklumat berkaitan Kedai Online Nash Fesyen.

SISTEM E-COMMERCE:
Aku menggunakan Sistem Zencart ver 1.5.1 untuk menyediakan kedai online ini. Zencart adalah open source e-commerce yang boleh digunakan secara percuma. Boleh download di laman web Zencart.

BAHASA:
Sistem Zencart sudah diterjemah ke Bahasa Melayu untuk kedai online ini. Ini untuk memudahkan pengunjung memahami  bagaimana cara membeli dan membuat bayaran. Bahasa Inggeris juga akan disediakan. Insya Allah.

KAEDAH PEMBAYARAN:
Kaedah pembayaran menggunakan MAYBANK (secara manual) dan PAYPAL di mana kedua-duanya sudah diintegrasi dalam kedai online ini. Pembeli boleh membayar mengguna Maybank atau melalui Paypal jika ingin menggunakan kad kredit. Setakat ini aku hanya ada akaun Maybank.

KAEDAH PENGHANTARAN:
Kedah penghantaran adalah menggunakan POS LAJU. Kaedah penghantaran mengguna pos laju juga sudah diintergrasi dalam kedai online ini. Kaedah penghantaran secara FLAT RATE ke Semenanjung Malaysia, Sabah/Sarawak dan juga Singapura/Brunai dan penghantaran berdasarkan berat produk melalui POS LAJU juga sudah diintegrasi dalam sistem ini. Setakat ini penghantaran hanya menggunakan bayaran FLAT RATE. Aku 'disable' dahulu penghantaran mengikut berat produk.

Kedai Online Nash Fesyen boleh dilayari melalui Komputer Desktop, Laptop, Tablet, Telefon Mudah Alih dan Sistem Android. Boleh dilayari menggunakan Internet Explorer, Mozilla Fire Fox dan Google Chrome.


BERAPA KOS UNTUK MENYIAPKAN KEDAI ONLINE NASH FESYEN?

Kos Domain: RM8.45 setahun. Domain dibeli melalui GoDaddy.com (Domain ini macam alamat kedai).

Kos Hosting: RM240.00 setahun. Hosting dibeli melalui Exabytes (klik di sini). (Hosting ini macam tapak untuk dirikan kedai).

Kos Pemasangan: Percuma (Suami yang tolong pasangkan)

Kos Keseluruhan: RM248.45 setahun (Sebulan hanya RM21.00)

Cukup murah berbanding kalau nak sewa kedai kat Bandar Baru Bangi ini. Kalau kat Bandar Baru Bangi sekurang-kurangnya sewa kedai RM3,000.00 - RM6,000.00 sebulan. Mungkin lebih lagi.

Boleh dilayari dengan komputer desktop

Dilayari dengan tablet

Dilayari dengan telefon mudah alih

Nash Fesyen adalah Syarikat berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dengan nama Nash Fesyen Enterperise, No. Pendaftaran 002264612-T.

Membelilah Di Kedai Online Nash Fesyen Dengan Yakin. Layarilah  www.nashfesyen.com.

Saturday, 5 October 2013

Belajar Menjahit Tudung, Datang Kelas Atau Belajar Sendiri?

Maklumat Kelas Menjahit Tudung. Sila Lihat Di Sini.

Untuk sebarang kursus menjahit saya lebih suka datang kelas. Kursus menjahit tudung yang  pertama saya pun dengan datang ke kelas kerana saya melihat banyak kelebihan bila saya memasuki kelas.

1. Dengan datang ke kelas saya dapat terus berjumpa dengan pengajar dan bertanya sebarang soalan yang saya tak tahu.

2. Dengan datang ke kelas saya  dapat menyentuh, mengukur, menggunting, menjahit tanpa takut berlaku kesilapan kerana ada bimbingan dari pengajar.

3. Jika belajar sendiri dengan melihat video atau gambar, saya perlu berhati-hati kerana takut berlaku kesilapan ketika memotong. Saya hanya melihat gambar atau video jika saya sudah mempunyai asas untuk sesuatu jahitan. Itupun untuk melihat langkah atau teknik yang tertentu sahaja.

4. Kain yang kita beli untuk tujuan belajar mungkin rosak jika kita menggunting atau menjahit dengan cara yang salah.

5. Yang penting bagi saya, saya dapat berkenalan dengan pengajar kerana banyak lagi ilmu-ilmu lain yang boleh saya belajar.

6. Pengalaman datang ke kelas itu yang sangat mahal kerana kita mempunyai disiplin untuk belajar. Tambahan pula kita mengeluar duit poket sendiri. Tentu kita menghargai ilmu yang diajar.

7. Perkara teknikal tertentu tidak dapat dipelajari melalui gambar atau video. Ini boleh berlaku semasa tudung yang kita buat tak menjadi atau tak sedap dipakai. Mesti ada sesuatu yang tak kena.

8. Biasanya selepas kelas yang pertama, dan sudah ada asas menjahit tudung yang pertama, tudung-tudung yang seterusnya adalah mudah untuk saya buat. Hanya perlu tahu jenis  pola sahaja. Kalau saya tak tahu sekurang-kurangnya saya boleh bertanya dengan pengajar saya.

Melihat gambar atau video untuk belajar menjahit juga banyak kelebihannya terutama sekali jika gambar atau video tersebut mempunyai langkah yang betul dan jelas untuk diikuti. Ada juga yang berjaya menyiapkan tudung sendiri berdasarkan tutorial dalam blog ini. Tahniah kepada yang berjaya.

Kepada pelajar-pelajar saya saya mengalu-alukan untuk datang berjumpa saya jika masih ada perkara-perkara tertentu yang perlu ditanya. Insyallah saya sedia membantu.

Gambar di bawah adalah untuk kelas pada minggu ini. Terima kasih Syuhada dan Wahida.


Belajar membuat pola tudung

Belajar menggunting kain

Tudung siap dijahit

Monday, 30 September 2013

Shawl Half Moon Berawning

Saya mendapat tempahan menjahit shawl half moon berawning dari pelanggan dari Sabah. Jika tuan/puan berminat untuk menjahit sendiri shawl half moon berawning sendiri ikut sahaja panduan yang saya berikan dalam post sebelum ini. Untuk menjahit shawl half moon lihat disini : Cara Jahit Shawl Half Moon 2 Layer dan untuk menjahit awning lihat di sini: Panduan Tukar Sendiri Awning Tudung.

Saya baru sahaja menyiapkan shawl half moon berawning seperti gambar di bawah.


Shawl half moon berawning kaler hijau


Shawl half moon berawning kaler purple


Shawl half moon berawning kaler biru

Tempahan Menjahit Jubah Dress Moden

Jubah dress moden merupakan pakaian labuh dan longgar yang kini boleh didapati dengan pelbagai rekabentuk dan fesyen. Kalau dahulunya pakaian seperti jubah ini hanya dipakai oleh golongan tertentu sahaja terutamanya ketika menghadiri kuliah ilmu. Kini dengan fesyen terkini dress moden ini mula dipakai untuk majlis-majlis yang lain juga termasuk juga sebagai pakaian di tempat kerja.

Walaupun ada tanggapan jubah hanya sesuai untuk wanita dewasa dan hanya dipakai oleh wanita berusia 40 tahun ke atas tetapi dengan rekabentuk dress moden terkini remaja mula terpikat untuk memakai pakaian jenis jubah dress moden ini.

Mengapa memilih dress? Kerana ianya selesa dan longgar menyebabkan ia menjadi pilihan pemakai. Pakaian ini bukan sahaja sesuai untuk ke majlis ilmu lagi tetapi untuk sebarang majlis.

Kali ini saya tunjukkan dress moden yang telah siap dijahit untuk pelanggan. Kain yang menjadi pilihan pelanggan saya ini adalah dari jenis lycra.

Kenapa Lycra? Kerana kain jenis ini adalah ringan, lembut, terletak cantik, tak mudah renyuk dan boleh dibasuh dengan mesin basuh dan tak perlu hantar dobi. Malahan masih nampak kemas walaupun tanpa diseterika.

Pemakainya juga merasa selesa kerana pakaiannya lembut, tak panas dan tak mudah berkedut.

Ramai tukang jahit tidak begitu berminat menerima tempahan untuk kain jenis lycra ini  kerana sifat kain itu sendiri bersifat elastik dan susah untuk dijahit dengan mesin jahit. Alhamdulillah mesin saya setakat ini tidak ada masalah dan masih boleh menerima kain jenis lycra ini tanpa perlu menukar jarum dan tak berkedut.

Ada juga  yang berpendapat kain lycra ini tidak begitu sesuai dijadikan pakaian muslimat kerana menampakkan bentuk tubuh badan jika dipakai. Ini adalah kerana sifatnya yang mudah meregang (elastik) mudah menampakkan tubuh badan terutamanya jika dipakai dengan sendat. Terpulanglah kepada diri masing-masing bagaimana hendak menggayakan dress ini sama ada dengan mengenakan pakaian dua lapis atau memastikan ukuran yang sesuai sebelum menjahit dan tidak sendat.

Gambar di bawah adalah contoh dress moden yang sudah siap dijahit untuk pelanggan saya.

Dress moden

Dress moden

Dress moden

Dress moden

Dress moden

Saturday, 28 September 2013

Jahit Tudung, Shawl, Memahami Kehendak Pelanggan

Pelanggan mahu kelainan dan keunikan kepada produk mereka. Sebab itu mereka memilih tukang jahit untuk menjahit tudung atau shawl mereka. Ini tidak dapat dilakukan kalau membeli secara borong.

Sebagai tukang jahit aku perlu memahami kehendak pelanggan. Sebab itu pelanggan aku biasanya datang ke rumah untuk berbincang. Pilihan dan padanan warna, ukuran, corak, rekabentuk dan macam-macam lagi perlu dibincang. Kadang-kadang memeningkan kepala aku sebagai tukang jahit. Kehendak pelanggan perlu difahami tetapi semua ini memberi aku kemahiran dalam selok belok fesyen tudung dan shawl terkini. Semuanya memerlukan kesabaran dan ketekunan.

Kadang-kadang permintaan pelanggan juga amat mengelirukan. Aku perlu berhati-hati semasa memotong dan menjahit. Kalau silap potong kain mungkin kena ganti balik. Rugilah duit dan masa aku. Biasanya aku tidak ada masalah untuk menjahit pelbagai jenis bentuk dan fesyen selendang. Kalau perkara yang diminta susah diikuti aku akan memberi nasihat untuk kesenangan aku sebagai tukang jahit. Yang penting bagi aku pelanggan berpuas hati, kehendak mereka di ikuti dan mereka datang lagi untuk menjahit.

Itulah sebenarnya kelebihan menghantar tudung, shawl atau selendang kepada tukang jahit. Yang paling mudah bagi aku bila pelanggan kata 'ikut suka Kak Ros nak buat macam manapun'. Nota-nota di bawah adalah contoh nota dari pelanggan untuk aku ikut.


Pelbagai jenis kain

Nota untuk diikuti

Kehendak fesyen pelanggan

Nota pelanggan

Friday, 27 September 2013

Menjahit Baju Kurung Berlace

Dahulunya saya mempunyai sebuah mesin sulam. Akhirnya setelah lama memberi khidmat, saya menjualnya kerana tidak mampu lagi membuat bermacam-macam kerja dalam satau-satu masa. Memang sentiasa ada tempahan baju kurung bersulam ini tetapi saya tidak cukup masa untuk membuatnya.

Jika sekarang kalau ada yang bertanya, saya lebih suka mencadangkan supaya baju kurung dijahit bersama dengan border lace. Walaupun harga border lace agak mahal sehinga ada yang sampai beratus-ratus ringgit untuk sehelai baju tetapi memang menarik dan berseri jika dijahit bersama dengan baju kurung.

Kain lace yang juga dikenali sebagai kain renda biasanya diletak di pergelangan tangan baju, kaki baju dan bahagian dada baju. Kain lace mempunyai kerawang dan pola berlubang-lubang bukan sahaja ditampal di baju kurung tetapi juga boleh ditampal di kain, bantal, tudung dan lain-lain. Untuk jahit kain lace ini sebenarnya tidak susah hanya menggunakan jahitan tangan sahaja.

Pakaian berlace sudah lama popular terutama sekali di Barat sejak zaman berzaman lagi. Pakaian berlace menjadi pakaian yang digayakan di majlis-majlis perkahwinan. Malahan pakaian berlace ini pernah ditempah oleh Ratu Victoria untuk majlis perkahwinannya sehingga menyebabkan permintaan terhadap pakaian berlace meningkat selepas itu di England dan digemari oleh wanita-wanita di Barat.

Dahulunya pakaian berlace ini dianggap pakain orang tua-tua dan tidak diminati oleh golongan muda. Golongan muda pada masa itu tidak begitu berminat dengan corak renda-renda dan pola yang berlubang-lubang pada kain. Kini dengan pelbagai jenis gaya dan corak menjadikan pakaian berlace mula mendapat tempat dan menjadi gaya popular terutamanya untuk dipakai pada majlis-majlis keramaian tertentu.

Dalam dunia fesyen di Barat kain lace dipilih untuk membuat gaun malam. Pemakainya akan kelihatan seksi apabila memakainya, juga transparent hingga menampakkan kulit pemakainya jika tidak ada kain lining di dalamnya. Antara yang memakai pakaian  berlace adalah mereka yang popular seperti Kate Middleton Duchess of Cambridge pada hari perkahwinannya. Lady Diana dan juga Madonna juga pernah memakainya.

Banyak lagi cerita dan sejarah lace boleh diikuti di sini.

http://en.wikipedia.org/wiki/Lace
http://www.theguardian.com/fashion/gallery/2011/oct/19/a-brief-history-of-lace

Saya lebih suka pelanggan membeli sendiri border lace pilihan mereka sendiri suapaya tidak ada komplen sepertu upah sepasang baju yang mahal, border lace tak match dengan baju atau lain-lain. Jika ada pelanggan yang berminat, boleh beli sendiri lace di kedai yang jual border lace (ada jual kat kedai reben) mengikut citarasa sendiri dan corak yang disukai. Saya akan jahit bersama baju kurung yang ditempah.

Untuk kelihatan cantik dan menarik border lace mesti dijahit pada kain plain atau kosong supaya dapat disuiapadankan dengan lace.  Untuk sepasang baju kurung pesak dan baju kurung biasanya memerlukan lebih kurang 2  suku meter border lace supaya cukup dijahit pada kaki baju dan pergelangan tangan.

Gambar di bawah adalah tempahan dari pelanggan untuk baju kurung berlace. Pelanggan saya ini memang penggemar border lace.

Baju kurung berlace tempahan
pelanggan

Pelbagai jenis border lace

Pelbagai jenis border lace

Pelbagai jenis border lace

Pelbagai jenis border lace

Baju kurung siap bersulam yang 
ditempah pelanggan




Post Utama

Kedai Online Nash Fesyen

Post Paling Popular

HAKCIPTA TERPELIHARA NASH FESYEN 2018