Showing posts with label cabaran bekerja di rumah. Show all posts
Showing posts with label cabaran bekerja di rumah. Show all posts

Tuesday, 14 October 2014

Cabaran Bekerja Di Rumah


Bekerja sendiri di rumah dengan pendapatan yang lumayan memang seronok dan mengasyikkan. Itu tidak dapat dinafikan. Di kelilingi dengan segala kemudahan dan keselesaaan di rumah berserta anak-anak di depan mata memang sesuatu yang selalu diimpikan oleh setiap orang. Bebas melakukan apa sahaja tanpa ada sesiapa yang melarang. Tidak ada majikan atau boss yang menegur. Bekerja pula atas semangat dan dorongan sendiri. Siapa yang tidak mahu.

Disiplin dan pengurusan masa adalah cabaran utama apabila bekerja sendiri di rumah. Tanpa disiplin diri dan pengurusan masa yang baik boleh menyebabkan kerja yang perlu dilakukan tidak berganjak walau sedikit pun. Perkara beginilah biasanya amat mencabar dan sukar diatasi. Jika kerja tidak berjalan tidak adalah pendapatan.

Berlainan dengan bekerja makan gaji. Gaji tetap dibayar walaupun mood malas menjelma, pergi bercuti atau sakit. Tidak ada masalah. Gaji tetap dibayar setiap bulan. Jika malas dan tidak berdisiplin paling kurang pun kena tegur dengan bos sahaja.

Bekerja di rumah memang penuh cabaran dan dugaan. Amat sukar untuk mendisiplinkan diri sendiri. Walaupun tidak ada sesiapa yang menganggu tetapi untuk melaksanakan sesuatu kerja itu memang sukar tanpa kehendak dan keazaman yang tinggi. Mood yang berbeza-beza sentiasa datang dalam diri setiap hari. Kadang-kadang terasa bersemangat. Kadang-kadang sebaliknya.

Tinggal di rumah sentiasa bebas melakukan apa saja. Bukan seperti bekerja di pejabat. Semuanya sudah dirancang untuk kita. Sudah ada KPI ditetapkan untuk dicapai dalam tempoh tertentu. Ada motivasi dari dari pihak pengurusan dalam bentuk kenaikan gaji dan bonus. Semua kawan-kawan disekeliling bekerja. Jika tidak bekerja tentu akan terasa kepelikannya. Mood bekerja sentiasa wujud. Displin dipantau sepanjang masa.

Dirumah tidak ada sesiapa yang menegur. Jika hendak tidur, makan, tengok tv tiada siapa yang mengganggu. Bekerja di rumah urusan rumah tangga juga perlu difikirkan. 

Sebagai seorang yang praktikal, saya  sendiri tidak boleh lihat rumah yang bersepah. Pasti akan dicapai penyapu untuk membersih rumah. Apabila melalui dapur pula terpandang sahaja pinggan mangkuk yang tidak berbasuh, secara automatik kerja-kerja membasuh dilakukan. Buka pula peti ais jika terdapat makanan atau buah-buahan secubit dua akan dirasa juga. Lihat baju tak berbasuh terus mencapainya dan memasukkan ke dalam mesin basuh dan bermula proses membasuh baju sehingga proses menyidai. Kadang-kadang apabila teringin hendak memasak terus mencari resepi untuk memasak. Masa berjalan begitu sahaja tanpa disedari. Sedar-sedar sudah tengahari. Satu kerja bisnes pun tidak berjalan.

Begitulah yang selalu berlaku. Itu belum dikira masa untuk melipat baju yang bertimbun di depan mata. Kalau tak dilakukan sendiri siapa lagi yang hendak lakukan.

Anak-anak pula semua dah bersekolah. Persediaan untuk anak-anak bersekolah juga perlu dilakukan. Dari bersiap, menyediakan makanan sehinggalah mengambil dan menghantar perlu dilakukan. Kadang-kadang ada aktiviti ko-korikulum, kelas tambahan dan lain-lain. Habis lagi masa untuk mengambil dan menghantar.

Jika berada di rumah anak-anak yang sentiasa berada bersama ibunya memang susah hendak suruh berdikari. Semua nak harap ibunya sahaja. Sedang asyik menjahit dan melakukan kerja, anak yang kecil seperti dengki dan cemburu. Mulalah meminta buat itu dan ini. Nak minumlah, nak makanlah, nak suruh tunjukkan cara buat kerja sekolah lah dan macam-macam lagi. Terpaksa berhenti dan hilang konsentrasi melakukan kerja. Bukan sahaja anak-anak yang kecil yang besar pun sama sahaja macam cemburu sahaja apabila ibunya menjahit. Anak-anak tidak faham bahawa ibunya sedang bekerja.

Begitu banyak sekali masa dihabiskan tanpa melakukan apa-apa kerja yang produktif. Cabaran dan dugaan memang hebat. Tanpa disiplin yang tinggi dan pengurusan masa yang baik bekerja sendiri di rumah tidak akan dapat dilakukan. Berbeza dengan bekerja makan gaji sepanjang masa melakukan kerja.

Selain kerja-kerja rumah tangga dan anak-anak ada lagi dugaan yang besar sedang menanti. Di rumah ada TV, komputer, internet, katil, sofa dan segalanya yang mengundang rasa tergoda untuk menggunakannya. Melayan TV dan ineternet sahaja boleh sahaja memakan masa beberapa jam sehingga terleka dibuatnya. Jika semua ini tidak dikawal akan menyebabkan segala bekerja tidak bergerak. Bukan senang melawan godaan di sekeliling kita.

Bekerja sendiri selalu dipandang oleh keluarga yang lain sebagai mempunyai banyak masa dan kebebasan untuk pergi ke mana sahaja. Jika berlaku apa-apa kecemasan dalam keluarga, yang bekerja sendirilah yang akan dilihat dahulu. Walaupun sebenarnya kita bekerja tetapi keluarga yang lain selalunya akan memandang kita untuk membantu kononnya kerana kita bebas untuk pergi ke mana pun tanpa perlu meminta cuti. Begitu juga jika ada kenduri kendara atau majlis tertentu pasti kita mesti hadir dengan alasan kita bekerja sendiri dan banyak masa. Tidak boleh bagi alasan seperti mereka yang makan gaji kerana tidak ada cuti, kerja outstation dan sebagainya.

Apabila semakin lama menjalankan bisnes di rumah pasti perlukan tambahan peralatan, mesin dan lain-lain untuk menanggung permintaan yang semakin meningkat. Dari tiga mesin jahit menjadi enam mesin jahit. Dari hanya satu rak untuk untuk simpan kain, benang dan lain-lain bertambah menjadi tiga rak. Dulu semuanya dapat dimuat ke dalam satu bilik. Sekarang sudah melimpah ke ruang tamu. Dahulu segala, kain, fabrik dan benang dapat dimuatkan di dalam satu rak tetapi sekarang sudah tidak cukup ruang lagi . Kadang-kadang sehingga perlu meletak di atas lantai ruang tamu. Ruang rumah semakin sempit. Segala kain, baju, shawl dan tudung yang sudah siap sudah mula diletak di merata tempat. Kekemasan di rumah tidak seperti dahulu lagi. Keselesaan untuk bersantai semakin kurang di rumah sendiri. Suatu cabaran yang besar untuk menyimpan stok.

Semakin bisnes berkembang perlu ada pekerja. Ketidakselesaan tetap wujud walaupun hanya bekerja dalam bilik menjahit. Begitu juga dengan pelanggan yang datang ke rumah. Ketidakselesaan untuk masuk ke rumah akan tetap terasa walaupun rumah sudah dijadikan seperti tempat kerja.

Bekerja di rumah juga segala keputusan perlu dilakukan sendiri. Tidak ada mesyuarat untuk membincang dan mengambil kata putus. Hanya rujukan kepada suami sahaja tetapi suami juga sibuk dengan urusan kerjanya sendiri.

Bekerja di rumah seperti melakukan kerja sepanjang masa. Jika bekerja di pejabat dari pukul 8 hingga 5 petang sahaja dan selepas itu boleh balik dan berehat di rumah. Habis kerja boleh tutup pejabat dan melupai segala kerja yang dilakukan. Rumah pula tidak boleh ditutup. Pelanggan dan tetamu boleh datang bila-bila masa sahaja tanpa mengira waktu.Apabila datang mesti menjemputnya masuk. Tidak boleh menolak pelanggan yang datang. Bekerja sendiri pelanggan perlu diutamakan.

Kerja sendiri di rumah memang banyak cabaran dan dugaannya. Perlu ada jadual kerja yang perlu dipatuhi, pengurusan masa yang baik dan disiplin diri yang tinggi.

Mungkin sudah sampai masanya aku perlu melangkah lebih jauh ke hadapan. Meninggal keselesaan bekerja di rumah dan mencari tapak dan lokasi baru untuk beroperasi. Tidak salah berangan-angan dan berkhayal jika angan-angan dan khayalan itu sesuatu yag boleh dicapai.

Post Utama

Kedai Online Nash Fesyen

Post Paling Popular

HAKCIPTA TERPELIHARA NASH FESYEN 2018