Sunday, 16 March 2014

Tambah Pendapatan Dengan Menjahit


Menambah pendapatan dengan mengambil upah menjahit tidak susah sebenarnya. Jika kita mempunyai kebolehan menjahit, tawarkan sahaja perkhidmatan menjahit dengan jiran-jiran di sekeliling atau kawan-kawan kita. Pastikan akan ada yang menghantar tempahan. Lihat sahaja di sekeliling kita. Berapa ramai tukang jahit yang ada. Tidak ramai berbanding mereka yang memerlukan perkhidmatan menjahit pakaian atau tudung. Kebanyakan menjahit hanya sebagai hobi masa lapang sahaja.

Bergantung semata-mata kepada kepada upah menjahit sebenarnya tidak menjanjikan pendapatan yang lumayan jika sendiri sahaja menjahit. Lainlah kalau kita mempunyai tukang jahit yang ramai sebagai pekerja kita sendiri yang mampu menjahit dalam kuantiti yang banyak. Kebanyakan tukang jahit tidak mampu mengeluar modal yang banyak untuk menggaji tukang jahit yang bermacam-macam karenah. Sesetengah tukang jahit tidak kekal lama untuk bekerja.

Menjahit menggunakan tenaga sendiri sangat terhad. Banyak mana sangat boleh menjahit dalam satu hari.  Ini menghadkan pendapatan tukang jahit.  Apabila tiba hari raya sekali pun, tukang jahit tidak mampu menjahit semua tempahan.Kadang-kadang kerja siang malam tetapi pendapatan tidak seberapa. Apabila terlampau banyak permintaan, tukang jahit terpaksa menolaknya kerana tidak mampu untuk menjahit semuanya. Oleh itu tukang jahit tidak perlu bersaing sesama sendiri. Saya sudah merasai semua ini.

Akan sampai satu masa nanti tukang jahit akan berhenti menjahit. Mungkin disebabkan masalah kesihatan dan sebagainya apabila umur semakin meningkat. Menjahit pada masa itu hanya sekadar hobi masa lapang sahaja.

Oleh itu untuk mendapat pendapatan yang lebih tukang jahit selain menjahit perlu mempelbagaikan sumber pendapatan. Untuk menikmati kebebasan dan kenikmatan dalam hidup ini perlu merancang strategi pada masa hadapan.

Membuka Kelas Menjahit.

Jika satu masa nanti saya sudah tidak mahu lagi mengambil tempahan menjahit, saya masih boleh menambah pendapatan dengan membuka kelas menjahit.

Pada masa sekarang pun kelas menjahit tudung yang saya anjurkan semakin mendapat sambutan. Setiap minggu ada sahaja kelas yang saya anjurkan kecuali jika saya yang menolaknya.

Pertanyaan tentang kelas menjahit bukan sahaja untuk kelas menjahit tudung tetapi juga untuk kelas menjahit yang lain. Antaranya yang paling banyak pertanyaan adalah kelas menjahit baju kurung. Ada juga yang bertanya tentang kelas menjahit telekung dan langsir.

Pada masa ini saya tidak membuka kelas menjahit baju kurung, telekung dan langsir kerana masa yang lebih panjang diperlukan untuk kelas tersebut berbanding kelas menjahit tudung. Saya sendiri pernah membuka kelas menjahit baju kurung tetapi terpaksa mengambil masa beberapa hari untuk menyiapkan sehelai baju kurung. Buat masa sekarang tidak begitu sesuai  untuk mengadakan kelas menjahit baju kurung kerana saya banyak menerima tempahan untuk tudung, shawl dan baju.

Membuka Kedai Online E-Commerce Sendiri

Akan sampai masanya saya akan berhenti mengambil tempahan menjahit. Saya perlu fikirkan untuk mengeluar produk saya sendiri. Dengan sebab itulah saya membuka kedai online yang saya akan isikan kebanyakannya dengan produk hasil jahitan saya sendiri.

Jika kedai online sudah dikenali ramai nanti, saya hanya perlu mengemaskini kedai online tersebut dengan produk-produk terbaru sahaja. Mengurus kedai online sendiri lebih mudah untuk mengurus tempahan menjahit untuk pelanggan. Saya mesti belajar untuk menjual untuk menikmati pendapatan yang lebih lumayan.

Membuka kedai online e-commerce mempunyai kelebihannya sendiri berbanding menjual melalui blog, ebay dan media sosial yang lain. Dengan kedai online, pengurusan stok lebih mudah. Pertanyaan pelanggan boleh dikurangkan berbanding menjual dengan kaedah yang lain. Apa yang ada di kedai online, itulah sahaja barangan yang dijual. Pembayaran juga boleh dibuat melalui melalui kad kredit. Semuanya secara auto-pilot. Mungkin di entri yang lain nanti saya akan menceritakan tentang kelebihan membuka kedai online e-commerce sendiri.

Membuka Butik Sendiri

Jika produk semakin banyak, saya juga merasakan keperluan untuk membuka butik sendiri di mana pelanggan boleh datang dan melihat sendiri produk yang dipamerkan. Pelanggan boleh datang dan boleh merasai kelembutan kain, mencuba sendiri sebelum membeli.

Pada masa sekarang saya juga menyediakan satu galeri di atu sudut rumah saya untuk mempamer produk yang saya hasilkan kepada tetamu yang datang ke rumah saya. Kalau ada yang berminat boleh sahaja membeli. Itulah permulaanya dan percubaan di rumah sendiri. Walaupun begitu bukan semua pelanggan suka datang kerumah. Membuka butik merupakan pilihan yang terbaik.

Itulah yang saya fikirkan untuk rancangan masa hadapan untuk menikmati pendapatan yang lebih lumayan dengan mempelbagaikan sumber pendapatan. Munkin juga kalau ada kekuatan dan keberanian boleh mengadakan seminar bagaimana nak menjual tudung shawl dan tudung secara online.

Saturday, 15 March 2014

Kelas Tudung Minggu Ini


Kelas tudung kali ini dengan 3 orang peserta. Selalunya 2 orang peserta sahaja. Semuanya nak datang hari ini juga. Kak Ros memang stand-by dengan mesin tambahan supaya semua boleh guna mesin dan jahit sendiri. 

Riuh rendah jadinya. Semuanya sporting sekali. Tentunya yang letihnya Kak Ros. Selalunya dalam pukul 5.00 petang dah selesai. Hari ini lajak sampai pukul 6.30 petang. Seronok sungguh  belajar menjahit sambil berbual dengan kawan-kawan. Macam-macam kisah keluar. Terasa meriah sekali.

Alhamdulillah semuanya dah selesai. Masing-masing seronok menghasilkan tudung sendiri dan tudung boleh dibawa balik pula. Kalau nak beli tudung pun harga mahal harganya. Datang ke kelas, tudung pun dapat, ilmu pun dapat. Kemudian boleh belajar cara potong selendang pula. Dapat pola percuma lagi. Boleh pilih sendiri pola apa yang nak. Kalau tak faham boleh tanya lagi Kak Ros. Tak ada caj tambahan.

Kepada semua peserta Kak Ros, yang paling penting masa balik nanti cuba buat tudung sendiri. Kalau tak praktis lama-lama teknik yang diajar akan lupa begitu sahaja. 

Thursday, 13 March 2014

Tip Menampilkan Peribadi Yang Hebat Dengan Warna Pakaian

dress

baju mini kurung moden

baju kurung batik

baju kurung moden

baju kurung pahang/pesak gantung

Apabila bekerja sendiri, semangat untuk bekerja sentiasa wujud walaupun keadaan badan yang tidak sihat dan lemah. Semalam terasa begitu lemah sekali badan kerana demam dan sakit kepala. Melihat kepada tempahan yang masih banyak tidak disiapkan, digagahkan juga untuk bangun membuat kerja. Kekuatan untuk bekerja yang tinggi mengatasi keadaan badan yang tidak sihat. Alhamdulillah akhirnya keadaan badan yang terasa demam dan lemah akhirnya hilang sedikit demi sedikit. Mungkin itu juga merupakan kelebihan bekerja sendiri.

Di sini saya kongsikan beberapa tip pemilihan warna pakaian untuk menampilkan peribadi yang hebat yang saya ambil dari buku  "Anggun Di Luar Serlah Pesona Dari Dalam" oleh Ahmad Naim Jaafar dan Mohd Ikram Mohd Nor Wazir.

  • Jangan gunakan lebih daripada tiga warna setiap kali kita memilih pakaian untuk dipakai.
  • Sekiranya kita seorang yang pemalu, selitkan warna merah dalam gandingan warna pakaian kita, contohnya blaus merah dengan kain ataupun gaun gelap.
  • Sekiranya kita seorang yang agresif, gunakan warna biru gelap, coklat lembut ataupun kelabu cerah dalam pakaian utama yang kita kenakan. Ia adalah bagi menyeimbangkan personaliti yang kita tampilkan dengan sifat agresif kita. Kita dilihat sebagai orang yang lebih mudah didekati.
  • Sekiranya kita seorang yang bertubuh besar, gunakan warna biru gelap, kelabu ataupun coklat muda dalam pakaian kita.
  • Sekiranya kita seorang perempuan yang bertubuh kecil, gunakan pakaian yang bercorak alam dengan bunga yang besar. Warna pada bunga itu biarlah cerah dan terang supaya ia dapat mengalihkan pandangan orang yang melihat personaliti kita.
  • Sekiranya kita mahu kelihatan dramatik, gunakan kombinasi warna yang kontras, contohnya hijau muda dan ungu, merah dan putih, biru gelap dan keemasan, kelabu dan oren dan sebagainya. Walau bagaimanapun, kita perlu benar-benar berani memakai warna yang kontras.

Wednesday, 12 March 2014

Tudung Syria Plain Labuh









Entah kenapa tiba-tiba hari ini kepala terasa berat sekali. Terasa pening yang amat sangat. Tidak tahan lagi terus ambil bantal dan baring. Badan terasa lemah sekali, terasa menyucuk-nyucuk. Akhirnya terasa hendak muntah. Hari ini langsung tidak ada selera makan. Rasa macam nak demam.

Sebelum ini anak yang nombor empat juga muntah-muntah dari siang hingga ke malam. Malam semalam bangun pukul 3 pagi dan bawa pergi klinik 24 jam di Seksyen 4 Tambahan. Sudah 2 hari tak pergi sekolah. Risau juga.  

Sekarang dah berjangkit pula. Semangat menjahit juga hilang apabila tak sihat macam ini. Kalau kerja makan gaji boleh juga minta MC.  Kerja sendiri tak perlu MC. 

Apabila keadaan sebegini berlaku, terasa susah hati. Banyak tempahan pelanggan yang belum siap. Ramai yang nak ambil sebelum cuti sekolah. Nak kendurilah, balik kampunglah. Nak pergi makan anginlah dan bermacam-macam lagi.

Apa yang boleh buat hanya berdoa sahaja agar cepat sembuh. Rasa-rasanya cuti sekolah nanti nak balik kampung. Berehat sekejap kat kampung. Perlu juga jaga kesihatan. Asyik menjahit siang dan malam. Kalau sakit kan dah susah. 

Entri kali ini pun tak ada idea nak tulis panjang-panjang. Menulis juga perlukan tenaga. Jika tiada tenaga, idea pun entah ke mana. Cuma yang mampu buat hanya update sahaja gambar tudung tempahan pelanggan. Sekurang-kurang ada juga hasil jahitan tudung terbaru untuk di kongsi. 

Tudung syria 3 layer di atas ditempah oleh pelanggan sudah agak lama. Baru sahaja siap menjahit. Sekali order sampai 7 helai. Tempahan adalah tudung labuh dari kain chiffon georgette.

Nanti apabila dah sihat, barulah boleh tulis artikel panjang-panjang. Tengok gambar cukuplah hari ini.

Tuesday, 11 March 2014

Pilihan Warna Tudung & Pakaian







Pelanggan saya yang ini memang peminat tudung plain. Tudung plain di atas adalah antara yang ditempah. Saya telah poskan 5 helai dahulu seperti di atas. Sebenarnya banyak lagi yang ditemapah yang belum sempat saya jahit.  

Kadang-kadang memilih warna memang sesuatu yang memeningkan. Bukan semua warna yang diminta ada di gedung kain. 

Saya  sendiri bukan pakar dalam jenis-jenis warna ini. Tambahan pula kalau diguna istilah dalam Bahasa Inggeris seperti baby blue, royal blue, baby pink, electric blue, turquoise, tiffany green, sherwood dark green, block color dan bermacam-macam lagi. Kalau disebut dalam Bahasa Melayu mungkin boleh saya bayangkan warna yang dikehendaki. 

Contohnya seperti biru laut, hijau pucuk pisang, hijau Petronas, warna belacan, hijau tahi lembu dan sebagainya. Kalau dalam Bahasa Inggeris memang tak kenal dan tak tahu nak bayangkan. Jadi cara yang paling mudah yang saya lakukan adalah dengan menggunakan google image untuk mengetahui warna-warna yang dikehendaki. 

Kalau dah mengetahui warna yang dikehendaki pula ada satu masalah lagu untuk dapatkan kain dengan warna tersebut. Beli kain untuk buat tudung bukan macam beli cat. Kalau beli cat, warna yang dikehendaki boleh diperolehi dengan mudah. Sebut sahaja kod cat yang dikehendaki, akan ada mesin pencampur cat yang mencampur nisbah warna-warna tertentu sehingga mendapat warna yang dikehendaki. 

Memilih kain dengan warna yang dikehendaki tidak boleh diperolehi dengan mudah sebagaimana untuk mendapat warna cat. Jadi kain dengan warna yang seakan-akan atau menghampiri warna yang dikehendaki akan dipilih. Nasiblah kalau pelanggan setuju. 

Pemilihan warna yang sesuai sebenarnya ada kaitan dengan penampilan peribadi.  Orang yang memakai pakaian dan tudung dengan warna yang menarik dan sesuai akan kelihatan lebih cantik dari diri mereka yang sebenar. Ianya mampu memberi kesan yang positif kepada emosi , mood dan sikap orang yang melihat.

Warna pakaian atau tudung yang dipilih untuk dipakai sehari-hari membawa makna tersendiri, malah ada yang menyatakan bahawa manusia boleh mengubah perasaannya dan tingkahlakunya dengan memakai warna tertentu.

Jadi memilih dan bermain dengan warna pakaian yang sesuai lebih mudah untuk menjalin hubungan sosial berbanding dengan mereka yang tidak pandai memilih warna yang sesuai. 

Di sini saya petik beberapa penjelasan umum berkaitan warna asas, maksud dan kesesuaian warna dalam perhubungan sosial seperti mana terdapat dalam buku  "Anggun Di Luar Serlah Pesona Dari Dalam" oleh Ahmad Naim Jaafar dan Mohd Ikram Mohd Nor Wazir. 

Penjelasan merujuk kepada pemakaian semua jenis pakaian termasuk baju t-shirt, tudung dan lain-lain.

Merah

Sesuai untuk mereka yang berkulit cerah. Warna cerah sesuai dipakai jika kita ingin menampilkan diri dalam sesuatu masa atau tempat. Warna ini tidak sesuai dipakai jika kita dalam keadaan penat atau pun murung. Warna ini lebih sesuai dikenakan dalam majlis ataupun tempat supaya kita dapat dikenali dengan mudah.

Merah Jambu

Warna untuk wanita. Ianya sesuai untuk bagi perhubungan sosial yang santai. Ia kurang sesuai bagi jalinan perhubungan profesional.

Kuning

Warna ini sesuai dikenakan oleh seseorang yang ingin menampilkan imej ceria, gembira dan jenaka dalam perhubungan sosial. Kurang sesuai untuk perhubungan profesional dan formal kerana ia menggambarkan sifat bersahaja. Orang yang mengenakan pakaian berwarna ini dilihat sebagai orang yang kreatif, optimis dan berani mencuba. Walaubagaimanapun, mereka juga dilihat sebagai seorang yang pengecut atau licik apabila  ia digandingkan dengan warna pakaian sampingan ataupun aksesori yang tidak sesuai.

Biru

Pakaian ini sesuai dikenakan oleh setiap lapisan umur. Warna biru muda atau biru laut adalah warna yang cukup menarik pada mata yang memandang. Oleh itu, ia sesuai dikenakan dalam apa sahaja tempat dan keadaan. Ia juga sesuai bagi setiap jenis kulit. Bagi wanita yang berkulit cerah, warna biru padan bagi membangkitkan seri wajah dan tubuh apabila digandingkan dengan warna sampingan yang sesuai.

Biru Tua

Warna yang sesuai bagi setiap warna kulit. Warna jenis ini dapat memberi persepsi baik kepada mata yang melihat, apabila ia dikenakan pada pakaian yang bersifat klasik dan menampilkan kuasa, contohnya kemeja, kot, blazer, seluar dan kain. Pakaian berwarna biru adalah yang paling sesuai pada setiap tempat dan keadaan. Dalam dunia profesional, warna ini memberikan mesej kuasa dan autoriti individu yang memakainya.

Kelabu

Pakaian berwarna kelabu adalah yang paling sukar disesuaikan kerana ia memberikan mesej yang terlalu kontras. Pemilihan corak dan rekaan yang sesuai memberikan imej yang positif. Sebaliknya, apabila individu mengenakan pakaian berwarna kelabu dengan corak dan rekaan yang malap,  maka ia memberikan imej sedih, suram dan tidak bersemangat.

Oleh itu, individu yang hendak mengenakan pakaian berwarna kelabu perlu peka dengan corak rekaan dan kecerahan warnanya. Kita juga perlu prihatin dengan aksesori tambahan yang digandingkan dengan pakaian berwarna ini. Walau bagaimanapun, warna kelabu juga dikaitkan dengan imej profesional. Ia menggambarkan kesederhanaan dan hormat. 

Oren

Oren adalah warna keceriaan. Warna oren sesuai bagi setiap jenis warna kulit. Ia menggambarkan  si pemakai sebagai orang yang mudah mesra dan prihatin. Warna ini sesuai dikenakan pada pakaian sosial. Warna ini tidak sesuai  bagi pakaian yang bersifat profesioanl. Ia adalah warna yang paling sedikit dapat dikenakan dalam dunia profesional kerana ia menurunkan status profesional individu yang memakainya di mata mereka yang melihatnya.

Elakkan mengenakan pakaian berwarna ini dari kepala hingga ke kaki. Apabila kita memakai pakaian berwarna ini, seimbangkannya dengan warna lain yang bersifat lembut. Warna oren sesuai bagi aksesori tambahan wanita.

Hijau

Warna hijau adalah warna ketenangan sama seperti warna biru. Walau bagaimanapun,  pakaian yang berwarna hijau tidak memberi maksud yang serupa dengan warna biru. Terdapat sedikit perbezaan antara warna biru dan hijau. Warna hijau yang lembut seperti hijau pucuk pisang sesuai dipakai oleh semua orang tidak kira warna kulit.

Bagi wanita,  warna hijau sesuai bagi apa sahaja jenis pakaian. Orang yang memakai warna hijau lembut dapat memberi mesej tidak formal dan mesra.

Namun, kesan yang berbeza bagi warna hijau terang atau hijau gelap. Orang yang memakainya kadangkala dilihat sebagai individu yang malas dan membosankan. Oleh itu, apabila kita hendak mengguna warna seperti ini, cuba minimumkan jumlah warnanya.

Ungu

Warna ungu adalah warna pilihan. Warna ini sesuai bagi sesiapa sahaja yang ingin menampilkan diri sebagai orang yang dominan dan bijaksana. Warna ungu yang sederhana dan gelap lebih sesuai bagi wanita tanpa memadankannya dengan biru gelap ataupun kelabu. 

Coklat

Warna coklat sama ada coklat muda ataupun gelap lebih sesuai bagi aksesori tambahan. Walau bagaimanapun, kita boleh memakai pakaian berwarna coklat apabila ia adalah coklat lembut. Elakkan daripada memilih pakaian yang berwarna coklat dari kepala sehingga kaki. Pastikan penggunaan warna coklat adalah minimum bagi penampilan profesional.

Hitam

Warna hitam adalah sesuai bagi pakaian formal dalam dunia perniagaan dan profesional. Ia menggambarkan kekuasaan, kebijaksanaan dan keseriusan individu yang memakainya dalam apa sahaja yang dilakukannya. Namun, elakkan memakai pakaian yang berwarna hitam dari kepala sehingga kaki kerana ia memberi imej buruk kepada  si pemakai.

Bagi wanita, pakaian berwarna hitam sesuai dikenakan apabila kita ingin menampilkan kekuasaannya. Apabila kita ingin menampilkan imej yang mudah didekati, elakkan memakai pakaian berwarna hitam, kecuali kain ataupun seluar longgar.

Putih & Krim

Pakaian berwarna putih dan krim sesuai digandingkan dengan warna lain. Ia memberikan imej neutral dan baik kepada mereka yang melihat. Contohnya, kemeja-T dan blaus yang berwarna putih sesuai pada setiap masa, tempat dan keadaan. Namun, elakkan memakai warna putih yang kosong dalam perhubungan yang bersifat professional.

Warna krim lebih bersesuaian kerana ia dapat mengurut mata dan emosi mereka yang memandang.

Elakkan memakai pakaian putih dari kepala sehingga kaki. Elakkan juga mengenakan aksesori yang berwarna putih. Ia kelihatan janggal.

Monday, 10 March 2014

Tempah Baju Untuk Anak-Anak


Baju baby

Baju adik

Baju kakak

Baju ibu

Memilih baju untuk anak-anak memang selalu memeningkan kepala ibu. Apabila pergi ke kedai baju bukan semua baju sesuai dan muat untuk anak-anak. Kadang-kadang boleh muat untuk si kakak, baju untuk si adik pula tidak muat. Begitulah sebaliknya. Apabila dah muat pula, warna pula tidak berkenan. 

Terpaksalah ibu pergi dari satu kedai ke satu kedai yang lain untuk memastikan semua anak-anak mendapat baju masing-masing. Akhirnya balik rumah kosong sahaja. Tak jadi beli baju. Kalau beli untuk seorang, yang lain merajuk pula. Ibulah yang terpaksa melayan karenah anak-anak. Anak-anak bukan faham bagaimana susahnya untuk dapatkan semua baju yang muat dan sesuai. 

Kadang-kadang bila susah sangat nak cari baju yang muat dan sesuai, pilihan terakhir adalah dengan menghantar kepada tailor untuk ditempah.

"Ibu nak pergi rumah Cik Ros nak tempah baju kurung"

"Kakak nak baju kurung juga"

Begitulah ragam anak-anak bila mendengar tentang baju baru. Bila si ibu menempah baju. Si anak juga akan meminta.

"Adik pun nak baju baru juga"

Si ibu tidak sampai hati sebenarnya memakai baju untuk diri sendiri sahaja. Pasti akan mendapatkan untuk anak-anak juga.

"Abang pun nak juga"

"Abang mana boleh tempah baju" si adik cepat-cepat menjawab. "Abang lelaki mana boleh pakai baju kurung".

Si abang pula akan merajuk. Si ibu tidak sampai hati sebenarnya jika ada anak-anak yang tidak mendapat baju baru. Biar semua akan mendapatnya. Si ibu perlu adil kepada anak-anak.

"Sudah! Jangan nak gaduh-gaduh lagi" Nanti ibu tanya Cik Ros. Boleh jahit baju lelaki tak.

"Ibu pun nak tempah juga baju kurung untuk ibu".

"Ibu bercadang nak nak minta Cik Ros jahit sehelai baju kurung untuk baby juga".

"Semua pergi bersiap cepat, ibu nak keluar beli kain, kemudian nak terus pergi rumah Cik Ros. Abang pun ikut sekali".

Apabila difikir-fikirkan balik tentang ragam-ragam anak-anak semasa kecil, terasa sayu pula dihati. Begitulah tanggungjawab ibu. Yang penting bagi ibu, segala yang dilakukan demi anak-anak. Anak-anaklah yang mewarnai hidup dalam keluarga. Kalau anak-anak gembira ibulah yang paling bahagia.

Sunday, 9 March 2014

Kebaya Sari



Kebaya di atas adalah tempahan dari pelanggan saya dari kain sari. Entri kali ini saya ceritakan tentang fabrik sari dan juga jenis-jenis kebaya yang biasanya digayakan di negara ini.

Sari atau saree merupakan pakaian tradisional orang India yang sangat popular.

Ianya adalah sebidang fabrik atau kain berukuran lima hingga enam meter yang tidak dijahit dan dipakai oleh golongan wanita di India dan Bangladesh. Perkataan sari berasal dari bahasa Sanskrit bermaksud sejalur kain. Pemakiannya dengan cara melilit kain sari pada badan dengan bahagian hujungnya yang biasanya bersulam diletak di atas bahu kiri.

Fabrik sari diperbuat daripada sutera, kapas dan juga kombinasi kapas dan sutera. Pada masa sekarang sari juga diperbuat daripada kain sintetik di mana harganya lebih rendah berbanding dengan fabrik yang diperbuat daripada bahan sutera atau kapas. Sari yang lebih mahal diperbuat daripada sutera yang bercampur dengan emas yang menghasilkan kesan berkilau atau daripada bahan kapas yang lebih licin dan halus.

Dengan peredaran masa penggunaan kain sari telah dipelbagaikan dan disesuaikan dalam peredaran fesyen. Kini kain sari turut dijadikan sebagai baju kurung dan kebaya.

Kain sari  bersifat lembut dan sejuk bergantung kepada bahan asalnya. Kelihatan eksklusif apabila dijadikan baju kurung atau kebaya.

Selain daripada kebaya sari terdapat pelbagai jenis lagi nama kebaya yang digayakan di negara ini. Untuk melengkapkan artikel ini, saya salin semula artikel menarik berkaitan jenis-jenis kebaya seperti terdapat pada Harian Metro.

Boleh dibaca juga pada link ini: http://www.hmetro.com.my/articles/Asalusulbajukebaya/Article

Asal usul baju kebaya
Oleh Hajahfarhana Tarmudi

Kebaya dulu hanya dikenakan golongan keluarga pemerintah di Pulau Jawa sebelum 1600. Sepanjang zaman penjajahan Belanda di kepulauan itu, wanita Eropah mula mengenakan kebaya sebagai pakaian rasmi.

Pakaian tradisional ini banyak digayakan wanita Malaysia dan Indonesia. Ia diperbuat daripada kain kasa yang dipadankan dengan kain sarung, batik atau pakaian tradisional lain seperti songket dengan motif warna-warni.

Ia dipercayai berasal dari negara Arab. Orang Arab membawa baju kebaya (bahasa Arab adalah abaya) ke Nusantara sejak ratusan tahun yang lalu. Kemudian ia mula dikenali hingga ke Melaka, Jawa, Bali, Sumatera, dan Sulawesi.

Pakaian yang mirip ‘kebaya nyonya’ dicipta kali pertama oleh masyarakat Peranakan (golongan Baba dan Nyonya) dari Melaka. Mereka menggayakannya dengan kain sarung batik dan kasut cantik bermanik.

Mengikut fakta sejarah, wanita peranakan Cina memakai kebaya nyonya sebagai pakaian harian seawal 1930-an. Kini, kebaya nyonya bukan hanya digayakan wanita Asia saja, malah ia diterima pakai di serata dunia.

Terdapat beberapa jenis kebaya yang digayakan di negara ini. Antaranya:

Baju Belah Kebaya Panjang

Menurut Portal rasmi kerajaan Negeri Johor, walaupun wanita Johor terkenal dengan baju kurung, pada acara majlis, mereka hadir dengan memakai kebaya sebagai warisan daripada Kerajaan Johor-Riau.

Pola baju belah panjang ini masih bersifat ‘mengurungkan’ anggota badan. Secara tradisi potongannya labuh sehingga buku lali. Bezanya, ia berbelah dan berpesak di hadapan baju, biasanya dipakai sebagai pakaian di luar rumah atau upacara rasmi.

Baju belah kebaya panjang terkenal di Melaka, Perak, Selangor, Kedah serta Perlis. Ia kemudiannya dikenali sebagai ‘baju panjang’ dan ‘kebaya panjang’.

Tradisi itu berkembang menjadi kebaya dan direka dengan potongan bahagian tangan lebih panjang, berpesak lurus di depan, berkekek serta dada berbelah yang di tutup dengan kancing atau kerongsang tiga.

Kebaya Kota Bharu

Ia dikenali sebagai Kebaya Kota Bharu kerana secara tradisinya dipakai wanita di Kota Bharu dan Kelantan. Beza antara kebaya ini dengan yang lain adalah rekaan di bahagian depan dada baju kebaya berkenaan.

Bahagian depannya mempunyai kancing, sama seperti kebaya di Pulau Jawa terutama di kota Bandung yang di panggil Kebaya Kutu Baru.

Kebaya Riau-Pahang

Di Pahang pula, baju kebayanya dikenali sebagai baju Riau-Pahang atau dipanggil kebaya Turki. Perbezaannya menerusi rekaan leher berkolar dan berkancing seperti baju kurung cekak musang.

Namun, bahagian depannya berbelah seperti baju kebaya yang lain, malah turut dipasang dengan kerongsang di bawah kancingnya.

Kebaya Nyonya

Fabrik yang biasa digunakan untuk membuat kebaya Nyonya dinamakan kasa rubia. Kain tenunan kosong ini jarang, ringan dan diperbuat daripada benang pintal yang halus.

Benang yang digunakan untuk menjahit fabrik biasanya benang sulaman mesin daripada kapas, sutera atau poliester. Pada zaman dulu, fabrik dan benang yang digunakan untuk membuat kebaya Nyonya daripada jenis bermutu paling tinggi dan diimport dari Eropah, sesuai dengan status Nyonya.

Kebarung

Ia gabungan singkatan perkataan baju kebaya dan baju kurung. Busana yang berasal dari Selangor sangat popular dan diminati pada awal 90-an.

Kebaya Chitty

Sama seperti wanita Selat atau Nyonya Cina, kaum India Chitty juga mempunyai kebaya. Perbezaannya ia dipakai oleh Peranakan India dan Cina.

Kebaya Chitty lebih menggunakan bahan legap berbanding kebaya Nyonya yang gemar menggunakan kain separa telus. Kebaya Chitty ada yang ditambah sulaman halus atau kosong.

Kebaya lain

Selain kebarung, Selangor juga mempunyai kebayanya sendiri. Kebaya Selangor tidak mempunyai kolar. Kebaya di Pulau Pinang popular dengan kebaya Nyonya.

Selain itu, ada kebaya daripada kaum Jawi Peranakan iaitu kaum India Muslim yang menghasilkan kebaya menggunakan kain renda dihiasi sulaman labuci berbeza.

Ada juga yang menggunakan kain sari untuk dijadikan kebaya.

Lihat entri yang lain dalam blog ini berkaitan kebaya.

Kebaya Nyonya
Kebaya dan Kebarung

Post Utama

Kedai Online Nash Fesyen

Post Paling Popular

HAKCIPTA TERPELIHARA NASH FESYEN 2018