Thursday, 27 August 2015

Kenapa Jahitan Tidak Kemas?


Seoarang anak begitu asyik sekali melihat ibunnya menjahit lalu menghampirinya. 

"Ibu, Bolehkah ajar saya menjahit?"

"Boleh anakku."

Selepas beberapa kali mencuba terhasillah satu jahitan yang tidak begitu memuaskan.

"Ibu, kenapa hasil jahitan saya tidak sekemas dan secantik jahitan ibu?"

“Anakku, menjahit bukan terus untuk mendapat sesuatu yang sempurna. Menjahit perlu kamu melatih diri sehingga kamu melakukannya tanpa perlu memikirkan lagi bagaimana hendak melakukannya. Semuanya akan berlaku secara automatik. Itu tandanya kamu sudah menguasai kemahiran tanpa kamu sedar. Ia sudah tertanam di dalam fikiran bawah sedar kamu. Ingatkah lagi bagaimana kamu mula belajar mengayuh basikal dahulu?"

"Anakku, menjahit perlukan kesabaran dan ketekunan untuk kamu menjalaninya. Kemudian fokus pada tujuan dan berikan perhatian kepada apa yang sedang kamu kerjakan. Sekalipun untuk memasukkan hujung benang ke dalam lubang jarum tidak akan berjaya jika kamu hilang fokus."

"Anakku, belajar menjahit sama dengan kamu belajar tentang kehidupan ini. Kamu mengulangi hal yang sama. setiap hari. Kamu mengulangi perkara yang-yang baik sehingga lebih banyak perkara yang baik melekat dalam fikiran mu. Sabar, tekun, fokus pada tujuan dan konsentrasi pada apa yang sedang kamu lakukan, insya Allah apa yang menjadi tujuanmu boleh tercapai. Sama seperti dalam kehidupan ini, sebenarnya untuk meraih kejayaan kita tidak memerlukan teori-teori yang rumit dan komplek. Semuanya harus sederhana."

"Anakku, dalam apa jua bidang yang kita ceburi, jika kita tidak sabar, tekun dan fokus, kita tidak akan mencapai apa yang kita hajati. Jika kita hanya melakukan tanpa kita mengetahui tujuan kita kita akan tetap gagal. Mungkin kita mendapat sedikit hasil tetapi tidak seperti yang kita inginkan. Apa yang kita lakukan mungkin akan menjadi sia-sia seperti mencari syiling di bawah terang cahaya lampu."

"Anakku, selagi kita tahu tujuan kita, kemudian kita memaksimakan potensi yang ada pada diri kita. Dengan menggali kelebihan tersebut dan menjadikan ia sebagai modal untuk mengasah dan menggilap bakat yang ada pada kita maka kita mampu mencapai apa yang menjadi impian dan cita-cita kita. Apalagi, jika semua perkara tersebut kita lakukan dengan senang hati, penuh minat dan penuh kesungguhan."

"Dengan mampu mematangkan kelebihan-kelebihan kita secara konsisten, maka sebenarnya kita sedang memupuk diri kita untuk menjadi ahli di bidang yang kita kuasai. Sehingga, dengan profesionalisme dan pengalaman yang kita miliki, apa yang kita perjuangkan pasti akan membuahkan hasil yang paling memuaskan."

Wednesday, 26 August 2015

Tudung Ikut Trend






Sesuatu fesyen itu mudah menjadi trendy apabila ianya menarik perhatian dan popular. Kehadirannya mungkin sekejap kerana mengikut masa tertentu. Ianya akan digemari dan menarik ramai ke arah aliran tersebut. Begitu yang berlaku apabila seseorang itu mempunyai ramai perminat terutamanya dari kalangan artis dan selebriti.

Ada yang bertanya saya tentang tudung seperti yang terdapat dalam telefilem Cinta Paling Agung yang pelakon utamanya Aaron Aziz dan Siti Saleha. Oleh kerana ingin tahu dan mendapat idea saya pun melanggan Astro First untuk melihat telefilem tersebut. Cerita dalam telefilem tidak begitu menarik perhatian saya tetapi saya melihatnya kerana ingin mecari idea tentang tudung yang dipakai oleh pelakon dalam telefilem tersebut.

Memang sukar untuk membayangkan hanya dengan melihat pada gambar pemakainya sahaja. Apabila siap hasilnya tetap menarik perhatian. Jahitannya mungkin tidak sama kerana ianya berdasarkan imaginasi sahaja. 

Tuesday, 25 August 2015

Shawl Merah, Shawl Biru




Merah  antara warna yang mempunyai kuasa tarikan yang hebat. Merah menggambarkan kemarahan dan emosi. Merah adalah warna menunjukkan semangat dan keberanian. Merah boleh mencetuskan kelaparan dan keghairahan. Merah membangkitkan teanaga, memberi kehangatan, keberanian, keinginan yang tinggi dan membangkit sifat agresif. Merah juga dikaitkan dengan hati dan cinta tetapi merah juga boleh membawa kepada bahaya kebakaran, peperangan dan revolusi.

Biru memberi ketenangan seperti laut dan langit yang biru. Biru memberi sifat cerdas, integriti dan bijaksana.  Biru melegakan, mendamaikan dan menenangkan. Biru melambangkan amanah dan boleh dipercayai. Biru dilambangkan dengan kesetiaan, keihklasan, keyakinan , keamanan, kerjasama, keselesaan, kepintaran dan idalisme. Biru juga menggambarkan teknolgi dan masa hadapan. Biru juga memberi perlindungan dari kuasa jahat. Biru seorang yang bijak dan pandai mengambil peluang. Jika tidak dikawal akan bertindak melapaui batas.Biru bersifat infiniti seperti langit yang tiada sempadan. Maka ianya dilambangkan sebagai kuasa yang maha hebat. tetapi biru yang nampak tenang boleh berubah watak dalam sekelip mata. Biru yang biru tadi boleh bertukar manjadi hitam dan bergelombang. Akhirnya biru akan hilang dan hujan akan turun juga.

Monday, 24 August 2015

Shawl Kuning, Shawl Oren




Kuning berada antara hijau dan oren. Kuning melambangkan kebebasan dan intelektual. Kuning simbol perjuangan menuntut kebebasan. Kuning warna matahari yang menyinar ke segenap alam. Memberi kebebasan, keceriaan dan kegembiraan kepada semua orang. .Kuning  memberi kehangatan, menghilangkan kemurungan, meningkatkan memori dan merangsang selera makan. Kuning mudah nampak dari jauh. Kuning menjadi pilihan sebagai warna yang memberi amaran. Papan tanda, lampu isyarat dan simbol keselamatan menggunakan warna kuning. Kuning untuk menarik perhatian dan memberi kegembiraan. Kuning warna diraja, warna emas, warna suci bagi sesetengah orang. Kuning juga mewakili keintelektualan, kecerdikan, kecerdikan, pencerahan, optimistik, harapan, manifestasi, peluang, kesedaran, kesiapsiagaan, kebahagiaan, kebijaksanaan, keriangan, kepercayaan, kerohanian, persefahaman dan aspirasi. Kuning memang menghangat dan menyegarkan.

Oren berada antara merah dan kuning dalam spektrum warna. Oren warna yang memberi tenaga dan merangsang krerativiti. Pohon oren melambangkan cinta. Cinta terhadap alam, kehidupan dan manusia. Oren juga dikaitkan dengan makanan yang sihat. Oren pemberi kesihatan yang baik. Oren memberi aura kepada sekitarannya. Memberi keriaan dan kegembiraan. Oren merangsang aktiviti, mengurang stress, memberi kekuatan, melahirkan cita-cita, memberi dorongan  dan galakan, melaksanakan idea, menggabung idealisme dan realisme dan menimbul rasa positif. Cahaya matahari berwarna oren pemberi tenaga dan kuasa. Warna oren tatkala fajar meyinsing memberi harapan. Harapan baru di pagi hari. Harapan untuk seluruh rakyat dan kehidupan.

Tuesday, 18 August 2015

Shawl Instant Pleated Berbatu


Terdapat pelbagai cara untuk mencorak tudung dan shawl supaya lebih menarik. Kali ini saya menggunakan batu-batuk kecil untuk dilekatkan pada shawl.  Batu-batu kecil berkristal ini ditampan sepanjang jahitan pleat pada shawl.

Shawl instant walaupun sudah lama berada di pasaran masih mendapat sambutan yang baik melalui tempahan yang saya terima di samping shawl dua muka. Sambutan yang baik ini memberi peluang kepada penjual untuk mempelbagaikan pattern shawl instant masing-masing. Dari shawl instant biasa, shawl dua muka dan pelbagai corak dan reka bentuk dikeluarkan untuk menguasai pasaran. Jadi tidak hairan pada masa sekarang semakin  ramai yang berlumba-lumba termasuk artis-artis untuk menceburi industri ini. Semakin ramai yang menyertainya  semakin meriahlah industri ini. 

Saya melihat ini sebagai satu satu peluang dan rezeki kepada tukang jahit yang selama ini bergantung kepada menjahit pakaian dan langsir sahaja untuk menambah pendapatan.  Walaupun kos menjahit di Vietnam, China atau Indonesia lebih murah tetapi dengan kejatuhan harga ringgit menyebabkan tukang jahit tempatan menjadi pilihan.  

Baru-baru ini anak saya yang tinggal di asrama memberitahu bahawa kawan-kawannya ingin membeli tudung bawal berwarna hitam tetapi hendak beli dengan harga RM10 sehelai. Tinggal di asrama memang perlu pakai tudung hitam. Pasaran yang baik untuk tudung bawal hitam.

Saya membeli kain pongee berwarna hitam dengan harga RM2 semeter dan menjadikannya bawal dengan saiz 1.25m x 1.25m. Kain pongee memang biasa digunakan untuk tudung bawal. Kelilingnya dijahit tepi halus. Dengan bermodal RM2 dan jahit tepi sendiri, tudung bawal yang dibawa balik ke asrama habis dijual dalam masa yang singkat untuk 20 helai yang pertama.

Saya juga mendapat tempahan untuk shawl seperti dalam telefilem Cinta Paling Agung. Tudung yang menjadi trendy mengikut gaya artis memang laris jika dijual.

Kebolehan menjahit memang tidak merugikan.

Monday, 17 August 2015

Reka Tudung & Shawl Sendiri




Terdapat pelbagai cara untuk mereka tudung atau shawl sendiri supaya kelihatan unik dan berlainan dari pasaran. Caranya cukup mudah tanpa perlu menghantarnya kepada tukang jahit. Boleh lakukan sendiri sahaja. Ramai yang telah melakukannya dan berjaya menjualnya dan mendapat keuntungan yang banyak. 

Kebanyakan tudung atau shawl yang terdapat di pasaran mempunyai pattern atau pola yang sama sahaja sama ada design bentuk bawal, knife cut, halfmoon, butterfly, instant shawl dan lain-lain. Boleh dibeli dengan harga yang murah di Jalan TAR, Pasar Kemboja atau dari pemborong-pemborong tudung dan shawl ini. Kemudian dengan mengguna kreativiti kita sendiri jahit atau tampalkan aksesori tambahan atau perincian pada tudung atau shawl tersebut supaya terdapat kelainan atau keunikannya sendiri. Antaranya seperti manik, sequin, batu-batu kecil, kuntuman bunga, lace, renda dan pelbagai lagi. Sekarang kita sudah berjaya menghasil produk sendiri yang berlainan dari produk yang berada di pasaran tanpa perlu menghantarnya kepada tukang jahit.

Tudung yang saya tunjukkan pada gambar di atas saya jahitkan untuk anak saya yang ingin memakai shawl pada majlis jamuan hari raya di sekolahnya pada minggu lepas. Dengan mengguna shawl instant yang sudah tersedia saya menambah dua kuntum bunga pada shawl instant tersebut. Kuntuman bunga tersebut saya beli dari kedai yang menjual alatan menjahit berdekatan dengan rumah saya. Dengan tambahan 2 kuntum bunga ini menjadikan shawl instant ini nampak berlainan dari shawl instant biasa, Simple dan mudah. Sebagai tukang jahit saya membuat sedikit kedutan pada tapak untuk bunga tersebut.

Mungkin produk ini nampak biasa sahaja dengan produk yang biasa terapat di pasaran. Tetapi jika dilihat dengan teliti dari segi bentuk bunga, cara jahitan dan susunanya akan ternampak kelainannya. 

Semakin hari semakin ramai ingin mencipta produk dan shawl mereka sendiri. Saya melihat artis popular juga mengguna cara begini. Mungkin cara inilah yang paling mudah. Tidak ada siapa yang boleh memonopoli industri ini. Trend fesyen sentiasa berubah dan berulang. Mungkin kita yang bakal mencipta fenomena sehingga mencapai titik puncak.

Thursday, 13 August 2015

Cara Jahit Tudung & Shawl Carian Paling Popular


Cara jahit tudung & shawl merupakan carian keyword paling popular pengunjung yang membawa mereka ke blog ini. Carian tersebut tidak menghampakan pengujung kerana apa yang dicari terdapat dalam blog ini. Dengan keyword tersebut blog ini terus dikunjungi pengunjung sama ada pengunjung lama atau pun baru.

Apa yang saya perhatikan sesuatu blog akan mendapat trafik yang konsisten apabila blog itu boleh menjadi rujukan kepada pengunjung. Post yang mempunyai panduan, cara, tutorial dan lain-lain yang seumpama dengannya akan terus dikunjungi pengunjung. Keyword yang evergreen akan dicari sepanjang masa. Blog yang mempunyai keyword tersebut an mendapat tempat yang baik di google akan terus dikunjungi walaupun blog tersebut sudah lama tidak dikemaskini.

Mungkin bagi sesetengah orang tulisan berbentuk panduan boleh dijual dan menghasilkan keuntungan terutamanya jika dibuat dalam bentuk ebook atau buku fizikal. Bagi saya panduan percuma yang ditunjukkan di dalam blog juga boleh mendatang keuntungan dalam bentuk yang lain. Setiap satu ada kelebihan masing-masing. Saya merasakan blog saya lebih dikenali kerana terdapat beberapa panduan dan cara menjahit berbanding entri-entri saya yang lain.

Walaupun terdapat panduan menjahit yang saya masukkan dalam blog ini, masih ramai yang bertanya untuk belajar menjahit terus dengan saya. Jika pada bulan puasa yang lepas saya berhenti sekejap untuk membuka kelas menjahit tudung, sekarang saya bercadang untuk membuka semula kelas tersebut pada setiap hari sabtu. Belajar secara terus dengan pengajar lebih mudah untuk difahami terutamanya untuk perkara-perkara yang nampak sukar.

Ramai juga yang bertanya saya bagaimana cara untuk menjahit shawl instant dua muka. Insya Allah jika tidak ada aral melintang saya akan cuba masukkan dalam post yang akan datang.

Wednesday, 12 August 2015

Terima Pelajar Praktikal Menjahit



Sudah dua minggu saya menerima pelajar praktikal di kedai jahit sahaja. Jika ada permohonan saya tidak akan menolak. Malahan saya memberi elaun lagi. Saya baru sahaja menambah satu lagi mesin jahit lurus di kedai saya. 

Permohonan untuk membuat praktikal  di sini diusaha sendiri oleh pelajar. Semuanya melalui carian google. Datang dari jauh untuk menjalani praktikal di sini. Mengikut pelatih saya ini akan ada lagi yang datang untuk praktikal di sini. Satu permulaan yang baik selepas yang pertama. Di samping pelatih dapat belajar di sini saya juga mendapat keuntungan. Win-win.

Minggu pertama sudah dapat mengenali jenis-jenis kain terutamanya kain untuk membuat tudung. Sudah kenal jenis-jenis kain chiffon, lycra, moss crepe, satin dan lain-lain. Dalam masa baru dua minggu sahaja sudah dapat menngguna pelbagai jenis mesin, boleh memotong kain untuk tudung dan shawl sendiri. Sudah dapat mengusai dengan baik jahit tepi, jahit kelim dan jahit lurus. Hari ini sudah dapat membuat tudung soft awning sendiri. 

Kepada Syikin ambil peluang sepanjang praktikal ini untuk belajar mengenali dan membuat pelbagai jenis fesyen tudung, shawl dan baju. Masa tiga bulan akan pantas berlalu seperti angin yang bertiup. Tanamkan minat yang mendalam. Belajarlah semahu-mahunya.Kurangkan berkhayal. Yang dikhayal tidak akan ke mana.   Belajar menjahit bukan sekadar untuk menjadi tukang jahit tetapi sebagai langkah pertama untuk menjadi usahawan yang berjaya. 

Monday, 10 August 2015

Warna Warni Di Aidil Fitri 2015

Bersama kawan-kawan sekolah.

Syawal makin menghampiri ke penghujungnya. Setiap minggu ada sahaja jemputan ke rumah terbuka aidil fitri untuk meraikan bulan syawal ini. Suasana rumah terbuka yang diraikan sehingga sebulan di bulan syawal tidak pernah dirasai di zaman kanak-kanak dahulu. Paling lama pun merasai suasana aidilfitri hanya seminggu sehingga duit raya habis dibelanja atau tiada lagi kuih raya di rumah. Walaupun begitu zaman kanak-kanak tetap indah.

Cuti raya baru-baru ini singkat sahaja berada di kampung. Tidak sempat untuk berjalan jauh kerana cuti sekolah tidak panjang. Seperti biasa cuti hari raya dihabiskan dengan menziarahi sanak saudara dan berkumpul bersama kawan-kawan yang pulang ke kampung.

Minggu kedua selepas hari raya apabila pulang semula ke sini sempat juga mengadakan rumah terbuka secara ringkas dengan menjemput jiran-jiran sebelah rumah, para pekerja dan kawan-kawan yang berada di sekitar sini sahaja. Minggu-minggu seterusnya lebih banyak masa dihabiskan untuk menghadiri jemputan dari kawan-kawan pula.

Masa-masa sibuk kini kembali menjelma seperti tidak ada cuti lagi. Kedai jahit sudah beroperasi seperti biasa. Alangkah seronoknya kerana dapat menulis di blog ini lagi.

Gambar-gambar kenangan hari raya dirakam di sini supaya dapat dilihat semula di kemudian hari.






Sedih apabila terkenang kepada kakak ku yang pergi menghadap ilahi beberapa hari sebelum syawal menjelma. Al fatihah untuk Kak Mariah. Semoga tenang di sana.

Post Utama

Kedai Online Nash Fesyen

Post Paling Popular

HAKCIPTA TERPELIHARA NASH FESYEN 2018