Showing posts with label jahit shawl. Show all posts
Showing posts with label jahit shawl. Show all posts

Tuesday, 18 August 2015

Shawl Instant Pleated Berbatu


Terdapat pelbagai cara untuk mencorak tudung dan shawl supaya lebih menarik. Kali ini saya menggunakan batu-batuk kecil untuk dilekatkan pada shawl.  Batu-batu kecil berkristal ini ditampan sepanjang jahitan pleat pada shawl.

Shawl instant walaupun sudah lama berada di pasaran masih mendapat sambutan yang baik melalui tempahan yang saya terima di samping shawl dua muka. Sambutan yang baik ini memberi peluang kepada penjual untuk mempelbagaikan pattern shawl instant masing-masing. Dari shawl instant biasa, shawl dua muka dan pelbagai corak dan reka bentuk dikeluarkan untuk menguasai pasaran. Jadi tidak hairan pada masa sekarang semakin  ramai yang berlumba-lumba termasuk artis-artis untuk menceburi industri ini. Semakin ramai yang menyertainya  semakin meriahlah industri ini. 

Saya melihat ini sebagai satu satu peluang dan rezeki kepada tukang jahit yang selama ini bergantung kepada menjahit pakaian dan langsir sahaja untuk menambah pendapatan.  Walaupun kos menjahit di Vietnam, China atau Indonesia lebih murah tetapi dengan kejatuhan harga ringgit menyebabkan tukang jahit tempatan menjadi pilihan.  

Baru-baru ini anak saya yang tinggal di asrama memberitahu bahawa kawan-kawannya ingin membeli tudung bawal berwarna hitam tetapi hendak beli dengan harga RM10 sehelai. Tinggal di asrama memang perlu pakai tudung hitam. Pasaran yang baik untuk tudung bawal hitam.

Saya membeli kain pongee berwarna hitam dengan harga RM2 semeter dan menjadikannya bawal dengan saiz 1.25m x 1.25m. Kain pongee memang biasa digunakan untuk tudung bawal. Kelilingnya dijahit tepi halus. Dengan bermodal RM2 dan jahit tepi sendiri, tudung bawal yang dibawa balik ke asrama habis dijual dalam masa yang singkat untuk 20 helai yang pertama.

Saya juga mendapat tempahan untuk shawl seperti dalam telefilem Cinta Paling Agung. Tudung yang menjadi trendy mengikut gaya artis memang laris jika dijual.

Kebolehan menjahit memang tidak merugikan.

Monday, 11 May 2015

Beberapa Gambar Shawl & Tudung

Ramai yang minta saya masuk lebih banyak gambar shawl dan tudung dalam satu entri supaya senang nak cari. Apabila dah terlalu banyak entri semakin sukar untuk klik setiap tajuk untuk melihat gambar shawl & tudung. Tambahan pula kalau internet slow. Loading gambar pula lambat. Tetapi nak tengok juga gambar. Kadang-kadang puas menunggu untuk membuka setiap entri.

Saya memang tidak boleh mengumpul semua gambar untuk dimasukkan dalam satu entri. Apa yang saya update berdasarkan tempahan semasa sahaja. Itu pun kalau rajin mengambil gambar. Untuk mengambil gambar pun memakan masa juga. Kadang-kadang gambar yang saya ambil sudah beberapa kali saya masukkan dalam blog ini cuma dengan cerita yang berbeza. Sebab itu kadang-kadang saya tidak perlu mengulang untuk memasuk tudung atau shawl dengan design yang sama lagi.

Untuk memastikan blog ini sentiasa berupdate saya masuk juga gambar tudung atau shawl dengan design yang sama tetapi dengan cerita yang berlainan. Ada pembaca blog ini mengambil masa sehingga sebulan untuk membaca setiap entri blog ini dengan membacanya sedikit demi sedikit kerana bekerja. Bangga juga kerana ada yang suka membaca blog ini walaupun sekadar cerita berkaitan jahit menjahit sahaja dan cerita merapu yang entah apa-apa. Saya sendiri tidak sangka dari mana idea itu datang untuk menulis. Kebanyakannya secara spontan. Dengan page view melebihi sejuta menunjukkan blog ini ada pembacanya sendiri. Terima kasih yang sudi membaca.

Banyak manfaat rupanya apabila saya mempunyai blog ini.  Semakin lama semakin ramai yang mengenali saya. Ada skawan lama menghubungi saya apabila membuat carian berkaitan tudung dan shawl di laman Google. Saya sendiri pun macam tak percaya saya ada blog ini menjadikan saya semakin sibuk setiap hari. Mengurus tempahan setiap hari dan mempunyai beberapa orang pekerja menjadikan saya bukan lagi sekadar tukang jahit tetapi sebagai seorang usahawan yang merangkak sedikit demi sedikit kerana kurang pengetahuan dan pengalaman.

Beberapa gambar shawl dan tudung yang sempat saya kongsikan di sini.












Sunday, 5 April 2015

Tempah Shawl Untuk Majlis Perkahwinan Adik





Terima kasih Lynn kerana sudi berkongsi gambar untuk blog ini. 

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Baca entri yang lepas.






Tempahan shawl khas untuk dipakai pada hari perkahwinan adik yang akan diadakan pada cuti sekolah minggu depan di Pantai Remis, Perak. Tempahan shawl berfesyen ini adalah dari jiran sebelah rumah Kak Ros, Muslinda Kamal namanya. Sudah kenal dengan Lynn ini sejak tinggal di Sabah lagi. Apabila berpindah ke Bangi cari rumah pun dekat-dekat juga.

Shawl yang ditempah adalah shawl yang sudah biasa saya tunjukkan dalam entri-entri yang lepas seperti shawl bunga ros, shawl berawning, shawl instant dan shawl kedut di bahu. Alhamdulillah dapat siapkan juga sebelum cuti sekolah setelah bertangguh hampir sebulan. Sebenarnya dah bagi komitmen untuk siapkan sebelum cuti sekolah. Warna pilihan adalah silver dengan jahit tepi hijau. Satu lagi pula untuk shawl berkedut di bahu dengan warna mustard. Ada sehelai lagi yang tak sempat nak masukkan iaitu pleated shawl. Shawl nampak kedut sedikit sebab tak sempat nak seterika.

 Adik Lynn ini adalah pemain bola sepak negeri Pahang. 

Ok, Lynn, jangan lupa share gambar ya bila bergaya dengan shawl ini nanti. Maaf, majlis kenduri tak berkesempatan nak pergi sebab sudah plan awal nak balik kampung minggu depan.

Sunday, 15 February 2015

Shawl Instant Lycra Bercorak






Menjahit perlukan kemahiran. Untuk mendapat kemahiran perlukan diulang berkali-kali tanpa jemu. Misalnya untuk menjahit kelim, jahit gulung atau jahit pleat, jika tidak dicuba berkali-kali tidak akan berjaya untuk mendapat jahitan seperti yang dikehendaki. Saya sendiri semasa mula menjahit kelim sentiasa sahaja jahitan tergelincir dan serba tidak menjadi. Frust memanjang. Apabila selalu mencubanya, menjadikan saya semakin mahir dan sekarang terasa semakin cepat dan mudah. Pekerja saya sendiri yang saya latih menjahit pleat juga semakin mahir sekarang ini. Pada mulanya memang banyak berlaku kesilapan sehingga perlu menetasnya berkali-kali.

Jika ada yang bertanya saya supaya tunjukkan tutorial bagaimana cara menjahit tepi halus, jahit kelim, pleated dan lain-lain, saya boleh tunjukkan apabila berada di hadapan mesin jahit. Selepas itu perlu praktis berkali-kali sehingga mahir. Salah seorang pekerja saya yang pada mulanya datang bekerja tidak tahu langsung menggunakan mesin jahit tepi. tetapi sekarang sudah mahir dan sudah pandai untuk menukar benang sendiri, setting mesin mengikut kesesuaian kain dan tahu untuk menyelesaikan masalah jika benang putus.

Begitu juga cara menjahit untuk sesetengah pattern tudung, cara menjahitnya tidak perlukan pola tetapi hanya perlukan sedikit pengubahsuaian semasa menjahit. Menjahit perlukan kesabaran dan ketekunan. Kreativiti untuk menghasil tudung atau pakaian dengan fesyen tertentu akan datang dengan sendiri dengan hanya sekilas pandang sahaja pada tudung atau pakaian yang ingin dijahit. Kadang-kadang dengan gambar atau contoh sahaja sudah boleh agak cara jahitannya.

Shawl instant lycra bercorak seperti di atas juga berasal dari pola yang asas sahaja. Dengan sedikit pengubahsuaian boleh menghasilkan shawl seperti yang dikehendaki. Ada beberapa tutorial yang saya tunjukkan dalam entri yang lepas boleh menjadi asas untuk menjahit tudung dan shawl sendiri.

Dalam seminggu dua ini saya amat sibuk kerana ramai pelanggan hendak ambil tudung dan baju sebelum Raya Cina.  Raya Cina tinggal beberapa hari sahaja lagi.Terpaksa sehari suntuk berada di kedai, kadang-kadang hingga ke malam. Tak menang tangan nak menepis bila ada yang bertanya bila boleh siap baju dan tudung.  Sebab itu entri blog semakin hari semakin ringkas. Tak sempat nak fikir apa yang perlu ditulis.

Raya Cina pun dan jadi macam Raya Melayu. Ramai yang nak pakai tudung dan baju baru.

Saturday, 7 February 2015

Shawl Kedut Tepi



Fesyen shawl kedut ada bermacam-macam pattern. Ada yang kedutnya di sis, di atas kepala dan juga di tepi. Fesyen shawl kedut di atas adalah pada sebelah tepi. Saya pernah tunjukkan contoh membuat kedutan seperti menjahit tapak kerongsang tudung dalam entri yang lepas. Cuma kali cara tarik benang lebih panjang dan perlu lipat sehingga 3 - 4 inci. Tukang jahit yang mahir mesti faham apa yang saya tulis. 

Kain yang saya gunakan adalah kain chiffon glitter yang tebal sedikit dari chiffon biasa, Jahitan keliling menggunakan jahit tepi halus. Pada bahangian muka hanya jahit lipat biasa sahaja.

Thursday, 11 December 2014

Trend Memakai Shawl Semakin Meningkat




Shawl Berawning

Saya tidak membuat suatu tinjauan secara khusus berkaitan perkara ini tetapi berdasarkan pertanyaan dan permintaan daripada pelanggan setiap hari saya merasakan trend memakai shawl semakin meningkat pada masa kini. Butik-butik terkenal yang fokus kepada produk dan fesyen tudung tertentu sahaja mula memikirkan untuk menghasilkan shawl mereka sendiri. 

Lihat sahaja di sekeliling kita. Daripada ramai wanita yang kita temui kebanyakan mereka memakai shawl sama ada shawl bawal, shawl empat segi biasa atau shawl berfesyen. Anak-anak remaja, pelajar-pelajar kolej serta mereka yang bekerja sekarang sudah pandai bergaya dengan fesyen shawl yang pelbagai jenis. Ini berdasar pemerhatian saya secara umum. Ini adalah peluang kepada peniaga-peniaga tudung untuk menjual shawl disamping tudung sahaja.

Hari ini negeri Selangor bercuti. Saya ke kedai seperti biasa. Ada sahaja yang datang bila saya membuka kedai. Hari ini ada pelanggan dari Seremban. Walaupun hari cuti untuk yang bekerja makan gaji, saya masih bekerja macam biasa. Anak-anak mengajak pergi ke Pesta Buku Big Bad Wolf  2014 yang diadakan di The Mines, Seri Kembangan tetapi saya tidak pergi. Banyak tempahan yang perlu saya siapkan. Lagi pun saya memang cepat bosan kalau pergi ke tempat macam tu.  Anak-anak pergi dengan suami sahaja.  

Saya memang tidak minat membaca. Kalau membaca pun hanyalah bacaan-bacaan ringan yang dipost melaui facebook atau whatsapp sahaja. Macam mana nak membaca. Bangun pagi sahaja terus memasak kemudian terus dengan aktiviti menjahit sehingga ke malam. Sibuk terlampau. Kalau mengikut kajian daripada Perpustakaan Negara Malaysia, rakyat Malaysia kurang minat membaca dan yang terendah antara negara di Asia, saya salah seorang daripadanya.

Gambar di atas adalah tempahan shawl berawning daripada pelanggan saya. Menjahit lebih seronok daripada membaca.

Post Utama

Kedai Online Nash Fesyen

Post Paling Popular

HAKCIPTA TERPELIHARA NASH FESYEN 2018