Bila membaca semula post di dalam blog ini membuat saya tersenyum sendiri. Berkongsi pelbagai artikel, panduan dan lain-lain yang ada juga bersifat personal. Kadang-kadang saya bertanya kepada diri sendiri. Betulkah apa yang aku tulis ini? Semuanya datang secara spontan.
Pada mulanya blog ini dibangunkan bertujuan untuk menceritakan tentang keluarga dan aktiviti berkaitan hobi jahit-menjahit sahaja sepertimana banyak blog-blog yang lain yang menceritakan hal keluarga masing-masing. Ini boleh dilihat dalam post-post saya yang awal.
Tidak sangka pula apabila saya postkan panduan menjahit tudung chiffon 3 layer , terus sahaja mendapat perhatian. Menjadi post yang paling popular dalam blog ini sehingga mendapat banyak pertanyaan. Dari situlah saya mula menawarkan servis menjahit tudung secara online dan akhirnya membuka kelas menjahit tudung. Dari situ juga munculnya bermacam-macam idea untuk menulis blog dan membuka kedai online sendiri di www.nashfesyen.com.
Pada peringkat awal saya membuat promosi servis menjahit melalui mudah.com dan majalah.com. Promosi lebih tertumpu kepada servis menjahit tepi tudung dan shawl serta menjahit pakaian wanita tidak termasuk menjahit tudung. Disebabkan syarat yang diletakkan oleh mudah.com dan majalah.com yang begitu terhad di mana pengiklan tidak boleh mengiklan produk setiap hari dan perlu menunggu lama untuk mengiklan produk atau servis seterusnya timbullah idea untuk belajar membuat blog melalui platform blogspot.
Peringkat awal blog tidak ramai pengunjung dan terasa seperti syok sendiri sahaja. Dengan panduan melalui google dan panduan daripada beberapa blog tertentu barulah saya belajar bagaimana kaedah untuk menarik pengunjung ke blog dan blog ini perlahan-lahan mula menerima pengunjung.
Pada masa ini saya tidak lagi terlalu bergantung kepada mudah.com dan majalah.com untuk mempromosi servis yang saya lakukan.
Apa Yang Saya Dapat Daripada Blog Ini?
- Memperolehi pendapatan melalui servis yang saya lakukan dan dari jualan produk melalui kedai online yang saya bangunkan.
- Membuat promosi tentang servis yang saya lakukan. Tidak lagi terlalu bergantung kepada laman pengiklanan yang lain. Saya bebas mengiklankan produk saya sebanyak mana yang saya suka tanpada ada limit. Inilah cara marketing yang paling mudah dan murah. Platform blogspot adalah percuma.
- Berkongsi pengalaman dan idea dengan pengunjung-pengunjung yang lain.
- Dapat membina kredibiliti. Sekurang-kurangnya dengan tulisan-tulisan saya boleh menunjukkan saya tahu apa yang saya lakukan dan pembaca blog ini tahu apakah kepakaran saya. Apa yang saya kongsikan diharapkan menjadi maklumat yang berguna kepada pembaca dan dapat menyelesaikan masalah-masalah yang mungkin dihadapi melalui blog ini. Dan harapan saya juga blog ini boleh menjadi rujukan kepada sesiapa sahaja yang terlibat dalam bisnes seperti yang saya lakukan.
- Dengan bloglah, saya merasakan saya lebih mesra dengan pengunjung yang datang. Saya cuba mengguna gaya penulisan seperti yang ada sekarang supaya tidak terlalu serius. Kebanyakan tulisan adalah datang dari hati saya yang ikhlas berdasarkan pengalaman seharian yang telah saya lalui. Sekurang-kurangnya saya mencuba dahulu sebelum saya berkongsi dengan pengunjung lain.
- Blog ini menjadi saluran maklumat antara saya dengan pengunjung. Apa-apa yang saya lakukan saya berkongsi dengan pengunjung. Dengan memaparkan hasil jahitan dan pengalaman saya termasuk gambar keluarga, nombor telefon, lokasi rumah menunjukkan saya betul-betul wujud dan serius dan pengunjung lebih mempercayai bisnes yang saya lakukan. Siapa pun boleh menghubungi saya malahan datang ke rumah saya pada bila-bila masa jika saya ada dirumah.
- Dengan blog ini juga saya mula membina peminat dan pelanggan saya sendiri sama ada melalui facebook dan google+ dan sebagainya.
- Blog ini juga menjadi kedai online saya di mana saya boleh gunakan untuk memasarkan produk saya sendiri.
- Artikel yang terkumpul melalui blog ini akan kekal selagi saya tidak memadamnya atau dirosakkan/hack oleh orang lain atau jika google tidak meneruskan lagi platform blogspot ini. Artikel dan panduan di blog ini boleh menjadi sumber rujukan untuk hari ini dan masa hadapan.
- Mendapat ilmu-ilmu baru khususnya berkaitan blogging, bisnes internet dan ilmu berkaitan grafik.
Pencapaian Sepanjang Berblog Selama Enam Bulan
- Sudah 100 entri termasuk entri ini sudah dipost di blog Nash Fesyen dalam tempoh 6 bulan blog ini wujud.
- Mempunyai 10 panduan untuk pengunjung termasuk 3 panduan membuat tudung dan 1 panduan membuat shawl.
- Menghasilkan 1 ebook panduan menjahit tudung.
- Membina kedai online mengguna sistem Zen Cart
- Mengumpul 327 like untuk facebook page Nash Fesyen sehingga hari ini.
- Mengumpul 62 follower untuk google plus sehingga hari ini.
- Mendapat tambahan friend sekurang-kurang 5 – 10 friends setiap hari untuk facebook saya sendiri. Kebanyakan yang add sebagai friend adalah untuk bertanya produk atau servis yang saya lakukan.
- Mendapat penarafan Page Rank (PR) pada skala 2 dari google.
- Mendapat ranking Alexa di bawah 1.5 juta pada peringkat global dan di bawah 20,000 untuk peringkat Malaysia.
- Kebanyakan keyword untuk servis yang saya lakukan adalah pada page pertama carian pada google.
- Mempunyai kawan bukan sahaja secara on line tetapi juga secara offline yang datang hampir setiap untuk mendapat servis yang saya sediakan.
- Menjana pendapatan yang agak konsisten terutamanya pada akhir-akhir ini sekurang-kurangnya pendapatan sehari saya sudah mampu membayar bil bulanan unifi.
- Membina rangkaian dengan tukang jahit yang lain yang saling membantu antara satu sama lain.
Perancangan 2014
- Menambah lebih banyak produk sendiri di kedai online Nash Fesyen yang selama ini semacam diabaikan kerana memberi prioriti kepada tempahan menjahit daripada pelanggan yang tak pernah putus-putus. Perancangan awal juga akan dilakukan untuk memenuhi keperluan Hari Raya Aidil Fitri yang akan menjelang tidak lama lagi.
- Memperbaiki dari segi rekabentuk blog ini supaya lebih mesra pengunjung. Mungkin mencuba dengan layout yang lebih menarik.
- Menambah beberapa lagi panduan menjahit tudung untuk rujukan pengunjung. - Membuat beberapa lagi ebook berkaitan panduan menjahit.
- Mempelajari ilmu-ilmu berkaitan SEO dan ‘graphic editing’ supaya gambar-gambar yang dipaparkan lebih menarik.
- Menggunakan google + sebagai platform untuk mempromosi bisnes. Saya melihat google + sebagai platform bisnes yang tidak boleh diabaikan.
- Memperkemaskan lagi page facebook Nash Fesyen dengan pelbagai perkongsian menarik. - Mengguna twitter, instagram, pinterest, linkedIn sebagai medium social untuk mempromosi bisnes saya.
- Mengikuti kursus-kursus berkaitan usahawan.
- Meningkat ilmu berkaitan usahawan internet.
Perancangan Jangkamasa Panjang
- Menjadi usahawan berjaya.
- Mempopularkan jenama Nash Fesyen sehingga menjadi bualan ramai.
- Membuka butik sendiri.
Untuk Mencapainya Saya Perlu:
- Merasa yakin dan bangga dengan apa yang saya lakukan.
- Bekerja keras untuk menjadikan usaha yang dilakukan adalah yang terbaik bukan sekadar hobi di masa lapang.
- Konsisten dengan usaha yang dilakukan.
- Bermotivasi tinggi.
- Mengkaji pencapaian dan membuat analisis dari masa ke semasa.
- Berinteraksi dengan pelanggan dan pengunjung sebaik mungkin.
- Mengenali lebih ramai pelanggan.
Apa yang saya gariskan di sini atas bukanlah untuk syok sendiri atau nak menunjuk-nunjuk tetapi untuk muhasabah diri dan MENCABAR DIRI SAYA SENDIRI sebagai pemangkin untuk berjaya dan saya sentiasa berdoa semoga apa yang saya lakukan diberkati oleh Allah s.w.t.
No comments:
Post a Comment